Friday, December 31, 2010

Isu logo 1-Malaysia serlah sikap hipokrit BN

Biar pun isu larangan penggunaan logo 1Malaysia di Selangor yang tercetus minggu lalu didakwa memakan diri Pakatan Rakyat (Pakatan), khususnya kerajaan negeri dipimpin Keadilan itu, ia sebenarnya turut menyedarkan rakyat terhadap sikap hipokrit Barisan Nasional (BN) selaku penguasa kerajaan Pusat dalam isu-isu seumpamanya.

Isu berkenaan dilaporkan menjadi pertikaian umum ekoran arahan dikeluarkan pihak Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) kepada pemilik sebuah kedai serbaneka di bandar berkenaan agar menurunkan logo 1Malaysia yang dipasang di kedai itu.

Pemilik kedai berkenaan bagaimana pun bukan sahaja tidak mengendahkan arahan tersebut, sebaliknya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, 20 Disember. Beliau dilaporkan turut menghantar bantahan sama kepada Yang Dipertua MDKL serta menuntut penjelasan.

Tidak cukup setakat itu, sikap tidak sedia tunduk kepada undang-undang dan peraturan ditunjukkan pekedai yang dipercayai pendukung MIC itu turut disemarakkan lagi oleh Umno dan MIC bahagian Kuala Langat.

Sikap ‘batu api’ itu mereka pamerkan menerusi perhimpunan haram di hadapan kedai tersebut, semata-mata mahu menunjukkan mereka menyokong pendirian pekedai yang tidak bersedia mematuhi arahan tersebut.

Itulah hipokritnya BN. Biar pun selalunya perhimpunan untuk menyuarakan sesuatu bantahan seumpama itu suatu yang amat dibenci dan dikutuk para pemimpin parti itu, dalam kes ini pendukung BN sendiri pula yang berada di depan menjayakannya.

Ekoran insiden yang sengaja diperbesarkan itu, BN bagaikan mendapat modal politik baru untuk mengganyang Pakatan, lebih-lebih lagi kerajaan Selangor. Beberapa label segera dilontarkan kepada kerajaan negeri.

Antaranya, Keadilan selaku peneraju gagal menghayati konsep demokrasi yang diperjuangkannya. Kononnya larangan premis perniagaan menaikkan logo 1Malaysia bukan sahaja menyekat kebebasan bersuara di kalangan rakyat, bahkan tidak konsisten dengan dasar perjuangan Keadilan secara khusus dan Pakatan amnya.

Tindakan MDKL itu turut ditafsirkan sebagai bukti kerajaan negeri kini berada dalam ketakutan. Kononnya arahan sedemikian adalah kerana Pakatan semakin bimbang dengan kebangkitan rakyat yang positif terhadap BN. Lalu sebarang perkara berkaitan BN, termasuk logo 1Malaysia menjadi mangsa sekatan dan diskriminasi kerajaan Pakatan.

Kita percaya tentu ada rakyat negara ini yang merasa loya dan mual membacakan komen dan ulasan-ulasan sedemikian. Mahu tidaknya jika diambil kira betapa perlakuan negatif yang dihalakan ke arah kerajaan Pakatan itu sebenarnya suatu amalan yang telah lama bersebati dalam pemerintahan BN sendiri.

Apakah layak BN bercakap soal kebebasan bersuara tatkala media-media milik parti pembangkang masih dipasung dengan pelbagai akta dan peraturan? Di masa sama, BN boleh memanfaatkan semahunya segenap ruang dan peluang disajikan pelbagai saluran media arus perdana untuk memburuk dan memfitnah pembangkang.

Kerap kali apabila terdesak BN cuba membuktikan kononnya media talibarutnya juga menyediakan ruang dan peluang secukupnya untuk pembangkang mengutarakan pandangan dan mesej kepada rakyat. Tidak sukar diakui ia bukan realiti yang wajar dibanggakan.

Contohnya, kerajaan Selangor sendiri pernah mengemukakan permohonan secara rasmi kepada RTM agar Menteri Besarnya diberi ruang khusus menerusi siaran langsung di Selangor fm. Mereka bukan meminta masa yang panjang atau siaran harian, tetapi hanya selama sejam setiap minggu. Siaran itu bagi membolehkan MB dan ahli-ahli Exconya berhubung secara langsung dengan rakyat di udara.

Kita tidak nampak di mana tidak rasionalnya tuntutan itu. Pertama, dari sudut sifatnya selaku parti pemerintah, tentu ada keperluan amat mustahak untuk pemimpin negeri berkomunikasi di udara dengan rakyat, sepertimana lazim dimanfaatkan BN di negeri-negeri lain.

Kedua, tuntutan itu bertepatan dengan lunas demokrasi dan kebebasan bersuara yang sering diperjuangkan BN.

Ketiga, ruang masa dipohon itu pula bukan suatu yang panjang. Selangor fm bersiaran setiap hari mulai 6 pagi hingga 12 tengah malam. Sepanjang tempoh itu BN sudah ada begitu banyak ruang untuk kemanfaatannya.

Jika BN merasakan telah berupaya meyakinkan rakyat dengan kemajuan dan kejayaan pemerintahannya, mengapa begitu takut untuk memberikan hanya sejam daripada seminggu kepada kerajaan negeri? Bukankah penafian BN terhadap peluang pembangkang tampil di media miliknya juga boleh dijadikan bukti kebimbangan parti itu terhadap pengaruh parti lawan?

Tuntutan sama pernah diperjuangkan kerajaan PAS di Terengganu dan telah dua dekad disuarakan kerajaan Kelantan. Setakat ini belum nampak sebarang petanda BN bersedia mendemokrasikan media elektronik miliknya untuk pembangkang. Justeru, apakah layak BN bercakap mengenai pendirian yang demokratik?

Itu belum lagi kita ambilkira betapa para pemimpin Pakatan yang memerintah negeri-negeri dihalang langsung daripada memasuki institusi kerajaan Pusat, terutama pejabat-pejabat kerajaan dan sekolah. Bukan sahaja batang tubuh mereka tidak dibenarkan, potret rasmi Menteri Besar Pakatan juga dilaporkan tidak dibenarkan dipamer di premis-premis kerajaan Pusat di negeri-negeri berkenaan.

Dalam isu minggu lalu, BN menghujah betapa logo 1Malaysia adalah simbol milik negara yang sepatutnya diterima semua rakyat, maka apakah para pemimpin kerajaan negeri Pakatan juga tiada hak meletakkan mereka sebagai pemimpin kepada semua rakyat negeri yang mereka perintah?

Sementara kerajaan Selangor kini telah memgambil tindakan membeku arahan MDKL itu dan memberi jaminan membincangkan semula perkara berkenaan dalam mesyuarat Exco Negeri, kita tidak nampak di masa sama dasar dan sikap BN terhadap kebebasan bersuara dan bersemuka dengan rakyat oleh pemimpin Pakatan bakal dikaji semula.

Itulah hipokritnya BN!

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini diterbitkan tabloid Harakah Bil: 1601, 31 Disember 2010 dengan tajuk sama di ruangan kolumnis, F22)

No comments:

Post a Comment