RASULULLAH saw pernah bersabda: “Tidak seorang pun yang mempunyai jasa baik kepada kami melainkan kami telah membalasnya, kecuali Abu Bakar. Sesungguhnya dia mempunyai jasa mulia, Allah yang akan membalasnya di hari kiamat. Aku tidak mengambil manfaat dari harta seseorang seperti aku mengambil manfaat dari harta Abu Bakar. Seandainya aku boleh mengangkat seorang kekasih nescaya aku menjadikan Abu Bakar sebagai kekasih.”
Hadith ini dianggap perisytiharan secara terbuka oleh Nabi Muhammad saw mengenai ketinggian darjat dan martabat Saidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Bahkan, kedudukannya sebagai insan paling mulia dan dihormati selepas Rasulullah saw turut diakui oleh sekalian para sahabat ra ajmain.
Pada dirinya tersemat pelbagai keistimewaan dan keunggulan yang tidak dimiliki mana-mana individu lain. Dialah sahabat terbaik dan insan paling rapat dengan Muhammad saw. Mereka berdua malah telah menjadi teman karib sejak sebelum Baginda diangkat menjadi Nabi dan Rasul.
Abu Bakar mengetahui kejujuran, amanah, kebaikan tabiat dan kemuliaan akhlak Nabi. Dia tahu Baginda tidak akan bercakap dusta. Sebab itu, setiap kali Rasulullah menyampaikan sesuatu, yang walau pun dipertikaikan pihak lain, hati Abu Bakar pasti akan berkata “aku belum pernah mengetahui engkau berdusta”.
Dialah orang yang tidak pernah teragak-agak membenarkan Nabi pada saat orang mendustakan Baginda. Keyakinan yang tinggi dan tidak berbelah bahagi itu melayakkannya mendapat gelaran ‘As-Siddiq’.
Dia menjadi penolong setia Nabi di saat orang ramai membenci Baginda. Dia mengisytiharkan keimanan di kala masyarakat engkar dan kufur. Bahkan, dialah pemilik tangan pertama yang dihulurkan kepada Rasulullah untuk mengikrarkan syahadah dan berikat setia.
Hatinya bersih, jiwanya pengasih dan tingkahnya pemalu, walau pun tegas. Dia juga dijaga oleh Allah Ta’ala sehingga bersih dari noda-noda jahiliyyah. Bayangkan betapa hebat takdir Ilahi untuknya apabila dia tidak pernah sujud kepada berhala di sepanjang hidupnya, walau pun sekali.
Abu Bakar juga tidak pernah meminum arak, walau seteguk. Sedangkan di zaman itu arak menjadi minuman biasa yang dipuja masyarakat jahiliyyah. Pendekata, dia adalah teladan terbaik dalam segala sudut.
Ibnu Ishak rahimahullah berkata, “Abu Bakar adalah seorang lelaki yang disukai dan dicintai oleh kaumnya. Dia adalah orang Quraisy yang paling tahu tentang nasib Quraisy, orang Quraisy yang paling mengenal Quraisy dan paling mengenal kebaikan dan keburukan yang ada pada Quraisy. Para bangsawan Quraisy menyukainya kerana ilmu dan perniagaannya serta kepandaiannya dalam bergaul.”
Nama sebenarnya ialah Abdullah bin Uthman bin Amar bin Kaab bin Saad bin Taim bin Murrah bin Kaab bin Luay al-Qurasyi at-Taimi. Beliau lebih dikenali sebagai Abu Bakar as-Siddiq bin Abi Quhafah. Beliau dilahirkan di Mina. Nasabnya bertemu dengan nasab Nabi saw pada Murrah bin Kaab.
Selain keperibadiannya yang luhur dan agung, Abu Bakar turut dianugerahkan Allah dengan daya pemikiran yang di luar jangkauan sahabat-sahabat yang lain. Dia berkeupayaan menelah atau membaca sesuatu secara lebih jauh daripada apa yang difahami orang lain.
Beberapa kes atau kejadian di zamannya mengesahkan keistimewaan pada dirinya itu. Antara contohnya ialah kejadian turunnya ayat al-Quran yang mengiktiraf kesempurnaan Islam sebagai dinullah.
Di tahun ke 10 Hijrah, Nabi saw menunaikan ibadah haji. Ketika berada di Arafah Baginda menerima wahyu: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu dan telah Aku cukupkan nikmatKu bagimu dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu...” (Al-Maaidah 5:3)
Sekalian para sahabat amat gembira mendengar ayat itu dibacakan oleh Rasulullah. Mereka menganggap ia suatu pengiktirafan yang sangat berharga dari Allah Ta’ala terhadap agama yang mereka perjuangkan. Mereka amat berpuas hati dan merasakan betapa jerih-pahit dan segala penghinaan yang mereka terima daripada musuh-musuh Islam sepanjang mempertahankan akidah mereka sebelum itu bagaikan terbayar.
Sementara para sahabat tersenyum puas dan amat lega dengan turunnya ayat tersebut, lain pula reaksi ditunjukkan Abu Bakar. Beliau menilai maksud ayat itu dari sudut yang sama sekali berbeza berbanding sahabat-sahabat yang lain.
Apatah lagi sebelum peristiwa itu, di ketika mengerjakan haji itu juga, Baginda telah pun bersabda: “Ambillah manasik haji kamu dariku, mungkin setelah tahun ini aku tidak bertemu kamu lagi.”
Abu Bakar sudah dapat mencium suatu isyarat tidak menyenangkan daripada sabda Baginda itu dan firman Allah tadi. Kecurigaannya tambah menggunung apabila di dalam khutbah selepas itu, Baginda menyebut pula: “Sesungguhnya Allah meminta seorang hamba untuk memilih antara dunia dengan apa yang ada di sisiNya, lalu hamba tersebut memilih apa yang ada di sisi Allah”.
Abu Said al-Khudri meriwayatkan, “tatkala mendengar penjelasan Rasulullah saw itu, Abu Bakar menangis, dan kami kehairanan dengan tangisannya semata-mata kerana Nabi saw menyampaikan tentang seorang hamba yang diminta untuk memilih. Rupa-rupanya yang diminta untuk memilih itu ialah Rasulullah saw sendiri, dan orang yang paling mengerti maksud tersirat itu di antara kami ialah Abu Bakar”.
Begitulah tingginya firasat dan tajamnya telahan Abu Bakar. Baginya semua itu tanda-tanda bahawa tugas Rasulullah saw sudah sampai ke penghujung. Beliau telah menunaikan amanah dan menyempurnakan misi kenabiannya.
Apabila agama yang diserukannya telah disempurnakan Allah dan nikmat-nikmatNya telah dicukupkan untuk umat Islam, maka apakah lagi tugas yang perlu disempurnakan oleh Baginda? Seorang yang berpandangan jauh seperti Abu Bakar mampu menelah bahawa itu bererti tanggungjawab Nabi Muhammad saw sudah selesai. Ia sekaligus menandakan Baginda bakal dijemput pulang oleh Yang Maha Pencipta dalam masa terdekat itu.
Kejadian kedua ialah apabila Rasulullah saw wafat. Kebetulan ketika itu Abu Bakar tiada di sisi Baginda kerana berada di as-Sunh, sebuah tempat di pinggiran Madinah. Lalu dalam keadaan terkejut dan amat sedih, Umar al-Khattab bangkit memberikan ucapan kepada hadirin.
Beliau berkata, “demi Allah Rasulullah saw tidak wafat. Demi Allah tidak ada sesuatu yang bersemayam dalam jiwaku selain itu. Allah pasti akan membangkitkan beliau.”
Umar malah dikatakan mengugut akan membunuh sesiapa yang berani mengatakan Rasulullah saw sudah wafat.
Aisyah ra meriwayatkan: “Kemudian datanglah Abu Bakar. Dia membuka kain kafan Rasulullah saw dan mencium Baginda. Abu Bakar berkata, ‘ayahku sebagai tebusan untukmu, betapa mulianya dirimu dalam keadaan hidup dan mati. Demi Zat yang jiwaku berada di tanganNya, Allah tidak akan pernah menimpakan dua kematian kepadamu selama-lamanya’.”
Lalu Abu Bakar keluar mendapatkan orang ramai seraya berkata: “Wahai orang yang bersumpah (dimaksudkannya kepada Umar), tunggu sebentar.” Lalu Umar dan sahabat-sahabat lain memberi perhatian kepada Abu Bakar.
Ketika itulah Abu Bakar menyampaikan ucapannya yang masyhur: “Ketahuilah barangsiapa menyembah Muhammad, maka Muhammad telah wafat. Tetapi barangsiapa menyembah Allah, maka Allah Maha Hidup, tidak mati. Allah telah berfirman: “Sesungguhnya kamu pasti mati dan sesungguhnya mereka juga pasti mati.” (az-Zumar 39:30).
Dia menyambung dengan membacakan firman Allah: “Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (A-li Imran 3:144)
Ucapan Abu Bakar itu dianggap mengesahkan kewafatan Nabi saw. Diriwayatkan tatkala mendengar pengumuman beliau itu, orangramai yang hadir menangis tersengguk-sengguk.
Umar yang tadinya sangat tegas dan keras bagaikan tersentak mendengar Abu Bakar membacakan ayat-ayat tersebut. Kakinya tiba-tiba kaku dan tidak berupaya menahan tubuhnya daripada terjelupuk ke tanah. Umar seakan baru sedar isyarat dari Allah Ta’ala menerusi ayat tersebut, sedangkan sebelum ini dia sudah pernah mendengarnya dibaca orang, bahkan dia sendiri pernah membacanya.
Ibnu Abbas menggambarkan suasana ketika itu dalam katanya, “demi Allah, seolah-olah manusia belum mengetahui bahawa Allah telah menurunkan ayat ini hingga Abu Bakar membacakannya, lalu manusia semuanya menerimanya. Tiada seorang pun manusia yang aku dengar membacanya kecuali dia.”
Demikianlah sebahagian sifat terpuji dan kelebihan istimewa dimiliki insan paling mulia selepas para anbiya’ dan mursalin ini. Dalam siri akan datang insya Allah akan disambung bicara lanjut mengenai peribadi agung ini. – Mohd Nasir Awang
Rujukan: Sahabat-Sahabat Rasulullah saw (bab Abu Bakar as-Siddiq) karangan Syaikh Mahmud al-Mishri, Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta, 2010.
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah Edisi 2 (Februari 2012) di ruangan KENALI SAHABAT RASULULLAH dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment