Wednesday, December 1, 2010

Suara dalam mimpi ajar mengucap sebelum ‘mati’

Tanggal 7 Julai 1968, di sebuah perkampungan terpencil bernama Suainsor, Kemboja, lahirlah seorang anak dalam sebuah keluarga penjual laksa. Beliau diberi nama Pan Sor dan dibesarkan mengikut adat agama Buddha.

Setelah meningkat remaja, kepayahan hidup tidak menyelesakannya untuk terus tinggal di kampung. Pan Sor bersama beberapa rakan sebayanya memilih untuk berhijrah mencari pekerjaan di Phailin, sebuah pekan di sempadan Thailand-Kemboja.

Beliau mendaftarkan namanya sebagai Ton Tai. Gelora darah mudanya yang mengimpikan kehidupan lebih baik bagaimana pun tidak memungkinnya untuk terus menimba rezeki setakat itu. Setelah beberapa ketika di Phailin, Ton Tai berhijrah lagi. Kali ini lebih jauh ke selatan, ke sebuah pekan bernama Hanpla di wilayah Pattani.

“Saya pergi situ tahun 1989, cari kerja. Kelaut (jadi nelayan) di situ 11 tahun,” cerita Pan Sor @ Ton Tai.

Pencapaian hidup di situ bagaimana pun belum cukup memuaskannya. Hatinya terdorong mengintai suasana kerja lebih baik di Malaysia pula. Walau pun kedatangan Ton Tai ke Tok Bali, Kelantan, salah sebuah pelabuhan nelayan tersohor di Pantai Timur, semata-mata kerana mahu bekerja, Allah Ta’ala merencanakan sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikirannya.

Di situ beliau menemui rakan sekerja yang kebanyakannya beragama Islam. Sepertimana beliau, mereka juga adalah warga asing, terutama dari Thailand dan Kemboja.

“Saya mari Tok Bali tahun 2000. Salah seorang hak paling rapat dengan saya tu orang Islam Kampung Cham (salah satu daerah di Kemboja). Saya tak ingat nama dia”, cerita Ton Tai.

Menurutnya, rakannya itu sering bercerita mengenai Islam dan bertanya pasal agamanya (Buddha). Sehingga lah pada suatu hari rakannya menerjahnya mengenai tuhan yang disembah penganut Buddha.

“Dia tanya saya: ‘Mu sembah tuhan ke dak?’. Saya jawab: ‘Ya, sembah to’kong (patung)’. Dia tanya pula: ‘To’kong tu sapa buat?’. Saya jawab: ‘Kita (manusia) la buat’. Dia kata: ‘Mu buat to’kong, patut mu sembah dia ke, dia sembah mu? Kita buat dia, tapi kita sembah dia. Itu tak betul’. Saya pun fikir, ya juga,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Pada awalnya Ton Tai agak sukar menerima penerangan mengenai Islam oleh rakannya itu. Tabiatnya yang suka bertanya bagaimana pun sedikit demi sedikit mengubah persepsi itu. Antaranya, apabila rakannya itu menceritakan soal dosa-pahala dan betapa Islam amat memberati umatnya melakukan kebaikan.

Beliau juga sering diberitahu bahawa selepas mati, balasan syurga menanti umat Islam yang banyak membuat pahala. Walau pun Ton Tai tidak langsung mempunyai gambaran mengenai soal dosa-pahala, kata-kata rakannya itu meninggalkan kesan agak kuat dalam fikirannya.

Ditakdirkan Allah, beliau pulang ke Thailand. Pada suatu malam, Ton Tai tersangat mabuk. Dalam keadaan terhoyong-hayang dan khayal itu, beliau terlena di sebuah pondok yang disangkakannya kandang kambing. Dalam tidurnya itulah beliau didatangi mimpi yang benar-benar menguak pintu hatinya.

“Ada suara mari royat (beritahu) kat saya, dalam bahasa Kemboja, mu ni nak mati dah ni. Tapi sebelum mu mati, mu kena mengucap (syahadah) dulu. Saya tanya dia (suara itu): ‘Mengucap tu apa?’ Dia jawab: ‘Mengucap tu supaya mu boleh masuk syurga Tuhan bila mati sikit lagi’.

“Saya tanya: ‘Dah lagu (macam) mana nak mengucap?’ Suara tu kata: ‘Kalu mu tak pandai, ikut aku’. Dia pun ajar saya ‘Asyhadu an la ilaha illallah. Wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah’. Lepas saya mengucap tu, dia pun kata: ‘Allahu Akbar!’. Saya pun ‘mati’. Lepas ‘mati’ tu, saya terus tersedar (dari tidur),” cerita Ton Tai lagi.

Sebaik terjaga, beliau mendapati tubuhnya berpeluh lencun. Tidak lama kemudian, beberapa orang lelaki mendapatkannya. Rupa-rupanya pondok yang disangkannya kandang kambing itu ialah sebuah surau. Mereka itu datang untuk menunaikan solat Subuh.

Melihatkan keadaannya yang tidak terurus beserta bau minuman keras yang kuat, anggota jemaah tadi meminta Ton Tai beredar dari surau itu. Beliau bagaimana pun menceritakan apa yang telah didengarinya dalam mimpinya tadi.

“Seorang lelaki tu kata: ‘Tu tandanya mu dapat hidayah, Tuhan dah pilih mu jadi Islam. Sapa mengucap sebelum mati ni, kalau mati boleh masuk syurga’,” Ton Tai begitu bersungguh mengisahkan episod penting itu.

Sekembalinya ke Tok Bali, beliau meminta bantuan seseorang membawanya ke pejabat agama terdekat. Beliau lalu dibawa orang ke Pejabat Agama Daerah Besut di Kampung Raja, Terengganu. Di situlah, di hadapan Tuan Kadhi Daerah Besut, pada 10 Mac 2002, Ton Tai secara rasminya melafazkan dua kalimah syahadah.

Mulai hari itu, beliau dikenali sebagai Mohd Fauzi Tai Abdullah. Selama lima bulan selepas itu beliau mendampingi sekumpulan Jemaah Tabligh di Kuala Besut.

“Alhamdulillah, mereka banyak ajar saya sembahyang. Saya buat, dia tegur kalau silap. Tapi baca bismillah je hak saya tahu, berdiri bismillah, tunduk bismillah, sujud pun bismillah,” Mohd Fauzi tergelak lagi mengenangkan detik awal Islamnya itu.

Beliau kemudiannya berulang-alik bekerja di sebuah bengkel membuat jongkong simen di Kampung Wakaf Kubur, Keluang, Besut. Di surau berdekatan tempat kerjanya itu, Mohd Fauzi menemui seorang tua yang dipanggilnya Pak Su Li.

Menurutnya, Pak Su Li yang juga imam di surau berkenaan adalah orang yang bertanggungjawab mengajarnya membaca al-Quran. Di surau itu jugalah beliau ditakdirkan bertemu jodoh dengan Rohana Wahid, seorang janda beranak lima.

Perkahwinan mereka membuka ruang lebih luas untuk Mohd Fauzi mendalami agama yang baru dianutinya. Beliau tidak lagi berulang-alik ke Kuala Besut, sebaliknya menetap di rumah pusaka peninggalan arwah suami Rohana di Kampung Kedepir, kira-kira 1km dari surau Pak Su Li tadi. Di surau sama, Mohd Fauzi turut menekuni kuliah agama oleh Ustaz Hasbullah @ Ali Mat saban minggu.

Selain lima anak tiri, yang kini berusia antara 12 hingga 22 tahun, rumahtangga Mohd Fauzi dan Rohana turut diserikan dua cahayamata hasil perkongsian hidup sejak 2002. Mereka ialah Mohd Naqiuddin Amin, 7 tahun, dan Puteri Aliya Batrisya, 3 tahun 6 bulan.

(Artikel tulisan Nuwa Aitawa ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Disember 2010 di ruangan "HIDAYAH" dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment