Oleh: Mat Zain Mat Isa
“Tidak semua manusia di atas bumi ini ada bakat memimpin, tetapi dia (Tuan Guru Abdul Hadi) ada bakat itu. Jadi kerana apa dia nak berhenti? Saya tak setuju... lebih-lebih lagi kepimpinan Islam seperti dia,” kata Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Penegasan itu adalah reaksi beliau terhadap laporan media mengenai kesediaan Presiden PAS itu untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti. Kenyataan Tuan Guru Abdul Hadi itu sebagai menjawab pertanyaan wartawan sebuah tabloid harian dalam sesi temubual di Rusila, Jumaat, 27 Januari.
Soalan asal wartawan tersebut berbunyi, “jadi Dato’ Seri akan bertanding semulalah (dalam pilihan raya umum nanti)?”
Pertanyaan itu disambut ketawa kecil oleh Tuan Guru. Beliau menyambung, “saya terpulang kepada parti, sama ada (peringkat) atas atau pun daripada bawah. Dan memang saya terlalu lama jadi wakil rakyat. Saya hitung-hitung, kalau Dun (Ahli Dewan Undangan Negeri), 30 tahun, (sejak) tahun (19)82. (Ahli) Parlimen sudah belas-belas tahun, sudah lama.”
“Dengan sebab itu saya memberi tawaran, sama ada yang pertama saya tak bertanding semua (Dun dan Parlimen), saya boleh bergerak di seluruh negara (menjayakan gerakerja parti). Yang kedua, bertanding satu saja, itu harapan saya,” ujar beliau.
Laporan akhbar berkenaan keesokannya yang memetik kenyataan itu bagaimana pun telah menimbulkan sedikit salah faham, terutama di kalangan ahli dan pendukung PAS sendiri. Gambaran terbentuk sepintas lalu seolah-olah petikan itu sebahagian kenyataan media dibuat khas oleh Presiden PAS itu.
Penulis sendiri menerima beberapa panggilan telefon daripada rakan dan kenalan, terutama dari luar Terengganu, yang menuntut faham keadaan sebenar. Rata-rata mereka beranggapan seolah-olah sudah berlaku sesuatu yang tidak enak di dalam PAS sehingga menyebabkan, kata mereka, “secara tiba-tiba Tuan Guru mengumumkan hasrat mengundurkan diri” itu.
Namun, setelah diperjelaskan bahawa kenyataan itu hanyalah ulasan Tuan Guru sebagai menjawab soalan diajukan wartawan, tanggapan tadi segera tertepis. Apatah lagi apabila ia disusuli kenyataan dan reaksi beberapa pemimpin utama PAS, yang majoritinya memberikan sokongan padu kepada Dato’ Seri Presiden.
“Hasrat itu bukanlah keputusan muktamad. Beliau (Abdul Hadi) bersedia (tidak bertanding), belum tentu kita (PAS Terengganu) juga bersedia (menerima pengundurannya). Kita menghormati beliau, kepimpinan, karisma dan kesemuanya,” Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut mengulas.
“Kita memerlukan beliau untuk bersuara di peringkat Parlimen, kerana sudah banyak jasanya dalam PAS dan pengalaman dalam parti yang mungkin sukar dicari pada pemimpin lain,” itu pula reaksi Ketua Penerangan PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tidak sedikit juga bual bicara yang menjurus kepada kesimpulan bahawa khalayak umum pendukung PAS sebenarnya masih belum bersedia untuk meneruskan perjuangan ini tanpa Tuan Guru bersama. Laman-laman sembang di alam siber malah disarati komen berbentuk rayuan dan harapan agar pengunduran beliau tidak menjadi kenyataan.
“Khidmat dan sumbangan ilmu pengetahuan Tuan Guru sangat diperlukan. Kami akan merasa suatu kehilangan yang besar kiranya Tuan Guru mengundur diri pada waktu ini. Lebih-lebih lagi perjuangan PAS di Sarawak masih memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dari Tuan Guru,” baca surat terbuka dari PAS negeri itu, sepertimana disiarkan laman Harakahdaily.
Penulis melihat episod ini secara tidak sengaja telah menyentap sedikit kelenaan pendukung parti ini daripada bercakap soal kepimpinan berwibawa. Apatah lagi dalam keadaan perubahan pucuk kepimpinan PAS Terengganu yang kelihatan dikuasai khalayak bukan berpendidikan agama.
Sedangkan menurut hasil kaji selidik lima badan bebas, rakyat Terengganu (responden) masih meletakkan perkara agama sebagai salah satu keperluan mereka daripada parti pemerintah. Di masa sama majoriti mereka juga mengakui bahawa PAS lebih mampu menjaga agama berbanding Umno.
Mengambilkira hakikat itu, sudah tentu tahap keperluan kepada bimbingan dan tunjuk ajar daripada para ulama, terutama Tuan Guru Abdul Hadi sendiri, masih menggunung di kalangan rakyat Terengganu. Maka, mengundurkan diri bukan pilihan tepat baginya buat masa ini.
“(Saya) minta kepada Allah supaya dia sihat dan terus memimpin (PAS dan rakyat)... saya tak setuju dengan keputusan dia nak berhenti,” tegas Nik Abdul Aziz lagi.
Pengakuan pelbagai pihak terhadap kewibawaan beliau, lebih-lebih lagi penegasan oleh Mursyidul Am PAS itu, membuktikan betapa khidmat dan kepimpinan Tuan Guru Abdul Hadi masih diperlukan. Ia sekaligus menyangkal dakwaan pihak tertentu sebelum ini kononnya kepimpinan beliau sudah tidak relevan dan PAS perlu menukar pemimpin lain sebagai Presidennya.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1714, 6 Februari 2012 di ruangan 'KOLUMNIS' F22 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment