Oleh: Mat Zain Mat Isa
Ada beberapa perbezaan amat ketara antara pendirian PAS dan sikap Umno berhubung pelaksanaan hukum Islam, khususnya hudud, di negara ini sepertimana yang kembali digema-riuhkan sejak lebih seminggu lalu.
Meski pun kedua-dua parti itu sama-sama dikuasai orang-orang Melayu dan sama-sama pada zahirnya menampakkan komitmen terhadap Islam, cara dan tahap komitmen masing-masing memudahkan khalayak umum menilai perbezaan antara keduanya.
Sememangnya soal komitmen menjadi isu utama yang sering diperbahaskan. Oleh kerana pelaksanaan hukum Islam suatu yang besar dan berat, ia tidak mungkin disempurnakan tanpa komitmen yang tinggi daripada mana-mana pihak yang berhasrat menegakkannya.
Tidak sukar bagi sesiapa pun untuk mengetahui komitmen PAS. Ia tercatat dengan jelas di dalam perlembagaan parti itu dan dapat dirujuk pada bila-bila masa.
PAS secara terbuka mengisyitharkan bahawa dasarnya ialah Islam, bukan kebangsaan Melayu atau demokratik-sekularisme. Manakala hukum tertinggi dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH, (yakni al-Quran), SUNNAH RASUL (hadis), IJMAK ULAMAK dan QIAS. Dalam ertikata lain, hukum dipegang dan diperjuangkan PAS ialah apa-apa yang terkandung di dalam empat sumber rujukan utama itu.
Sehubungan itu, PAS menegaskan tujuan penubuhannya ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah. Hukum apakah lagi yang menepati kriteria dimaksudkan itu jika bukan hukum Islam yang dinyatakan menerusi empat sumber tadi?
Sebab itu pantang ada kesempatan, PAS akan menzahirkan kesungguhannya berusaha agar hukum Islam dapat ditegakkan. PAS tidak mengambil masa lama, bahkan tidak sampai pun sepenggal pemerintahannya untuk mengemukakan enakmen jenayah syariah membabitkan hudud, qisas dan takzir, sama ada di Kelantan atau Terengganu yang diperintahnya. Rang undang-undang mengenai hukum itu telah dilulus kedua-dua Dewan Undangan Negeri itu dan diwartakan. Ia hanya menunggu tercabutnya halangan Perlembagaan Persekutuan untuk dikuatkuasakan.
Sementara PAS sedari awal penubuhannya hingga kini tidak jemu menzahirkan kesungguhan melihat hukum dan peraturan Islam (termasuk hudud) dilaksanakan di negara ini, Umno pula menyerlahkan sikap sebaliknya. Akuilah hakikat bahawa parti Melayu itu tidak pernah tidak ada peluang merealisasikan hasrat itu jika ia mahu. Ia diberi mandat memerintah negara dan negeri-negeri sebaik sahaja rakyat mula kenal proses pilihan raya, iaitu bermula 1955.
Malangnya Umno tidak pernah pula menyatakan kesediaan menyempurnakan tuntutan agama itu. Sebab itu hingga kini ia gagal mengemukakan rang undang-undang bersabit hukum itu. Bahkan tempoh kuasa memerintah selama 56 tahun dianggapnya masih belum cukup untuk memperkenal dan memahamkan hukum Islam kepada khalayak umum. Apakah rakyat Malaysia tersangat benak sehingga memerlukan tempoh sebegitu panjang memahami sesuatu hukum?
Sebenarnya bukan itu yang menjadi punca permasalahan. Pokok pangkalnya ialah komitmen Umno itu sendiri. Pendirian negatif para pemimpinnya terhadap hukum Islam bukan perkara tersembunyi lagi.
Sebab itu setiap kali timbuil isu pelaksanaan hukum Islam, termasuk hudud, komen dan reaksi dituturkan para pemimpin Umno sangat sinis dan ngilu. Dalam banyak keadaan mereka cenderung ke arah memperkecilkan usaha menegakkannya. Malah kekadang terlajak sampai menghina hukum Tuhan itu.
Ucapan-ucapan seumpama “hukum Islam tidak sesuai dijalankan di negara ini”, “daripada digunakan batu untuk merejam orang berzina, lebih baik digunakan untuk buat jalan raya”, “melaksanakan hukum Islam di zaman ini adalah ibarat memusing jarum jam ke belakang”, “negara akan huru-hara sekiranya dijalankan hukum Islam”, “jika dilaksanakan hukum potong tangan, nescaya ramailah orang Islam akan kudung dan Islam akan mendapat malu” dan banyak lagi kenyataan tidak bertanggungjawab senada itu adalah bukti-bukti yang menjelaskan sikap Umno terhadap hukum Allah.
Keengganan Umno mengakui keadilan dan kebaikan hukum Islam bukan sahaja terhenti setakat tidak bersedia melaksanakannya, malah ia juga tidak tergamak melihat hukum itu dilaksanakan pihak lain. Hakikat itu jelas tersurat menerusi amaran keras Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih sedekad lalu. Presiden Umno itu membayangkan tindakan tegas sekiranya Kelantan meneruskan hasrat melaksanakan hukum Islam, termasuk hudud.
Sikap Umno yang anti hukum Islam itu diserlahkan lagi oleh salah seorang pemimpinnya yang juga peguam dari Kelantan dengan memfailkan saman mahkamah terhadap kerajaan Kelantan dan Terengganu (ketika itu di bawah PAS) di atas kesungguhan kedua-dua negeri itu merealisasikan pelaksanaan hudud dan qisas.
Sebab itu ramai yang terkejut ‘beruk’ mendengar reaksi awal Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai polemik isu hudud minggu lalu. Kononnya, sepertimana dikatakannya, Umno juga menerima hukum hudud. Cuma ia merasakan masanya belum sesuai untuk hukum itu dilaksakan di negara ini, mengambilkira banyak faktor.
Sepintas lalu ramai yang menyangka reaksi itu menjadi titik tolak penting perubahan sikap Umno terhadap hukum Islam. Barangkali itulah pendirian paling lunak yang pernah dihamburkan pemimpin tertinggi Umno terhadap hudud. Sebelum ini boleh dikatakan tidak ada ruang langsung di kalangan mereka untuk berkompromi terhadap hasrat melaksanakan hukum itu.
Namun keyakinan dan rasa sedap hati rakyat terhadap reaksi Muhyiddin itu tidak kekal lama. Tidak sampai 24 jam selepas itu menyusul kata putus daripada Perdana Menteri merangkap Presiden Umno yang seakan “memperbetulkan” kenyataan Muhyiddin itu. Hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini dan Umno tidak pernah bersedia melaksanakannya. Itulah intipati penegasan Dato’ Seri Najib Razak yang tidak sukar difahami. Ia disiarkan hampir seluruh saluran media.
Walau pun sepintas lalu ada yang menganggap penegasan Najib itu hanya sebagai meredakan kemarahan rakan kongsinya, MCA dan Gerakan yang sangat lantang membantah hudud dan bukan menggambarkan pendirian sebenar Umno mengenai hukum itu, ia bukan lagi persepsi yang mudah diterima.
Track-record Umno dalam menggagalkan usaha PAS mendaulatkan hukum Islam amat ‘cemerlang’. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa parti itulah sebenarnya penghalang utama pelaksanaan hukum Allah di negara ini!
(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada artikel disiarkan tabloid Harakah Bil: 1677, 30 September 2011 di ruangan 'KOLUMNIS, F22' dengan tajuk 'Hudud: Umno penghalang utama')
No comments:
Post a Comment