Friday, February 17, 2012

Dana RM100K suntik semangat jayakan OTB (4+1)

Oleh: Mat Zain Mat Isa


Sekalung tahniah buat PAS Kawasan Besut di atas kejayaan mengumpul dana lebih RM100 ribu menerusi hanya satu majlis jamuan, 11 Februari lalu. Majlis yang berlangsung di satu pusat peranginan berdekatan Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan itu diadakan khusus untuk mengisi Dana Pilihan Raya PAS kawasan berkenaan. Ucaptama dan pelancaran majlis disempurnakan Mursyidul Am PAS, Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tidak syak lagi daya usaha dan kesungguhan para peneraju PAS di kawasan tersebut layak diberikan pujian. Bukan senang mengumpulkan jumlah dana sebesar itu bagi sebuah parti mustadh’afin seperti PAS. Lebih-lebih lagi ianya dicapai hanya oleh sebuah kawasan luar bandar seperti Besut itu dan pula menerusi penganjuran hanya satu majlis.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pencapaian itu hanya julung kali dicatatkan. Dalam ertikata lain, ia belum pernah dicapai oleh kepimpinan PAS kawasan berkenaan, termasuk tatkala ia diterajui sebilangan tokoh disegani masyarakat sejak berdekad sebelum ini.

PAS Kawasan Besut memang dikenali sejak dekad 80-an sebagai salah satu kawasan paling kaya di seluruh negara. Jumlah asetnya ketika itu pun sudah dianggarkan melebihi RM1 juta. Keupayaan para peneraju dan penggerak utama kawasan berkenaan memobilisasi sumbangan fi sabilillah dari kalangan ahli dan pendukung agak terkedepan berbanding kawasan-kawasan lain. Bahkan, pencapaian mereka turut mengatasi apa yang mampu dibuat sebilangan Badan Perhubungan PAS negeri.

Sejak awal 80-an kawasan berkenaan telah memiliki bangunan dua tingkat yang agak besar. Bangunan didirikan di atas tanah diwakafkan salah seorang veteran PAS kawasan tersebut dijadikan sebagai pusat tarbiyah. Di situlah dianjurkan kuliah mingguan, selain siri ceramah dan program-program parti yang lain. Di premis sama juga kemudiannya dibuka sekolah rendah Islam yang ditadbir oleh PAS Kawasan Besut sendiri.

Menuju ke hujung dekad sama, ia berjaya pula mendirikan sebuah bangunan empat tingkat di tengah Bandar Jertih. Pembinaannya ketika itu menjadikannya mercutanda paling tinggi bagi bandar paling utara di Terengganu itu. Bagai dijangkakan, Umno selaku musuh tradisi PAS kemudiannya berusaha keras membina bangunan lebih tinggi, tidak jauh dari Bangunan PAS Besut itu.

Namun, berbeza dengan parti lawan, PAS tidak mendapat sebarang bantuan kewangan daripada kerajaan untuk membiayai programnya. Berapa pun kos pembinaan kedua-dua bangunan itu, ia adalah hasil dana dikumpulkan daripada ahli dan pendukung PAS semata-mata. Keupayaan PAS mengumpul dana sebegitu besar sering dicemburui Umno.

Selain itu, hampir setiap cawangan di seluruh Kawasan Besut memiliki bangunan pentadbiran sendiri. Pada awal 90-an dulu, terdapat sekitar 50 cawangan di kawasan itu. Setiap cawangan ada sekurang-kurangnya sebuah bangunan yang dijadikan markas parti. Ada juga cawangan lebih berkemampuan dan membina bangunan berasingan untuk para pendukung setempat mendirikan solat berjamaah lima waktu.

Kini, jumlah cawangan di Kawasan Besut dikatakan mencecah angka 100. Tidak dapat dipastikan apakah jumlah bangunan milik cawangan-cawangan di kawasan itu turut bertambah sealiran pertambahan jumlah cawangan.

Jika hal itu berlaku, bermakna jumlah aset milik parti di seluruh kawasan berkenaan besar kemungkinan telah meningkat berganda, yakni melebihi RM2 juta.

Namun, nilaian sebesar itu tidak dicapai dalam masa singkat. Ia memakan masa bertahun. Hatta pengumpulan dana untuk menyiapkan bangunan empat tingkat di Bandar Jertih itu pun memakan tempoh lebih lima tahun.

Ertinya, keupayaan kepimpinan PAS Kawasan Besut kini mengisi dana pilihan rayanya sehingga RM100 ribu menerusi penganjuran satu majlis adalah pencapaian yang amat membanggakan. Ia rekod baru bagi kawasan itu, sekali gus dinilai sebagai bukti kesungguhan saf kepimpinan kini merealisasikan Operasi Tawan Besut atau ringkasnya OTB (4+1). Angka 4+1 itu adalah simbolik empat kerusi Dewan Undangan Negeri dan satu kerusi Perlimennya.

Dalam ertikata lain, azam dan tekad mereka ialah untuk mengulangi pencapaian ‘sapu bersih’ di kawasan itu. Lebih-lebih lagi dalam konteks bual bicara mengenai kemungkinan PAS kembali memerintah Terengganu yang semakin membahang kini.

Sejarah telah membuktikan betapa pada kedua-dua kali kejayaan PAS merampas tampuk pemerintahan negeri itu, Besut bukan sekadar menyumbang satu atau dua kerusi. Daerah paling dekat dengan Kelantan itu dimenangi secara sapu bersih oleh PAS. Itulah rekod dicatatkan dalam Piliha Raya Umum 1959, dan diulangi 40 tahun kemudian, tatkala PAS kembali menguasai Terengganu buat kali kedua.

Sebab itu sebarang perkiraan untuk PAS kembali memerintah negeri itu tidak dianggap sempurna sekiranya sifir politik di Besut tidak menampakkan kemampuan parti itu memberikan sumbangan besar, yakni 4+1.

Itulah cabaran digalas saf kepimpinan kawasan tersebut kini. Dalam kehangatan seluruh negeri, bahkan seluruh negara mempertuturkan peri pentingnya Terengganu kembali ke pangkuan PAS dan Pakatan Rakyat, maka sumbangan kerusi dari Besut adalah kemestian.

Semangat para pendukung PAS di Besut nampaknya semakin mencanak. Jika pun belum mencapai tahap optimanya, ia sudah semakin menuju ke arah itu. Dukungan pelbagai peringkat organisasi parti di kawasan itu, sehingga menghasilkan kejayaan mengumpul dana pilihan raya sejumlah RM100 ribu menerusi satu majlis adalah isyarat jelas atas komitmen dan kesungguhan menjayakan OTB (4+1) yang diuar-uarkan kini.

Sekali lagi dikalungkan tahniah buat anak-anak muda peneraju utama PAS Kawasan Besut!

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding artikel disiarkan tabloid Harakah Bil: 1717, 17 Februari 2012  di ruangan KOLUMNIS, F22 dengan tajuk "Dana RM100,000 jayakan Operasi Tawan Besut".)

No comments:

Post a Comment