Saturday, September 8, 2012

Ya, kami amat rindukan suasana itu...


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Ada banyak sebab atau hujah yang boleh kita kemukakan untuk menepis ejekan sebilangan pihak terhadap kesungguhan PAS menawan semula negeri Terengganu. Walau pun pada asasnya kepimpinan teringgi parti itu sering meletakkan negeri yang pernah diperintahnya itu sebagai salah satu sasaran untuk dimenangi lewat pilihan raya umum akan datang, tidak semua pihak nampaknya menerima baik hasrat itu.

Entah apakah gerangan sebabnya, kedapatan juga segelintir pendukung PAS sendiri yang gemar melontarkan pandangan pesimis. Bagi mereka kekuatan PAS di Terengganu langsung tidak setanding dengan keazaman mengalahkan Barisan Nasional (BN) negeri itu.

Malah, sebilangan khalayak pesimis ini pergi lebih jauh dengan mengandaikan betapa jika pun Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya (baca: Memerintah Malaysia), belum tentu Terengganu dapat dirampas semula oleh PAS.

Dari satu segi pandangan yang terlalu merendah-rendahkan keupayaan parti sendiri sebegini tidak ada bezanya dengan serangan dan saraf dilontarkan musuh. Apalah rasional yang boleh difikirkan untuk memunasabahkan seorang pendukung asyik mengutarakan pandangan pesimis terhadap kekuatan parti dalam keadaan kita sudah jenuh diganyang pagi-petang, siang-malam oleh segenap saluran propaganda dan saraf parti lawan?

Kita tidak hairan jika musuh mengejek kita sebagai “mimpi di siang hari” kerana bercita-cita mengalahkan mereka. Kita juga tidak pelik sekiranya tersebar persepsi kononnya pengalaman pemerintahan sepenggal sebelum ini menjadi bukti PAS tidak pandai mentadbir, justeru rakyat ditakutkan jika diberi kuasa semula kepada PAS, Terengganu akan kembali mundur.

Itu sudah menjadi tabiat musuh dan ia tidak menjadi suatu yang amat mengganggu agenda perjuangan ini. Apatah lagi kita suduh dilabelkan dengan akronim yang jauh lebih teruk, PAS adalah ‘Parti Ajaran Sesat’.

Malah, dalam kenyataan terbarunya (minggu lalu), pemimpin utama BN Terengganu dengan angkuh mengatakan hasrat PAS melaksanakan hukum Islam jika memerintah semula negeri itu hanya ibarat “angan-angan Mat Jenin”.

Kita juga diumpamakan “pungguk rindukan bulan”, dengan konotasi bahawa para pemimpin dan pendukung PAS ini asyik mengharapkan sesuatu yang mustahil atau tidak mungkin berlaku.

Biarkanlah apa yang orang mahu kata, tetapi pada hakikatnya para pendukung PAS, khususnya rakyat Terengganu, ada sebab munasabah untuk “merindui” kepulangan semula sebuah kerajaan yang ditegakkan parti itu di negeri mereka. Beberapa legasi pemerintahan, yang sebahagiannya sudah dilenyapkan pemerintahan BN sekarang, sebenarnya menjadi antara faktor utama menggamit kerinduan itu.

Antaranya, kami rindu melihat paparan papan-papan iklan gergasi di birai jalan dengan wajah wanita-wanita bergaya sopan dan berpakaian menutup aurat. Bukan macam yang ada sekarang, perempuan yang berpakaian tetapi “bertelanjang”. Sangat tidak beradab dengan hukum agama. Paparannya juga tidak sepadan dengan jolokan Terengganu sebagai “Negeri Keimanan” (Darul Iman).

Kerajaan PAS menerusi pihak-pihak berkuasa tempatannya sempat menggubal syarat pemaparan iklan agar bertepatan dengan hukum syarak. Malangnya, Umno/BN yang mendakwa menjunjung hukum agama telah mengenepikan penguatkuasaannya. Demi Allah, kami rindu mengembalikan suasana Islamik itu.

Kami juga rindu melihat Jumaat dihayati di peringkat kepimpinan dan rakyat sebagai hari ilmu, selain Sabtu sebagai hari keluarga. Semaraknya majlis-majlis ilmu di pusat-pusat pengajian serata negeri tentu lebih manis dan bermakna apabila itu turut melibatkan penyertaan aktif pendukung utama kerajaan negeri sendiri.

Tatkala melewati pasar malam, kami teringat kembali suasana penuh beradab dan sunyi dari hingar-bingar, biar pun buat hanya seketika, tatkala masuk waktu Maghrib. Para peniaga dan pengunjung pasar malam didisiplinkan agar menghormati waktu solat, sebelum menyambung semula aktiviti selepas itu. Kami telah buktikan, ianya bukan payah sangat pun kalau betul-betul nak dilaksanakannya.

Saban tahun tatkala datang Ramadhan, kami rindui himpunan malam di kawasan terbuka di Pantai Batu Buruk, pinggir Kuala Terengganu. Di situlah kami mengajak rakyat sama-sama rukuk dan sujud (bertarawih), disertai tazkirah para ilmuan Islam.

Akuilah hakikat ini kawan, bahawa tempat yang biasanya dimeriahkan parti lawan dengan pementasan konsert hiburan dan pesta kebudayaan itu, kami telah berjaya hiasinya dengan cara diredhai Allah. Kini, kami bukan sahaja mahu menghidupkan kembali tradisi yang telah dimatikan parti lawan ini, malah akan memikirkan tempat-tempat lain serata negeri, paling tidak satu tempat seumpamanya bagi satu daerah.

Kami juga rindu melihat puluhan ribu rakyat berbondong-bondong memenuhi stadium dan padang, dalam program rasmi anjuran kerajaan. Ia bukan lagi untuk meneriakkan semangat kesukanan semata-mata, tetapi untuk menggumam zikir dan selawat, menadah telinga mendengar bait-bait mulia tazkirah dan nasihat agama. Demi Allah, kami amat cemburu melihat teman-teman di negeri jiran, Kelantan dapat menghayati suasana itu.

Hanya sebahagian itu sempat kami sebutkan. Amat malang, kesemua suasana indah penuh keredhaan Allah di atas telah dilenyapkan oleh parti munafik yang memerintah kini. Maka, apakah salah kami merindui suasana-suasana itu?

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, Bil: 1774, 10-13 September 2012 di ruangan F22 "KOLUMNIS" dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment