Wednesday, May 8, 2013

Jadilah pendorong kebaikan


Oleh: Mohd Nasir Awang

EDISI ini dijadualkan menjengah pasaran sejurus sebelum berlangsungnya pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). Barangkali ketika halaman ini ditatap pembaca, kerancakan kempen dan “pertarungan” antara pihak-pihak yang bertanding sedang berada di kemuncak. Boleh jadi juga proses demokrasi yang hanya datang empat atau lima tahun sekali itu telah pun usai.

Apa pun keadaannya, seperkara yang tidak sayugia dipandang ringan ialah setiap kita ada peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam menentukan corak dan halatuju kepimpinan masyarakat dan negara. Bahawa setiap diri ada saham di atas apa jua keputusan akhir yang muncul hasil proses demokrasi itu. Bahawa undi yang diberi atau tidak diberi kepada mana-mana calon adalah penentu sama ada kerajaan yang bakal terbentuk hasil pilihan anda itu akan membawa rakyat menuju ke arah lebih baik atau sebaliknya.

Sepertimana yang selalu diajarkan kepada kita, Islam adalah agama yang lengkap. Dalam istilah yang lebih popular, ia disebut agama yang “syumul”, dengan maksud ia bersifat menyeluruh dan merangkum. Sekira-kira tidak ada sebarang aspek kehidupan manusia – dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besarnya - yang tertinggal atau tidak diambil tahu oleh ajaran Islam.

Hakikat ini sering disebutkan contohnya oleh para asatizah dan ulama lewat kuliah atau tazkirah mereka. Bahawa agama kita mengatur tatacara hidup dengan amat rinci. Sebab itu akan kita dapati ajaran agama mengenai tertib dan adab dalam melaksanakan sekecil-kecil perkara, seumpama bagaimana mahu masuk ke tandas, apa yang wajar dituturkan tatkala seseorang itu bersin dan apa pula jawaban orang yang mendengarnya.

Begitu juga soal berjalan, apabila ada larangan berjalan dengan megah, mengangkat dada atau mendongak muka. Sebaliknya ada pula pengesyoran agar menundukkan pandangan. Kesemua itu diteladani dari sabda dan perbuatan Rasulullah saw, selain hukumnya yang umum turut dicatatkan di dalam kitab suci al-Quran.

Lalu para asatizah dan alim-ulama kita menegaskan, kalaulah dalam perkara-perkara sekecil mengutis daun atau mematahkan ranting pokok pun ada larangan agar tidak dilakukan sewenang-wenangnya, maka apatah lagi soal yang sangat besar seumpama penentuan kepimpinan masyarakat dan negara.

Jika proses pemilihan itu belum usai, maka ingatlah bahawa tanggungjawab kita menentukan kepimpinan negara dan negeri amat besar. Ia bukan sahaja didesak atas nama tanggungjawab anda sebagai rakyat untuk menunaikan hak di bawah sistem demokrasi. Bukan juga semata-mata di atas semangat ‘demi negara yang tercinta’. Lebih penting dari semua itu, bagi kita yang bernama umat Islam, ialah ianya merupakan tuntutan dari agama kita sendiri.

Ketahuilah bahawa Islam amat menitikberat soal memilih pemimpin. Lihat saja bagaimana tatkala wafatnya Rasulullah saw, sebilangan sahabat utama Baginda tidak menumpukan urusan pengebumian Nabi saw, sebaliknya berkumpul dan bermesyuarat untuk menentukan pengganti Baginda.

Bukan soal pengurusan jenazah Baginda itu tidak penting. Jauh sekali untuk dikatakan para sahabat besar itu lebih mengutamakan “perebutan” jawatan khalifah sehingga tergamak tidak memuliakan Nabi saw. Tidak munasabah buat para sahabat selaku sosok-sosok paling akrab dan paling setia kepada Rasulullah saw untuk bersikap demikian. Melainkan hanya sanya kerana apa yang perlu mereka putuskan (yakni mencari pengganti Baginda saw dalam kadar segera) itu adalah sesuatu yang sangat penting, bahkan lebih penting daripada urusan pengebumian Baginda saw sendiri.

Dalam kes lain, kita turut diajarkan pesanan Rasulullah saw bahawa sekiranya kita bermusafir bertiga atau lebih, maka hendaklah diangkat salah seorang di antara kita sebagai amir atau ketua permusafiran itu. Bahkan, ada juga ulama berpandangan bahawa berdosa bagi umat Islam untuk hidup lebih daripada tiga hari tanpa ada seorang antara mereka sebagai ketua.

Banyak lagi contoh yang boleh dipetik bagi menggambarkan betapa Islam sangat menitikberatkan soal memilih pemimpin. Manakala soal sifat atau ciri pemimpin yang baik dan wajar dijadikan pilihan juga banyak diperkata dan diperbahaskan, sama ada menerusi firman Allah SWT, sabda Rasulullah saw mahu pun syarah oleh para ulama terbilang,

Bagi kita selaku individu muslim sekaligus warga masyarakat yang prihatin, prinsip utama yang wajar kita pegang ialah, dalam apa pun keadaan biarlah hidup kita ini menjadi pendorong kepada kebaikan. Semua orang cinta dan mahukan kebaikan. Namun kebaikan yang terbaik sudah tentulah yang bertepatan dengan apa yang dikehendaki Allah dan Rasul-Nya, yang terangkum di dalam ajaran-ajaran Islam.

Dalam hal ini teringat saya kepada sepotong hadith riwayat Muslim yang kira-kira maksudnya: “Pendorong kepada kebaikan adalah seumpama pelakunya”. Dalam ertikata lain, jika kita meletakkan diri kita sebagai pendorong atau pembantu kepada seseorang yang melakukan kebaikan, maka ia seumpama kita sendiri yang melakukan kebaikan itu. Kita akan turut mendapat ganjaran dari sisi Allah hasil kebaikan dilakukan orang itu, walau pun kita sekadar membantu atau mendorongnya.

Sebaliknya, dalam menghuraikan hadith ini para ulama menambah, “pendorong atau pembantu ke arah keburukan, juga seumpama pelakunya sendiri”. Maka terpulang kepada kita mahu memilih sama ada untuk menjadi pendorong kebaikan atau keburukan.

Jika PRU-13 sudah melabuhkan tirainya, bermakna kita semua sudah membuat pilihan. Maka, sama ada pemimpin yang kita beri kepercayaan itu bakal menjadikan undi kita kepadanya sebagai pendorong kebaikan atau keburukan, terpulanglah kepada kebijaksanaan kita memilihnya.

Sementara proses pemilihan umum itu berlangsung hanya beberapa tahun sekali, proses memilih sama ada untuk membantu kerja-kerja ke arah kebaikan atau keburukan pula akan kita temui setiap hari di dalam kehidupan kita.

Contohnya, dengan duit RM10 dari kocek, kita boleh pilih sama ada untuk dihabiskan kepada majalah humor, hiburan dan gossip yang berpotensi melalaikan kita dari mengingati Allah Ta’ala, atau untuk membeli majalah agama dan motivasi diri yang boleh membawa kita lebih dekat dengan-Nya.

Anda seorang yang bijak sekiranya memilih menjadi pendorong kepada kebaikan!

(Artikel ini mengisi ruangan 'Catatan Ketua Pengarang' majalah Era Muslimah, Bil. 15, yang terbit 8 Mei 2013)

No comments:

Post a Comment