Oleh: Mat Zain Mat Isa
Ramadhan al-mubarak sudah menghampiri penghujung. Serentak itu suasana kemeriahan Idulfitri semakin terasa. Sementara majoriti umat Islam kian gigih melakukan persiapan menyambut lebaran, sebahagian mereka yang memanfaatkan kehadiran bulan mulia ini dengan aktiviti perniagaan mula menghitung hasil yang sempat dikumpulkan.
Namun rasanya tidak ramai yang mengambil kesempatan di saat Ramadhan melangkah pergi kini untuk kembali menghitung, menilai dan mengamati amal ibadat sepanjang sebulan lalu. Sempurnakan ibadat puasa dikerjakan? Sempatkah dikhatamkan tadarus al-Quran? Berjayakah menemui Lailatul Qadar yang diidami setiap insan bertaqwa?
Segala persoalan di atas beserta berbagai pertanyaan lagi adalah antara yang sepatutnya melintasi fikiran kita. Asas utama ialah setiap kita mengharapkan natijah Ramadhan lebih baik berbanding tahun sudah.
Jika Ramadhan lalu pergi tanpa sempat dihiasi qiyamullail, mungkin tahun ini diharapkan ada anjakan. Jika tahun lalu tidak banyak peluang melakukan sedekah membantu golongan tidak bernasib baik, harap-harap di tahun ini kemampuan kita lebih baik.
Sementara segala pencapaian lebih positif itu menjadi hasrat setiap umat Islam, bagi para pemimpin Umno di Terengganu, mereka mungkin turut menyimpan satu lagi hasrat menggunung. Oleh kerana Ramadhan lalu kerajaan negeri diterajui parti itu mencatatkan rekod bersih tanpa sebarang kes tangkapan orang tidak berpuasa, maka tentu pencapaian sama diharapkan untuk tahun ini. Namun, sejauh manakah ia wajar dianggap pencapaian ‘cemerlang’?
Tahun lalu, para pendukung Barisan Nasional (BN) Terengganu, terutama pemimpin Umno negeri bagaikan tersengih hingga ke pipi apabila operasi penguatkuasaan oleh kerajaan negeri tidak menemukan sebarang kes orang Islam tidak berpuasa. Pencapaian itu bukan sahaja menakjubkan, malah bunyinya pun macam mustahil.
Apatah lagi bukan suatu yang sukar untuk anggota masyarakat di seluruh negeri menyaksikan ‘tanda-tanda’ wujudnya aktiviti orang menjamu selera di siang hari. Para pengunjung Taman Shahbandar di muara Sungai Terengganu misalnya, dapat menyaksikan dengan jelas taburan bekas polistrin dan plastik berisi sisa minuman di sebalik tembok sungai.
Struktur binaan tembok itu mewujudkan ruang agak tersorok dari pandangan mata. Ia menjadi tempat amat selesa bagi kalangan tidak berpuasa menyempurnakan agenda mereka.
Longkang besar di sekitar kawasan stadium di Gong Badak juga dikatakan antara lokasi pilihan ‘menjamu selera’ di siang hari Ramadhan. Lokasinya yang memang tersisih daripada laluan awam serta tersorok di ‘bawah tanah’ bagaikan ‘syurga’ buat pelaku maksiat itu.
Di tapak-tapak pembinaan, suasana lebih memalukan terpamer, tanpa tersembunyi lagi. Sekelompok buruh binaan yang berehat sambil makan atau meneguk air adalah fenomena lumrah. Pemandu jentolak yang melakukan kerja sambil menghisap rokok juga tidak sukar dilihat.
Itu belum lagi disebut ‘bau semerbak’ masakan dari atas bot-bot nelayan yang berlabuh di kompleks-kompleks perikanan. Dikatakan awak-awak bot laut dalam itu sudah menyediakan juadah berbuka seawal jam 11 pagi.
Jika contoh-contoh itu dianggap cerita yang boleh dibuat-buat, bagaimana pula dengan pendedahan oleh media cetak mengenai aktiviti kalangan tidak berpuasa ini? Sebuah tabloid harian edisi Terengganu Ramadhan lalu malah membuat sorotan eksklusif berhubung aktiviti berkenaan.
Ia melaporkan ada restoran di Marang beroperasi di siang hari secara mencurigakan, di mana ramai golongan muda dilihat masuk dan keluar dengan bungkusan minuman dan makanan. Ada kedai lain di tepi jalan di Setiu dan Kuala Terengganudikesan menjadi tumpuan remaja membeli makanan tanpa segan atau takut seawal jam 12 tengahari.
Kesemua pembongkaran itu disertakan gambar-gambar yang meyakinkan. Ia ibarat bukti yang sudah terang lagi bersuluh. Sebab itu banyak pihak mempersoalkan bagaimana mungkin operasi pencegahan oleh pihak berkuasa agama gagal mengesan walau pun satu kes orang tidak berpuasa sepanjang sebulan pada Ramadhan lalu.
Namun pencapaian dianggap tidak logik itu tidak pula menghalang para pemimpin Umno meuar-uarkannya sebagai kebanggaan. Cakap-cakap mereka seolah membayangkan bahawa pencapaian itu hasil kesungguhan pihak penguatkuasa agama melakukan operasi berterusan membanteras gejala itu.
Tidak kurang juga ada yang mengaitkan rekod bersih orang tidak berpuasa itu dengan tahap keimanan dan ketaqwaan yang semakin tinggi di kalangan rakyat Terengganu. Kononnya ia hasil pemerintahan Umno yang menitikberatkan dakwah dan tarbiyah kepada rakyat.
Dakwaan itu agak meloyakan, bukan? Bagi sesiapa yang rasional, moral utama isu ini ialah betapa lemahnya penguatkuasaan syariah di bawah pemerintahan Umno/BN. Operasi pencegahan dilihat bagaikan sekadar melepas batuk di tangga. Adanya seperti tiada, sehingga ia menjadi bahan persendaan di kalangan para pelaku maksiat dan pelanggar hukum Tuhan.
Ertinya, rekod bersih yang dianggap pencapaian cemerlang oleh Umno itu sepatutnya dianggap bukti ketidakupayaan kerajaan pimpinan parti itu mengurustadbir hal ehwal agama di Terengganu. Jika rekod itu berulang lagi tahun ini, bermakna Umno semakin melayakkan dirinya ditukar dari tampuk kuasa.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1670, 29 Ogos 2011di ruangan 'kolumnis' (F21) dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment