Oleh: Umar Basyir Nasir
Ada beberapa sebab mengapa Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamed beriya-iya mendakwa kononnya wujud campurtangan kuasa asing dalam kemelut politik negara mutakhir ini:
- Pertama, beliau cuba membuktikan bahawa beliau bukanlah satu-satunya pihak yang patut dipertanggungjawab atas kegawatan politik negara yang semakin sukar untuk beliau selesaikan.
- Kedua, beliau cuba secara halus menanamkan fahaman dan membina kes untuk membuktikan bahawa kononnya pihak penentangnya dan juga parti-parti pembangkang adalah agen kuasa asing. Pada masa yang sama, mendakwa beliau dan Umnolah yang patriotik.
- Ketiga, beliau cuba menarik perhatian negara-negara progresif dan anti-penjajahan di Asia, Afrika, Amerika Latin dan Eropah agar bersimpati kepadanya dan memandang serong terhadap golongan-golongan dalam negeri yang digambarkan sebagai musuhnya.
- Keempat, beliau cuba mencari justifikasi betapa Malaysia tidak memerlukan pemerhati bebas dari luar untuk memerhati perjalanan pilihan raya umum nanti. Dengan itu, Dr. Mahathir dan Barisan Nasional (BN) akan lebih bebas melakukan apa yang mereka suka menjelang pilihan raya nanti.
Sebab-sebab yang dinyatakan di atas agak sukar dinafikan oleh mana-mana pemimpin Umno, termasuk Dr. Mahathir sendiri. Lebih-lebih lagi jika diambilkira matlamat BN untuk terus berkuasa selepas pilihan raya nanti. BN selalunya sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai hasratnya.
Sejarah membuktikan bahawa segala cemuhan Dr. Mahathir kepada pihak asing tidak lebih suatu retorik atau sandiwara untuk meraih simpati rakyat. Kalau pun Dr. Mahathir, melalui propaganda media massa yang dikuasainya, mampu meyakinkan rakyat bahawa terdapat campurtangan kuasa asing dalam urusan dalaman dan dasar luar negara, ia adalah ibarat “membuka pekung di dada”.
Sejarah membuktikan bahawa saham terbesar terhadap campurtangan asing dalam pemerintahan negara datangnya daripada Dr. Mahathir dan BN sendiri. Dalam masa 18 tahun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, Malaysia tidak sunyi dari ditentukan oleh kuasa asing. Pada tahun 1984, Dr. Mahathir menandatangani Perjanjian Pertahanan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Casper Weinberger.
Apabila berlaku krisis kehakiman pada akhir 80-an, negara menyaksikan terpecatnya Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara, bersama beberapa hakim Mahkamah Agung. Dr. Mahathir tidak sekadar menggunakan pengamal undang-undang dalam negara untuk menyingkirkan mereka. Dia memungut hakim-hakim dari Singapura, Sri Lanka dan entah dari mana lagi untuk bersama-sama memasukkan hakim-hakim kita ke dalam ‘bakul sampah’ mahkamah.
Semasa krisis Teluk memuncak, Malaysia mengambil bahagian yang aktif menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang merestui Amerika Syarikat mengganyang Iraq dan seterusnya mengenakan pelbagai sekatan ke atas Iraq. Sekarang ini, Malaysia menyokong Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di bawah pimpinan Amerika mengebom dan memusnahkan Serbia, tanpa menjamin hak Kosovo untuk menentukan nasib mereka sendiri.
Dr. Mahathir juga secara sembunyi-sembunyi telah mencabuli ‘pantang-larang’ turun-temurun negara dalam berurusan dengan negara haram Israel. Ada timbalan menteri dedahkan di Parlimen bagaimana Malaysia telah mengadakan hubungan dagang dengan Israel.
Terdedah juga bagaimana Dr. Mahathir secara senyap-senyap mengundang sekumpulan belia Israel melawat Kuala Lumpur. Negara dikejutkan lagi dengan kehadiran pasukan kriket Israel. Rupa-rupanya itu sebagai syarat yang mesti dipersetujui Malaysia untuk melayakkan negara kita menjadi tuan rumah kejohanan sukan itu.
Dalam bidang ekonomi, Dr. Mahathir mengambil syarikat Solomon Smith Barney, yang terkenal sebagai spekulator penyangak, untuk menasihati beliau mendapatkan modal asing. Dalam memajukan Koridor Raya Multimedia (MSC), jawatankuasa penasihat utamanya terdiri daripada pakar-pakar asing belaka. Merekalah yang menentukan status dan dasar MSC. Bahkan, syarikat-syarikat gergasi asing sengaja diundang untuk menjadi bahagian penting dalam menjayakan projek MSC.
Oleh itu, teori penjajahan kuasa asing sepertimana yang digembar-gemburkan oleh Dr. Mahathir sebenarnya tidak lebih daripada “mengata dulang paku serpih”. Ia jelas sebagai persediaan Dr. Mahathir dan para pemimpin BN untuk memudahkan mereka melaksanakan agenda kotor mereka sepanjang perjalanan pilihan raya umum nanti.
(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala "Talqin Buat Tuan Haji Mahathir" diselenggarakan oleh Tarmizi Mohd Jam, diterbitkan sekitar Jun 1999).
No comments:
Post a Comment