Friday, December 17, 2010

Permata Seni pelaburan terbaik rawat kebobrokan sosial?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipetik media cetak pada Khamis, 16 Disember sebagai menganggap Program Permata Seni satu pelaburan jangka panjang pembangunan modal insan negara. Usaha itu dikatakan sejajar dengan hasrat kerajaan di dalam Rancangan Malaysia ke-10.

Beliau memuji program berkenaan sebagai kaedah terbaik memenuhi keperluan kanak-kanak yang berbakat dalam seni terutama bidang koir, muzik dan seni tari. Menurutnya lagi, sebagai aset negara, kanak-kanak perlu diberi peluang mengetengahkan bakat mereka sejajar dengan arus kemajuan negara.

“Sebagai pemimpin masa akan datang, satu landasan yang baik perlu disediakan bagi memenuhi sifat ingin tahu dan semangat untuk meneroka dan cemerlang di dalam bidang yang mereka minati”, media memetik katanya dari buku cenderamata Konsert Permata Seni yang berlangsung di Istana Budaya, Rabu lalu.

Perdana Menteri turut dipetik sebagai melahirkan rasa yakin, dengan bimbingan dan asuhan yang baik, para peserta program berkenaan mampu membuktikan bahawa kanak-kanak Malaysia mempunyai bakat yang boleh diketengahkan di persada antarabangsa.

Sementara langkah mana-mana pihak memulakan program asuh didik modal insan sedari awal usia mereka dianggap paling tepat dengan perkembangan fizikal dan emosional kanak-kanak, bentuk pengisian asuh didik itu juga tidak sepatutnya diwarnakan secara sewenang-wenang.

Tidak dinafikan usaha melahirkan modal insan yang sempurna dan bermanfaat perlu dimulakan pada seseorang kanak-kanak seawal yang boleh. Kajian saintifik mendapati perkembangan otak seseorang akan mencapai tahap kematangan 85 peratus apabila usianya mencecah tiga tahun.

Pada usia itu, rangsangan yang sesuai dan berkesan berupaya meningkatkan fungsi dan kapasiti otak ke tahap optima. Daya intelek seseorang akan meningkat dengan pesat bila dirangsang.

Lebih penting lagi, segala yang dipelajarinya di masa itu, sama ada melalui pendengaran, sentuhan atau penglihatan akan diserap dan disimpan di dalam memorinya sebagai pembelajaran yang kekal.

Konsep utama dalam pendidikan awal kanak-kanak ialah pendedahan dan penyesuaian diri kepada persekitarannya. Proses ini berterusan sejak mereka di dalam kandungan ibu hingga ke awal usia. Kanak-kanak diakui mudah belajar dari apa yang didedahkan kepada mereka.

Rangsangan yang cukup mampu menjana minda kea rah pembelajaran dan penyimpanan maklumat di dalam otak mereka. Kita pernah didedahkan dengan fakta bahawa peringkat usia dua setengah tahun hingga enam tahun dikenalpasti sebagai peringkat paling mudah bagi mereka menerima tunjuk ajar dan mengadaptasi perubahan persekitaran.

Kita rasa fakta ini bukan lagi hanya tersimpan di kalangan pakar psikologi kanak-kanak, ahli ilmu kesihatan atau kalangan tertentu sahaja. Para ibu bapa, para pendidik dan perancang Program Permata Seni juga barangkali sudah maklum dengan kapasiti dan potensi keemasan dimiliki kanak-kanak di usia awal mereka.

Kita percaya didorong fakta itulah maka semua pihak akan mengambil kesempatan mencorakkan kanak-kanak mengikut acuan masing-masing sedari kecil. Pepatah Melayu juga ada menyebut, “melentur buluh biar lah dari rebungnya”. Ertinya, membentuk keperibadian dan mengasah keupayaan seseorang perlulah dimulakan sedari awal usianya.

Bagi orang Islam pula, perkara ini turut menjadi sesuatu yang ditekankan Rasulullah s.a.w. Dalam salah satu hadisnya yang masyhur Baginda s.a.w. menyifatkan seorang anak yang baru dilahirkan itu berada dalam keadaan fitrah, yakni suci dan bersih. Maka terpulang kepada ibu bapanya lah yang akan mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Sebab itu, sama ada menilai dari sudut bangsa atau agama, amat penting bagi kita memperhalusi apakah yang hendak diisikan ke dalam minda anak-anak. Dalam keadaan mereka masih terlalu mentah, tidak tahu membezakan mana baik mana buruk dan bersedia menerima apa juga yang disuakan oleh orang dewasa kepada mereka, keputusan mengenai baik-buruk itu terletak sepenuhnya di tangan orang dewasa.

Dalam ertikata lain, dapat kita simpulkan bahawa ibubapa, guru dan sesiapa saja yang bertanggungjawab memilih bahan yang hendak disumbatkan ke kepala kanak-kanak adalah turut bertanggungjawab terhadap keperibadian yang terhasil puluhan tahun kemudiannya.

Secara khususnya, Program Permata Seni memang tidak menyentuh soal akidah dan ibadah. Ia lebih kepada soal mengasah bakat seni anak-anak sebagai persiapan mereka memasuki dunia hiburan penuh glamour, atau mungkin turut diselit agenda orang dewasa yang memayungi program itu mengaut pujian atas kejayaan mereka.

Maka kita rasa sayugia ditanyakan, sejauh manakah adil dan wajarnya minda kanak-kanak itu disumbati dengan agenda seni semata-mata. Bahkan, lebih wajar ditanyakan juga, apakah tanpa asuh didik secara khusus oleh kerajaan sebagaimana menerusi program tersebut, maka negara bakal berdepan krisis kekurangan penyanyi, penghibur dan penggiat seni yang sangat serius suatu hari nanti?

Apakah ratusan penyanyi, penari, pemuzik dan penggiat seni yang berlambakan dalam negara kini semuanya lahir menerusi program khusus dibiayi kerajaan? Bahkan mereka itu lahir dengan sendirinya tanpa perlu kerajaan bersusah-payah menyediakan asuh didik, bukan?

Apakah jumlah mereka yang begitu ramai belum mencukupi untuk menyajikan hiburan dan mementaskan bakat rakyat Malaysia di persada antarabangsa? Kemudian tanyakan juga, sejauh manakah tepatnya usaha mengutamakan hiburan sebagai pembangun modal insan yang baik?

Kita rasa topik pembangunan modal insan tidak sepatutnya dilihat secara terpisah daripada realiti yang sedang berdepan masyarakat kini. Sebagai umat Islam, kita perlu akui bahawa punca kepincangan dan kecelakaan dalam masyarakat ialah apabila rakyat jahil tentang agama. Mereka tidak dapat membezakan mana baik, mana buruk, apa dosa dan apa pahala.

Apabila masyarakat sudah pincang dan porak-peranda, matlamat murni melahirkan modal insan yang sempurna dan bermanfaat dengan sendirinya akan terbantut dan sukar direalisasikan.

Berbekalkan realiti sebegitu, wajar kita tanya, apakah negara kita sekarang memerlukan lebih ramai penyanyi, pemuzik dan penggiat seni untuk merawat kebobrokan masyarakat?

(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily, 17 Disember 2010 dengan tajuk "Permata Seni rawat kebobrokan sosial?")

No comments:

Post a Comment