Oleh: Mohd Nasir Awang
Khalifah Hisyam bin Abdul Malik adalah salah seorang ketua kerajaan Islam di zaman pemerintahan Bani Umayyah. Suatu ketika Hisyam berangkat ke Mekah untuk menunaikan haji. Tatkala sampai ke situ, perkara pertama dimintanya ialah: “Bawalah kepadaku seorang sahabat Nabi (saw), kalau masih ada, aku hendak berjumpa dengan dia.”
Tidak sepertimana kebiasaan bagi pembesar-pembesar negara, pada kesempatan berada di perhimpunan yang dihadiri manusia dari segenap pelusuk benua itu, Hisyam tidak meminta untuk berjumpa dengan saudagar-saudagar atau pun jutawan ternama dan orang-orang yang mempunyai kekayaan duniawi. Sebaliknya, beliau memilih untuk bertemu para alim-ulama.
Maka diberitahulah kepadanya bahawa sahabat Nabi saw sudah tidak ada lagi, kesemua mereka sudah wafat. Lalu Hisyam mengarahkan mereka menjemput mana-mana tabien (generasi selepas sahabat Nabi saw). Lalu mereka pun menjemput seorang tabien bernama Thawus bin Kaisan al-Yamani. Beliau merupakan seorang alim yang sangat taat dan tegas dalam mengamalkan suruhan dan larangan agama, berbekalkan ilmunya yang sangat tinggi.
Sebagai menghormati Amirul Mukminin yang datang hanya sekali-sekala ke Mekah, Thawus memenuhi undangan tersebut. Bagaimana pun, tanpa disangka oleh sesiapa yang hadir, peribadi agung itu rupa-rupanya mengambil kesempatan di atas peluang terhidang di hadapannya untuk mengajarkan khalifah mengenai adab pergaulan sebenar menurut Islam.
Untuk itu, apabila Thawus masuk ke majlis sembah mengadap Hisyam, beliau terus membuka kasut seraya memberi salam dengan ucapan, “assalamualaika ya Hisyam”. Perbuatannya itu menyebabkan semua hadirin, termasuk Hisyam sendiri, terkejut dan kehairanan.
Membuka kasut dalam majlis-majlis besar seperti itu (majlis ketua negara) adalah satu penghinaan dalam pandangan mereka. Begitu juga apabila sekadar menyebut nama pembesar, tanpa mengiringi sebutan itu dengan gelaran-gelaran bersesuaian. Tetapi itulah yang dibuat oleh Thawus dan diperhatikan oleh Hisyam dengan perasaan amat terganggu.
Kemudian, Thawus terus duduk berdekatan khalifah seraya bertanya, “apa khabar Hisyam?” Pertanyaan itu benar-benar mengusik kesabaran sang khalifah. Kemarahannya memuncak sehingga menyebabkan beliau berhasrat mengeluarkan pedangnya untuk membunuh Thawus.
Melihatkan keadaan itu, para pembesar di sekelilingnya segera mengingatkan Hisyam bahawa mereka sedang berada di Haramillah wa Haramirrasul (Tanah Haram Mekah). Perbuatan berbunuhan sememangnya diharamkan di kawasan suci lagi mulia itu.
Bagaikan tidak dapat membendung perasaan tidak selesanya, Hisyam lantas bertanyakan Thawus mengenai perlakuannya itu. “Ya Thawus, apakah yang menyebabkan kamu berkelakuan sebegini?”
Thawus bertanya balas: “Apa yang aku buat?”
Pertanyaan itu membuatkan hati Hisyam bertambah hangat. Baginya, Thawus sengaja mempersenda-senda dan memalukannya. Lebih-lebih lagi perkara itu berlaku di hadapan khalayak pembesar dan tetamu negara.
Bagaimana pun teringatkan beliau sedang berada di Tanah Haram, Hisyam memendamkan perasaan marahnya. Beliau sebaliknya menjelaskan satu-persatu kebukuan hatinya terhadap perlakuan Thawus.
“Tadi kamu masuk ke majlis dengan membuka kasut, kamu memberi salam kepada aku tanpa menyebut Amirul Mukminin, kamu sebut Hisyam sahaja. Kemudian kamu terus duduk depan aku tanpa terlebih dahulu meminta izin, dan kamu bertanya aku, ‘apa khabar Hisyam?’, sekali lagi tanpa menyebut gelaranku (Amirul Mukminin)”, Hisyam menghuraikan.
Thawus hanya tersenyum mendengar luahan sang khalifah itu. Beliau lantas menjelaskan: “Ada pun aku buka kasut di hadapan majlis engkau kerana aku juga membuka kasut di hadapan Tuhanku sekurang-kurangnya lima kali sehari (untuk solat) dan Dia tidak menghukum aku. Mengapa pula di hadapan engkau tidak boleh?”
Jawaban itu bagaikan memaku perhatian Hisyam. Melihatkan keadaan itu, Thawus meneruskan syarahannya. “Ada pun aku memberi salam tanpa menyebut Amirul Mukminin, kerana aku tahu bukan semua orang suka kepada pemerintahan engkau. Jadi aku tidak mahu berdusta di hadapan engkau,” ujarnya berterus-terang.
“Mengapa aku tidak sebut gelaran engkau? Sebab Allah SWT memanggil para nabi dan auliya’-Nya dengan nama-nama mereka, bukan dengan gelaran. Dipanggilnya “Ya Daud”, “Ya Yahya”, “Ya Isa”. Begitulah Allah Ta’ala memanggil nabi-nabi-Nya yang lain dengan nama-nama mereka. Sebaliknya Allah Ta’ala memanggil musuh-musuh-Nya dengan gelaran-gelaran mereka, sepertimana dalam kes Abu Lahab. Jadi, apakah engkau ini musuh Allah, sehingga aku perlu panggil dengan gelaran engkau?”
Penjelasan itu makin menyesakkan dada Hisyam. Lalu Thawus menyambung lagi, “sebab aku terus duduk di hadapan engkau tanpa meminta izin ialah kerana Saidina Ali pernah berkata, ‘kalau kamu hendak melihat ahli neraka, kamu lihatlah seorang yang duduk sedangkan dia meminta orang lain berdiri mengiringinya’. Dialah ahli neraka. Sebab itu aku datang terus duduk, aku tidak mahu berdiri kerana aku mahu menyelamatkan engkau”.
Hisyam amat terpukul dengan huraian itu. Beliau yang tadinya marah bertukar menjadi hiba dan insaf akan kejahilannya berhubung ajaran agama. Hatinya yang keras serta-merta menjadi lembut, lantas tanpa silu beliau berkata kepada Thawus: “Nasihatkanlah aku lagi”. - Editor
Rujukan: Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor, Aqidah dan Perjuangan, hlmn. 70-73. Pustaka Sinaran, Kuala Terengganu, 1992.
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah Edisi 2 (Februari 2012) di ruangan SECEBIS KISAH dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment