Thursday, September 1, 2011

Tujuh beranak rahsiakan keislaman jaga hati orang tua


Oleh: Nuwa Aitawa

Memang benar kata orang-orang tua, ‘biar pun hujan emas di negeri orang, mana kan sama hujan batu di negeri sendiri’. Maksudnya, walau pun berada di suatu tempat yang jauh lebih baik daripada tempat tumpah darahnya, jiwa seseorang itu akan senantiasa terpaut dengan kampung halaman atau negeri asalnya.

Biar pun sekiranya kampung asal itu tidak ada apa-apa kelebihan ketara berbanding tempat orang, ia tetap dianggap istimewa. Padanya ada nilai-nilai sentimental tersendiri, termasuk gamitan nostalgia silam yang pernah mewarnai kehidupan seseorang sewaktu berada di situ suatu ketika dulu.

Itulah persis apa yang diakui Haji Mohd Rafei Heng Abdullah. Pesara Pembantu Pertanian di Institut Pertanian Besut (IPB) ini mengakui ada terlalu banyak keistimewaan pada tempat asalnya, Kampung Sungai Karang, Kuantan, Pahang.

Sebab itu, walau pun sudah lebih tiga dekad meninggalkan kampung halaman dan keadaan hidupnya juga sudah jauh berubah berbanding sewaktu berada di sana dulu, ingatan Mohd Rafei kepada kehidupan di sana dulu masih segar.

“Nak-nak (lebih-lebih lagi) bulan puasa gini (Ramadhan). Saya lah tukang ketuk beduk setiap pukul 12 malam, kejut saing-saing (kawan-kawan) bangun. Suka (suasana) di kampung saya mula (dulu), malam bulan puasa memang meriah,” cerita Mohd Rafei dalam loghat Besut.

Menurutnya, hampir setiap malam di sepanjang Ramadhan (kebetulan wawancara ini diadakan pada Ramadhan) suasana di kampungnya sangat meriah. Beliau akan menyertai kumpulan rakan-rakannya mengunjung rumah jiran-jiran tertentu yang bermurah hati menyediakan jamuan istimewa untuk mereka.

Sebab itu, biar pun dilahirkan sebagai Heng Jee Boon dalam sebuah keluarga penganut Buddha, Mohd Rafei seakan tidak merasai apa-apa perbezaan dengan rakan-rakan berbangsa Melayu. Bapanya Heng Kok Wee dan ibunya Hon Dan Wa adalah salah satu pasangan Cina yang berkongsi keharmonian hidup bersama jiran-jiran berlainan bangsa.

Justeru, biar pun berlainan agama dan adat resam, Jee Boon dibesarkan dalam suasana yang sama sekali mengenepikan perbezaan antara kaum.

“Sejak kecil saya memang ikut saing-saing (kawan-kawan) Melayu. Semua yang dia orang buat, saya pun buat ‘etek’ (juga). Dia orang pergi mengaji (al-Quran) saya ikut, gi dengar ‘etek’. Ketika saing Melayu puasa, saya pun puasa ‘etek’,” sambung Mohd Rafei dengan wajah penuh ceria.

Imbauan nostalgia itu sekaligus mengingatkannya kepada teman-teman sepersekolahan dulu. Antara nama yang diingatinya ialah Ramli Hussin, Mohd Mushaha Jaafar, Ismail dan arwah Manan Hussin.

“Empat-lima orang ni lah saing rapat saya masa kecil dulu. Buat gapo-gapo (apa-apa) pun, kita sekali sokmo (sentiasa bersama). Cari kayu api untuk majlis kenduri, gali lubang, sekali sokmo,” sambungnya lagi.

Persahabatan erat itu bagaimana pun tidak pernah diambil kesempatan oleh rakan-rakan berbangsa Melayu itu untuk mengajak Jee Boon memeluk Islam. Boleh jadi kerana mereka ketika itu masih kecil dan tidak menitik beratkan soal kepentingan dakwah Islam.

Atau mungkin juga mereka sudah begitu ‘asyik’ dengan keserasian yang terjalin antara mereka, sehinggakan soal perbezaan anutan hidup tidak lagi dianggap suatu masalah yang perlu ditangani.

Pun begitu, keakraban hubungan dengan rakan-rakan Melayu itu sedikit-sebanyak membiasakan diri Jee Boon dengan budaya dan cara hidup Islam. Terlalu banyak yang dipelajarinya menerusi pengalaman bergaul mesra dengan mereka. Paling penting, ia membentuk persepsi positif di dalam dirinya terhadap kemurnian agama suci ini.

Minatnya mengetahui lebih jauh tentang Islam semakin meningkat seiring peningkatan usianya. Sehinggakan apabila rakan sekerjanya di Cameron Highlands membelikannya buku pengetahuan asas fardhu ain, Jee Boon menerimanya dengan senang hati. Kisah itu berlaku pada 1975.

Pada 20 Jun 1976, Jee Boon berpindah ke IPB di Kampung Tok Dor. Selain memberi kesempatan lebih luas kepadanya menyelami kehidupan masyarakat Melayu, tempat kerja barunya itu juga membuka jalan kepadanya menemui Wong Juat Kion.

Perkenalan dengan gadis keturunan Cina yang menetap di Kampung Jabi, Besut itu akhirnya membawa mereka ke jinjang pelamin pada 1979. Suatu persamaan agak menarik bagi pasangan ini ialah masing-masing berpengalaman hidup dan membesar di kelilingi teman-teman berbangsa Melayu-Islam.

Perkongsian pengalaman hidup itu kemudiannya membentuk keserasian amat baik antara mereka, termasuk tatkala kedua-duanya bersetuju menerima Islam sebagai anutan hidup.

“Saya masuk Islam 4 Ramadhan (1423), 30 Oktober 2003, di rumah abang dia (isteri) di Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu. Saya, isteri dan semua anak. Serentak,” kata Mohd Rafei.

Ketika itu anaknya yang sulung, Heng Chen Chen berusia 22. Anak keduanya, Heng Chen Nee (19), diikuti Heng Yang Yang, (17), Heng Yang Min, (13) dan yang bongsu, Heng Chen Lin, (8).

Mereka kini masing-masing dikenali sebagai Nurfatin Nabila Haji Mohd Rafei, Nurhani Insyirah, Mohamad Aidil Sufian, Mohamad Shahmi dan Nur Azleen. Manakala ibu mereka pula memilih nama Nooraini Wong Abdullah.

Bagaimana pun, di atas beberapa pertimbangan, mereka memilih untuk merahsiakan keislaman mereka buat beberapa ketika.

“Masa tu mak mertua saya ada (hidup) lagi dan dia pun duduk (tinggal) dengan saya. Jadi untuk jaga hati dia, saya dengan isteri tak bagi tahu kami dah masuk Islam. Dua bulan lepas tu dia meninggal. Lepas tu baru lah orang pakat tahu kami dah masuk Islam,” sambung Mohd Rafei lagi.

Menurutnya, walau pun hal itu dirahsiakan, bisik-bisik dalam masyarakat setempat mengenainya tetap berlaku. Di sana-sini orang sudah bercakap mengenai sekeluarga Cina masuk Islam serentak. Cerita itu agak menggemparkan walau pun mereka tidak tahu secara pasti keluarga mana dimaksudkan itu.

“Akhirnya pecah juga cerita (masuk Islam). Mulanya apabila saya fotostat buku belajar solat di pejabat. Saing pejabat tengok, dia tanya, ‘mu nak buat apa buku solat tu?’ Saya kata, ‘ni kerja sekolah anak-anak’. Dia percaya, tapi lama-lama dia syak juga. Sehinggalah ada hak (yang) tanya saya sungguh-sungguh nak tahu, saya pun cerita lah kami dah masuk Islam, sekeluarga. Lepas tu gak, merebak selalu cerita. Semua saing-saing pakat mari ke rumah (ziarah),” ceritanya penuh bangga.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah Bil: 235, September 2011 di ruangan 'hidayah' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment