Friday, September 21, 2012

Al-Laith bin Saad Al-Fahmayyu

Ulama salaf yang dermawan

DALAM beberapa makalah mengisahkan kehidupan para ulama salaf sebelum ini, kebanyakan tokoh disorot adalah dari kalangan yang sangat zuhud terhadap kemewahan dunia. Bahkan, itulah yang menjadi gambaran agak sinonim apabila membicarakan perihal gaya hidup para ulama di zaman awal Islam. Sebilangan mereka malah menunjukkan sikap sangat tegas dalam menolak perhiasan dunia.

Namun, sifat itu tidak semestinya berpunca daripada keadaan mereka yang miskin harta. Terdapat sebaliknya di kalangan mereka sebilangan yang memang tergolong dalam khalayak hartawan. Cuma harta kekayaan itu tidak meleka atau menjadikan mereka hanyut dengan kemewahan dunia. Tokoh ulama disorot kali ini, Al-Laith bin Saad, adalah salah seorang di antara khalayak ini.

Abu Nuaim menggambarkan beliau sebagai “seorang ulama salaf yang dermawan”. Katanya lagi mengenai Al-Laith, “ilmunya banyak dan hartanya juga melimpah, dia banyak mengetahui hukum-hukum Islam dan sangat dermawan.”

Al-Laith termasuk pimpinan tabie tabien. Beliau hidup sezaman dengan sebilangan ulama tersohor, antaranya Malik, Sufyan dan Al-Auzaie.

Keturunannya
Nama penuh beliau ialah Laith bin Saad bin Abdirrahman al-Fahmayyu Abu Al-Harith Al-Mashri, hamba kepada Abdurrahman bin Khalid bin Musafir. Ada juga yang mengatakan bahawa Al-Laith adalah hamba dari Bani Tsabit bin Zhain, datuk kepada Abdurrahman bin Khalid bin Musafir.

Keluarga Al-Laith dikatakan berasal dari Parsi, iaitu dari keluarga Ashbahan. Menurut pendapat yang masyhur bahawa Al-Laith berasal dari Bani Fahmi, yang berasal dari Bani Qais bin Ailan.

Kelahirannya
Al-Laith dilahirkan di Qarqasyandah, sebuah desa yang terletak sekitar kira-kira 32km dari ibukota Mesir, Kaherah.

Terdapat perbezaan pendapat berhubung tahun kelahirannya. Sebahagian orang mengatakan dia dilahirkan pada 73H, manakala sebahagian lain mendakwa dia lahir pada 74H. Bagi Said bin Abi Maryam, pendapat kedua adalah yang benar. Beliau bersandarkan kepada kata-kata Yahya, “aku mendengar Al-Laith berkata, “aku dilahirkan pada bulan Syaaban, pada tahun keempat (maksudnya 74H)”.”

Hartawan yang dermawan
Sebagaimana disebutkan di awalnmakalah ini, Al-Laith adalah salah seorang ulama slaaf yang hartawan. Gambaran kekayaannya terserlah pada pakaian dan kenderaannya, sepertimana pernah disebutkan Amr bin Muhammad Al-Hairi.

Katanya, “aku mendengar Muhammad bin Muawiyah berkata, sedang Sulaiman bin Harb berada di sampingnya, “pada suatu hari Al-Laith bin Saad keluar. Orang ramai lalu menghitung nilai baju yang dipakainya, binatang yang dijadikan kenderaan dan cincin yang dipakainya. Mereka mentaksirkan kesemua itu bernilai antara lapan belas ribu hingga dua puluh ribu dirham”.”

Bagaimana pun, harta kekayaan dimilikinya itu tidak sedikit pun menjadikannya sombong atau kedekut. Sebaliknya, Al-Laith turut dikenali sebagai seorang yang sangat murah hati dan gemar membantu orang lain. Qutaibah menggambarkan sifatnya itu, “Al-Laith telah menunaikan solat di berbagai masjid, dan pada setiap harinya dia bersedekah kepada tiga ratus orang miskin.”

Seorang sahabatnya, Abdullah bin Saleh, pula berkata, “aku telah bersama Al-Laith selama 20 tahun, dia tidak akan makan baik siang atau malam, sehingga dia mengundang orang-orang untuk diajak makan bersamanya.”

Pernah diriwayatkan juga bagaimana Imam Malik menulis sepucuk surat kepada Al-Laith memintanya memberi beberapa ekor burung pipit yang dipeliharanya. Ia adalah untuk dibawa oleh Imam Malik sebagai buah tangan tatkala berkunjung ke rumah anak perempuannya.

Permintaan itu tidak sukar dipenuhinya. Al-Laith malah mengirimkan sebanyak 30 ekor burung pipit kepada Imam Malik. Sebahagian burung itu disembelih dan dijadikan lauk-pauk oleh Imam Malik untuk dibawa ke rumah anak perempuannya itu, manakala sebahagian lagi dijual dengan harga 500 dinar.

Pada kesempatan lain Qutaibah berkata, seorang perempuan datang kepada Al-Laith dan berkata, “wahai Abu Al-Harithah, anakku sedang sakit dan menginginkan makan madu.” Lalu al-Laith berkata kepada pembantunya, “berikan kepada perempuan itu satu Murth madu.”

Satu Murth adalah bersamaan 120 Rithl, iaitu timbangan yang menyamai 407.5 gram mengikut apa yang digunakan di Iraq ketika itu.

Keilmuannya dipercayai
Selain terkenal dengan sifat kedermawanan itu, keilmuan Al-Laith juga menjadi sanjungan umum, termasuk para ulama sezamannya.

Dalam hal itu Abu Al-Walid Abdul Malik bin Yahya bin Bakir pernah berkata, “aku mendengar ayah pernah berkata, “aku tidak melihat ada orang yang lebih sempurna dari Al-Laith bin Saad. Setiap gerakan dari tubuhnya merupakan pengalaman dari ilmu fiqh yang dimilikinya, mulutnya fasih berbahasa Arab, pandai membaca Al-Quran, menguasai ilmu Nahwu, banyak menghafal syair dan hadith, ingatannya bagus dan masih banyak lagi kebaikan yang dimilikinya.”

Al-Fadhl bin Ziyad berkata, Ahmad telah berkata, “Al-Laith adalah ulama yang banyak menguasai berbagai ilmu dan hadithnya sahih”. Ahmad bin Saad Az-Zuhri pula mendengar Ahmad bin Hanbal berkata, “riwayat dari Al-Laith dapat dipercayai dan sahih”.

Muhammad bin Said juga berkata, “Al-Laith mempunyai riwayat yang dapat dipercayai. Beliau banyak menghafal hadith dan hadith-hadithnya sahih. Dia sibuk memberikan fatwa kepada penduduk Mesir di zamannya, di samping dia juga seorang yang dermawan, mulia dan sangat menghormati tamu”.

Abdullah bin Ahmad bin Hanbal pula berkata, “aku mendengar ayah berkata, orang yang paling benar dalam meriwayatkan hadith dari Said bin Al-Maqburi adalah Al-Laith bin Saad. Dia meriwayatkan langsung dari Abu Hurairah dan/atau meriwayatkan dari ayahnya dari Abu Hurairah.”

Ali bin Al-Madini dan Al-Ajla turut berkongsi pendapat bahawa “riwayat (hadith) dari Al-Laith bin Saad boleh dipercayai”.

Manakala Ibnu Wahab pula mendedahkan rahsia bagaimana Al-Laith menjadi rujukan Imam Malik dalam penulisannya. Kata Ibnu Wahab, “setiap tulisan yang ada di dalam kitab Malik yang berbunyi, “dan menceritakan kepadaku seorang yang telah aku redhai dari kalangan ahlul ilmi...”, orang dimaksudnya adalah Al-Laith bin Saad.”

Menolak jawatan
Adz-Dzahabi pernah menyifatkan Al-Laith sebagai ulama besar di Mesir yang mempunyai ilmu fiqh yang mendalam dan ahli hadith. Beliau bahkan meletakkan Al-Laith bagaikan penguasa di negara Mesir. Katanya, “keberadaan Al-Laith sangat membanggakan penduduk Mesir. Dan jika ada pergantian raja, mengangkat seorang qadhi, atau mengangkat pegawai tinggi kerajaan yang lain, maka Al-Laith yang menentukannya.”

Menurut Abu Bakir, Al-Laith sendiri pernah memberitahunya, “Abu Jaafar berkata kepadaku, “mahukah kamu menggantikan ku sebagai penguasa di Mesir? Aku menjawab, “tidak wahai Amirul Mukminin, aku lebih lemah dari jawatan itu dan aku berasal dari golongan hamba.” Kemudian Abu Jaafar berkata, “kamu bukan lemah, tapi niat kamu yang lemah dalam menjalankan roda pemerintahan untuk menggantikanku.”

Yahya bin Bakir pula meriwayatkan bahawa Al-Manshur pernah berkata kepada Al-Laith, “mahukah kamu menggantikan ku sebagai penguasa Mesir?” Tawaran itu ditolak oleh Al-Laith. Kemudian Al-Manshur berkata lagi, “jika kamu menolak tawaran itu, maka tunjukkan seseorang yang mampu menggantikanku sebagai penguasa Mesir.”

Lalu Al-Laith mencadangkan Uthman bin Al-Hakam Al-Jadzami, seorang yang mempunyai keluarga besar. Yahya  bin Bakir berkata, “kemudian Uthman bin Al-Hakam menjadi raja sebagai pengganti Al-Manshur, sedangkan Al-Laith berjanji kepada Allah untuk tidak memberitahu tentang dirinya kepada siapa pun.”

Al-Manshur juga pernah ingin menjadikan Al-Laith sebagai seorang penguasa di suatu daerah, namun Al-Laith menolaknya.

Guru dan muridnya
Beliau sempat berguru kepada berpuluh ulama besar. Antaranya Nafi’, Ibnu Abi Mulaikah, Yazid bin Abi Habib, Yahya bin Said Al-Anshari, saudaranya Abdurrabbah bin Said, Ibnu Ajlan, Az-Zuhri, Hisyam bin Urwah, Atha’ bin Abi Rabah, Said al-Muqabari, Hakim bin Ubaidillah bin Qais, Al-Hassan bin Tsauban, Uqail dan Khair bin Nuaim.

Manakala senarai anak-anak muridnya yang muncul sebagai ulama terbilang adalah jauh lebih panjang.
                
Kematiannya ditangisi
Yahya bin Bakir dan Said bin Abi Maryam berkata, “Al-Laith meninggal pada pertengahan bulan Syaaban pada tahun 175 H.” Yahya berkata, “Al-Laith meninggal pada hari Jumaat dan Musa bin Isa ikut menyalatinya.”

Khalid bin Abdussalam Ash-Shadafi pula berkata, “Aku telah menyaksikan jenazah Al-Laith bin Saad dengan ayahku. Aku tidak pernah melihat ada jenazah yang lebih mulia dari jenazah Al-Laith, aku melihat semua orang bersedih, mereka menangis, hingga aku berkata, “wahai ayahku, setiap orang merasa memiliki jenazah itu.” Ayahku berkata, “wahai anakku, kamu tidak akan melihat jenazah seperti dia.” – Mohd Nasir Awang

Rujukan: Syaikh Ahmad Farid, 60 Biografi Ulama Salaf, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta Timur, Indonesia, 2009.

(Artikel ini disiarkan majalah DIAN - Ihya' As-Sunnah, Edisi 9 (September/Oktober 2012)  di ruangan "ULAMA PEWARIS NABI" dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment