Saya agak bertuah apabila turut diajak menghadiri majlis pelancaran buku karangan Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, 9 September lalu. Sebagai seorang peminat sejarah, pengamal media dan ‘penuntut sepanjang hayat’, peluang keemasan meneliti butir bicara seorang failasuf tersohor itu tidak selayaknya saya lepaskan.
Buku terbaru ahli teologi negara itu berjudul ‘Historical Fact dan Fiction’ diterbitkan UTM Press. Pelancarannya disempurnakan Sultanah Johor yang juga Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Sepertimana judulnya, buku berkenaan memfokuskan perbincangan dan ulasan terhadap beberapa kekeliruan fakta sejarah negara, khususnya berkaitan kedatangan Islam ke Nusantara. Meneliti sepintas lalu buku berkenaan menemukan kita kepada beberapa percanggahan fakta di antara apa yang selama ini diterima sebagai hakikat sejarah, berbanding pembuktian ‘fakta sebenar’ yang dikemukakan Prof Syed Naquib.
Antaranya berkaitan asal-usul nama Melaka dan Parameswara sebagai raja berbangsa Melayu dari Palembang yang dihuraikannya dengan hujah amat bertentangan dari apa yang selama ini diajarkan kepada kita.
Bahkan di dalam ucapan aluannya, ilmuan Islam tersohor itu meluahkan kekecewaannya apabila suatu fakta yang sejak sekian lama diutarakannya mengenai sejarah kedatangan Islam ke rantau ini tidak dipedulikan khalayak pengkaji dan penulis sejarah negara. Beliau menegaskan kajiannya bahawa Islam datang ke Nusantara bukan melalui India atau Parsi, sepertimana dicatatkan sejarah popular.
Sebaliknya, beliau mendakwa mempunyai bukti kukuh bahawa Islam dibawa ke sini secara terus oleh misi khas dari Tanah Arab. Bahkan, katanya, kumpulan yang membawa risalah Islam itu bukan sekadar para pedagang biasa atau orang kebanyakan, tetapi dari kumpulan yang disebutkannya sebagai ‘the noble Arabs’, yakni yang bersalasilah keturunan daripada Rasulullah s.a.w. sendiri.
Sebab itu, dakwanya, suatu hakikat yang dapat dilihat ialah bagaimana kaedah sebutan perkataan-perkataan Arab oleh orang-orang Melayu negara ini tidak berbunyi pelat India atau Parsi, tetapi lebih dekat kepada lidah Arab. Beliau lantas mengambil contoh bagaimana perkataan ‘bismillahirrahmanirrahim’ disebut dengan lidah India dan Arab.
Katanya, sudah 30 ke 40 tahun beliau menyebutkan perkara ini. Namun, ia seakan tidak dilayan dan tidak diterima sebagai suatu hasil kajian yang wajar diperhalusi. Buktinya fakta-fakta sejarah kedatangan Islam ke tanah air ini kekal sepertimana yang telah diterima umum, khususnya hasil tulisan para penulis Barat.
Seakan terkejut dengan luahan dan pendedahan Prof Syed Naquib itu menyebabkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin, yang turut berada di majlis berkenaan memberikan reaksi spontannya. Beliau mengakui wujud kesilapan atau kelemahan fakta dalam penulisan sejarah negara selama ini.
Pada sidang media selepas majlis tersebut, beliau antara lain mengakui, “hanya sebahagian saja yang ditulis penulis Barat untuk kepentingan mereka, yang mereka nak tulis hanya kedatangan mereka. Prof Muhammad Naquib bangkit perkara yang ada persoalan dan kita perlu kajian mendalam. Dalam soal ini sejarah boleh dicungkil”.
Ulasan Mohamed Khalid itu pula mengundang reaksi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed. Beliau juga mengakui terhadap keciciran fakta dalam penulisan sejarah negara, terutama berhubung perjuangan beberapa tokoh Umno mendapatkan kemerdekaan negara.
Setakat itu, pendedahan dan pengakuan ketiga-tiga mereka adalah sealiran. Bahawa kemungkinan wujudnya kelemahan dalam penulisan sejarah, sama ada secara tidak sengaja, atau memang disengajakan oleh para penulis Barat bagi menyembunyikan fakta sebenar, adalah suatu hakikat yang tidak sepatutnya ditolak mentah-mentah.
Bahkan, mengambilkira tabiat mana-mana bangsa penjajah, sudah tentu mereka berhasrat menjaga maruah dan kepentingan bangsa mereka. Justeru apa-apa fakta yang boleh mencemar imej atau merendahkan martabat bangsa mereka besar kemungkinan tidak dicatatkan. Manakala sebarang kelebihan, keistimewaan dan kebaikan bangsa dijajah juga dipadamkan dari pengetahuan umum.
Hakikat itu mengingatkan saya kepada pembicaraan episod kejatuhan Kerajaan Melaka ke tangan Portugis, pada kurun ke-15 dulu. Antaranya ialah apa yang pernah diutarakan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, di dalam ucapannya sempena Sambutan Jubli Emas PAS, pada 2001.
Menurut Tuan Guru, penulisan sejarah sengaja menonjolkan kerajaan Melaka hanya sebagai salah sebuah Kesultanan Melayu di Nusantara. Tidak ada catatan mengangkatnya sebagai sebuah kuasa besar Islam di Asia Tenggara. Fakta itu sengaja disembunyikan, demi kepentingan penjajah, yang sebenarnya datang ke rantau ini dengan misi menyebarkan agama Kristian.
“Seorang ahli sejarah tempatan menceritakan bahawa ketika berita penaklukan Melaka oleh Portugis sampai ke Eropah, satu perayaan telah diadakan di Vatican City (bandar suci orang Kristian di Itali). Mereka menyambut kegembiraan kerana kejatuhan Empayar Islam Melaka ke tangan tentera Kristian Portugis. Cerita sebenar ini tidak diajar kepada anak-anak kita di sekolah-sekolah,” ucapnya.
Bagi memadamkan catatan perjuangan Islam ketika itu juga, gerombolan orang Islam sekitar Melaka yang berpakatn datang membantu kerajaan Islam itu dipesongkan faktanya. Patih Yunus yang mengetuai umat Islam dari Tanah Jawa dan mendarat di Johor dengan misi membantu Melaka memerangi Portugis digambarkan sebagai pelarian ekonomi yang hanya mencari tanah baru untuk menanam kelapa.
Umat Islam dari Sulawesi yang datang ke negara ini pula dicatatkan sebagai kumpulan lanun yang sering merompak kapal-kapal dagang. Manakala pejuang Islam Minangkabau yang kebanyakannya mendarat di Negeri Sembilan diceritakan hanya sebagai kumpulan manusia dari Sumatera yang datang semata-mata untuk membuka kebun.
Penulisan sejarah oleh tangan-tangan berkepentingan penjajah itu sengaja mahu menggambarkan betapa rumpun bangsa Melayu sebagai berpecah-belah, suka berperang dan tidak mempunyai sebarang ikatan persaudaraan Islam antara mereka.
“Sebenarnya mereka semua datang untuk mempertahankan Islam dan menentang penjajah Barat di atas nama Islam. Mereka datang dulu lagi sebelum tertubuhnya Umno!,” sergah Tuan Guru.
Ingatlah bahawa kedatangan penajajah ke negara kita bukan sekadar untuk mendapatkan rempah-ratus dan lain-lain hasil mahsul, sebagaimana yang diajarkan oleh buku-buku sejarah. Mereka mempunyai serampang dua mata, iaitu menjajah sambil mengembangkan ajaran Kristian.
Sebab itu, di saat ketua-ketua gerombolan penjajah menyibukkan diri mereka dengan aktiviti memunggah bijih timah, besi, rempah-ratus, kayu-kayan dan berbagai lagi, gerombolan paderi dan mubaligh terlatih memainkan peranan berasingan di bidang pendidikan.
Dengan kuasa dan kepakaran yang ada pada mereka, penjajah telah berjaya mengindoktrinasikan pemikiran rakyat mengikut acuan pemikiran yang mereka kehendaki. Di antara cara yang digunakan ialah memalsukan sejarah. Apa jua catatan sebenar mengenai sejarah tanahair cuba dipadamkan dari pengetahuan rakyat.
Sejarah negara ditulis semula mengikut acuan penjajah, sekaligus bagi menggambarkan keagungan dan kehebatan bangsa penjajah. Terlebih nyata lagi ialah bagaimana penulisan semula sejarah tanahair itu telah mengakibatkan tertimbusnya peranan Islam sebagai kuasa besar di rantau Asia Tenggara ini.
Negara kita sudah 54 tahun merdeka. Usia itu seringkali dikaitkan dengan usia kematangan. Maka sudah kena pada masanya pemikiran rakyat juga dimerdeka dan dimatangkan. Pandanglah kepada bangsa-bangsa yang lebih maju dari kita, bangsa yang berfikir secara merdeka.
Kita pernah diajar untuk ‘Pandang ke Timur’. Sayangnya, kita tidak pandang habis-habis, hanya sekerat sahaja. Bangsa Jepun, China dan Korea adalah bangsa yang sangat tinggi tamadun pemikirannya. Bangsa yang merdeka pada bila-bila masa pun tidak akan bersedia memandang remeh soal pemalsuan sejarah ibu pertiwi mereka.
Bayangkanlah, ada bangsa Korea yang sanggup mengerat jari kelingking semata-mata kerana terusik dengan sejarah silam kekejaman Jepun. Bantahan terhadap Jepun turut memuncak di seluruh Negara China dan Korea sedekad lalu semata-mata kerana buku teks sejarah di sekolah-sekolah Jepun telah menyembunyikan fakta sejarah kekejamannya terhadap dua jiran terdekatnya itu.
Tetapi kita, bukan sekadar merelakan sejarah tanahair dipalsukan semahu orang, direlakan nama para penentang penjajah dimomokkan secara negatif, malah sebilangan pihak seakan sanggup bermatian mempertahankan kecacatan dan kepalsuan sejarah dicipta penjajah itu.
Apa salahnya menulis semula sejarah jika terbukti (sepertimana dibuktikan Prof Syed Naquib dan diakui Tun Dr Mahathir) bahawa memang ada kelemahan dan keciciran fakta dalam sejarah yang diterimapakai selama ini?
Nampak sangat minda penguasa kita dan para penjuaknya masih belum ‘merdeka’ sehingga sukar menerima pandangan kedua. Sebab itu tidak hairan jika ada cendikiawan kita yang diagungkan selaku pakar sejarah turut rela mendakwa kononnya British hadir ke negara kita bukan sebagai penjajah, tetapi lebih sebagai pelindung dan pengawal. Kah! Kah! Kah!
(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily 15 September 2011 di ruangan 'Pendapat dan Analisis' dengan tajuk sama. Ia turut dipetik laman DetikDaily pada hari sama untuk ruangan 'Penulis Tamu' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment