Tuesday, June 15, 1999

Umno Rosak Bersama Agenda Mahathir



Oleh: Mohd Nasir Awang

Tidak syak lagi, Umno di bawah kepimpinan Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad kini sememangnya nampak sudah keletihan. Seolah-olah menunggu masa untuk ‘rebah’ menyembah bumi. Dr. Mahathir telah berjaya membawa Umno jauh menyimpang daripada landasan perjuangannya yang asal.

Tidak sebagaimana dahulu, Umno kini kelihatan muflis dari segi idea perubahan dan pembangunan ummah. Dalam kamus Umno sudah tidak ada rangka kerja yang sesuai untuk dijadikan model pembangunan rakyat.

Kamus terkini Umno dipenuhi istilah-istilah kronisme, nepotisme, rasuah, politik, wang, penyelewengan, salah laku, keruntuhan moral dan akhlak, dan gejala sosial. Malah hampir semua istilah pemusnah nilai kemanusiaan terkumpul di dalamnya.

Dr. Mahathir sering mendabik dada kononnya hanya Umno satu-satunya parti memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Dikatakan hanya Umno pejuang bangsa Melayu. Umno juga adalah parti Islam terbesar dalam negara dan ketiga di dunia. Umnolah juga yang bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.

Lagu tema Setia yang sering dikumandangkan melalui media elektronik milik kerajaan saban hari jelas menyimpulkan bahawa perjuangan kerajaan Malaysia (yang kebetulan kini diterajui Umno) ialah untuk agama, bangsa dan negara.

Namun, setelah hampir 45 tahun Umno menjadi kerajaan, semakin jelas kegagalan parti itu mencapai apa yang diperjuangkannya selama ini. Malah, semakin banyak bukti-bukti bahawa perjuangan Umno di bawah Dr. Mahathir kini sudah jauh menyimpang daripada mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Umno Gagal Bela Islam

Fakta-fakta menonjol yang diketahui umum dari segi perundangan (perlembagaan negara gubalan sekular Barat), sikap dan pandangan pemimpin Umno terhadap hukum Islam (terang-terang menolak perlaksanaan hukum syariah di Kelantan) dan sistem hidup Islam keseluruhannya (termasuk mencabul kemuliaan hari Jumaat sebagai cuti mingguan) membuktikan Umno bukan parti Islam dan tidak pernah meletakkan kerja-kerja memartabatkan agama sebagai agenda perjuangannya.

A. Umno Jatuhkan Martabat Ulama
Sikap jengkel Dr. Mahathir terhadap ulama tidak dapat diselindungkan lagi. Malah telah beberapa kali perkara ini diluahkan secara jelas sama ada melalui tindakan atau pun perkataan yang menyindir atau merendah-rendahkan martabat ulama.

Bagi Dr. Mahathir, agama bukan hanya milik ulama. Barangkali dia mahu dia juga digelar ulama, kerana ulama baginya bukan hanya seseorang yang alim dalam bidang agama, tetapi juga meliputi bidang-bidang yang lain.

Bertolak dari situ, Dr. Mahathir sukar menerima hakikat bahawa beliau perlu tunduk kepada nasihat dan fatwa ulama yang baginya tidak kenal realiti dan masalah ummah. Ulama hanya pandai berkhutbah dengan merujuk kitab-kitab lama sedangkan zaman cepat berubah.  Banyak perkembangan yang berlaku tidak diterangkan dalam kitab-kitab lama.

Mengapa Dr. Mahathir harus tunduk kepada orang yang, baginya, gagal memahami tuntutan zaman yang serba canggih ini, yang hanya ingatkan mati dan membiarkan dunia ini dikuasai golongan bukan Islam. Walhal, bagi Dr. Mahathir, rakyat dapat kemudahan beribadah dalam keadaan aman dan selesa kerana usaha para pemimpin Umno menstabilkan negara dan mempertahankan ekonomi.

Hakikat ini mendorong Dr. Mahathir membuat fatwa dan tafsiran sendiri yang kerap bertentangan dengan ajaran Islam. Bahkan, beliau pergi lebih jauh dengan menghina beberapa aspek ajaran Islam itu sendiri.

Malangnya, para pemimpin Umno, khususnya yang berpendidikan agama, tidak seorang pun menyanggah keceluparan pemimpin mereka ini. Sikap membisu golongan agama dalam Umno terhadap penghinaan itu menjadi bukti bahawa Dr. Mahathir telah berjaya mengurangkan pengaruh ulama terhadap orang Melayu, terutama daripada ahli-ahli Umno.

B. Umno Menutup Suara Islam
Kalau ada orang berpendapat masih ada ruang untuk menyuarakan Islam dari dalam Umno, orang itu sebenarnya menipu diri sendiri atau “tertinggal keretapi”. Betullah, dalam Umno pun ada ulama juga. Tetapi ulama yang diperintah, yang menjadi pak turut kepada pemimpin sekular. Bercakap hanya dalam ruang lingkup yang dipersetujui oleh pemimpin tertinggi parti, sekali pun terpaksa menyembunyikan kebenaran. Kalau ada di antara mereka yang agak berani bercakap yang benar mengenai Islam, tokoh agama itu tidak akan kekal lama dalam hierarki Umno.

Sejarah membuktikan bahawa Pengerusi Biro Agama Umno, Tuan Haji Ahmad Fuad, seorang ulama yang menentang penubuhan Loteri Kebajikan Masyarakat, terpelanting keluar dari Umno sehingga memaksa beliau menubuhkan PAS bagi meneruskan perjuanganya.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dianggap sebagai tunjang suara Islam di dalam Umno mutakhir ini, dan sering pula berkhutbah dan menjadi imam, dihalau keluar dari Umno dengan taktik yang sangat jijik dan penuh keaiban. Seolah-olahnya, Umno lebih rela kehilangan pemimpin utamanya dan sebilangan ahli-ahlinya, asalkan parti itu tidak dikaitkan dengan imej Islam.

Tidak cukup sekadar tokoh agama di dalam Umno, mereka yang di luar juga turut dikekang.  Tengoklah apa berlaku kepada bekas Mufti Selangor yang mempertahankan tindakan JAIS menahan tiga peserta ratu cantik. Bahkan para ahli panel Forum Perdana Ehwal Islam juga turut ‘ditapis’ agar bercakap hanya dalam ruang lingkup yang diluluskan oleh pemimpin Umno.

Mereka yang agak lantang seperti Dato’ Dr. Haron Din (yang mengecam ibadat sembahyang dilakonkan), Ustaz Ismail Kamus (yang menyebutkan sesiapa mempertikaikan hukum Hudud adalah murtad) dan Dr. Hassan Ali, sudah lama lenyap dari kaca TV.  Pendek kata Umno berusaha sedaya mungkin agar bukan sahaja partinya, malah kerajaannya dan TVnya tidak bersuara dengan suara Islam sebenar.

C. Umno Biarkan Umat Islam Murtad
Tidak ada penghinaan yang lebih dahsyat dan menyayat perasaan umat Islam selain daripada gejala kemurtadan yang berleluasa dan ‘dijamin oleh undang-undang’. Sebagaimana yang didedahkan oleh Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno, Saifuddin Nasution Ismail (Berita Harian 22.3.98) bahawa kegiatan memurtadkan umat Islam, terutamanya perempuan, dilakukan secara terancang oleh kumpulan tertentu melalui saluran mahkamah dengan menggunakan peruntukan undang-undang di bawah perkara ‘kebebasan beragama’.

Apabila PAS melalui Ahli Parlimen Marang, Haji Abdul Hadi Awang, mengemukakan usul di Parlimen agar dibahaskan perkara berkaitan dengan murtad, Parlimen yang dikuasai oleh Umno dan kerabatnya telah menolak mentah-mentah usul berkenaan atas alasan ianya “tidak perlu disegerakan”.

Cubaan kedua PAS ialah mengemukakan lima Rang Undang-undang Murtad untuk diluluskan oleh Parlimen. Malangnya, rang undang-undang tersebut tidak boleh dikemukakan untuk dibahaskan. Mengikut peraturan Parlimen, sesuatu rang undang-undang yang hendak dibahaskan hendaklah dibawa oleh seorang menteri. Apa yang nyata, tiada seorang pun menteri yang beragama Islam dalam Umno/BN rela tampil ke hadapan mengemukakan rang undang-undang berkenaan untuk dibahaskan.

Cubaan ketiga Timbalan Presiden PAS itu baru-baru ini juga gagal mendapat ruang dalam Sidang Parlimen.

Ternyata para pemimpin Umno sehingga kini gagal berbuat apa-apa bagi membendung gejala murtad ini daripada berterusan. Sebaliknya, undang-undang yang memberi ruang umat Islam dimurtadkan ‘secara sah’ itu terus dijunjung oleh mereka. Malah, mereka menolak usaha mewujudkan undang-undang anti-murtad, kononnya ia “tidak perlu disegerakan”.

Umno Gagal Bela Bangsa Melayu

Pada prinsipnya, Umno adalah parti yang memperjuangkan kebangsaan Melayu. Betapa taksubnya Umno kepada istilah Melayu, sehingga ia merasakan hanya Umno sahaja satu-satunya parti orang Melayu yang benar-benar memperjuangkan martabat bangsa Melayu di negara ini. Sebab itu, pemimpin-pemimpin Umno sering mendakwa, kononnya jika Umno (BN) kalah dalam pilihanraya, kuasa politik orang Melayu akan terhakis. 

Bagaimana pun, beberapa pemerhatian di bawah boleh dijadikan ukuran sejauh mana komitmen Umno terhadap perjuangan Melayunya:

A. Umno Gagal Pertahan Ketuanan Politik Melayu
Antara agenda utama dalam perjuangan Umno ialah mempertahankan ketuanan politik Melayu. Manakala, ketuanan politik dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia, dinilai pada jumlah kerusi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang dimenangi tokoh-tokoh politik sesuatu kaum.

Sejarah menunjukkan perjuangan Umno mempertahankan ketuanan politik Melayu telah gagal. Kuasa pegangan politik bangsa Melayu, sama ada di peringkat Persekutuan mahu pun negeri-negeri semakin berkurangan. Beberapa pemerhatian di bawah boleh dijadikan bukti kegagalan Umno itu:

Pertama: Ahli Dewan Rakyat Melayu
Ditinjau penguasaan kerusi Dewan Rakyat sejak Pilihan Raya Umum 1959 menampakkan bahawa Umno amat tidak bermaya mempertahankan penguasaan orang Melayu dalam Parlimen. Itu pun diambilkira semua Ahli Parlimen berbangsa Melayu tidak kira sama ada daripada Umno atau bukan Umno, termasuk MP daripada PAS, DAP, Gerakan, USNO dan lain-lain. Perangkaan berdasarkan Melayu/Bukan Melayu dan peratus penguasaan Melayu dalam Dewan Rakyat (Sila lihat jadual 1).
Tahun Pilihanraya
Melayu
Bukan Melayu
Jumlah
Peratus
1959
67
37
104
64.4
1964
69
35
104
66.3
1969
82
62
144
56.9
1974
91
63
154
59.1
1978
87
67
154
56.5
1982
88
66
154
57.1
1986
103
74
177
58.2
1990
102
78
180
56.7
1995
100
92
192
52.1

Kemerosotan ini wujud apabila Umno menyerahkan kerusi yang asalnya ditandingi oleh calon Melayu kepada parti kerabat BN bukan Melayu. Contohnya, dalam Pilihan Raya Umum 1990 sahaja, sebanyak 37 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri majoriti pengundi Melayu telah diserahkan oleh Umno kepada parti kerabatnya untuk ditandingi oleh calon-calon bukan Melayu (juga bukan Islam). Jumlah itu termasuklah 13 kerusi parlimen dan 24 kerusi DUN, dan tidak termasuk kerusi-kerusi seumpama itu yang sudah pun ditandingi calon bukan Melayu dari BN sebelum itu.

Di antara kerusi-kerusi parlimen majoriti Melayu yang diserahkan kepada MCA dan MIC dalam Pilihan Raya Umum 1990 ialah Padang Serai (55.2% Melayu), Alor Setar (54.8%), Lipis (53.2%), Pontian (52.2%), Kapar (60.0%), Ampang Jaya (68.5%), Selandar (50.8%), dan Telok Kemang (51.3%).
                 
Kedua: Pulau Pinang
Dalam Pilihan Raya Umum pada 10 Mei 1969, Umno (Perikatan) ditolak mentah-mentah oleh rakyat Pulau Pinang. Parti itu hanya menang di empat kerusi, manakala Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GRM) menguasai DUN Pulau Pinang dengan memenangi 16 daripada 24 kerusi. Baki empat kerusi lagi dimenangi oleh DAP (3) dan Parti Rakyat (1).

Sekali pun Parti Gerakan berjaya dipujuk menyertai BN dan menghadapi Pilihan Raya Umum 1974 atas nama BN, kuasa memerintah negeri Pulau Pinang kekal di tangan Parti Gerakan hingga kini. Umno gagal berbuat apa-apa untuk mengembalikan ketuanan politik Melayu di negeri itu.

Walau pun, pada Pilihan Raya Umum 1990 lalu, Umno menang 12 daripada 33 kerusi berbanding Gerakan hanya 7 kerusi, manakala baki 14 lagi oleh DAP, tetapi Ketua Menteri Pulau Pinang tetap daripada Parti Gerakan. Umno dayus di Pulau Pinang.

Ketiga: Sabah
Walau pun BN berjaya merampas kembali Sabah daripada PBS selepas kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Negeri 1994, Umno yang menerajui BN terpaksa membayar harga yang mahal untuk jawatan Ketua Menteri Sabah – sistem giliran terpaksa diperkenalkan.

Ia secara langsung membuka peluang yang mudah untuk parti minoriti bukan Melayu (kerabat BN) menguasai majoriti tempoh pemerintahan BN di Sabah secara nisbah 1:2, iaitu satu penggal (dua tahun) untuk Melayu dan dua penggal untuk Cina dan Bumiputera Bukan Islam. Dr. Mahathir dikatakan pemimpin bertanggungjawab memaksa pelaksanaan sistem tersebut.

B. Umno Gadai Tanah Rizab Melayu
Suatu ketika dahulu, keluasan Tanah Rizab Melayu (TRM) di negara ini mencapai 3 juta hektar. Kini tanah tersebut hanya tinggal 1.7 juta hektar. Dalam satu laporan pada Jun 1998, Setiausaha Parlimen Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi memberitahu bahawa di Selangor, sebanyak 8,299.9 hektar TRM telah hilang statusnya untuk memberi laluan kepada projek pembangunan. Dari jumlah tersebut, hanya 2,833.48 hektar atau 34 peratus diganti semula oleh kerajaan negeri.

Walau pun banyak TRM diambil untuk tujuan kebaikan umum, tetapi ada juga kes di mana TRM dirampas atas sebab yang tidak dapat diterima, termasuk untuk tujuan mencari keuntungan peribadi, dengan menggunakan peruntukan Akta Tanah Negara. Contohnya, pada tahun 1990, seramai 80 penduduk Pantai Chenang, Langkawi diambil tanah mereka oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah untuk projek pelancongan Pelangi Beach Resort.

Di Georgetown, Pulau Pinang, TRM hanya tinggal 0.07 peratus pada tahun 1996, walau pun kawasan itu dahulu banyak tanah wakaf dan tanah milik sekolah agama. Di Bayan Lepas, dahulu ada 500 keluarga Melayu, tetapi sekarang sudah hilang lenyap. Kawasan TRM ini telah bertukar menjadi tapak industri dan perumahan.

Di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Melaka, Kuantan dan Johor Bahru, TRM sudah tidak sampai 10 peratus. Ini semua adalah ekoran kebebasan yang diperuntukkan dalam Akta Pengambilan Tanah 1960.

C. Umno Hakis Hak-Hak Istimewa Melayu
Penghakisan TRM ini berlaku, juga tidak memeranjatkan kerana Umno seolah-olah “merestui” Hak-hak Istimewa Orang Melayu, termasuk TRM, dihapuskan. Itulah apa yang dapat difahami dari apa yang berlaku di satu Perhimpunan Agung Umno beberapa tahun lalu. 

Bila mana Presiden Umno, Dr. Mahathir menghina kewujudan TRM dan Hak-hak Istimewa Orang Melayu, ucapan beliau diberi tepukan gemuruh oleh perwakilan Umno. Mahathir antara lain menyebut bahawa konsep Rizab Melayu menjadikan orang-orang Melayu sama taraf dengan Red Indians (penduduk peribumi) di Amerika Syarikat, yang terpaksa hidup atas belas ihsan Indian Reserves.

Keterlanjuran Dr. Mahathir mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu juga suatu yang sangat terserlah. Sedangkan kedudukan institusi Raja dalam masyarakat Melayu adalah lambang keagungan bangsa sejak zaman-berzaman.

Melalui Pindaan Perlembagaan Negara 1983 dan Kod Etika Raja-raja 1992 Dr. Mahathir secara sengaja telah meletakkan Raja-raja Melayu tidak lebih daripada sekadar ‘simbol’ dalam pemerintahan negara. Mereka tidak mempunyai apa-apa kuasa, malah terpaksa tunduk kepada “nasihat” Perdana Menteri atau Menteri Besar masing-masing dalam hal-hal berkaitan pemerintahan.

Perjuangan Umno untuk mendaulatkan Bahasa Melayu, satu lagi hak istimewa orang Melayu sebagai peribumi Malaysia, juga sebenarnya ‘cakap tak serupa bikin’. Stesen-stesen TV dan radio semakin galak menggunakan bahasa selain Melayu sebagai medium komunikasi.  Universiti dan kolej swasta dibenarkan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Malah beberapa pemimpin Umno sendiri lebih senang berbahasa Inggeris, termasuk ketika memberikan kenyataan kepada media massa tempatan.

Perlakuan-perlakuan tidak bertanggungjawab Umno terhadap bangsa Melayu yang menjadi teras perjuangannya itu menyebabkan semakin ramai orang Melayu yang hilang kepercayaan terhadap parti itu. Perjuangan Umno tidak relevan lagi dengan pembelaan bangsanya sendiri.

Umno dan Negara Malaysia

Selepas lebih 40 tahun negara mencapai kemerdekaan, apakah Umno (sebagai teraju kerajaan) telah berjaya mewujudkan jati diri negara, dalam politik atau ekonominya?  Adakah halacara politik dan ekonomi Malaysia ditentukan oleh anak negerinya sendiri sekarang ini?

A. Umno Relakan Campurtangan Asing
Betapa Umno sendiri, sejak dahulu lagi, ada saham terhadap campurtangan asing dalam pemerintahan negara diungkapkan dengan baik oleh Haji Subky Latif lewat tulisan beliau ‘Hubaya, hubaya dikuasai orang asing’, Harakah, 25 Disember 1998. Berikut dipetik sebahagiannya:

“Sejak rakyat (Malaysia) menuntut kemerdekaan, British telah menentukan bahawa kemerdekaan tidak boleh dituntut oleh orang Melayu sahaja. Semua kaum mesti diajak berkuasa sama, baru kemerdekaan diperolehi. Ketika negara tidak dapat menentukan perlembagaan sendiri, maka Lord Reid diajak sama untuk merangka perlembagaan.

“Bukan sekadar Lord Reid, habis hakim-hakim dari India dan lain-lain negara diminta duduk dalam Suruhanjaya Reid bagi menentukan perlembagaan negara. Hingga hari ini (perlembagaan itu) tidak boleh dipinda lagi.

“Di zaman Dr. Mahathir (menjadi Perdana Menteri) dalam masa 17 tahun ini, Malaysia tidak sunyi dari ditentukan oleh kuasa asing. Untuk memecat Tun Salleh Abbas (sebagai Ketua Hakim Negara) dan beberapa orang hakim lagi, Dr. Mahathir tidak sekadar menggunakan orang dalam negeri. Dia memungut hakim dari Singapura, hakim dari Sri Lanka dan entah dari mana lagi untuk bersama-sama memasukkan hakim-hakim kita ke dalam bakul sampah mahkamah.”

Subky juga turut mengemukakan beberapa contoh lagi yang jelas membuktikan bahawa campurtangan kuasa asing dalam pemerintahan negara sudah wujud sejak Umno mula memerintah negara. Antara yang terbaru ialah syarat agar Malaysia membenarkan kehadiran pasukan kriket Israel ke negara ini sekiranya Malaysia mahu jadi tuan rumah kejohanan itu.  Malaysia akur kepada syarat tersebut.

B. Umno Mudahkan Orang Asing Beli Bumi Malaysia

Bermula 22 April 1998 lalu, akibat dari kemelesetan ekonomi, Dr. Mahathir telah melakukan satu lagi kesilapan besar dalam aspek kedaulatan negara. Berasaskan tujuan yang jelas bagi menyekat kerugian tokoh-tokoh korporat di sektor binaan, kerajaan Malaysia telah membenarkan orang asing membeli semua hartanah yang berharga RM250,000 ke atas. 

Kerajaan Malaysia telah menghapuskan levi kepada warga asing dalam pemilikan hartanah tersebut. Ini meliputi semua jenis unit termasuk rumah kediaman, rumah kedai, ruang perniagaan dan ruang pejabat. Syaratnya amat minima, iaitu pembiayaannya mestilah bank asing.

Apabila syarat ini dipenuhi kelulusan ini akan diberi secara automatik. Arahan ini telah dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) Tan Sri Ali Abu Hassan (sekarang menjadi Gabenor Bank Negara). Menurutnya langkah ini mengambil kira cadangan dari Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hasil desakan pihak korporat yang berkaitan dengan sektor hartanah.

Melalui Kempen Pemilikan Rumah yang dilancarkan kerajaan antara 12 Disember 1998 hingga 12 Januari 1999, kemudahan dan kelonggaran lain pula disediakan untuk memudahkan warga asing memiliki hartanah. Warga asing yang berada di luar negara akan menerima financial margin sehingga 50% dari bank-bank di Malaysia.

Manakala bagi mereka yang bekerja di negara ini menerima kemudahan pinjaman sama sebagaimana rakyat Malaysia (iaitu sehingga 90%). Sedangkan sebelum ini, setiap warga asing yang mahu memiliki hartanah di negara ini disyaratkan memperolehi pinjaman bank-bank luar negara.

Rakyat bimbang langkah kerajaan pimpinan Umno ini, sama ada disedari atau tidak, memudahkan warga asing membeli bumi Malaysia seinci demi seinci – bertopengkan kempen yang kononnya bertujuan memudahkan rakyat sendiri memiliki rumah sendiri.

Kedua-dua bentuk campurtangan politik dan penglibatan ekonomi orang asing di negara ini secara ‘diundang’ itu adalah bukti sejauh mana kesungguhan Umno mewujudkan jati diri negara. Nyata sekali rakyat ada sebab untuk mempersoalkan keikhlasan dan kesungguhan Umno membela kedaulatan negara ini.

Kesimpulan
Ringkasnya, Umno ternyata gagal dalam perjuangannya untuk kedaulatan agama, bangsa dan negara. Perjuangan Umno kini nyata sudah tidak relevan lagi dengan keadaan masyarakat. Ia tidak berjaya mempertahankan teras perjuangannya sendiri. Dahan atau batang yang hilang ‘teras’, sifatnya berongga. Barang berongga amat rapuh dan tidak akan dapat bertahan lama. 

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa orang yang bertanggungjawab menjadikan Umno sebagai berongga itu ialah Dr. Mahathir.

(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala dengan tajuk "Talqin Buat Tuan Haji Mahathir" diselenggarakan oleh Tarmizi Mohd Jam dan diterbitkan sekitar Jun 1999).

No comments:

Post a Comment