Oleh: Mat Zain Mat Isa
Belum apa-apa lagi, Dato’ Seri Ahmad Said sudah pun
mencetuskan kontroversi. Sebaik sahaja menerima watikah pelantikan semula
sebagai Menteri Besar Terengganu, pemimpin yang terkenal suka “cakap lepas” itu
terus sahaja menzahirkan warnanya yang sebenar.
“Selama ini BN yang ambilalih tugas wakil rakyat PAS.
Mereka (rakyat/pengundi) sudah pilih wakil rakyat masing-masing, jadi kalau ada
masalah, pergi mengadu kepada wakil rakyat mereka,” latahnya, sepertimana
dipetik media.
Ahmad dilaporkan berkata demikian selepas Istiadat
Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan
Negeri Terengganu, di Istana Maziah, Kuala Terengganu, 11 Mei lalu.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri pimpinannya akan
mengkaji semula sama ada akan menerus atau menamatkan khidmat Pegawai
Pembangunan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di kawasan-kawasan BN mengalami
kekalahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 baru-baru ini.
Justeru, difahamkan segala peruntukan pembangunan ke
kawasan terbabit (yang selama ini disalurkan melalui pegawai-pegawai
pembangunan itu) tidak akan disalurkan lagi. Sebaliknya, fokus pembangunan akan
hanya ditumpukan kepada kawasan-kawasan dimenangi partinya. Ia termasuklah
projek pembangunan perumahan mampu milik yang dinyatakan di dalam ‘Aku Janji BN
Terengganu’, sebagai sebahagian manifesto pilihan raya parti itu baru-baru ini.
Tidak syak lagi, kenyataan ‘sulung’ Ahmad selaku MB
Terengganu itu mengejutkan banyak pihak. Bukan sahaja khalayak pemimpin dan
pendukung parti pembangkang yang kecewa, bahkan turut terkilan ialah kalangan
pegawai kerajaan dan rakyat bawahan. Cakap seorang pemimpin utama dianggap
dasar yang bakal dikuatkuasa dan dilaksanakan pemerintahannya. Maka, apakah
kerajaan Terengganu suka dilabelkan sebagai sebuah kerajaan pendendam?
Banyak pihak, termasuk kalangan tidak berparti mahu pun
pendukung BN sendiri sebenarnya mutakhir ini sudah semakin berfikiran terbuka. Bagi
mereka, perbezaan politik hendaklah ditangani secara sihat dan matang. Sebab
itu biar pun berlawan hangit sepanjang kempen pilihan raya, mereka tidak
mengharapkan sentimen kepartian itu berlarutan seusai proses demokrasi itu.
Sejajar perkembangan dunia yang semakin maju kini, minda
rakyat juga telah beranjak. Mereka bukan lagi dibentengi pemikiran lama yang
suka hidup bersuku-sakat atau berpuak-puak, lebih-lebih lagi dibatasi perbezaan
parti. Bagi mereka selesainya proses pilihan raya bererti selesailah
tindakan-tindakan dengan merit politik.
Apabila yang menang dan kalah dapat menerima keputusan
masing-masing, sepatutnya mana-mana parti pun yang menang menjuruskan agenda
pemerintahan ke arah pembangunan negeri dan masyarakat. Untuk itu manfaat
pembangunan itu sepatutnya untuk seluruh rakyat, tanpa lagi mengira
latarbelakang politik mereka.
Ini bukan lagi era 80-an atau 90-an. Politik balas dendam
bukan lagi pendirian yang dianggap murni dan berpatutan. Sebaliknya, sebarang
keputusan pilihan raya sepatutnya dijadikan asas ke arah menyediakan khidmat
dan manfaat yang semakin baik kepada rakyat. Dalam ertikata lain, semakin
seimbang kekuatan (kemenangan) di antara kerajaan dan pembangkang, sepatutnya
semakin merata dan menyeluruh juga agenda pembangunan dan kebajikan di dalam
masyarakat.
Malangnya, ternyata Ahmad dan para pemimpin BN Terengganu
belum benar-benar “kebah” daripada “demam terkejut” ekoran kedudukan partinya
yang nyaris tumbang di tangan PAS/Pakatan Rakyat. Dalam PRU-13, 5 Mei lalu, BN
yang sebelum ini menguasai 24 daripada 32 kerusi hanya mampu bertahan di 17
kerusi. Hayat pemerintahannya hanya disambung dengan kelebihan dua kerusi
berbanding pakatan pembangkang yang memenangi 15 kerusi.
Ekoran prestasi memalukan itu, kedengaran suara-suara
dari kalangan pendukung BN Terengganu sendiri agar Ahmad tidak lagi disambung
khidmatnya sebagai ketua kerajaan. Mujur juga beliau telah mengambil tindakan
“penyelamat” lebih awal. Beliau telah menggugurkan sebilangan nama yang
dikenalpasti berpotensi menggugat kedudukan beliau selaku peneraju pasukan BN
negeri. Nama-nama seperti Datuk Rosol Wahid (Ajil), Datuk Din Adam (Bukit Besi)
dan Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih) siang-siang lagi disingkirkan dari senarai
calon-calon BN kali ini. Menyingkap sejarah “perebutan” pada 2008 lalu, mereka
inilah menjuarai suara menentang pelantikan Ahmad sebagai MB.
Banyak pihak mengharapkan Ahmad belajar daripada
pengalaman pahit dilaluinya sebelum ini. Bahawa beliau sekurang-kurangnya akan
mengurangkan musuh dalaman partinya. Dengan itu tidak akan ada unsur-unsur
sabotaj di kalangan sesama pendukung kerajaan, sepertimana kes-kes yang berlaku
pada penggal lalu. Rakyat dapat merasai betapa kelancaran program pemerintahan
banyak terbantut ekoran pergeseran dalaman BN sendiri.
Lebih diharapkan ialah agar Ahmad memulakan penggal baru
ini secara lebih matang. Beliau seharusnya meletakkan dirinya sebagai pemimpin
kepada semua rakyat Terengganu, tanpa mengira kecenderungan politik. Bertolak
dari situ, tidak akan ada pilih kasih dalam pelaksanaan apa-apa agenda
pemerintahan berasaskan merit politik semata-mata.
Apatah lagi dengan keputusan pilihan raya lalu, hampir
separuh kawasan di negeri itu bukan lagi milik BN. Bayangkan saja, di mana
rasionalnya untuk sebuah kerajaan menidakkan pembangunan kepada separuh
negerinya, semata-mata didorong bisikan syaitan yang menyeru “padan muka dia
orang kerana menolak BN”?
(Artikel ini disiarkan di ruangan F21 KOLUMNIS akhbar Harakah, Bil: 1845, 10-13 Rejab 1434/20-23 Mei 2013dengan tajuk serupa)
No comments:
Post a Comment