Thursday, September 15, 2011

Jika tidak kerana keberanian Mat Sabu....

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Sudah lebih dua minggu nama Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad Sabu menguasai topik utama bual bicara masyarakat negara ini. Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu tak semena-mena menjadi fokus pertikaian politik.

Segala-galanya berpunca daripada ucapannya yang dinilai menyanggahi fakta sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan negara, khususnya berkaitan peristiwa serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Johor, enam dekad lalu. Keberaniannya mendakwa bahawa pasukan polis itu sebenarnya mempertahankan penjajah British, manakala penyerang balai itu adalah penentang penjajah sebenar telah mencetuskan polemik agak panjang.

Sepertimana lazimnya, oleh kerana pada zahirnya isu digembar-gemburkan itu tampak menguntungkan Umno dan Barisan Nasional (BN), maka seluruh rank-and-file parti itu beserta segenap saluran media talibarutnya dimanipulasi untuk tujuan berkenaan.

Tidak cukup sekadar membantah dan menyerang peribadi Mat Sabu, parti dipimpinnya juga menjadi bahan cemuhan dan kecaman. Umno kelihatan benar-benar mengambil kesempatan memburukkan imej dan reputasi PAS selaku pesaing utamanya dalam usaha memenangi hati rakyat, khususnya orang Melayu-Islam.

Seluruh lapisan penggerak Umno seakan dikerah meniupkan sentimen kebencian terhadap komunis. Itu kita pun setuju. Malangnya, sentimen dibakar itu bukan setakat ditujukan kepada parti yang diharamkan itu. Sebaliknya Umno secara biadab ikut menyuburkan fitnah kononnya PAS, khususnya Mat Sabu mengiktiraf perjuangan komunis.

Justeru, parti Islam itu didakwa sudah terpesong dari dasar perjuangan. Ia dikatakan semakin menggadai prinsip Islam, malah digambarkan mungkin akan memberi penghargaan istimewa kepada pejuang komunis sekiranya diberi peluang memerintah negara. Itulah persepsi sangat buruk yang telah dilontarkan ke dalam masyarakat.

Entah berapa puluh organisasi dan perkumpulan manusia, yang kebanyakannya memang ada hubungkait dengan Umno, tampil menyuarakan bantahan. Jumlah perhimpunan haram mengiringi laporan polis terhadap Mat Sabu sudah tidak  larat dikira. Saranan agar beliau ditangkap di bawah ISA juga kedengaran. Malah ada yang sampai mengesyorkan agar taraf kerakyatannya ditarik.

Sudah tentu jika tidak kerana keberanian Mat Sabu mengeluarkan kenyataan yang didakwa mengusik sensitiviti atau menyanggah fakta sejarah yang selama ini diterima sebagai benar itu, maka tidak ada siapa pedulikan lagi Peristiwa Bukit Kepong. Mungkin yang tinggal sebagai ingatan paling baik dalam masyarakat terhadap peristiwa itu hanyalah filem dilakonkan Dato’ Jins Shamsuddin.

Tak semena-mena senarai anggota polis terkorban dalam peristiwa itu dipertonton kembali kepada khalayak. Rakyat yang selama ini tidak pernah meneliti atau ambil pusing peristiwa Bukit Kepong pun turut terpanggil mengamati kisah sebenar.

Sentimen anggota keluarga dan waris anggota polis terlibat dengan peristiwa berdarah itu juga diapikan. Mereka bukan sahaja bersusah payah dicari, malah diberikan ruang sebaiknya di dada akhbar dan saluran media elektronik.

Tak semena-mena Umno menjadi pihak paling prihatin terhadap hati dan perasaan mereka, terutama mengenangkan ibubapa atau nenek moyang yang terkorban mempertahankan rumah pasung itu. Umno dianggap berjaya menyuburkan kebencian mereka terhadap PAS apabila ada anggota keluarga terbabit memberikan kata dua kepada PAS agar tidak ‘menggangu hidup’ mereka lagi.

Tahniah kepada Umno. Para pemimpinnya mungkin boleh tersenyum hingga ke punggung dan sudah boleh mencula sebilangan pengundi yang selama ini mungkin memihak PAS kini sudah condong kepada BN ekoran manipulasi isu ini.

Tetapi jangan lupa hakikat bahawa selama enam dekad ini, Umno sendiri pun bukan lah prihatin sangat terhadap nasib waris anggota polis terkorban itu. Apa sangat dibuat parti pemerintah itu dalam membela atau mengenang jasa anggota polis terbabit?

Apa yang barangkali secara tidak sengaja terbongkar di sebalik luahan perasaan waris keluarga salah seorang anggota polis terbabit dari Terengganu mungkin boleh dijadikan contoh. Sebuah tabloid harian edisi negeri itu, 10 September lalu melaporkan bagaimana hasrat anak Allahyarham Konstabel Jaafar Hassan yang terkorban dalam Peristiwa Bukit Kepong dulu untuk menziarahi pusara bapanya itu buat pertama kalinya bakal menjadi kenyataan.

Dilaporkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu dengan kerjasama Pegawai Daerah Kuala Terengganu bersetuju merealisasikan hasrat itu.

“Makcik sedih kerana sebelum ini tidak pernah ziarah pusara arwah (bapa) dan tak pernah tahu di mana letaknya kubur itu. Makcik rasa tidak sabar hendak ke sana (Bukit Kepong),” tabloid itu memetik kata Azlah Jaafar, 62.

Ya, sepertimana diakuinya, selama enam dekad ini, beliau tidak pernah tahu di mana kubur arwah bapanya. Umno juga tidak pernah peduli untuk membantunya mengetahui perkara itu. Tapi tiba-tiba saja kini parti itu bukan sahaja sanggup membawa makcik itu ke sana, malah telah bermurah hati menganjurkan majlis tahlil khas untuk Allahyarham Jaafar di rumah anaknya itu.

Jika tidak kerana kontroversi dicetuskan Mat Sabu, pada adatnya Makcik Azlah mungkin belum berpeluang menziarahi pusara bapanya. Jika tidak kerana Mat Sabu juga, jangankan mereka yang berada di Johor atau Kuala Lumpur, penduduk di Kuala Terengganu sendiri pun belum tentu tahu bahawa di Kampung Cendering itu ada waris anggota polis yang terkorban di Bukit Kepong.

Mungkin selepas ini Peristiwa Bukit Kepong akan diulang sebut lebih kerap. Tidak mustahil akan ada pihak menganjurkan acara memperingatinya saban tahun. Atau mungkin akan ada majlis istimewa memberikan anugerah khas atau pingat kebesaran khas untuk kesemua yang terkorban itu.

Nasib waris anggota polis terbabit juga mungkin akan lebih terbela atau diambil perhatian lebih serius. Tidak mustahil juga nantinya akan ada pihak, termasuk pertubuhan satelit Umno, yang akan memperjuangkan sebarang bentuk pampasan bagi pihak anggota polis terbabit. Akan ada tuntutan dibuat bagi pihak mereka kepada kerajaan Brisith.

Walau pun idea dicetuskan Mat Sabu itu kini dicemuh pelbagai pihak, termasuk oleh anak-cucu anggota terkorban itu, jangan terkejut sekiranya beberapa ketika akan datang idea sama diteruskan oleh mana-mana pihak.

Secara positif, sepatutnya semua pihak yang seakan tersentak dengan fakta sejarah perjuangan kemerdekaan, terutama waris anggota polis terbabit wajar mengucapkan berbanyak terimakasih kepada Mat Sabu!

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding yang disiarkan tabloid Harakah Bil: 1673, 16 September 2011 di ruangan 'kolumnis' (F22) dengan tajuk sama. Ia turut dipetik laman detikdaily.net pada 19 September 2011.)

No comments:

Post a Comment