Saturday, June 8, 2013

BN ‘bunuh’ kemakmuran masjid Kota Putera


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Di kesempatan berada di Besut minggu lalu, penulis berpeluang mengikuti dua kuliah oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Adam Mat Said. Pertama, pada hari Isnin malam Selasa di Masjid Darul Iman, Kampung Lahar, sebuah masjid persendirian yang kelihatannya dikuasai oleh para pendukung PAS.

Kali kedua, pada Rabu malam Khamis di sebuah surau di kawasan perumahan di Alor Lintang. Melihatkan beberapa bahan bercetak yang ditampal secara terbuka di papan kenyataannya, surau ini juga nampaknya ‘ditakluki’ pendukung parti Islam.

Kedua-dua premis tersebut terletak di dalam kawasan Dun Kota Putera, salah satu kawasan pilihan raya di Parlimen Besut. Difahamkan kuliah di kedua-dua premis ini hanya bermula selepas PRU13 lalu, sebagai ganti kepada kuliah pada malam-malam sama di dua masjid kerajaan berdekatan.

Subhanallah! Bagi sesiapa yang belum pernah mengikuti kuliah Ustaz Adam pasti akan terasa kagum dan bangga dengan keupayaannya memaut kehadiran sebegitu ramai pendengar. Kedua-dua majlis itu dihadiri ratusan pencinta ilmu Islam, sehingga melimpah ke luar bangunan. Difahamkan mereka itu bukan hanya yang tinggal di sekitar rumah-rumah ibadat tersebut. Mereka malah dari belasan kampung sekitar daerah Besut.

Dapat penulis simpulkan bahawa ulama muda ini mempunyai pendekatan dakwahnya yang tersendiri. Butir bicaranya sangat bertertib. Bait-bait ucapannya padat dengan ilmu dan nasihat, terutama untuk membina keperibadian muslim yang beradab, lebih-lebih lagi dengan Allah Ta’ala.

Seperkara agak nyata, bersalahan dengan imej aktivis PAS yang melekat kuat pada batang tubuhnya, butir-butir pengajarannya tidak langsung menyentuh hal-hal politik kepartian. Hal itu dengan sendirinya menjelaskan mengapa setiap masjid atau surau dikunjungi beliau mampu menggamit kehadiran pendengar yang begitu ramai. Popularitinya melangkaui batasan parti. Yang datang menadah telinga mendengar kuliahnya bukan sahaja penyokong PAS, tetapi juga khalayak ‘atas pagar’ dan pendukung Umno.

Ustaz Adam adalah bekas calon PAS bagi kerusi Dun Kota Putera pada PRU13 baru-baru ini. Meski pun tidak mampu mengatasi jumlah undi diperolehi calon parti lawan, pengasas Pusat Tarbiah Nurul Iman di Kampung Kubang Ikan ini telah berjaya melonjakkan undi buat partinya. Berbekalkan majoriti kekalahan lebih 3,300 undi pada 2008, beliau berjaya menyusutkan kemenangan BN kepada hanya lebih 1,400 undi.

Walau pun lonjakan itu tidak cukup besar untuk menghasilkan kemenangan buat PAS, ia merupakan kemaraan yang boleh dibanggakan. Mengambilkira betapa Dun Kota Putera adalah salah satu kerusi yang tidak pernah diberikan harapan tinggi untuk dimenangi oleh Pakatan Rakyat, khususnya PAS Terengganu sendiri, pencapaian itu diluar jangkaan banyak pihak.

Tidak syak lagi saham utama peningkatan sokongan terhadap PAS di situ ialah keperibadian Ustaz Adam sendiri. Kesungguhan dan keikhlasannnya mencurahkan ilmu kepada masyarakat menjadi bahan pertuturan. Di mana sejak beberapa tahun sebelum disahkan menjadi calon PAS, Ustaz Adam adalah tenaga pengajar paling popular di beberapa masjid mukim (masjid kerajaan), jika pun tidak di seluruh daerah Besut. Dikatakan pada setiap malam beliau memberikan kuliah, jumlah hadirin sangatlah ramai, bahkan paling ramai berbanding kuliah-kuliah oleh lain-lain tenaga pengajar di premis sama.

Kebetulan pula tumpuan aktiviti kuliahnya ialah di masjid dan surau di Kota Putera. Maka, apabila mula disebut-sebut namanya sebagai bakal calon seawal 2011 lalu, ia amat tidak disenangi kalangan pendukung Umno. Usaha berterusan dikatakan dibuat, termasuk oleh penyandang Adun Kota Putera ketika itu agar kuliah-kuliah Ustaz Adam dihentikan di masjid-masjid mukim.

Difahamkan pada setiap Isnin malam Selasa, beliau berkuliah di Masjid al-Muqorrobin, Gong Kepas. Manakala Rabu malam Khamis giliran di Masjid Nasiruddin Shah, Kampung Raja. Sepertimana disebutkan tadi, penerimaan terhadap pengajarannya bukan lagi terbatas kepada penyokong PAS atau pembangkang sahaja. Populariti Ustaz Adam sudah melangkaui batasan parti.

Sebab itu biar pun berkali-kali penyandang Adun ketika itu cuba menggunakan kuasa dan kedudukannya untuk memaksa kuliah Ustaz Adam di dua masjid kerajaan itu ditamatkan, ia mendapat bantahan hebat, termasuk oleh jawatankuasa masjid-masjid terbabit sendiri. Bahkan, pihak Pejabat Agama Daerah Besut sendiri dikatakan tidak menemui sebarang masalah dengan isi kuliah beliau yang langsung tidak menyentuh hal-hal politik kepartian.

Dikatakan kegagalan itu juga antara faktor besar mendorong penyandang Adun itu ‘berpindah’ ke kerusi Dun Jertih dalam PRU13 baru-baru ini. Kata orang Besut, dia “terlekat kuong” kekalahan dengan Ustaz Adam apabila gagal dalam usahanya memadamkan populariti ulama itu, termasuk di kalangan penyokong Umno sendiri.

Kini usaha dimulainya itu membuahkan hasil. Ustaz Adam tidak lagi dibenar meneruskan kuliah-kuliahnya di dua masjid tersebut. Peliknya, sekatan itu bukan datang daripada Pejabat Agama Daerah Besut, sebaliknya daripada pemenang PRU13 yang mengambilalih jawatan Adun Kota Putera. Tanpa sebarang surat atau arahan rasmi daripada jabatan yang bertanggungjawab terhadap tauliah kuliah, beliau sendiri mengumumkan sekatan itu sejurus sebelum majlis kuliah sepatutnya bermula di Masjid Al-Muqorrobin.

Sekatan sama dibuat pula ketika giliran Ustaz Adam berkuliah di Masjid Nasiruddin Shah pada minggu berikutnya.

Tidak dinafikan selaku Adun, beliau ada kedudukan untuk memaksa jabatan agama mengeluarkan surat pemberhentian itu. Beliau juga boleh memberikan alasan kononnya kuliah itu akan diambilalih oleh tenaga pengajar lain yang disenangi pemerintah.

Cuma yang sangat mendukacitakan anggota masyarakat setempat ialah apabila itu semua akhirnya terbukti hanyalah alasan untuk mengenepikan Ustaz Adam daripada terus berkuliah di situ. Sehingga rencana ini ditulis, selepas hanya sebulan PRU13 berlalu, kedua-dua malam yang dikatakan akan dihidupkan oleh pengkuliah lain itu menjadi malam sangat suram dan sepi buat jemaah masjid-masjid terbabit.

Terbukti sudah bahawa kemenangan BN telah membunuh kemakmuran masjid-masjid tersebut. Ingatlah, setiap yang mengundi BN di Kota Putera sudah tentu tidak terlepas saham atas ‘pembunuhan’ ini.

(Artikel ini adalah versi sebelum potong kepada artikel disiarkan akhbar Harakah, Bil: 1851, 1-4 Syaaban 1434/10-13 Jun 2013 di ruangan F22 KOLUMNIS dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment