Friday, December 10, 2010

Rakyat setuju “hukum” potong tangan pencuri

Kebanyakan media cetak edisi Terengganu pada Rabu, 8 Disember, memuatkan laporan kes seorang lelaki disyaki pencuri yang putus pergelangan tangannya ditetak pemilik rumah yang cuba dicerobohinya.

Kejadian dikatakan berlaku jam 3.30 pagi sehari sebelumnya di Kampung Pengkalan Gaduh, Limbongan, Besut. Pemilik rumah terbabit yang bekerja menternak ikan dalam sangkar dilaporkan sedang tidur bersama enam ahli keluarganya sebelum terjaga apabila terdengar bunyi tingkap rumahnya diumpil.

Selepas mengesyaki sesuatu, beliau mengambil parang dan keluar rumah melalui pintu utama tanpa disedari suspek sebelum ternampak kelibat seseorang sedang mengumpil tingkap rumahnya.

Suspek yang terkejut cuba berhadapan dengan pemilik rumah itu tetapi dia dilibas dengan parang dan terkena pergelangan tangan kirinya.

Pemuda berusia 28 tahun dari Setiu itu terus melarikan diri ke dalam semak berhampiran dan pergelangan tangannya yang putus itu terjatuh di halaman rumah.

Pemilik rumah itu kemudian menghubungi polis yang kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui pergelangan tangan tersebut dan menghantarnya ke Hospital Besut pada jam 5.30 pagi.

Gerakan mengesan suspek, terutama menerusi titisan darahnya, akhirnya membawa polis menemuinya dalam keadaan kesakitan dan berlumuran darah di sebuah chalet tidak jauh dari tempat kejadian.

Suspek dihantar ke Hospital Besut kira-kira jam 9 pagi sebelum dirujukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, bersama pergelangan tangannya untuk penyambungan semula.

Seorang remaja wanita berusia 15 tahun yang turut berada bersamanya di chalet berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan. Beliau mendakwa isteri suspek, bagaimana pun kebanyakan akhbar menamakannya sekadar teman wanita. Di antara akhbar tersebut malah melaporkan remaja berkenaan sedang mengandung.

Secara kebetulan, lokasi kejadian dan chalet disebutkan itu terletak dalam lingkungan hanya tiga kilometer dari rumah penulis. Keadaan itu memudahkan penulis meninjau reaksi dan penilaian anggota masyarakat setempat berhubung kejadian itu.

Percayalah, kebanyakan yang ditemui tanpa teragak menyatakan amat bersetuju dengan tindakan tuan rumah itu. Ada yang berkata “padan muka (kepada suspek)”, ada yang menyebut “memang patut pun”.

Yang lain pula mengiyakan, “molek lah, ajar dia (pencuri) macam tu”. Malah ada juga yang memuji langkah pemilik rumah bertindak terlebih dahulu sebelum apa-apa kesempatan diambil suspek terhadapnya.

“Seribu satu macam kemungkinan boleh berlaku. Daripada dapat (kesempatan bertindak) kat dia (suspek), lebih baik tuan rumah bertindak dulu”, mereka mewajarkan tindakan tuan rumah terbabit.

Dalam ertikata lain, tiada pihak yang meluahkan rasa simpati terhadap suspek penjenayah itu. Kekerapan kejadian pecah rumah, termasuk antaranya melibatkan ugutan dan ancaman keselamatan terhadap tuan rumah, menyebabkan anggota masyarakat semakin membenci pelaku jenayah.

Di samping berharap insiden malang sebegitu tidak menimpa mereka sendiri, masing-masing anggota masyarakat turut bersetuju akan mengambil tindakan serupa sekiranya berkesempatan mengenakan suspek jenayah.

Apatah lagi mereka seakan didedahkan dengan kefahaman bahawa tidak menjadi kesalahan di sisi undang-undang bagi pemilik rumah bertindak mempertahankan harta dan nyawa mereka, terutama dalam situasi genting sebegitu.

Ulasan sedemikian mengingatkan kita kembali kepada kes lebih serius yang berlaku tidak sampai sebulan lalu. Dalam kejadian pada 16 November lalu, seorang bekas penyelia ladang berusia 70 tahun menembak mati seorang suspek berusia 17 tahun menggunakan senapang patahnya ketika remaja itu memecah masuk rumahnya di Kelana Jaya, Selangor.

Media melaporkan ketika kejadian, suspek bersama rakannya bersenjatakan parang telah menawan tiga ahli keluarga mangsa dan orang gajinya di tingkat bawah. Suspek kemudian naik ke bilik mangsa di tingkat atas sebelum terserempak dengan mangsa yang kemudian melepaskan dua das tembakan ke arahnya.

Walau pun tindakan mangsa itu mengakibatkan kehilangan nyawa suspek, masyarakat umum boleh menerimanya sebagai betul, terutama di atas premis mempertahankan diri dan ahli keluarganya, serta keselamatan harta bendanya.

Maka, apabila dalam kes di Besut tadi, “hukuman” diterima suspek hanyalah melibatkan kehilangan pergelangan tangan, kebanyakan anggota masyarakat menganggapnya “hukuman” yang tidak sepatutnya dipertikaikan. Malah antara mereka mengandaikan “hukuman” itu bakal menjadi pengajaran kepada suspek seumur hidupnya.

“Sampai bila-bila pun dia (suspek) akan ingat dan tak akan berani mencuri lagi bila tengok tangannya yang sebegitu,” telah mereka.

Agak menarik, secara kebetulannya “hukuman” diterima suspek itu secara zahirnya “menyamai” pendekatan terdapat dalam hukum Islam. Kita sedia maklum bahawa salah satu jenayah syariah di bawah hudud ialah mencuri. Hukuman bagi mereka yang sabit kesalahan mencuri ialah dipotong tangan.

Hukuman inilah yang sangat ditentang dan dimomokkan sebilangan pihak dalam negara kita sendiri, terutama ekoran hasrat dua kerajaan diterajui PAS (Kelantan dan Terengganu) mendaulatkan hudud dan qisas sebelum ini.

Apa yang ditakdirkan Allah berlaku di Besut itu semacam suatu kesempatan untuk kita meninjau pendapat dan penilaian masyarakat umum tentang hukuman bersesuaian untuk seorang penjenayah, khususnya pencuri.

Alhamdulillah, sebagaimana dicatatkan di atas, reaksi mereka seakan memberikan isyarat jelas bahawa hukum memotong tangan pencuri bukan suatu digeruni, sebaliknya dialu-alukan!

(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily, 10 Disember 2010 dengan tajuk "Eloklah ajar pencuri macam tu!")

No comments:

Post a Comment