Tuesday, June 15, 1999

Tradisi PAS Juarai Keadilan

Oleh: Mohd Nasir Awang

SEPERTI yang diduga, Parti Islam SeMalaysia (PAS) memilih persoalan keadilan sebagai tema utama perjuangannya kali ini. Lazimnya, tema itu akan kekal diperkata, dibahas dan dimunaqasyah oleh segenap lapisan ahli PAS, sekurang-kurangnya untuk jangkamasa setahun akan datang. Surat-surat rasmi parti di semua peringkat organisasi juga akan disudahi dengan motto “Bersama Menegakkan Keadilan”.

Slogan menegakkan keadilan dengan tiba-tiba begitu popular dilaungkan oleh pelbagai pihak selepas berlaku pergolakan dalam Umno yang menyaksikan tersingkirnya Timbalan Presiden mereka, Anwar Ibrahim daripada parti dan kerajaan, September 1998. Atas alasan itu barangkali, ada pihak yang menuduh PAS mengambil kesempatan dari isu Anwar ini untuk meuar-uarkan perjuangan menegakkan keadilan.

Bagi PAS yang berjuang di atas asas Islam, prinsip keadilan sangat jelas sekali  - bahawa hanya Islam yang mampu melimpahkan keadilan kepada manusia dan makhluk lain di muka bumi ini. Perjuangan menentang kezaliman dan menegakkan keadilan telah terlembaga dalam PAS sejak ia ditubuhkan hampir 50 tahun lalu.

Fasal Enam Perlembagaan PAS dengan jelas mengungkapkan usaha-usaha parti itu, antara lain melalui Ceraian (2): “Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.”

Justeru, perjuangan yang paling utama bagi PAS ialah menegakkan Negara Islam. Tanpa pemerintahan Islam yang merujuk kepada al-Quran dan Sunnah, keadilan sebenar tidak mungkin berjaya dikecapi. Bahkan, tidak dilaksanakan pemerintahan Islam itu sendiri adalah suatu kezaliman.

Komitmen PAS terhadap perjuangan keadilan tidak pernah padam sepanjang usianya. Sesiapa jua yang bersedia mengakui kebenaran sejarah akan memperakui hakikat ini. Setiap pemimpin utama PAS yang silih-berganti tidak pernah jemu mengulang-ulangi slogan keadilan. Sorotan ucapan-ucapan dasar mereka di muktamar-muktamar tahunan PAS boleh dijadikan bukti komitmen PAS itu.

Yang Dipertua Agung PAS, Dr. Burhanuddin al-Helmi, di dalam ucapan dasarnya di Muktamar Agung Kesembilan pada tahun 1960 mengajak ahli-ahli PAS menghancurkan kerajaan Perikatan yang disifatkannya sebagai “pihak-pihak yang tidak tahu di mana letaknya kebenaran, keadilan dan mementingkan diri mereka sendiri.”

Dua tahun selepas itu, di Muktamar Agung PAS ke-11, beliau menyebut dengan lebih jelas tentang prinsip keadilan dalam perjuangan PAS dengan katanya: “PAS telah nampak bahawa tidak akan dapat diselamatkan umat Islam, negara ini dan juga rakyat keseluruhannya melainkan dengan berpegang kepada ajaran dan asas pemerintahan yang adil dan jujur seperti yang diajarkan oleh al-Quran.”

Menurut Dr. Burhanuddin lagi, dengan menjadikan keadilan Islam di dalam undang-undang dan politik negara ini sebagai asas pemerintahan akan dapat menyelesaikan masalah-masalah yang timbul.

“Kita insaf bahawa punca kesalahan pemerintahan yang besar ialah kezaliman dan apabila kezaliman berlaku walau dalam bentuk apapun akan terganggulah ketenteraman hidup masyarakat dalam negara ini.”

Dalam ucapan dasar setahun kemudian, Dr. Burhanuddin menyebut pula, “kerana parti PAS ini berjuang berdasarkan kefahaman Islam, maka perlulah kita memberitahu kepada orang-orang yang bukan Islam supaya jangan menaruh perasaan gentar dan curiga terhadap PAS. Fahaman Islam mempunyai perikemanusiaan yang begitu adil dan beradab. Fahaman yang mengajak seluruh insan supaya hidup aman damai dengan menghormati hak masing-masing.”

Perjuangan keadilan tidak terhenti sekali pun PAS menyertai gabungan pemerintahan Perikatan, kemudiannya BN, antara tahun 1971-1977. Hakikat ini jelas terungkap dalam ucapan dasar di Kongres Agung PAS ke-21 pada tahun 1975. Dato’ Asri Muda selaku Yang Dipertua Agung PAS berkata: “Sebagai sebuah parti yang matlamatnya sangat unggul, bagi memenuhi cita-cita Islam, maka unsur-unsur keadilan dan semangat negara utama (madinah fadilah) di mana semua rakyat perlu hidup bahagia, hendaklah diusahakan untuk disempurnakan. Mission kita adalah tegas bagi mencapai matlamat itu dan segenap ikhtiar dan usaha untuk ke arah itu adalah dalam perhatian kita yang waspada.”

Sebagai komponen parti yang memerintah, PAS menuntut usaha-usaha yang lebih revolusioner dan peruntukan yang lebih besar serta kerja-kerja yang lebih jujur dan optima daripada kerajaan Perikatan bagi mengatasi kesulitan golongan yang termundur seperti kaum nelayan atau rakyat luar bandar yang belum mengecapi agihan kekayaan negara secara adil.

Sebaik sahaja diamanahkan mengambilalih teraju kepimpinan PAS daripada Asri, Haji Yusof Abdullah ar-Rawi lewat ucapan dasar pertamanya, bertema “Ke Arah Pembebasan Ummah” pada tahun 1983, mempertegaskan prinsip perjuangan PAS. Antara lain beliau menyebut: “Biarlah manusia seluruhnya mengerti bahawa perjuangan Islam ialah perjuangan membebaskan manusia dan kepalsuan, kezaliman, penindasan dan penderitaan. Perjuangan Islam ialah perjuangan menegakkan keadilan, perdamaian, kebenaran dan kesejahteraan.”

Bahkan, beliau pergi lebih jauh dengan meletakkan persoalan keadilan sebagai agenda tahunan PAS. Tahun yang dianggap sebagai kemuncak perjuangan keadilan di dalam PAS ialah tahun 1985. PAS memilih tema tahunannya “Bertindak Menentang Kezaliman”.  Bahawa kezaliman dalam bentuk apapun mesti ditentang dan ditegakkan keadilan sebagai gantinya.

Haji Yusof juga telah mencetuskan idea menjadikan PAS sebagai pelopor kepada sebuah gerakan keadilan yang menyatukan semua pihak yang menuntutnya. Lewat tema “Teguhkan Jamaah Teruskan Jihad” pada tahun 1986, Haji Yusof mencabar ahli-ahli PAS dengan katanya, “kita mesti menggerakkan jamaah kita sebagai kekuatan politik yang membawa penyatuan gerakan keadilan di negara ini berlandaskan prinsip-prinsip Islam.”

Bagi Haji Yusof, PAS merupakan salah satu di antara mata rantai perjuangan mustadhafin sejagat yang bersatu di bawah panji-panji keadilan dan kesejahteraan untuk menentang kezaliman, eksploitasi, dan penindasan mustakbirin.

“Kita mencintainya (PAS) kerana ia telah, sedang dan insyaAllah akan terus menjadi wadah himpunan kaum mustadhafin yang setia kepada kebenaran dan perjuangan untuk menegakkan keadilan dan menentang kezaliman dalam apa juga bentuknya,” tegas Haji Yusof dalam ucapan dasar bertajuk “Membina Ketahanan Ummah” yang merupakan ucapan dasar terakhir beliau sebagai Yang Dipertua Agung PAS.

Idealisme perjuangan Haji Yusof disambung oleh pengganti beliau, Ustaz Fadzil Mohd Noor. Nasib Ustaz Fadzil lebih baik, kerana dalam era kepimpinannya, suasana politik negara memungkinkan beliau merealisasikan penyatuan gerakan keadilan di negara ini.

Dalam menghadapi Pilihanraya Umum 1990, PAS mengadakan kerjasama dengan Angkatan Perpaduan Ummah yang dianggotai Parti Semangat 46, Barisan Jamiah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) dan Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim). Antara asas perjuangan yang disepakati ialah menentang kezaliman BN dan menegakkan keadilan politik, ekonomi dan sosial.

Ustaz Fadzil merakamkan kesepakatan itu dalam ucapan dasarnya “Maju Bersama Islam”.  “Kerjasama PAS dan Angkatan Perpaduan Ummah berasaskan penerimaan untuk berjuang bagi menegakkan Islam sebagai satu sistem hidup yang lengkap, sebagai ad-deen yang sempurna yang mencakup seluruh aspek kehidupan termasuklah politik, ekonomi, sosial dan lain-lain bagi mencapai keadilan, kebenaran dan kesejahteraan,” katanya.

Manifesto Politik/Pilihan Raya PAS 1990 dengan jelas meletakkan keadilan sebagai ciri kepimpinan Kerajaan PAS yang ditawarkan. Ia menyebut: “Keadilan adalah tunggak kepimpinan. Keadilan undang-undang dan sosio-ekonomi adalah faktor penting untuk mewujudkan negara yang maju, makmur dan sejahtera.”

Kejayaan PAS memerintah negeri Kelantan membuka ruang kepada parti itu membuktikan secara amali program-program yang dijanjikan dalam manifesto negeri, di samping melaksanakan prinsip-prinsip pemerintahan Islam yang dilaungkan selama ini, termasuk keadilan. Keupayaan pimpinan PAS Kelantan merealisasikannya diiktiraf melalui ucapan dasar “Bersatu Menegakkan Islam” di Muktamar Tahunan PAS ke-37 pada tahun 1991.

“Pimpinan Kerajaan Kelantan akan terus melaksanakan program-program yang dijanjikan dalam manifesto negeri dan terus menjunjung dan melaksanakan prinsip keadilan yang menjadi teras dalam pemerintahan Islam,” ucapan itu dipetik.

Namun, itu belum memadai buat PAS. Menguasai sebuah kerajaan negeri tidak memberi begitu banyak ruang untuk mendaulatkan Islam secara syumul, sebagai mana yang dituntut oleh agama. Ustaz Fadzil meluahkan hakikat ini di dalam ucapan dasar “Menyanggah Fikrah Maddiyyah”:

“Kita akan terus memperjuangkan keadilan Islam dalam semua bidang kehidupan masyarakat. Ikrar ini kita ulangi sekali lagi di muktamar ini atas kesedaran bahawa keadilan tidak mungkin akan dinikmati oleh masyarakat jika tidak diperjuangkan.”

Oleh kerana PAS sebagai wadah yang memperjuangkan Islam secara syumul, PAS mestilah memikul amanah memperjuangkan keadilan itu. Bagi PAS, kemuncak ketidakadilan ialah apabila sesebuah kerajaan tidak berusaha melaksanakan sistem Islam sepenuhnya. Adalah suatu kezaliman apabila hukum Allah sendiri telah dihalang perlaksanaannya. Ini telah dilakukan terang-terangan oleh BN.

Pemilihan motto “Bersama Menegakkan Keadilan” sebagai tema tahunan PAS 1999 sememangnya tepat pada masa dan kena dengan iklim politik semasa tanahair. Ia mampu menggamatkan lagi laungan keadilan yang telah diteriakkan oleh PAS sejak sekian lama.

Lagi pun, sejak setahun yang lalu, keupayaan PAS menjuarai keadilan telah diiktiraf oleh masyarakat alternatif negara ini. Itulah yang terserlah melalui kepimpinan PAS di dalam Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak), sebuah tanzim induk yang dianggotai empat parti politik dan belasan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Mungkin Haji Yusof Rawa boleh tersenyum kini bahawa lontaran idea beliau lebih dua belas tahun lalu kini direalisasikan – PAS menjadi pelopor kepada penyatuan gerakan keadilan di negara ini.     

(Artikel ini disiarkan majalah Detik, edisi 15 Jun 1999 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment