Friday, December 3, 2010

Isu Ketuanan Melayu, Umno melenting kerana kegagalannya terdedah

Menepati jangkaan kita, seruan Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) agar khalayak politik negara ini meninggalkan konsep Ketuanan Melayu mencetuskan reaksi hangat. Ia turut menjadi bahan manipulasi media-media kroni pemerintah.

Tidak syak lagi pihak paling ke depan membantah ucapan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail ini adalah para pemimpin dan pendukung Umno. Kononnya mereka lah pejuang dan pembela Melayu sejati.

Biar pun sebilangan mereka yang membantah itu berselindung di sebalik beberapa pertubuhan, seperti Perkasa, Gertak, Pewaris dan seumpamanya, kesemua badan itu adalah satelit Umno. Pertubuhan-pertubuhan itu diketahui menjadi alternatif ahli-ahli Umno yang menyedari sukar menyuarakan bantahan menerusi platform parti, terutama dalam isu-isu melibatkan kepentingan politik Umno berdepan rakan bukan Melayu dalam Barisan Nasional (BN).

Dalam Ucapan Dasar Presiden di Kongres Keadilan, Sabtu lalu, Wan Azizah menyifatkan konsep Ketuanan Melayu hanyalah slogan dimanipulasi sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu, kononnya ia perjuangan demi kepentingan bangsa ini.

Sedangkan, katanya, sekumpulan kecil penguasa ini adalah mereka yang melakukan rasuah, korupsi, pecah amanah dan pelbagai kesalahan. Mereka juga tidak menghiraukan nasib kaum sendiri, sebaliknya memanfaatkan kedudukan politik semata-mata demi kepentingan diri.

Sebab itu, walau pun konsep Ketuanan Melayu telah dijulang sejak lebih 53 tahun lalu, nasib kaum ini terus terabai dan terkebelakang dalam banyak hal berbanding kaum-kaum lain.

“Mereka dilanda masalah sosial, pendidikan, ekonomi dan budaya kehidupan yang membimbangkan. Kuota 30 peratus penguasaan ekuiti (ekonomi) Melayu-Bumiputera masih gagal dicapai,” katanya.

Kita tidak melihat apa-apa kecacatan pada ucapan itu. Soal keterbelakangan pencapaian ekonomi dan akademik, serta kebobrokan sosial orang Melayu adalah fakta yang diterima umum.

Namun, ia nampaknya sukar diakui pendukung Umno. Ada yang menyifatkan seruan Wan Azizah sebagai mengkhianati bangsa Melayu. Malah beliau disamakan dengan watak Si Kitul dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka dulu.

Ada pula pemimpin Umno yang menganggap kenyataan Presiden Keadilan itu sengaja mahu mengelirukan rakyat. Mereka mendakwa maksud sebenar Ketuanan Melayu merujuk kepada kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu dan orang Melayu sebagai kaum majoriti.

Tidak kurang juga yang menilai kenyataan itu sebagai usaha terdesak Wan Azizah untuk menyelamatkan partinya, terutama bagi memaut sokongan kaum bukan Melayu. Mereka yakin rakyat sudah bijak menilai segala perkembangan politik negara.

Bahkan ada kumpulan yang bertindak lebih jauh. Mereka bukan sekadar menyuarakan bantahan menerusi media, malah berhimpun di balai polis dan membuat laporan terhadap Wan Azizah. Kononnya kenyataan beliau itu ancaman dan hasutan yang mampu mewujudkan provokasi terhadap orang Melayu sehingga boleh mengganggu keamanan negara.

Itulah kepakaran orang Umno yang sukar ditandingi mana-mana pihak setakat ini. Ia gemar memutarbelit fakta terutama untuk memburukkan parti lawan. Umno juga suka bertindak sembrono, mencetuskan tindakan segera tanpa usul-periksa, semata-mata mahu memperlihatkan dirinya sebagai pembela bangsa.

Biarkanlah Umno dan para pendukungnya dengan pelbagai tafsiran negatif, andaian terlampau dan tindakan kebudak-budakan sebegitu. Sepertimana mereka akui, kita juga yakin rakyat sudah bijak menilai segala gelagat dan reaksi lebih-lebih itu.

Apatah lagi hujah-hujah yang mereka utarakan dalam mewajarkan bantahan terhadap kenyataan Wan Azizah itu juga diselaputi berbagai keraguan dan pertikaian. Contohnya, usaha mereka mengaitkan konsep Ketuanan Melayu sebagai hak keistimewaan bangsa Melayu.

Apakah hakikatnya memang begitu? Benarkah Ketuanan Melayu itu termasuk antara Hak-Hak Istimewa Melayu yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh diganggu gugat? Kita percaya apa dimaksudkan Wan Azizah tidak lah sampai membuang hak-hak istimewa bangsanya sendiri.

Wajar ditanyakan juga, apa lagi yang termasuk dalam Hak-Hak Istimewa Melayu. Lebih utama lagi, apakah selama ini tidak ada hak-hak istimewa itu yang dinodai Umno sendiri?

Di antara hak istimewa itu ialah mendapatkan pendidikan percuma. Ia secara tradisinya disediakan parti pemerintah menerusi bantuan biasiswa. Malangnya sejak lebih sedekad lalu, ia dihentikan dan ditukar kepada pinjaman pelajaran. Bukankah penghapusan hak istimewa itu angkara Umno sendiri?

Jika Umno menganggap Wan Azizah terkeliru dengan konsep Ketuanan Melayu yang sebenarnya ditujukan kepada hak istimewa Raja-Raja Melayu, apakah rekod Umno terhadap istana suatu yang amat membanggakan? Jangan ingat rakyat sudah lupa bahawa parti itu sendirilah juara menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu dan berbagai keistimewaan dinikmati golongan istana sebelum ini.

Akuilah sebenarnya Umno menzahirkan reaksi lebih-lebih itu gara-gara merasa terpukul oleh pendedahan Wan Azizah. Hakikat bahawa tahap pencapaian ekonomi dan sosial Melayu amat mendukacitakan biar pun setelah lebih separuh abad diterajui Umno amat sukar ditelan parti itu. Keaiban atas kegagalan itulah sebenarnya punca Umno melenting tak ketahuan hala!

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1593, 3 Disember 2010 dengan tajuk "Ketuanan Melayau: Umno melenting, kegagalannya terdedah")

No comments:

Post a Comment