BADIUZZAMAN Said Nursi (1877-1960) bukanlah nama asing
bagi umat Islam seluruh dunia. Lebih-lebih lagi bagi khalayak yang
berpengetahuan atau mengambil berat perkembangan usaha dakwah Islamiah, nama
tokoh ulama Turki itu tentunya termasuk dalam senarai pejuang Islam terbilang
sepanjang zaman.
Beliau merupakan salah seorang pemikir paling berpengaruh
di era moden dan pemimpin usaha dakwah Islam yang benar-benar diuji dengan berbagai
penderitaan di sepanjang jalan dakwahnya. Kekuatan daya ingatannya, terutama di
dalam mempelajari ilmu-ilmu Islam amat luar biasa dan menakjubkan. Disebabkan
hal itu beliau diberi gelaran ‘Badiuzzaman’, bermaksud ‘Keajaiban Zaman’.
Dunia Islam ketika itu dilanda kemerosotan nilai dan perkembangan
yang amat mengecewakan. Di era di mana tidak ramai yang meletakkan harapan
tinggi terhadap masa depan untuk Islam, Nursi bangkit dan melaungkan: “Jangan
putus harapan! Suara paling kuat dan paling lantang dalam kebangkitan dan
perubahan akan datang ialah suara Islam”.
Beliau telah menanggapi perkembangan semasa dengan sangat
tepat, di samping turut sama melibatkan diri secara amat aktif dengan usaha
memperbetulkan perjalanan hidup masyarakat, terutama agar bertepatan dengan apa
yang digariskan oleh al-Quran.
Sejarah perjuangannya meninggikan kalimah Allah,
khususnya di bumi Turki, diwarnai segala macam penyeksaan berterusan oleh rejim
pemerintah yang sekular ‘PEKAT’ itu. Said Nursi bahkan terpaksa menghabiskan
puluhan tahun hayatnya dalam penjara atau dibuang daerah. Beliau malah cuba
dibunuh berbelas kali termasuk diracun, tetapi cubaan-cubaan itu semuanya gagal,
menerusi kejadian amat menakjubkan.
Nursi tetap berdiri gagah dan gigih menjulang usaha
menyampaikan hidayah ke seluruh alam. Berbekalkan keistimewaan dimilikinya
dalam menguasai ilmu-ilmu dari al-Quran, Nursi dianggap masih berjaya mencapai
hasratnya itu, di sebalik segala kekangan dan rintangan dihadapinya.
Beliau melihat serangan terhadap Islam dilontarkan
golongan penganut ideologi atheisme, materialisme dan komunisme tidak dapat
dihadapi dengan usaha bersendirian. Perkara paling penting buat umat Islam
ialah membentuk jamaah yang berpegang teguh kepada ajaran al-Quran.
Diakui bahawa sumbangan terbesar beliau yang dianggap
sebagai magnum opus ialah kitab 5000
halaman Risala-e Nur, yang merupakan
tafsir kontemporari terhadap ayat-ayat suci al-Quran. Di samping itu, usaha
keras dan berterusan beliau sehingga mampu membentuk komuniti contoh yang
berpegang teguh kepada ajaran-ajaran al-Quran juga memberikan impak besar
terhadap kelangsungan suara dan penghayatan Islam dalam masyarakat dunia,
khususnya di negara sekular Turki.
Buku ini memaparkan ringkasan perjalanan hidupnya yang
dipenuhi ranjau berduri, tetapi meninggalkan kesan amat signifikan terhadap
dunia Islam. - EDITOR
INFO BUKU:
Judul: Bediuzzaman Said Nursi “Wonder of the Age”
Penulis: Ramazan Balci
Penerbit: Tughra Books, New Jersey, AS.
Tahun diterbitkan: 2011
(Artikel ini merupakan ulasan buku yang disiarkan majalah DIAN - Ihya' As-Sunnah, Edisi 9 (September/Oktober 2012) di ruangan RAK BUKU DIAN dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment