Thursday, September 1, 2011

Sambutan Idulfitri makin hambar?


Oleh: Mohd Nasir Awang

Syawal bakal menjelma lagi. Bulan dinanti-nantikan umat Islam seluruh dunia itu sinonim dengan suasana perayaan. Kedatangannya disambut gembira sebagai menandakan tamatnya tempoh mujahadah hamba-hamba Allah yang taat.

Selama sebulan sepanjang Ramadhan al-Mubarak keimanan mereka diuji. Menghalang diri daripada melakukan beberapa perkara ditegah, termasuk terpaksa menahan nafsu makan-minum dan runtunan syahwat bukan lah perkara mudah. Ia menuntut kesabaran dan ketabahan amat tinggi.

Justeru, setiap diri yang berupaya mengharungi ujian keimanan itu dianggap berjaya. Di sisi agama, merekalah golongan yang paling berhak bergembira dan merayakan kemenangan itu.

Sebab itu Islam mensyariatkan kemunculan 1 Syawal disambut sebagai perayaan besar. Umat Islam dikehendaki menzahirkan kegembiraan, antaranya dengan berpakaian baru (atau yang paling baru di antara yang dimiliki) dan menjamu selera. Bahkan haram bagi sesiapa pun untuk berpuasa pada hari berkenaan, walau serajin mana pun dia mengamalkan ibadat itu.

“Selain makan-minum, bersuka-ria itu, Islam juga ajar kita cara tersendiri sambut kemenangan ini, iaitu dengan memperbanyakkan bertakbir dan mengucap syukur. Sama lah macamana Allah Ta’ala sifatkan kemenangan Islam menakluki Kota Mekah, yang disebut di dalam al-Quran ‘fasabbih bi hamdi rabbika wastakbir’ – maka bertasbihlah kamu dengan memuji Tuhan kamu dan membesarkanNya. Ini cara sambut raya, sambut kemenangan yang Islam ajar,” ulas Ustaz Mohd Ruden Mohd Yusof.

Pegawai Dakwah Halaqat Daerah Pasir Puteh, Kelantan, ini bagaimana pun agak kesal melihatkan cara umat Islam kini merayakan lebaran. Beliau berkongsi pandangan banyak pihak betapa kaedah dan pengisian sambutan Idulfitri zaman sekarang sudah semakin tersasar daripada konsep asal dianjurkan agama.

Beliau melihat keterpesongan itu bermula daripada cara persiapan hari raya dibuat. Antaranya, wujud unsur pembaziran apabila persediaan dibuat secara melebihi keperluan.

“Sudah tidak ada sikap bersederhana yang dituntut agama. Semuanya dah semakin jadi melebih-lebih, termasuk dalam membuat persediaan raya dan mengisi aktiviti hari raya itu sendiri,” katanya.

Beliau menyebut contoh bagaimana ada yang mengambil kesempatan kedatangan Idulfitri untuk mengadakan serba-serbi baru di dalam rumah. Sehinggakan katanya, bukan setakat langsir dan alas meja, malah kerusi, meja dan almari juga ditukar baru.

“Sebilangan lagi tayar kereta dan aksesori pun tukar baru. Sedangkan yang asal masih berkeadaan baik dan tidak semestinya ditukar. Ertinya, sudah wujud pembaziran dan Islam tidak ajar kita cara itu. Akhirnya sambutan yang sepatutnya menjadi peluang untuk dapat pahala sudah bertukar menjadi medan buat dosa,” tegasnya.

Sikap melebih-lebih itu dilihatnya turut terpamer dalam cara sambutan Idulfitri dipromosikan, terutama oleh pihak berkuasa dan media massa arus perdana.

“Antaranya saya tengok kita terlalu mengutamakan hiburan. Memang hari raya ini kita disuruh berhibur, tidak salah. Tetapi biar lah berpada-pada, ada had dan batasannya. Jangan pula mentang-mentang agama syorkan bergembira dan berhibur, maka kita pun gunakan hujah itu dan jadikan hiburan agenda utama, lalu dipromosikan secara yang terlalu melampau,” terjahnya.

Menurutnya, keghairahan umat Islam berhibur, didorong tindakan pihak penguasa media elektronik merancakkan pelbagai siaran hiburan menyebabkan suasana perayaan sebenar yang dituntut agama tidak lagi terhasil.

“Ya lah... pada zahirnya memang nampak meriah, dengan pakaian baru, ada suka-ria di sana, ada hiburan dan makan-minum di sini. Tetapi ia sebenarnya tidak bermakna, sangat “hambar” di sisi agama, terutama apabila suara tasbih, tahmid dan takbir hampir tenggelam oleh suara artis. Ada disiar pun (takbir raya) sekadar sebagai selingan (di media elektronik),” Ustaz Mohd Ruden meluahkan penelitiannya.

Baginya, keasyikan umat Islam mengikuti program hiburan di tv, terutama di kalangan anak-anak muda, juga salah satu unsur menambahkan suasana “hambar” di hari raya. Beliau memetik contoh bagaimana kerap berlaku kunjungan tetamu, terutama sanak-saudara seakan tidak diraikan apabila tuan rumah lebih asyik melayani tayangan program hiburan di kaca tv.

Keadaan itu baginya sekali gus memusnahkan suasana mesra yang sepatutnya menjadi natijah utama aktiviti kunjung-mengunjung di pagi lebaran. Lebih malang lagi, kesempatan bertemu setahun sekali itu yang sepatutnya dimanfaatkan generasi muda untuk saling mengenali sanak-saudara terdekat tidak lagi terisi sebagaimana sepatutnya.

Suasana “hambar” itu diburukkan lagi oleh sikap sebilangan tuan rumah yang “pilih kasih” dalam memberikan layanan kepada tetamu. Memetik pengalamannya sendiri, Ustaz Mohd Ruden meluahkan rasa kesalnya apabila ada sanak-saudara yang agak berada yang dikunjunginya hanya menunjukkan layanan mesra kepada tetamu setaraf mereka.

“Macam ada ‘kasta’ pulak... Anta bayangkan apa perasaan kita yang pergi rumah saudara-mara yang berharta, berpangkat, kita nak beraya, nak beramah-mesra dengan dia tapi tuan rumah asyik layan tetamu tertentu sahaja. Rupanya orang sekarang ni pilih-pilih orang untuk tunjuk mesra. Ertinya, kemesraan itu hanya atas dasar harta dan pangkat, bukan lagi berdasarkan agama,” hamburnya dengan nada kesal.

Menurutnya, beberapa pemerhatian disebutkan tadi menyebabkan suasana sambutan hari raya yang sepatutnya penuh ceria dan gembira gagal dihayati. Akhirnya, kata beliau, bagi sebilangan umat Islam, Idulfitri tidak lebih hanya mengenakan pakaian baru, menghadiri solat sunat, menjamu sedikit makanan sebelum kembali ke rumah masing-masing dan meneruskan agenda peribadi.

“Tak ada apa sangat yang meriah... Dari sudut itu, ana tengok lebih baik (Hari) Raya Haji pulak... lebih meriah suasananya. Selain aktiviti hiburannya tak banyak dipromosi, ana tengok suasana kerjasama, gotong-royong juga wujud di kalangan sanak-saudara atau jiran-tetangga, terutama apabila ada yang melakukan ibadat korban,” Ustaz Mohd Ruden memanjangkan perbincangannya.

Menghurai lanjut maksudnya itu, beliau berkata apabila kaca tv sudah tidak disendati pelbagai program hiburan, maka perhatian umat Islam tidak lagi terbuai oleh keasyikan itu. Sebaliknya, mereka berpeluang memberikan tumpuan yang lebih kepada menjayakan amalan korban dan berinteraksi dengan orang lain yang turut sama terlibat.

Apatah lagi suasana ibadat korban itu pula memang disirati kemesraan, apabila setiap pihak yang terlibat menjayakannya menunjukkan sikap saling membantu dan bekerjasama, sama ada sewaktu menyembelih binatang korban, mengagihkan dagingnya atau menyediakan masakan untuk dinikmati bersama.

“Di Kelantan ini pula khususnya, amalan melaksanakan ibadat korban ini masih dihayati secara meluas. Malah selalunya apabila ada mana-mana anggota keluarga melakukan korban, maka seluruh saudara terdekat akan dilibatkan, sama ada dengan diberikan daging atau dijemput makan,” simpulnya.

Baginya, suasana muafakat yang terhasil menerusi ibadat korban itu menjadi unsur paling penting membentuk kemesraan dan kemeriahan sambutan raya. Tidak syak lagi unsur itu tidak mungkin dapat diwujudkan pada sambutan Idulfitri.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah Bil: 235, September 2011  di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment