Wednesday, December 1, 2010

Sambut Hari Asyura perlu ikut “piawaian” Islam

Rasanya ramai yang tidak akan percaya jika ada pihak yang mendakwa tradisi mengacau bubur asyura tiada kaitan dengan kisah catuan makanan yang dikatakan berlaku di atas bahtera Nabi Noh a.s. sewaktu Baginda dan pengikut setianya dihanyutkan bah besar.

Malah lebih ramai yang terkejut dan sukar menerimanya andai dikatakan bahawa kisah yang didakwa sebagai asal-usul wujudnya bubur berkenaan sendiri lebih cenderung kepada perkara Israeliyat (cerita rekaan yang sengaja dicipta golongan Yahudi untuk memesongkan kepercayaan umat Islam).

Justeru, bagaimana pula jika anda diberitahu bahawa memasak bubur asyura dengan niat merayakan kedatangan 10 Muharram saban tahun sebenarnya bukan ambilan dari tradisi Islam, malah menyalahi saranan Rasulullah s.a.w. sendiri?

Tidak syak lagi ia sesuatu yang membuatkan sebilangan kita mengeluh, jika pun tidak menggelengkan kepala. Mahu tidaknya apabila diambilkira betapa amalan mengacau bubur yang dicampur beraneka bahan itu telah menjadi tradisi tahunan sejak turun-temurun, terutama di kalangan orang-orang Melayu negara ini.

“Ia bahkan seakan diterima sebagai suatu ibadat, seolah-olah mengacau bubur menyambut kedatangan Hari Asyura ni perkara sunat yang beroleh pahala, dan amalan ini turut diraikan oleh golongan agama dalam masyarakat. Apakah yang orang kita jadikan sandaran?”, soal Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Dato’ Dr Johari Mat.

Beliau yang turut berpengalaman sebagai Ahli Panel Kajian Akidah di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) secara jujur mengakui setakat pembacaan dan pengajiannya hingga kini belum menemui sebarang hadis Nabi s.a.w. menyuruh atau menceritakan kelebihan memasak bubur asyura sempena kedatangan 10 Muharram.

“Pada bahasa, perkataan “asyura” itu bermaksud “hari yang ke-10”, sama juga disebut “tasu’a” untuk “hari ke-9”. Ia hanya satu bilangan, tak ada kaitan dengan nama bubur atau apa-apa hari kebesaran yang patut dirayakan oleh umat Islam,” jelasnya.

Sebaliknya, beliau membacakan beberapa hadis yang membuktikan bahawa 10 Muharram adalah hari penting untuk orang Yahudi. Pada tarikh itu Bani Israel diselamatkan Allah Ta’ala daripada seteru mereka. Maka bagi mengingati sejarah penting itu, Nabi Musa a.s. berpuasa dan menyarankan umatnya berpuasa.

Satu hadis riwayat Aishah r.a. pula menyebut bahawa amalan berpuasa sunat pada Hari Asyura telah menjadi amalan di kalangan kaum Quraisy sejak sebelum kedatangan Islam. Ia juga diamalkan Rasulullah s.a.w. sejak sebelum puasa Ramadhan difardhukan.

Dalam hadis riwayat Qatadah r.a. pula, Baginda s.a.w. menerangkan di antara kelebihan puasa sunat Hari Asyura (10 Muharram) ialah Allah Ta’ala kifaratkan dosa manusia sejak setahun yang telah lalu.

“Dalam satu hadis riwayat Ibnu Abbas r.a. pula, terkandung saranan Rasulullah s.a.w. agar umatnya menggabungkan puasa Hari Asyura dengan puasa sejak hari ke-9. Oleh kerana Hari Asyura ini hari diagungkan Yahudi dan Nasrani, maka Rasulullah s.a.w. minta umatnya buat begitu (gabung puasa dua hari) supaya bersalahan dengan amalan Yahudi dan Nasrani,” sambung Dr Johari lagi.

Ditanya bagaimana wujudnya sebilangan umat Islam yang merayakan Hari Asyura secara besar-besaran, pemegang ijazah Doktor Falsafah Usuluddin pengkhususan ‘Akidah dan Aliran Pemikiran Semasa’ dari Universiti Imam Mohamad Ibn Saud al-Islamiyyah, Arab Saudi ini pantas mengimbau sejarah yang berlaku ke atas Saidina Ali karramallahu wajhah dan anaknya, Saidina Husain r.a.

“Kita tahu 10 Muharram diingati sebagai hari Saidina Husain dibunuh. Pembunuhannya mewujudkan dua aliran pemikiran. Satu kumpulan yang terlalu taksub dengan Saidina Ali. Mereka ini merayakan Hari Asyura dengan melahirkan dukacita, kecewa, sedih dan merintih atas kematian Saidina Husain. Koyak baju, pukul tubuh sendiri hingga berdarah, tepuk dada, cakar muka dan seumpamanya. Tujuan mereka ialah untuk merasai penderitaan dialami Saidina Husain,” Dr Johari mengulas.

Kumpulan kedua pula, katanya, ialah yang menentang kumpulan aliran pemikiran tadi. Mereka ini pula menyambut Hari Asyura sebagai kemenangan. Mereka melahirkan kegembiraan, bersuka-ria, memakai pakaian baru, mengadakan jamuan besar dan meraikan hari itu sebagai satu hari raya.

“Kedua-dua golongan ini menyalahi ajaran Islam. Meratapi kematian Saidina Husain dan mengadakan aturcara yang macam-macam itu jelas keluar daripada syarak. Begitu juga, melahirkan kegembiraan dan menjadikan Hari Asyura sebagai hari raya pun tak betul, sebab ia bukan hari yang patut dirayakan di sisi Islam,” tegasnya lagi.

Bagi bekas Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Malaya ini, cara yang betul menyambut Hari Asyura ialah dengan berpuasa sunat, sepertimana disarankan oleh Rasulullah s.a.w.

“Kita sering menilai sesuatu yang kita buat sama ada ia “menjadi” atau tidak. Nilaian “menjadi” itu didasarkan kepada apa? Dinilai berbanding sesuatu yang telah wujud, benda yang sudah dibuat orang sebelum ini.

“Misalnya, kita buat rumah dan kita kata ia “menjadi” rumah, kerana yang kita buat itu ada ciri-ciri sebuah rumah yang telah dibuat orang. Kita ada contoh yang dikatakan rumah yang “menjadi”, ada ‘piawaian’ yang dijadikan perbandingan,” ujar Dr Johari berkias.

Maka, katanya, begitu juga setiap amalan dalam Islam. Bagaimana pula kita mahu katakan ia “menjadi”? Apa dan siapa contoh kita atas setiap amalan ini?

“Dalam ertikata lain, amalan bagaimana yang kita jadikan ‘piawaian’ untuk menilai apakah amalan kita tepat atau tidak dengan kehendak agama? Maka ‘piawaian’ itu tentu lah apa yang dibuat dan disuruh oleh Rasulullah s.a.w.,” simpul Dr Johari.

Beliau turut memperluaskan skop perbincangan kepada beberapa amalan lain yang dilihatnya juga tidak menepati dakwaan kononnya ia daripada sunnah Nabi s.a.w. Antaranya, amalan menyambut kedatangan tahun baru Hijrah dengan bacaan al-Quran, bersolat hajat dan seumpamanya. Sedangkan, katanya, penentuan Muharram sebagai bulan pertama tahun Hijrah hanya dibuat di zaman pemerintahan Saidina Omar r.a.

“Bagaimana kita nak katakan ia (ibadat khusus menyambut tahun baru) sunat, sedangkan Rasulullah s.a.w. sendiri tak pernah buat pun. Siapa kita nak tentukan suatu amalan itu sunat atau tidak?”, terjahnya.

Baginya, masalah utama umat Islam kini ialah apabila mereka tidak begitu mengambil berat untuk sering menilai dan memeriksa letak duduk amalan mereka berdasarkan ‘piawaian’ ajaran Islam.

Dr Johari menjadikan fungsi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sebagai perumpamaan. Menurutnya, kereta perlu sentiasa diperiksa oleh Puspakom bagi memastikan sentiasa menepati piawaian. Pemeriksaan teliti itu penting bagi menjamin kenderaan selamat digunakan.

Maka begitu juga dengan akidah dan amalan kita. Beliau mengingatkan agar umat Islam jangan mudah tertipu dengan keyakinan palsu kononnya setiap yang menjadi adat dan tradisi masyarakat kita kini sudah elok dan bertepatan dengan kehendak Islam.

“Kita perlu ikut piawaian Islam. Justeru, sesuatu yang Rasulullah s.a.w. tidak buat dan tidak pernah suruh umatnya buat, jangan mudah mendakwa ia dari sunnah Nabi s.a.w. Apabila ia bukan suruhan Baginda s.a.w., maka bagaimana kita nak kata akan mendapat pahala sunat bila membuatnya?,” soalnya lagi.

Mengakhiri perbualan, Dr Johari mengajak umat Islam berfikir bahawa jika benar sesuatu amalan itu, termasuk amalan merayakan Hari Asyura, suatu yang memang baik, maka logiknya sudah tentu Rasulullah s.a.w. sendiri lah orang yang paling awal mengetahuinya.

“Tak dan (sempat) kat kita (peluang melakukan amalan baik). Nabi Muhammad s.a.w. lah jadi orang pertama, dia dulu yang akan buat sesuatu yang baik. Kalau tak dan buat pun, dia (Rasulullah) akan pesan supaya umatnya buat,” ujarnya.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Disember 2010 di ruangan "TOPIK", dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment