Monday, December 27, 2010

Pincangnya nilaian penganalisis terhadap Program 100 Hari

Agak terserlah kegusaran pelbagai pihak yang berkepentingan dengan Barisan Nasional (BN) melihatkan hasil positif Konvensyen Pakatan Rakyat (Pakatan) kali kedua di Pulau Pinang, minggu lalu.

Perasaan yang cuba disembunyikan itu tersirat menerusi pelbagai komen mereka, sama ada sebagai reaksi terhadap kenyataan para pemimpin Pakatan, atau sebagai mengulas hasil-hasil disepakati perhimpunan tersebut.

Di antara keputusan konvensyen yang agak menjadi fokus ulasan media ialah Program 100 Hari dikemukakan pakatan pembangkang. Ia mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan.

Antara yang disebutkan ialah mengarahkan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilalihan aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol dan merombak struktur subsidi bagi mengurangkan subsidi kepada swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.

Turut dirancang ialah mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan RM500 sebulan dan melupuskan FELDA Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga FELDA.

Rata-rata penjuak BN, sama ada yang bercakap atas platform politik mahu pun akademik, bagaimana pun gagal menilai tawaran ini secara positif. Ada yang digelar pakar ekonomi menganggapnya sebagai pembaziran. Selain membabitkan wang berbilion ringgit, ia juga didakwa boleh memberi kesan buruk kepada struktur ekonomi negara.

Ada pandangan lain mengatakan Program 100 Hari Pakatan bakal memberi kesan negatif kepada keyakinan pelabur asing. Tidak kurang juga yang menganggapnya sekadar “wayang politik” pembangkang yang tidak selari dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

Reaksi beberapa penganalisis politik turut disorot. Bagai diduga, yang menguasai media arus perdana hanya pandangan-pandangan yang tidak merugikan BN. Kebanyakannya pula tersurat maksud memperlekeh kemampuan Pakatan merealisasikan program dimaksudkan.

Malangnya, keghairahan para penganalisis ini mengampu BN dan mempertikai keupayaan Pakatan turut sama menyerlahkan hujah yang tersasar dan sandaran agak dangkal. Pandangan mereka kelihatan amat tidak setanding dengan status akademik agak tinggi yang mereka miliki.

“Kita masih tidak nampak sebarang perubahan besar di negeri yang ditadbir pembangkang (Pakatan), mungkin ada sedikit perubahan tetapi secara keseluruhan pembangunan sebenar dibawa oleh BN (menerusi projek Kerajaan Pusat),” demikian ulasan seorang penganalisis bertaraf Profesor Madya dari sebuah universiti tempatan.

Komen sealiran itu turut diberikan seorang lagi penganalisis politik, juga pemegang Doktor Falsafah dari universiti sama. Beliau menyifatkan tawaran Pakatan itu sebagai menabur janji manis kepada rakyat untuk meraih sokongan mereka.

Menurutnya, memang amat mudah untuk menawarkan suatu yang kelihatan ‘begitu cantik’ di atas kertas, tetapi untuk melaksanakannya dalam realiti adalah suatu yang luar biasa dan mustahil jika dilihat kepada kemampuan serta kepakaran sedia ada dalam pentadbiran Pakatan.

“Ini sudah terbukti apabila manifesto mereka dalam pilihan raya umum lalu adalah terlalu ‘manis’ sehingga masih banyak yang tidak mampu dilaksanakan di negeri yang mereka kuasai walau pun sudah lebih dua tahun,” media memetik katanya.

Satu persamaan nyata dari hujah kedua-dua penganalisis yang dianggap pakar itu ialah sandaran yang masing-masing gunakan. Mereka menilai kemampuan Pakatan berdasarkan prestasi pemerintahannya beberapa negeri kini.

Lalu keupayaan yang serba terbatas dan tempoh masa yang terlalu singkat itu dijadikan sandaran utama membandingkan kemampuan Pakatan dengan keupayaan BN yang menguasai Kerajaan Pusat sejak lebih separuh abad lalu. Apakah ia perbandingan yang adil?

Di situlah terserlahnya kepincangan hujah mereka. Sepertimana disebutkan, Program 100 hari itu adalah perancangan Pakatan sekiranya mengambil alih pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Justeru, amat tidak tepat jika mahu menilai kemampuan Pakatan melaksanakannya berdasarkan tahap keupayaan beberapa kerajaan negeri sedia ada.

Sepatutnya penganalisis bertaraf akademik sebegitu tinggi tidak cuba menutup realiti berbeza yang bakal dihadapi. Sekiranya Pakatan mengambil alih pemerintahan negara, bermakna keupayaan pemerintahan Pakatan ketika itu bukan lagi setaraf kuasa kerajaan negeri-negeri seperti kini.

Kita yang tidak berkelulusan tinggi pun dapat menerima hakikat bahawa tatkala itu sudah tentu jauh berbeza keupayaannya mentadbir dan menyempurnakan pelbagai agenda pemerintahan.

Semua jabatan, agensi, syarikat berkaitan kerajaan dan lain-lain pihak yang ada kaitan sedikit-sebanyak dengan kerajaan akan bersama-sama menjayakan agenda tersebut. Manakala pelbagai saluran media arus perdana pula sudah tentu tidak lagi menjadi batu api menyemarakkan pertikaian dan keraguan di hati rakyat terhadap apa juga agenda pemerintahan Pakatan.

Tidak mustahil juga, ketika itu para penganalisis politik yang gemar mengampu BN kini pun akan turut mencari justifikasi positif terhadap setiap agenda dikemukakan kerajaan Pakatan.

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1600, 27 Disember 2010 dengan tajuk sama).

No comments:

Post a Comment