Wednesday, February 1, 2012

Allah masih sayangkan saya – Iwan Syahman

Oleh: MOHD NASIR AWANG
Foto: UMAR AZ-ZUHDI NASIR

JELAS tergambar ketulusan hatinya menerusi butir bicaranya. Kesediaannya berterus-terang mengenai sisi kelam hidupnya, yang diistilahkannya sendiri sebagai “jauh” dari jalan agama, menzahirkan keikhlasannya untuk berubah. Manakala kesungguhannya menebus kesilapan silam dengan melakukan kerja-kerja dakwah Islam menjadi bukti kekesalannya yang amat sangat terhadap keterlanjuran hidupnya sebelum ini.

Beliau malah tidak silu untuk memohon maaf secara terbuka dengan khalayak umum, khususnya kelompok peminat tegarnya yang dibimbanginya mungkin pernah terlalai oleh aktiviti hiburan dipersembahkannya selama ini.

“Di Malaysia, di Indonesia, Singapura dan Brunei, empat penjuru (negara) ini saya rasa berjutalah peminat-peminat saya, saya dah bawa mereka mungkin di antaranya ada yang terlalai (kerana lagu-lagu saya). Jadi saya ambil kesempatan ini, saya mohon maaflah daripada semua peminat dan juga saya minta ampun kepada Allah SWT. Sebab sebenarnya pada waktu itu saya memang tak faham. Saya (hanya tahu) nak seronok, saya nyanyi saya dapat duit, memang seronok (waktu itu)....”, ujarnya.

Itulah pengakuan jujur berbaur penyesalan oleh Wan Syahman bin M. Yunus. Dulu beliau lebih dikenali sebagai Iwan Dangdut, kerana peranannya menjulang genre muzik itu. Kini beliau lebih senang dipanggil Iwan Syahman.

Sejak usia mudanya anak kelahiran Sumatera, Indonesia, pada tahun 1961 ini memang suka merantau. Hampir separuh dunia pernah dikunjunginya untuk menimba pengalaman hidup mengikut runtutan jiwa mudanya yang inginkan kehidupan bebas. Bahkan, beliau pernah tinggal beberapa ketika di Jerman dan Jepun, sebelum datang ke Singapura pada 1980.

Pada 1984 Iwan datang ke Malaysia, juga atas kegemaran merantau sambil mencari kehidupan. Beliau memilih untuk menetap di Seremban. Katanya, secara kebetulan ramai sanak-saudara sebelah emaknya dari Sumatera tinggal di daerah itu.

“Masa tu saya masih muda, belum tahu nak jadi artis ke apa. Tapi di situlah mula berjinak-jinak dengan dunia muzik. Kebetulan saya memang suka bergaul dengan orang, bermain gitar dengan anak-anak muda sambil menyanyi, selalu datang rumah dia orang, makan malam, makan tengahari, ramai lah jadi mak angkat saya”, Iwan membelek kenangan silamnya.

Di situlah beliau mula terlibat secara lebih aktif dengan dunia muzik. Bermula sebagai penyanyi di pub dan kelab malam, beliau kemudiannya menubuhkan kumpulan muzik.

“Selepas dua tahun (di Seremban), pindah ke Kuala Lumpur. Kita main group band pulak, dan yang terakhir group saya tu “The Artstream”. Saya pemain gitar bass, timba pengalaman selama tiga tahun, sambil tu menyanyi juga. Kemudian dari situ saya belajar recording (rakaman). Selepas itu barulah saya pergi ke album, buat sendiri”, ujarnya.

Album pertamanya berjudul ‘Fantasia Musim Cinta’ terbit pada 1993 dan mendapat sambutan peminat. Iwan seterusnya menghasilkan tiga lagi album genre pop dan kesemuanya mendapat sambutan membanggakannya. Bahkan, ada lagunya pernah menjuarai carta lagu popular sebilangan stesen radio negara ini, termasuk menerusi rancangan Pujaan 10 Nescafe.

Dari genre pop, beliau kemudiannya beralih ke irama dangdut. Iwan dianggap mencapai zaman kemuncak popularitinya di situ, terutama menerusi lagu-lagu duetnya bersama beberapa penyanyi wanita, termasuk seorang artis dari India. Lagu-lagu irama dangdutnya menjadi kegemaran ramai hingga kini.

“Dalam keadaan semua kejayaan ada pada diri saya ini, kemewahan pun ada, saya terlupa ada satu kekosongan. Kejayaan yang dekat itu rupanya mengakibatkan saya tak sedar saya sebenarnya “jauh” daripada Yang Maha Pencipta semua (kejayaan) ini. Apa yang ada pada diri saya membuatkan saya lupa. Saya jadi “jauh” dan tak faham agama,” Iwan mengimbau detik berputiknya keinsafan pada dirinya.

Ditanya apakah ada suatu peristiwa khusus yang boleh dianggap sebagai pencetus kesedaran atau titik perubahan pada dirinya ketika itu, Iwan secara jujur menyebut dua kejadian penting.

“Sebenarnya memang banyak orang berubah dengan adanya asbab, tapi asbab bagi saya yang boleh dikongsi (ialah) ada kawan sendiri ketika dia ‘overdose’ di kelab malam, mati dia. Dan banyak lagi lah (kejadian) yang lain, yang mengakibatkan tanda (amaran) ini menjadikan kita takut. Datang takut tu,” ceritanya bersungguh.

Iwan bagaimana pun menganggap perasaan takut itu anugerah dari Allah SWT. Kerananya tiba-tiba dia berfikir dan bertanya diri sendiri berbagai soalan. Antaranya, Iwan mengimbas kembali kenapa dalam kejayaan yang dinikmati ketika itu ada kehancuran kepada dirinya.

“Sebabnya dalam kemewahan itu, nampaknya (zahir) senang tapi yang sebenarnya perceraian demi perceraian berlaku ke atas kita, sebab kita tak faham agama, isteri kita pun tak faham agama. Kita tak dekat dengan Allah, maka dua kali bercerai. Mula-mula (isteri pertama) orang Kelantan, 8 tahun (kahwin, dapat) anak tiga. Isteri kedua dari Terengganu, tak ada anak, cerai juga lepas 8 tahun,” Iwan memperincikan kegagalan rumahtangganya.

“Selepas itulah Allah bagi satu fikir pada saya, saya fikir kenapa sebenarnya hidup saya ini macam ini? Bagi saya, tanda-tanda yang Allah bagi, menerusi ketakutan demi ketakutan yang kita alami, menyebabkan saya terfikir bahawasanya saya perlu berubah.

“Alhamdulillah lah, Allah Ta’ala ni, Dia sangat (dan) masih sayangkan saya. Sehingga kalau kita tengok bukti-buktinya, pada saya lah kan, tak ada lagi sebenarnya cubaan yang berat-berat. Tuah bagi saya, kalau menurut dari hidup saya ini yang sudah terlalu “jauh” (dari agama) ini kan, sepatutnya dah teruk dah (kena ujian Allah), tapi Dia masih beri saya sempurna lagi kan?”, ujar Iwan dalam nada amat positif terhadap rahmat Tuhannya.

Beliau malah membandingkan apa yang dialaminya dengan sebilangan orang lain yang dicuba Allah dengan ujian berat. Contohnya, ada yang berlanggar, patah kaki, sakit hingga tidak boleh bangkit atau dijadikanNya terus papa kedana.

“Tak ada semua itu (ujian berat menimpa saya), tapi dalam keadaan ‘sederhana’ (dari ujian berat) itu, Allah Ta’ala bagi saya terfikir, kalau saya tak ambil (kesempatan untuk berubah) sekarang, bila lagi? Takkan saya nak terus dalam keadaan begini kan? Waktu tu umur saya dah 45, kira 4-5 tahun lalu lah ya,” sambungnya lagi. 

* Kisah penghijrahan Catriona Ross di http://padredeumares.blogspot.com/2012/04/ibu-orang-paling-bangga-dengan-hijrah.html
* Kisah penghijrahan Abby Abadi di http://padredeumares.blogspot.com/2012/08/saya-tak-pernah-rasa-setenang-ni-abby.html

Kini, beliau dengan sepenuh hati meyakini perjalanan hidupnya yang sebegitu sudah diaturkan oleh Allah untuknya. Apatah lagi selepas diberikan hidayah untuk berhijrah dan berubah, Allah menemukannya dengan sebuah jemaah dakwah. Beliau akui, menerusi penglibatannya dalam jemaah tersebut beliau mendapat keyakinan dan petunjuk.

“Alhamdulillah, bila saya masuk jemaah, Allah bagi tunjuk saya, nampak keindahan dan keseronokan untuk beragama. Kita perlukan itu (hidup beragama) sebenarnya. Sedangkan saya zaman remaja sibuk dengan khayalan-khayalan,” katanya.

Komitmennya untuk berubah bertambah kukuh apabila merasakan Allah Ta’ala mentakdirkannya untuk berfikir menebus kesilapan silam. Jika dulu Iwan banyak mengkhayal dan melalaikan orang, sekarang Allah memberinya satu pemikiran agar menyuci dan menebus kembali kesalahan itu.

“Saya bagi contoh lagu-lagu saya, kalau dangdut ni, macamana pun dia orang akan nyanyikan dekat kelab-kelab dangdut yang ada tempat minuman, yang ada perempuan dan juga kalau sedikitnya pun karaoke-karaoke, yang juga ada tempat minuman dan ada perempuan dan lelaki. Jadi mereka selalu pasang lagu saya, seakan-akan saya pula jadi penggalak. Mereka mesti kalau dah nak seronok, ‘aku nak pasang lagu Iwan’. Jadi kita macam ada saham. Ini yang saya takut sebenarnya,” sambung Iwan lagi.

Untuk itu, beliau sekali lagi bersyukur apabila Allah juga memudahkannya untuk membuat lagu-lagu dakwah pula. Baginya, jika dulu lagu-lagunya melalaikan orang (dari mengingati Tuhan), album kini adalah sebaliknya. Lirik-lirik lagunya dibuat semata-mata untuk membesarkan nama Allah SWT, selawat dan memuliakan Nabi Muhammad saw serta berbagai nasihat agama.

“Alhamdulillah, walau pun saya tak ada orang yang ajak (agar berubah), Allah bagi juga taufik kepada saya. (Namun), hakikatnya nampak sahaja orang tak ajak. Mungkin ada doa-doa daripada ahli jemaah, atau pun dari orang tua saya atau pun ahli keluarga saya atau siapa saja, yang mereka ini sebenarnya sudah pun bermujahadah. Mereka berdoa di mana saja, dan saya rasa yang paling kuat (ialah) doa mak saya lah,” Iwan sekali lagi melontarkan sangkaan baik terhadap masyarakat, sekali gus mengakhiri temubual kami.

Iwan kini menetap di Kampung Chubadak, Sentul dan aktif menggerakkan usaha dakwah bersama-sama anggota jemaah disertainya.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian -Ihya As-Sunnah Edisi 2 (Februari 2012) di ruangan KEMBARA IMAN dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment