Friday, June 25, 1999

BN wujudkan sistem pentadbiran yang celaru


Oleh: Mohd Nasir Awang

Siapa kata hanya Umno dan Barisan Nasional (BN) yang mampu memerintah negara ini? Pandai sangat dan efisien benarkah kerajaan BN serta para pegawai tadbirnya sekira-kira tidak dapat ditandingi oleh orang lain? Apakah betul lain-lain parti selain BN tidak mampu dan tidak mempunyai kepandaian mentadbir negara ini?

Persoalan-persoalan di atas timbul ekoran dakwaan para pemimpin Umno/BN hanya mereka yang mampu memerintah negara. Itulah fahaman yang sering mereka momokkan. Itulah juga anggapan yang cuba diindoktrinasikan ke dalam pemikiran seluruh rakyat menerusi berbagai saluran media cetak yang dikuasai parti pemerintah.

Fahaman bahawa hanya Umno/BN yang mampu memerintah ternyata satu fahaman yang sangat terpesong, sama ada dari aspek akidah mahu pun realiti yang dihadapi negara kini. Ia sekaligus mengongkong minda rakyat untuk memilih mana-mana kerajaan yang mereka suka, secara bijaksana. Ia juga menyerlahkan lagi kegelojohan para pemimpin BN untuk terus-terusan memonopoli pemerintahan. Paling ketara, ia menggambarkan betapa nipisnya pergantungan para pemimpin BN terhadap kuasa dan kehendak Allah Taala dalam menentukan sesuatu.

Sebab itu Presiden PAS, Dato’ Haji Fadzil Noor menyifatkan fahaman itu sebagai khurafat. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pula menganggap ia sebagai salah satu cabang kesesatan perjuangan Umno.

Berdasarkan track-record pemerintahan Umno/BN, terbukti bahawa kehebatan pentadbiran BN dalam banyak perkara hanyalah indah khabar dari rupa. Slogan-slogan pentadbiran seperti ‘Bersih, Cekap dan Amanah’, ‘Cepat dan Betul’ umpamanya, hanya tinggal sebagai pemanis mulut. Kempen-kempen ‘Budaya Kerja Cemerlang’ dan ‘Tingkatkan Kualiti Perkhidmatan’ juga terlalu jauh dari menepati sasarannya.

Itulah yang diucapkan oleh Presiden PAS menerusi ucapan dasar beliau yang terbaru bertemakan ‘Bersama Menegakkan Keadilan’. Negara berbelanja besar bagi mewujudkan perkhidmatan cemerlang, tetapi ia mewujudkan satu sistem pentadbiran yang celaru.

Walau pun ucapan beliau itu merujuk kepada kecelaruan yang timbul dalam pengurusan pendaftaran pemilih di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini, beberapa kes lain membabitkan pentadbiran kerajaan memperkukuhkan lagi dakwaan Presiden PAS itu. Sebagai contoh, kita sebutkan di sini untuk penelitian umum.

Kes 1: Operasi Saman Ekor
Masakan rakyat negara ini sudah lupa betapa gegak-gempitanya negara apabila pihak polis melaksanakan operasi yang digelar ‘Saman Ekor’. Melalui sistem itu, kenderaan yang melakukan kesalahan jalan raya dikenalpasti menerusi nombor pendaftaran kenderaan berkenaan, sama ada menerusi pengawasan pegawai polis atau rakaman kamera di tempat strategik. Kenderaan berkenaan tidak perlu ditahan dan pemandunya juga tidak boleh disoal siasat on the spot.

Surat saman dikeluarkan kemudian, dan diposkan kepada alamat pemilik kenderaan berkenaan berdasarkan rekod yang ada di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Tentunya ia dikeluarkan atas nama pemilik kenderaan, tidak kira siapa yang memandu kenderaan tersebut di waktu kesalahan itu dikesan.

Keadaan menjadi gempar apabila berlaku kes-kes yang melangkaui batas munasabah. Satu contoh yang ketara, bagaimana seorang pemilik motosikal buruk di Perak yang tidak pernah memiliki kereta disaman kerana memandu kereta yang dikatakan miliknya, melebihi had kelajuan maksima di Terengganu. Sedangkan pada tarikh dan waktu yang didakwa kesalahan itu dilakukan, beliau sedang berada di dalam kebun beliau berdekatan rumahnya.

Hari demi hari ada-ada saja kes-kes seumpama itu yang dipaparkan di dada akhbar, membabitkan berbagai jenis kenderaan. Bercelaru, bukan? Sedangkan institusi polis itu adalah di bawah pentadbiran kerajaan BN yang mendakwa mereka ‘Cepat dan Betul’.

Kes 2: UPU infoLINE
Kecelaruan juga wujud dalam pentadbiran Unit Pusat Universiti (UPU). Tahun lalu, UPU infoLINE pertama kali diperkenalkan untuk membolehkan pelajar mengetahui secara lebih cepat keputusan permohonan mereka melanjutkan pelajaran ke salah sebuah daripada 11 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang diuruskan kemasukannya oleh UPU. Ia dikira bertepatan dengan laungan kerajaan untuk mewujudkan sistem maklumat di hujung jari.

Bagaimana pun, ia gagal berfungsi seperti yang diharapkan. Keadaan menjadi kelam-kabut apabila ada antara para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak cemerlang kelulusannya mendapat tawaran. Sedangkan pelajar yang mendapat Gred Satu dengan agregat yang bagus diberitakan gagal.

UPU yang cuba menutup kelemahan mereka memberikan pelbagai alasan. Sebanyak 24,000 borang permohonan yang dikemukakan oleh lepasan SPM/SPMV kononnya tidak dapat diproses berikutan kesilapan calon mengisi borang. Ertinya, kalau sudah tidak tahu mengisi borang, bagaimana hendak belajar di universiti?

Dalam ertikata yang lain, 24,000 pelajar berkenaan didakwa belum cukup cerdik, walau pun sebahagian mereka memperolehi keputusan peperiksaan yang sangat cemerlang. Apakah sungguh bagai dikata? Ibu bapa kepada para pelajar terlibat lebih arif menjawabnya.

Kes 3: Laporan Ketua Audit Negara
Ketua Audit Negara, Datuk Mohd Khalid Noor dalam laporannya untuk tahun 1997 telah mendedahkan beberapa kelemahan, kecuaian dan tidak teliti dalam perancangan yang didapatinya berlaku dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan.

Menurut kenyataan beliau yang disiarkan akhbar The Star, 26 Oktober 1998, didapati 55 peralatan perubatan bernilai RM1.41 juta terbiar tanpa digunakan hospital dan klinik pergigian kerajaan seluruh negara. Sebahagian tidak pernah digunakan sejak November 1995.

Sebab musabab berlakunya pembaziran tersebut amat menarik. Antaranya disebutkan tiada tenaga mahir untuk mengendalikan peralatan itu. Ertinya, kerajaan BN tidak cukup tenaga mahir di hospital dan klinik. Ada juga peralatan yang dibeli tanpa aksesori yang cukup menyebabkan ia tidak dapat digunakan.

Antara contoh yang diberikan ialah dua set mikroskop yang setiap satunya bernilai RM49,950, masing-masing satu di Hospital Muar dan Hospital Kangar. Ia tidak pernah digunakan sejak lebih 20 bulan lalu.

Begitu juga dengan mesin ujian tekanan (stress test) di Hospital Kajang yang bernilai RM60,700 gagal dimanfaatkan sejak lebih setahun lalu. Dato’ Khalil menyifatkan perkara tersebut sebagai “weaknesses in the acquisition of equipment”. Adakah orang PAS yang merancang pembelian tersebut?

Laporan yang sama juga menyebutkan poor revenue management yang berlaku di beberapa jabatan kerajaan. Sebagai contoh, Jabatan Imigresen di Pusat Bandar Damansara gagal menunaikan 4,680 bank deraf bernilai RM32 juta dalam tempoh mereka. Daripada jumlah tersebut, hanya RM14.97 juta yang dapat dipungut kembali kemudiannya daripada pihak yang mengeluarkan deraf-deraf berkenaan. Baki lebih RM17 juta menjadi kerugian yang ditanggung kerajaan.

Masalah kehilangan cek dan terlebih bayar juga dilaporkan berlaku di beberapa jabatan dan kementerian. Jumlah yang terlibat bukan ratusan ringgit, tetapi ratusan ribu dan puluhan juta ringgit. Umpamanya, sekeping cek bernilai RM228,238.00 hilang dalam pejabat Ketua Akauntan Kementerian Kerja Raya. Ia kini masih dalam siasatan polis.

Kerajaan juga terlebih bayar kepada Kumpulan Ikram Sdn. Bhd. untuk projek penswastaan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) sebanyak RM16.11 juta nilai khidmat yang sepatutnya diberikan oleh syarikat berkenaan.

Banyak lagi contoh yang dapat kita utarakan. Antaranya, Laporan Audit Negeri Terengganu Tahun 1997 mengenai aktiviti-aktiviti Jabatan Negeri dan Kajian Khas. Di sana ada disebutkan tentang unsur tidak teliti para pegawai kerajaan negeri (yang diperintah BN, tentunya!) dalam pelaksanaan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

Kita percaya rakyat mempunyai alasan yang sangat kukuh untuk mempertikaikan kewibawaan BN untuk terus mentadbir negara. Kalau di bawah pentadbiran BN sendiri wujud kelemahan pengurusan, tidak teliti, tidak cekap, tidak cukup tenaga mahir dan segala macam kecelaruan lagi, maka apalah modal BN untuk menidakkan kemampuan pihak lain mengambil alih pentadbiran negara?

Lagi pun, para pemimpin BN memang tidak dapat memastikan bahawa di sebalik setiap kejayaan dan kecemerlangan pentadbirannya selama ini tidak ada langsung saham orang lain selain orang BN. Apakah semua pegawai kerajaan itu ahli Umno/BN sahaja?

Yang kita tahu, hampir semua pejabat kerajaan, separa kerajaan, swasta, sekolah dan universiti terdapat ahli dan penyokong parti pembangkang, terutamanya PAS. Mereka bila-bila masa bersedia meneruskan khidmat masing-masing di bawah pemerintahan kerajaan alternatif.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, edisi 25 Jun 1999 dengan tajuk sama)


No comments:

Post a Comment