Wednesday, February 1, 2012

Al-Hasan al-Basri – sering menangis takutkan dosa

Oleh: MOHD NASIR AWANG 

DI ANTARA faktor yang membuahkan keberkatan hidup bagi seseorang ialah apabila dia benar-benar beramal dengan ilmunya, serta mendahulukan dirinya dalam berbuat sesuatu yang disampaikannya kepada orang lain.

Itulah antara sifat terpuji yang dimiliki oleh para sahabat Nabi saw, para tabien, tabie tabien dan khalayak yang mengikuti jejak hidup mereka hingga ke hari kiamat. Salah seorang yang dikenalpasti benar-benar beramal dengan segala kata-katanya ialah Al-Hasan Al-Basri.

Khalid bin Shafwan, yang tinggal berjiran dengan Al-Hasan, pernah mengakui ketulusan peribadinya itu dengan katanya, “aku adalah tetangganya (Al-Hasan) yang dekat, orang-orang yang menghadiri pengajiannya sangat ramai. Antara perkataan dan perbuatannya tidak ada bezanya dan dia selalu mengamalkan apa yang dinasihatkannya. Jika dia memerintahkan kepada masyarakat untuk melakukan kegiatan amal, maka dia adalah orang yang pertama melakukannya. Jika dia melarang mereka tentang sesuatu, pasti dia adalah orang yang pertama meninggalkannya. Aku melihat dia orang yang tidak banyak bergantung kepada orang lain, walau pun ramai orang yang memerlukan dirinya.”

Nama penuhnya ialah Abu Said Al-Hasan bin Abi Al-Hasan Yasar al-Basri. Menurut riwayat yang masyhur, beliau dilahirkan dua tahun sebelum Khalifah Umar bin al-Khattab ra dibunuh. Ertinya, beliau bukan di kalangan sahabat Rasulullah saw, bahkan tidak sempat dengan zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar as-Siddiq ra.

Bagaimana pun, Al-Hasan diriwayatkan sempat berguru dengan beberapa sahabat. Antara yang terbilang ialah Saidina Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidillah, Saidatina Aisyah, Ar-Rabi’ bin Zaid, Ubay bin Kaab, Saad bin Ubadah, Abu Hurairah dan ramai lagi. Bahkan, sebilangan sahabat Nabi saw sempat menjadi sahabat Al-Hasan.

Di antara sahabat-sahabatnya yang masyhur termasuklah al-Mughirah bin Syu’bah, Abdurrahman bin Samurah, An- Nu’man bin Basyir, Anas bin Malik, Abu Hurairah, Ibnu Abbas dan beberapa yang lain.

Keilmuan dan Ketrampilannya
Ketinggian ilmunya menjadi sanjungan khalayak ilmuan, bukan sahaja di kalangan generasi selepasnya, bahkan di kalangan yang sezamannya. Bahkan, dari beberap sudut, Al-Hasan disifatkan menyerupai para sahabat Rasulullah saw.

Itulah apa yang pernah diungkapkan oleh Abu Burdah. Katanya, “aku belum pernah melihat seorang pun yang menyerupai para sahabat Rasulullah saw kecuali dia (Al-Hasan).”

Humaid bin Hilal pula berkata, “Abu Qatadah pernah berkata kepada kami, “patuhilah (ikutilah ajaran) orang tua ini (Al-Hasan), kerana aku belum pernah melihat seorang pun yang menyerupai pendapat Umar bin al-Khattab kecuali dia.”

Dia juga diakui sangat kuat daya ingatan tentang ilmu dipelajarinya. Diriwayatkan sekali peristiwa Anas bin Malik ditanya orang mengenai suatu permasalahan. Dia (Anas) lantas berkata, “seeloknya kamu bertanyalah kepada Al-Hasan. Sesungguhnya kami telah mendengar (pengajian ilmu) dan dia juga mendengarnya bersama kami, akan tetapi dia masih tetap hafal sedangkan kami sudah lupa.”

Dalam riwayat lain, Anas bin Malik dipetik sebagai berkata, “bertanyalah kepada Al-Hasan, kerana dia orang yang kuat hafalannya, sedang kami terkadang lupa.”

Penguasaan ilmunya yang luas dalam pelbagai bidang juga meletakkannya di tahap mengatasi sebilangan tabien lain. Berkata Az-Zabi, “dia (Al-Hasan) adalah seorang yang banyak kebaikannya (kepada umat) dan baik pula tabiatnya. Dia adalah pelopor di bidang hadith, balaghah, al-Quran dan tafsirnya serta cabang-cabang ilmu yang lain. Dia juga imam bagi para mujtahid, banyak membaca, pandai memberikan nasihat dan peringatan, mampu menahan amarah dan ahli ibadah, zuhud dan jujur serta berkeberanian.”

Dari Muhammad bin Saad pula, dia berkata, “Al-Hasan adalah orang yang suka melakukan solat berjamaah, banyak ilmu pengetahuan, terhormat, ahli fiqh, dapat dipercayai, pandai berdebat, ahli ibadah, berperawakan sempurna, fasih berbicara dan tampan mempesona.”

Al-Asy’ats turut memuji kealiman Al-Hasan dengan katanya, “aku belum pernah bertemu dengan seseorang (alim) setelah Al-Hasan, kecuali kecil dalam pandanganku (dari segi ilmu pengetahuannya).”

Justeru, tidak hairanlah apabila Ayyub melontarkan perbezaan ketara antara butir ucapan Al-Hasan berbanding generasi kemudian. Katanya, “apabila Al-Hasan mengucapkan suatu perkataan, ia seumpama butiran mutiara. Sebaliknya, perkataan yang keluar dari kaum sesudahnya ibarat muntahan orang sakit.”

Disebabkan ketinggian ilmunya Al-Hasan dijadikan tempat rujuk sebagai pemutus letak duduk sesuatu amalan yang dipertikaikan. Contohnya, berhubung membacakan ayat-ayat al-Quran untuk jenazah.

Diriwayatkan Hajjaj bin Arthah pernah bertanya kepada Atha’ tentang amalan itu. Atha’ berkata, “aku belum pernah diajari dan belum pernah mendengar bahawa Baginda saw pernah membacakan al-Quran kepada jenazah.”

Lalu Hajjaj menjawab, “sesungguhnya Al-Hasan pernah berkata, “Baginda saw membacakannya”.”  Mendengarkan penjelasan itu, Atha terus menyambung, “kamu hendaklah mengambil pendapat itu, kerana dialah (Al-Hasan) imam yang besar dan berhak untuk diikuti.”

Mengkhususkan Pengajiannya
Sebagaimana telah diakui oleh jirannya, Khalid bin Shafwan, Al-Hasan membuka kelas pengajian sendiri di rumahnya. Beliau bagaimana pun mengkhususkan pengajian itu untuk membahas ilmu berkisar ibadah, kezuhudan dan ilmu-ilmu kebatinan sufi. Sehinggakan jika pun ada di antara para jemaah yang hadir menanyakan kepadanya tentang sesuatu di luar daripada tema tersebut, Al-Hasan akan menutupnya dengan berkata, “kita membuat kelompok ini bersama dengan saudara-saudara kita di sini hanya untuk saling mengingatkan.”

Berbeza halnya dengan pengajiannya di masjid. Di situ Al-Hasan banyak membicarakan tentang hadith, fiqh, ilmu-ilmu al-Quran, bahasa dan beberapa cabang ilmu lainnya. Bahkan, sekiranya ada hadirin bertanyakan tentang tema sufi dan yang lain, pasti dia mahu menjawabnya.

Zuhud dan Takutkan Allah
Abu Nu’aim pernah menyifatkan Al-Hasan sebagai seorang “ahli fiqh yang zuhud, tekun beribadah dan dermawan, sangat menjauhi gemerlapan dunia dengan segala keindahannya serta menjauhi syahwat dan menghalaunya jauh-jauh hingga tidak kembali.”

Bahkan Al-Hasan sendiri diriwayatkan pernah berkata, “seorang mukmin (sejati) adalah yang mengetahui apa yang difirmankan Allah dengan sebenar-benarnya, yang berusaha untuk melakukan perbuatan yang baik dan selalu takut kepadaNya. Jika dia menyedekahkan hartanya walau pun seberat gunung, dia akan tetap merahsiakannya, dia tidak mampu merasa sebagai orang yang baik dan soleh kecuali hanya akan menambah kejauhannya dengan Allah, dan dia akan berkata (kepada dirinya sendiri), “aku tidak mungkin selamat dari seksa Allah”.”

Menghindari Harta
Dari Hisyam bin Hisan, dia berkata, “aku pernah mendengar Al-Hasan berkata atas nama Allah, “tidak ada seorang pun yang mengagungkan harta kecuali Allah akan memperhinakannya”.”

Hazm bin Abi Hazm pula berkata, beliau pernah mendengar Al-Hasan berkata, “berhati-hatilah dari dua teman; dinar dan dirham. Kedua-duanya tidak akan memberikan manfaat apa pun kepadamu hingga kamu meninggalkannya.”

Bersedih dan Takutkan Dosa
Abu Nu’aim pernah memuji sifat mulia dimiliki Al-Hasan. Katanya, “di antara para tabien itu ada yang menjadikan takut dan rasa sedih sebagai teman, berkawan dengan kesusahan dan kehidupan yang sukar serta tidur yang sedikit. Dialah Abu Said Al-Hasan bin Abi Al-Hasan.”

Komen serupa turut disuarakan Ibrahim bin Isa Al-Yasykari. Katanya, “aku belum pernah melihat seorang pun yang lebih lama (mampu merasakan) sedih daripada Al-Hasan, aku melihatnya sebagai orang yang menjadi perbualan umum kerana musibah yang menimpanya.”

Bahkan kesedihan Al-Hasan bukan semata-mata kerana kesusahan hidupnya. Beliau malah sering menitiskan air mata tatkala membaca al-Quran, sehingga diriwayatkan air matanya membasahi janggutnya.

Dari Hisyam bin Al-Hasan, dia berkata, “sesungguhnya dia adalah seorang mukmin yang selalu sedih pada waktu pagi dan petang hari, dia mudah merasa sedih kerana Allah.”

Tabiat itu tidak sukar difahami, memandangkan Al-Hasan sangat takut terjerumus kepada dosa, walau pun dia seorang yang dikenali alim terbilang. Untuk itu beliau pernah menegaskan, “sesungguhnya seorang mukmin akan bersedih pada waktu pagi dan petang hari, dan tidak ada yang selain itu, kerana seorang mukmin itu berada di antara dua ketakutan (kekhuatiran); antara dosa yang telah lalu; dia tidak tahu apa yang akan dilakukan Allah terhadap dosa-dosa itu dengan umur yang masih tersisa dan dia juga tidak tahu apa yang akan menimpanya nanti.”

Di ketika lain dia berkata, “wahai anak Adam, menjauhi kesalahan dan dosa itu lebih mudah bagi kamu daripada bertaubat. Kerana tidak ada yang menjamin bahawa ketika kamu banyak berdosa, pintu taubat tidak akan ditutup.”

Meninggal
Az-Zahabi berkata, “dia (Al-Hasan) meninggal dunia pada awal Rejab tahun 110 Hijriyah. Terlalu ramai anggota masyarakat datang menziarahi jenazahnya dan melakukan solat jenazah seusai solat Jumaat di Basrah. Menurut anaknya, Abdullah bin Al-Hasan, “ayah meninggal pada usia 88 tahun.” MOHD NASIR AWANG

Rujukan: 60 Biografi Ulama Salaf oleh Syaikh Ahmad Farid, hlmn. 114-125. Pustaka al-Kautsar, Jakarta, 2009.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah Edisi 2 (Februari 2012) di ruangan ULAMA PEWARIS NABI dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment