Thursday, July 15, 1999

Bersama Menegakkan Keadilan – Deklarasi PAS Untuk Menumbangkan BN


Oleh: Mohd Nasir Awang

Secara tradisi, belum pernah ada satu pun daripada ucapan-ucapan dasar Parti Islam SeMalaysia (PAS) di kongres atau muktamar tahunannya yang tidak mengemukakan kepincangan dan kegagalan pemerintahan negara yang diterajui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno). Tradisi yang dimaksudkan itu tentunya tidak melibatkan beberapa tahun di era 70-an, bila mana PAS bersama-sama bergabung dengan Umno di dalam Perikatan (kemudiannya Barisan Nasional – BN).

Sedari awal penubuhannya, PAS sering menampilkan dirinya sebagai parti alternatif kepada rakyat untuk menerajui negara. Alternatif yang dikemukakan ialah penubuhan sebuah negara beramanah dan berkebajikan, yang wujud di dalamnya sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumNya menuju keredhaan Allah.

Kesungguhan PAS terus-terusan menuntut perubahan dalam pemerintahan negara sebenarnya banyak didorong oleh faktor kepincangan pentadbiran dan kegagalan pemerintahan Umno/BN itu sendiri. Jika ditinjau ucapan-ucapan dasar Yang Dipertua Agung (kini disebut Presiden) PAS sejak dahulu, di sana terakam perihal kepincangan dan kegagalan pemerintahan yang dimaksudkan itu.

Ucapan-ucapan Dr. Burhanuddin Mohd Noor Al-Helmy, Dato’ Mohd Asri Muda, Yusof Abdullah ar-Rawi, dan Dato’ Fadzil Mohd Noor jelas menzahirkan keseimbangan perjuangan PAS yang tidak pernah terpesong dari landasan asalnya.

Bersama Menegakkan Keadilan (BMK), yang dipilih sebagai tema Ucapan Dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS ke 45 pada 28 Mei lalu, adalah salah satu di antara mata rantai perjuangan terdahulu. Ia boleh dianggap sebagai deklarasi atau pengisytiharan terbuka PAS mengenai prinsip dan matlamat perjuangan parti itu. Lebih dari itu, ia juga menghidangkan berbagai visi dan misi pemerintahan PAS, sebagai alternatif kepada apa yang sedang wujud dalam pemerintahan sekarang.

Terdapat beberapa sebab yang serius mengapa PAS merasakan kerajaan yang ada sekarang perlu ditumbangkan. Ia tentunya berkait rapat dengan kepincangan pentadbiran dan kegagalan pemerintahan BN, sebagaimana yang sekian lama disuarakan oleh PAS. BMK merakamkannya satu persatu.

Pertama: BN gagal (malah tidak pernah berusaha) melaksanakan undang-undang Allah.  Berdasarkan aqidah kepercayaan kepada Allah, setiap manusia hendaklah tunduk dan patuh mengabdikan diri kepada Allah secara mutlak. Mereka tidak boleh mengadakan undang-undang dan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah.

Maka Islam mendefinisikan syirik yang menjadi ibu kezaliman bukan sahaja dalam aspek ibadah, tetapi juga dalam aspek hukum, undang-undang dan peraturan-peraturan yang diciptakan (BMK muka surat 5-6).

Keceluparan para pemimpin BN menolak pelaksanaan undang-undang Islam memang diketahui umum. Mereka bukan sahaja tidak berusaha dan tidak bersedia mendaulatkan undang-undang Allah, malah berani menghina dan mempersenda-sendakannya. Antara mereka pernah menyebut, “kalau dilaksanakan undang-undang Islam dalam negara ini, nescaya ramai rakyat yang akan kudung tangan (dipotong kerana mencuri).”

Ada juga yang berkata, “undang-undang Islam hanya sesuai untuk zaman unta”. Dan lagi, “daripada kita gunakan batu untuk merejam orang berzina (mengikut hukum Islam), lebih baik kita gunakannya untuk buat jalan raya”.

Bahkan, apabila kerajaan PAS Kelantan mengisytiharkan hasrat mendaulatkan hukum Islam di negeri itu, ada pemimpin BN yang memperli, “nanti, kalau nak makan sup tangan, pergilah ke Kelantan!”.

Itu sekadar menyebutkan beberapa contoh yang sudah dimaklumi umum. Kesemua itu sebenarnya melayakkan BN untuk dianggap menyekutukan Allah dalam konteks menegakkan undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah. Sebuah kerajaan yang zalim terhadap hukum Allah tentu sekali wajib ditumbangkan.

Kedua: Kerajaan BN menganut faham sekularisme yang sangat bercanggah dengan Islam.  Sekularisme dalam erti kata memisahkan urusan duniawi dengan agama atau tanggungjawab terhadap Allah. BMK menyebut: “Negara kita sekarang dikuasai oleh golongan politik yang mengadakan hubungan sekali-sekala dengan Allah apabila bersembahyang dan  mengerjakan haji sahaja. Mereka memisahkan kegiatan duniawi mereka dengan Allah SWT.”

Islam mewajibkan kepada mereka yang memegang tampuk pemerintahan berpaut dengan ikatan kewajiban agama dalam segala tindakan peribadi dan masyarakat. Kerana, apabila ia terpisah daripada agama atau agama dianggap perkara sampingan daripadanya, adalah terlalu mudah berlakunya segala macam penyelewengan. Mereka tidak mementingkan akhlak yang mulia terhadap Allah dan makhlukNya.

Negara diancam berbagai kepincangan politik akibat tiada rasa takut atau malu terhadap Allah. Politik wang berleluasa, politik dianggap barang lelong yang diperniagakan atau peluang pekerjaan yang paling tinggi jawatannya. Ini membawa kepada perebutan dan mempertahankan kedudukan yang menyebabkan berlakunya kezaliman kepada manusia (lihat BMK muka surat 7,9 dan 10).

Ketiga: Umno/BN juga melakukan kesalahan yang sukar dimaafkan apabila meletakkan materialisme sebagai kiblat ekonomi negara. Materialisme sebagai fahaman memuja kebendaan adalah salah satu cabang sekularisme. Kegiatan ekonomi dipisahkan daripada kewajiban agama yang berlandaskan kepada beriman kepada Allah dan seluruh ajaranNya.

Maka kegiatan ekonomi hanya dikawal oleh faktor kebendaan sahaja. Apa pun boleh dilakukan, asal sahaja dalam perkiraan kebendaan ianya menguntungkan. Faktor rohaniah dalam konteks dosa dan pahala, serta tanggungjawab terhadap masyarakat sudah bukan agenda lagi.

Kerajaan BN masih memilih untuk terus beramal dengan sistem ekonomi yang bertuhankan kebendaan itu. Sedikit muamalah Islam yang diperkenalkan masih tidak mampu untuk menongkah arus perdana ekonomi yang dikuasai oleh Qarun-Qarun yang bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin utama BN yang berkuasa.

Mereka menguasai politik dengan kegiatan ekonomi sehingga sanggup meluluskan projek-projek mewah walau pun menjahanamkan ekonomi negara. Wang rakyat di dalam Petronas, KWSP, Tabung Haji dan lain-lain digunakan untuk menyelamatkan krooni pemerintah yang kelemasan. Tanah rakyat dirampas dan rumah-rumah rakyat yang menumpang di atas tanah kerajaan (setinggan) dirempuh penuh rakus semata-mata memenuhi hasrat Qarun-Qarun itu.

Keempat: Yang memestikan tumbangnya kerajaan BN ialah kezaliman sosial yang dilakukannya. BMK menyebutkan, Islam mewajibkan keadilan itu ditegakkan secara menyeluruh dalam semua perkara yang melibatkan semua pihak dan terhadap semua golongan, termasuklah adil terhadap musuh. Permusuhan tidak mengharuskan seseorang itu melakukan kezaliman. 

Menurut Islam, sebuah kerajaan yang berlaku adil terhadap rakyatnya membawa keberkatan dan keamanan. Hubungan baik yang wujud antara rakyat dengan kerajaan melahirkan ketaatan, sokongan yang ikhlas dan sikap saling mempercayai. Natijahnya, akan wujud pula semangat dan kerjasama sabaik-baiknya daripada semua pihak.

Kezaliman sebaliknya menimbulkan kebencian dan penentangan, ketaatan yang tidak ikhlas, ketidaktelusan yang membahayakan dan mewujudkan golongan pengampu yang bohong dan khianat. Keberkatan dan ketenteraman sukar diwujudkan.

Inilah yang menjadi realiti sepanjang pemerintahan BN. “Kita insaf bahawa punca kesalahan pemerintahan yang besar ialah kezaliman dan apabila kezaliman berlaku walau dalam bentuk apa pun, akan terganggulah ketenteraman hidup masyarakat dalam negara ini,” tegas Dr. Burhanuddin dalam ucapan dasarnya pada tahun 1962 lalu.

Hampir empat dekad telah berlalu, namun apa yang disuarakan oleh Dr. Burhanuddin itu masih menjadi anutan dan amalan pihak pemerintah. Ada benarnya kata beliau, selagi kezaliman itu tidak dibetulkan maka selama itulah kepincangan akan terus ada di dalam negara ini. Apakah kita rela membiarkan kerajaan sebegini meneruskan kezalimannya?

Kelima: BN juga sewajarnya ditumbangkan apabila terbukti gagal menguruskan ekonomi negara. BMK mengulasnya, kemelesetan (ekonomi) yang amat ketara ini menggambarkan kegagalan pihak berkuasa dalam pengurusan ekonomi negara. Ada pembaziran dan keborosan sumber.

Asas dan fundamental ekonomi yang berteraskan penilaian kebendaan semata-mata telah menghasilkan pembangunan yang terlalu kebendaan, ekonomi yang overheating dan tidak sustainable. Pacuan pembangunan yang tidak berhemat menyebabkan ekonomi rapuh dan berbuih. Malah institusi perbankan dan kewangan yang tidak bijak (prudent) menjadi sebab utama sektor ini runtuh.

Perhubungan sumbang sektor swasta/korporat tertentu dengan pihak eksekutif kerajaan yang kini popular dengan jolokan KKN (kronisme, korupsi, nepotisme) juga telah merosakkan amalan pengurusan yang telus, cekap dan adil. Hakikat ini pernah diperakui oleh beberapa pakar ekonomi negara.

Antara mereka ialah Pengarah Urusan Metrowangsa Asset Management Sdn.Bhd, Dr. Ghazali Atan sebagaimana yang disiarkan akhbar harian 17 Oktober 1998 lalu. Antara lain beliau menyebutkan, “masalah yang berlaku kepada usahawan Melayu dan usahawan di negara Asia ialah memberi peluang perniagaan kepada kawan yang tidak cekap kerana terikat dengan semangat setia kawan (kronisme) dan mengetepikan orang berkebolehan. Kita sepatutnya banyak memberi peluang perniagaan kepada seseorang kerana kepandaiannya dan bukan sebagai kawan atau atas dasar semangat setia kawan”.

Segala perlakuan sumbang itu terserlah apabila kronisme dan nepotisme menjadi topik perbahasan utama dalam Perhimpunan Agung Umno tahun lalu. Mereka saling tuduh-menuduh antara meraka, satu bukti jelas bahawa perilaku itu sememangnya menjadi amalan mereka selama ini.

Keenam: BN semakin tidak layak mengekalkan kuasa kerana para pemimpinnya semakin mengabaikan kebajikan rakyat. Slogan kerajaan yang kononnya berpegang kepada ‘Tradisi Membela Rakyat’ kini hanya tinggal omong kosong.

Umno yang suatu ketika pernah diakronimkan sebagai ‘Untuk Membela Nasib Orang Ramai’, semakin jauh dari realiti sebenar. Tanggungjawab kerajaan BN/Umno untuk membelanjakan sumber kewangan negara bagi keperluan dan kepentingan rakyat umum seperti lazimnya telah digantikan dengan pelaksanaan dasar penswastaan.

BMK menghuraikan dengan jelas sikap BN yang melepaskan diri daripada tanggungjawab.  Dasar penswastaan kerajaan BN/Umno telah mengubah sasaran daripada rakyat mendapat manfaat sebagai hak, terutama dalam perkara keperluan asas, kepada rakyat menjadi pengguna yang perlu membayar. Perubahan drastik seperti ini menampakkan perubahan pemikiran pada dasar kerajaan BN/Umno yang tidak lagi mempunyai sifat beramanah dan berkebajikan tetapi telah dirasuk untuk berfikir secara korporat.

Tanggungjawab kerajaan kepada rakyat telah dilepaskan melalui eksploitasi secara perniagaan atau dikomersialkan. Dengan itu semua khidmat yang disediakan terpaksa dibayar oleh rakyat yang memerlukannya.

Apabila bayaran itu menjadi hasil pendapatan utama pihak swasta yang menyediakan perkhidmatan, matlamat utama pihak swasta bukan lagi menyediakan perkhidmatan.  Keuntungan kebendaan menjadi ukuran, walau pun kualiti khidmatnya semakin menurun.

Sebab itu, setiap perkhidmatan kerajaan yang diswastakan mengalami kenaikan kos dan caj perkhidmatannya. Elektrik, telekomunikasi dan pos adalah antara sektor paling awal diswastakan dan sudah beberapa kali mengalami kenaikan caj perkhidmatan. Penswastaan pengurusan pembetungan dan pelupusan sisa pepejal turut mengundang kontroversi. Selain caj perkhidmatannya yang terlalu tinggi, perkhidmatannya juga tidak menentu dan menyulitkan pengguna.

BMK juga menghuraikan agak panjang mengenai pengkorporatan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan percambahan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang menambahkan beban kepada rakyat dalam usaha mendapatkan pendidikan dalam negara ini.

Ketujuh: Kewujudan sistem pentadbiran yang celaru turut meruntuhkan kredibiliti BN sebagai sebuah kerajaan yang cekap. Ia sekaligus memalukan rakyat, terutama mereka yang terlibat dalam perkhidmatan awam. Negara berbelanja besar bagi mewujudkan perkhidmatan cemerlang tetapi ia mewujudkan satu sistem pentadbiran yang celaru. Tidakkah ini memalukan perkhidmatan awam kita yang bertungkus-lumus untuk meningkatkan prestasinya? (BMK muka surat 29).

Perkara terakhir yang juga boleh dijadikan sebab mengapa BN perlu diundurkan dari kerajaan ialah perihal rakyat bukan Islam. Ada yang menyatakan bahawa sekiranya PAS memerintah maka negara akan menjadi huru-hara, akan timbul perbalahan antara kaum (BMK muka surat 34).

Berdasarkan pengalaman lalu, antara pihak paling banyak mengeluarkan kenyataan menakut-nakutkan rakyat bukan Islam terhadap Islam ialah para pemimpin negara sendiri. Atas sebab itu, BN wajar ditumbangkan agar PAS berpeluang membuktikan keadaan yang sebaliknya. 

Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS adalah bertujuan untuk menegakkan keadilan.  Ciri keadilan yang diperjuangkan oleh PAS adalah bersifat universal. Keadilan ini bukan tertumpu kepada orang Melayu sahaja atau orang Islam sahaja.

Segala kegagalan dan kepincangan yang wujud dalam pemerintahan BN di atas semestinya melayakkan rakyat menuntut perubahan dalam kepimpinan negara. Untuk itu, BMK bolehlah dianggap sebagai seruan ikhlas PAS kepada seluruh rakyat untuk bangkit menolak BN. 

Logiknya, tidak akan dapat ditegakkan keadilan selagi Islam tidak didaulatkan dalam negara.  Sedangkan, Islam tidak akan dapat didaulatkan, selagi BN tidak ditumbangkan dari pemerintahan negara ini.

Rakyat sudah tidak berupaya menampung satu lagi kesilapan. Satu kesilapan kecil, dengan memberi mandat kepada BN terus memerintah, akan menyaksikan kehancuran negara yang sukar dipulihkan semula. Tolong jangan ulangi kesilapan lalu.

(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala "Anwar Diracun - Lawan Tetap Lawan" diselenggarakan Tarmizi Mohd Jam, diterbitkan sekitar Julai 1999).

No comments:

Post a Comment