Oleh: Mat Zain Mat Isa
PENYAKIT lama Umno nampaknya sudah datang semula. Setiap
kali sambutan masyarakat terhadap PAS dan parti-parti pembangkang menampakkan
peningkatan, para pemimpin dan pendukung Umno bagaikan ‘cacing kepanasan’. Lalu
ia akan berusaha sedaya mungkin untuk merosakkan perkembangan positif itu.
Selalunya, dalam keadaan tertekan apabila isu demi isu
yang melanda negara gagal memaut ‘mood’ masyarakat untuk terus menyokong
Barisan Nasional (BN), para pendukung parti itu akan sanggup melakukan apa
sahaja bagi ‘memperbetulkan’ keadaan itu.
Salah satu pendekatan yang sering diambil para penjuak
dan propagandis parti itu ialah dengan melakukan tindakan sabotaj atau
provokasi. Di antaranya dengan sengaja mewujudkan suasana yang boleh memberi
tekanan atau desakan terhadap parti lawan.
Lalu, dalam mencapai matlamat itu, Umno kerap mengenepikan
soal pertimbangan akhlak dan rasionaliti. Bahkan, kerap juga mereka sampai sanggup
mempersenda ajaran agama Islam yang sama-sama mereka anuti.
Itulah yang dapat disimpulkan tatkala menilai latahan
sebilangan mereka, terutama ekoran isu pelaksanaan hukum Hudud, yang kembali
diperbahaskan baru-baru ini. Secara zahirnya Umno kelihatan sangat letih dengan
isu ini.
Dari satu sudut, Umno sangat tidak berminat dengan
pelaksanaan hukum Islam itu. Dasar kebangsaan sekular dianutinya menjadikan
perjuangan parti itu tidak konsisten dengan sebarang agenda yang benar-benar
mengajak rakyat menghayati hukum dan peraturan Islam.
Malangnya, dari sudut lain, Umno juga tidak mahu dinilai
sebagai menolak pelaksanaan Islam, termasuk Hudud. Lebih-lebih lagi dalam
konteks Terengganu, satu-satunya negeri yang diperintah Barisan Nasional (BN),
tetapi telah terwarta Hudud sebagai sebahagian undang-undang negeri.
Maka, untuk Umno mempertikaikan pelaksanaannya dibimbangi
akan lebih memburukkan imejnya. Dalam keadaan itu, mahu tidak mahu, Umno
terpaksa berpura-pura mempamerkan sikap dan pendirian kononnya ia juga mahukan Hudud
dilaksanakan.
Sebagaimana dimaklumi, juara menjulang hasrat
mendaulatkan hukum Islam di negara ini ialah PAS. Maka, apabila kedengaran
bantahan berterusan segelintir pemimpin bukan Islam di kalangan parti-parti
rakan PAS di dalam Pakatan Rakyat, ia bagaikan ‘pucuk dicita, ulam mendatang’
buat Umno. Percanggahan pendirian itu dijadikan modal politik adu-domba yang
agak laris.
Apabila para pemimpin dan penyokong PAS bertegas dengan
pendirian meneruskan hasrat mendaulatkan hukum Tuhan sekiranya diberi peluang
memerintah, sama ada negeri atau negara, Umno memainkan peranan jahatnya
menyucuk jarum.
Di tengah-tengah kehangatan pertikaian itulah muncul pemidang
“Kami Rela Mati Syahid Pertahankan Hudud”. Bunyi bait itu sengaja dibuat sedemikian
supaya sepintas lalu orang akan menyangka ia dari para penyokong PAS. Secara
positifnya, orang mungkin menilai pemidang itu sebagai tanda betapa teguhnya
pendirian mereka mempertahankan hukum Tuhan yang sekian lama menjadi agenda
parti itu.
Namun, tidak wajar ditolak juga kemungkinan pemidang itu
bermaksud ‘membakar’ kebencian para pendukung PAS terhadap rakan bukan Islam
dalam Pakatan Rakyat yang mempertikaikan hukum Islam. Boleh jadi ia mahu
kecurigaan itu semakin semakin ‘tajam’ dan merosakkan kesatu-paduan di dalam
pakatan itu.
Jika tidak kerana rekod cemerlang Umno dalam mencetuskan
provokasi dan merencana kerja-kerja sabotaj sedemikian terhadap parti lawan,
kita tentu sukar menerima dakwaan bahawa pemidang tadi besar kemungkinan sebahagian
strategi jahat pendukung parti itu.
Rakyat negara ini, khususnya di Terengganu sudah ada
pengalaman serupa lebih sedekad lalu. Tatkala Umno baru menjadi pembangkang di
negeri itu, mereka serta-merta bertukar menjadi pendesak utama agar PAS segera
melaksanakan agenda Islam. Dalam kata lain, suara Umno lebih lantang mahukan
pelaksanaan Islam di negeri itu.
“Bila lagi nak buat hukum Islam
ni?”, pertanyaan sebegitu bukan perkara pelik di akhir 1999 dan awal 2000 dulu.
Tidak mengejutkan juga, ia bukan dituturkan para pendukung PAS, tetapi oleh
pemimpin dan penyokong Umno.
Kata-kata itu diikuti dengan
tindakan mereka menaikkan sejumlah pemidang serata negeri menyuarakan desakan
sama. “Mana hukum Hudud?”, “Kami mahu PAS segerakan pelaksanaan hukum Islam”,
dan berbagai lagi ungkapan menghiasi birai-birai jalan utama seluruh Terengganu.
Pada zahirnya mereka kelihatan sangat menyambut baik
cita-cita PAS melaksanakan Islam. Namun, sebenarnya perbuatan mereka itu sengaja
mahu mewujudkan perasaan curiga, tidak puas hati dan keliru di kalangan masyarakat.
Mereka cuba mengasak minda rakyat agar mendesak dan memberi tekanan kepada kerajaan
yang baru mengambil alih pemerintahan.
Dalam lain perkataan, Umno sebenarnya bukan mahukan hukum
Islam, tetapi sekadar mempersenda agenda diperjuangkan parti lawannya itu.
Kini, persendaan itu muncul kembali. Ia mengulangi
simptom penyakit parti itu yang terzahir lebih sedekad lalu, ketika mana mereka
diselibungi kekecamukan minda ekoran gagal menerima hakikat kekalahan. Apakah
dengan pameran perangai serupa kini menunjukkan bahawa bahang kekalahan itu
kembali menghantui dan menjolok minda mereka?
Harap-harap perkembangan ini isyarat positif buat PAS,
khususnya di bumi Darul Iman ini. Moga Allah balas persendaan mereka itu.
(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, Bil: 1778, 8-11 Zulkaedah 1433/24-27 September 2012 di ruangan 'F22 KOLUMNIS' dnegan tajuk serupa)
No comments:
Post a Comment