Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim.
SEGALA puji bagi
Allah yang hanya dengan nikmat kurniaan-Nya jua dapat kita langsungkan apa-apa
niat baik yang kita pasangkan. Berbekalkan keyakinan kepada ketentuan-Nya
itulah kami terus berusaha menapak ke depan, kendati pun terpaksa berdepan
pelbagai cabaran yang sebahagiannya agak sukar ditangkis.
Sebagaimana
dimaklumi, majalah Dian – Ihya’ As-Sunnah
Edisi 9 ini menemui para pembaca budiman melewati jadual sepatutnya. Mujurnya,
orientasi isi kandungan majalah kegemaran anda ini tidak diprogramkan untuk
semata-mata menepati kehadiran bulan atau musim tertentu. Ia sebaliknya
bersifat ‘laku sepanjang masa’.
Ilmu-ilmu yang
kami bentangkan di dalam majalah ini alhamdulillah “tidak ada tarikh luputnya”.
Justeru, biar pun berada di bulan Oktober, misalnya, pembacaan anda terhadap
Edisi 1 atau 2 majalah ini (yang terbit di awal tahun) tetap “segar” dan
perbincangannya juga tidak “basi”.
Apa pun, itu bukanlah hujah untuk kami menenangkan perasaan sendiri. Jauh sekali untuk merasa selesa dengan pencapaian kini. Sebaliknya, kelemahan dan kekurangan tetap kami akui.
Untuk itu, bagi
pihak pengurusan Penerbitan Dian Darulnaim Sdn Bhd (PDDSB), khususnya sidang
editorial majalah Dian – Ihya’ As-Sunnah,
saya tidak keberatan menyusun jari sepuluh memohon kemaafan atas sebarang
kesulitan atau ketergangguan yang mungkin timbul ekoran ketergendalaan ini.
Insya Allah,
berkat doa dan dukungan ikhwah-akhawat semua, kami mampu mengumpul kekuatan dan
langkah selanjutnya yang kami atur akan lebih gagah dan yakin. Kami percaya di
sana ada jiwa-jiwa kental yang mahu melihat majalah ini meneruskan langkah,
kendati pun apa halangan menimpa.
Kami percaya anda
juga selaku pembaca setia dan pelanggan majalah Dian – Ihya’ As-Sunnah ini termasuk sebahagian khalayak yang tidak
sudi melihat organ penyebaran ilmu-ilmu Islam yang sahih ini terkandas di
perjalanan.
Untuk itu,
sokongan dan dukungan ikhwah-akhawat amat-amat kami harapkan. Doakan ketabahan
buat kami.
Akhukum fil
Islam,
Mohd Nasir Awang
(Artikel ini adalah catatan untuk ruangan EDITORIAL, majalah Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 9, yang menerjah pasaran bermula 21 September 2012)
No comments:
Post a Comment