Oleh: Mat Zain Mat Isa
MUTAKHIR ini dunia sekali lagi berhadapan isu penghinaan
terhadap Nabi Muhammad saw. Kali ini ia dicetuskan sebuah filem yang sengaja direkacipta
untuk memberikan gambaran buruk dan tanggapan negatif terhadap Islam, khususnya
Baginda saw.
Filem Innocence of
Muslims terhasil dengan gabungan beberapa individu yang memang mempunyai
pendirian anti-Islam. Pengarahnya Sam Bacile, seorang karyawan Amerika Syarikat
(AS) keturunan Israel. Manakala penerbitnya, Nakoula Basseley Nakoula, penganut
Kristian Koptik Mesir, berusia 55 tahun yang menetap di California, AS.
Kedua-dua mereka berkongsi pendirian sangat negatif
terhadap Islam. Sebab itu biar pun bantahan dan kekecohan meletus di serata
dunia, khususnya di Asia Barat dan Asia Tenggara ekoran penayangan sedutan
filem itu di internet sejak dua bulan lalu, kedua-dua mereka tidak menampakkan
kekesalan atau rasa bersalah atas apa yang mereka telah lakukan itu.
Dikatakan filem itu antara lain memaparkan perwatakan
Nabi Muhammad saw dalam keadaan menghina dan menjijikkan. Kononnya Baginda saw
seorang yang gila, kaki perempuan dan anak luar nikah. Ia juga banyak
memberikan gambaran salah terhadap Islam, khususnya seolah-olah agama ini
membenarkan pembunuhan anak-anak perempuan dan orang tua.
Treler filem itu berdurasi 14 minit mula ditayangkan
menerusi Youtube pada 2 Julai lalu. Ia mencetuskan perasaan tidak senang di
kalangan umat Islam serat dunia. Mereka merasa terhina dan tercabar oleh
persendaan sebegitu jijik terhadap Rasulullah saw, sekaligus terhadap agama
Islam juga.
Sasaran utama dalam protes ini tentu sekali pihak AS,
negara bermastautinnya pihak bertanggungjawab terhadap pembikinan filem
tersebut. Kedutaan AS di negara-negara umat Islam menjadi lokasi utama protes
umat Islam.
Duta Amerika Syarikat ke Libya, Christopher Stevens
menjadi mangsa pertama selepas konsulat negara itu di Benghazi diserang
penunjuk perasaan. Beliau dan tiga pegawainya dilaporkan terbunuh.
Pergaduhan turut meletus dekat kedutaan Barat di Tunisia,
Yaman dan Sudan. Kedutaan Britain dan Jerman di Khartoum dilaporkan turut
menjadi mangsa protes. Sebuah restoran makanan segera dibakar di Lubnan dan
pengaman PBB diserang di Sinai, Mesir.
Dilaporkan juga sekurang-kurangnya empat penunjuk perasaan
terbunuh dan puluhan lagi cedera di Asia Barat dan Asia Tenggara, dua rantau
utama menzahirkan bantahan terhadap penayangan filem tersebut. Sehingg Sabtu
lalu, bantahan umat Islam telah meletus di sekurang-kurangnya 20 negara,
termasuk negara kita.
Dalam reaksi pelbagai pihak antarabangsa, mereka
menyifatkan filem itu sengaja dihasilkan dengan niat jahat terhadap Islam.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),
Navi Pillay dalam kenyataannya menganggap filem Innocence of Muslims menunjukkan gambaran serong mengenai orang
Islam. Katanya, “saya faham sepenuhnya mengapa ramai yang mahu memprotes dan
melakukan bantahan secara aman”.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon juga mengecam filem
itu. Baginya, ia sengaja dirakam untuk meningkatkan kebencian dan membawa
pertumpahan darah.
Jurucakap Rumah Putih, Jay Carney dalam reaksinya juga
tidak melihat bantahan dunia Islam itu sebagai anti negaranya (AS), tetapi
lebih sebagai protes terhadap filem tersebut. “Apa yang berlaku disebabkan
filem yang dianggap keterlaluan dan menjijikkan. Saya bukan mahu membenarkan
keganasan, tetapi ia adalah disebabkan filem yang mencetuskan kemarahan orang Islam”,
katanya, sebagaimana dipetik akhbar, pada Ahad.
Isu ini segera mengingatkan kita kepada kes penghinaan
serupa yang berlaku tujuh tahun lalu. Ia bermula dengan tindakan akhbar
Denmark, Jyllands Posten (baca: Juland Post), menyiarkan lukisan Baginda
saw pada 30 September 2005.
Akhbar itu menyiarkan 12
karikatur memaparkan seorang lelaki dalam keadaan menghinakan. Berdasarkan
beberapa petanda dan petunjuk, lelaki itu difahami dimaksudkan kepada Nabi
Muhammad saw.
Antara karikatur itu memaparkan
lelaki berkenaan memakai serban berbentuk bom. Ia dipercayai sengaja dilukis
sedemikian bagi menggambarkan Islam sebagai agama yang berfikir atas paksi
keganasan.
Ekoran penyiaran karikatur itu,
umat Islam seluruh dunia bangkit membantah. Universiti Al-Azhar paling awal
mengemukakan bantahan kepada PBB dan agensi hak asasi manusia berhubung isu
itu. Duta 11 negara Islam mendahului yang lain menghantar surat bantahan kepada
Perdana Menteri Denmark, Anders Fogh Rasmussen dan menuntut akhbar berkenaan memohon
maaf.
Beberapa negara Islam turut memanggil pulang duta mereka
dari Denmark. Sebilangan negara lagi memboikot produk keluaran negara itu. Ada
juga yang membatalkan kontrak perdagangan dengan Denmark.
Namun, akhbar terbabit terus berdegil tidak mahu memohon
maaf. Ia bertegas atas kebebasan media. Beberapa media lain di sekitar Eropah
dan Asia turut mengulangsiar karikatur sama dalam ulasan mereka, kononnya atas
semangat setiakawan dan mempertahankan kebebasan akhbar.
Hanya selepas empat bulan berselang, Ketua Pengarang Jyllands Posten memohon maaf menerusi
sepucuk surat keada agensi berita Petra
di Jordan.
Penyiaran dan penyebaran bahan-bahan yang bukan sahaja
provokatif, malah insultif dan deviatif terhadap Islam tidak pernah berhenti. Dunia
bukan Islam, khususnya di Barat nampaknya tidak pernah mengambil pengajaran
daripada episod-episod seumpama itu. Malah, seolah-olah bantahan dan
pemboikotan oleh umat Islam dalam isu Jyllands
Posten itu tidak memberikan kesan kepada sikap negatif mereka terhadap
Islam.
Sebab itu kita dapat lihat sikap angkuh serupa
ditunjukkan pihak-pihak bertangungjawab membikin filem Innocence of Muslims ini. Penerbitnya secara terbuka mengakui tidak
pernah menyesal menghasilkannya. Media memetik katanya, “tidak, saya tidak menyesal.
Saya sedih dengan pembunuhan duta (AS ke Libya), tetapi saya tidak menyesal
menghasilkannya (filem itu)”, kata Nakoula.
Turut membantu membukitkan keangkuhan itu ialah
keengganan syarikat enjin pencari internet, Google, memadamkan video filem tersebut
dari lamannya. Sehingga artikel ini ditulis, Google selaku pemilik laman
perkongsian video Youtube, menegaskan pendiriannya untuk tidak berbuat
demikian, walau pun ia mendapat bantahan umat Islam dan mencetuskan protes di
kebanyakan negara di rantau Arab. Kononnya penayangan video itu tidak melanggar
polisi dan garis panduan Youtube.
Itulah modal dan senjata paling ampuh khalayak Barat
mempertahankan apa-apa tindakan penghinaan terhadap Islam. Mereka akan berpijak
di atas premis kebebasan – bebas bersuara, berkarya dan bermedia. Seolah-olah bagi
mereka kebebasan itu bererti sesiapa saja boleh melakukan perkara sesuka hati,
termasuk sehingga menyakiti perasaan orang lain sekali pun.
Bagi kita, penghasilan filem itu satu bentuk provokasi
yang sengaja dirancang pihak tertentu untuk mengeruhkan hubungan umat Islam dan
masyarakat bukan Islam, khususnya di Barat. Di atas perkiraan itu sahaja pun,
umat Islam sudah sepatutnya jangan terlalu selesa atau terpengaruh dengan
laungan perjuangan kebebasan yang tidak bersandar akhlak, moral dan etika.
(Artikel ini adalah versi lebih panjang (sebelum potong) kepada versi disiarkan akhbar Harakah Bil: 1777, 5-7 Zulkaedah 1433/21-23
September 2012 di halaman 'N4 EDITORIAL' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment