Barangkali antara pencapaian paling membanggakan bagi Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamed kebelakangan ini ialah kemampuan beliau dibarisi bersama tokoh-tokoh agama untuk membicarakan soal-soal Islam.
Penyenaraian Mahathir sebagai salah seorang ahli panel Forum Perdana Ehwal Islam baru-baru ini benar-benar menepati cita-cita Mahathir sebelum ini. Bagi Mahathir, itu merupakan pengiktirafan masyarakat negara ini amnya, lebih-lebih lagi pihak berkuasa hal ehwal agama, tentang kelayakan beliau bercakap mengenai soal Islam.
Memanglah majlis forum seumpama itu menjadi acara paling diminati oleh umat Islam dewasa ini. Sesiapa sahaja yang berjaya membarisi penalis dikira akan berjaya juga mencuri hati para penonton. Tokoh-tokoh yang pada asalnya tidak dikenali umum, menjadi sangat popular apabila kerap muncul di forum seumpama itu.
Tetapi Mahathir sebenarnya tidak perlu kepada semua itu. Mahathir sudah tidak perlu lagi mencuri mana-mana hati rakyatnya. Sudah lama dia dikenali umum sebagai negarawan ulung. Beliau adalah PM paling rajin dan komited dengan kerjayanya.
Dalam pemerintahannya, terbina bermacam-macam magnum opus yang mencelikkan mata dunia atas keupayaan Malaysia. Nama Mahathir juga menjadi sebutan dunia sebagai pemimpin paling lantang di dunia sebelah sini, sehingga digelar Wira Dunia Ketiga.
Dalam negara sendiri, Mahathir adalah orang yang paling ditaati. Belum pernah ada seorang Perdana Menteri yang mampu menguasai ketiga-tiga cabang pentadbiran kerajaan, iaitu Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif.
Mahathir satu-satunya PM yang berjaya memperolehi kekuasaan itu. Cakapnya sebagai PM adalah arahan wajib dilaksanakan. Cakapnya sebagai seorang presiden parti adalah dasar yang mesti diterimapakai oleh semua ahli.
Dengan apa yang dicapainya, Mahathir sudah tentu tidak berhajat kepada kemasyhuran, lebih-lebih lagi untuk berhadapan dengan rakyatnya sendiri. Kalau pun dia perlu mencuri perhatian rakyatnya, Mahathir tidak perlu bersusah payah turun padang hingga ke pentas forum. Dia boleh memanfaatkan kaca TV atau corong radio milik kerajaan untuk berkomunikasi terus dengan seluruh rakyat.
Jelas sekali bahawa yang dicari oleh Mahathir bukanlah kemasyhuran. Yang cuba dicarinya ialah pengiktirafan dirinya sebagai tokoh agama. Kalau pun tidak ulama, Mahathir juga mahu dirinya dikenali sebagai bijak-pandai Islam. Dia mahu diakui mampu menghuraikan soal hukum-hakam Islam.
Ada pendapat mengatakan bahawa antara punca Mahathir menyingkir timbalannya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ada hubungkait langsung dengan imej Anwar sebagai simbol Islam dalam Umno.
Parti itu pernah menonjolkan beberapa tokoh agama seperti Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Dato’ Dr. Yusof Noor, Haji Awang Jabbar, Ustaz Dasuki Ahmad, dan Dato’ Dr. Abdul Hamid Othman. Mereka bagaimana pun tidak mendatangkan sebarang masalah kepada Mahathir. Pandangan dan pendapat mereka mengenai Islam tidak ada yang bercanggah dengan Mahathir, malah lebih banyak menuruti apa yang Mahathir mahu.
Tetapi berbeza halnya dengan Anwar. Imej Islam yang ada pada Anwar terlalu hebat untuk dikongkong oleh Mahathir. Walau pun Anwar tidak pernah menjadi Pengerusi Biro Agama Umno, cakap beliau mengenai Islam lebih diberi perhatian berbanding ulama-ulama Umno.
Para pemimpin negara dan cendikiawan Islam luar negara juga lebih suka merujuk kepada Anwar bila bercakap soal Islam di Malaysia. Hakikat ini amat merimaskan Mahathir. Dia merasakan dirinya seolah-olah dipermainkan oleh timbalannya.
Mahathir dikatakan mendapat beberapa anugerah kecemerlangan Islam dari negara luar seperti Anugerah Faisal dari Arab Saudi, Anugerah Tertinggi Al-Azhar dan beberapa anugerah tertinggi dari negara-negara Arab atas rekomendasi Anwar. Kalau tidak kerana Anwar, agak payah juga Mahathir hendak mendapat semua anugerah itu. Seolah-olah suara Anwar lebih diambilkira oleh dunia Islam antarabangsa daripada Mahathir sendiri.
Sejauhmana dakwaan itu benar, agak sukar dipastikan. Bagaimana pun, Mahathir nyata tidak senang dengan kemasyhuran imej Islam yang ada pada bekas timbalannya itu. Sebab itu antara aspek yang paling ditekankan oleh Mahathir dalam pertuduhan terhadap Anwar ialah soal moral dan imej Islam.
Disebut olehnya berulangkali dengan maksud memberi gambaran bahawa Anwar seorang yang nampak baik tetapi berperangai buruk. Seorang yang suka bercakap Islam tetapi melakukan perkara-perkara yang dikutuk oleh Islam.
Mahathir dikira sudah berjaya secara teknikal mengenepikan suara-suara Islam di dalam kerajaan. Dengan tersingkirnya Anwar, dan hilangnya ulama-ulama lantang di kaca TV, Mahathir rasa lebih selesa mengatur agenda Islamnya. Cakap-cakap Mahathir mengenai Islam akan diambilkira, walau pun mungkin tidak semua. Tidak ramai lagi yang sanggup mempersoalkan autoritinya dalam hal ehwal Islam.
Sekurang-kurangnya kehilangan tokoh-tokoh panel Forum Perdana tersohor sebelum ini seperti Dato’ Dr. Harun Din, Dato’ Ismail Kamus, Dato’ Dr. Hassan Ali dan Dr. Badrul Amin sudah dapat diisi. Antara pendatang baru dalam arena forum itu ialah Mahathir sendiri. Apakah ini melayakkan beliau digelar Sahibul Fadilah Mahathir Mohamed Al-Haj? Sudah lama Mahathir menunggu pengiktirafan itu.
(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala diselenggarakan oleh Tarmizi Mohd Jam bertajuk "Talqin Buat Tuan Haji Mahathir", yang diterbitkan sekitar Jun 1999.)
No comments:
Post a Comment