Tuesday, June 15, 1999

Gelaran-gelaran Tersohor Perdana Menteriku


Oleh: Mohd Nasir Awang

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad memang dikenali dunia sebagai salah seorang pemimpin yang dinamik, berwawasan dan komited terhadap setiap pekerjaan yang dilakukannya. Pada suatu ketika, beliau dianggap sebagai Wira Dunia Ketiga, kerana kelantangannya membela nasib negara-negara mundur dan membangun (under-developed and developing countries) di forum-forum antarabangsa.

Di negara sendiri, Dr. Mahathir tidak terlepas dari menerima anugerah gelaran-gelaran daripada rakyatnya sendiri. Berbagai pihak menggelarkan beliau dengan berbagai nama, berdasarkan berbagai kenyataan hidup yang berlaku.

Pertama: Pemimpin Yang Mendahului Masa
Sebaik memegang tampuk pemerintahan negara pada Jun 1981, Dr. Mahathir secara praktikal telah meletakkan seluruh rakyat negara ini dalam keadaan mendahului masa.

Jarum semua jam di seluruh Semenanjung Malaysia telah dilonjakkan 30 minit lebih cepat daripada masa yang diterima pakai sejak zaman-berzaman, bagi diselaraskan dengan masa Malaysia Timur. Sejak dari tarikh itu, hidup kita di negara ini pada hakikatnya sentiasa mendahului masa. Mahathir tentu bangga dengan keadaan ini. 

Kedua: Idealog Projek-projek Mega
Sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir menjadi pencetus idea kepada beberapa projek mega dan mewah yang menelan belanja jutaan juta ringgit khazanah kekayaan negara. Bermula dengan projek kereta nasional Proton, diikuti kilang besiwaja Perwaja dan pembangunan Pulau Langkawi.

Kemudian, datang pula Kompleks Sukan Bukit Jalil untuk Sukom 98, Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas, bandar Pentadbiran Putrajaya, litar lumba Formula One, KLIA Sepang, Cyberjaya, Kodiror Raya Multimedia (MSC) dan entah apa lagi.

Semuanya dibina menggunakan duit kerajaan yang juga duit rakyat. Kononnya untuk kegunaan dan kemudahan rakyat. Namun, berapa keratkah rakyat negara ini yang betul-betul mendapat faedah langsung daripada jutaan-juta duit yang dibelanjakan itu? Yang pasti Malaysia dapat hanyalah kemasyhuran di mata dunia, dan orang yang paling bangga dengan kemasyhuran itu ialah Mahathir.

Ketiga: Penambah Beban Hidup Rakyat
Antara dasar baru yang diperkenalkan oleh Mahathir ialah dasar penswastaan. Ia mula dilaksanakan sejak 1983 bertujuan menidakkan aktiviti dan fungsi yang pada tradisinya merupakan tanggungjawab kerajaan, untuk diambil alih oleh sektor swasta.

Dalam erti kata yang lain, penswastaan membolehkan kerajaan berlepas tangan daripada sebahagian masalah yang dihadapi oleh rakyat. Soal kebajikan rakyat, terutama dalam menyediakan kemudahan asas, tidak lagi menjadi agenda utama kerajaan.

Dasar ini jelas menyumbang kepada kesulitan hidup rakyat. Kalau sebelum ini rakyat berpeluang mendapat sesuatu yang disediakan oleh kerajaan secara percuma atau dengan bayaran paling minima.

Dengan pelaksanaan dasar penswastaan, tidak ada lagi istilah percuma atau bayaran minima. Rakyat mesti membayar segalanya mengikut apa yang ditetapkan oleh syarikat bertanggungjawab. Kejayaan Mahathir melaksanakan dasar penswastaanpada hakikatnya melayakkan beliau menerima gelaran sebagai penambah bebanan hidup rakyat.

Keempat: Promoter Fahaman Islam Progresif
Sikap Mahathir mengenai undang-undang dan hukum-hakam Islam, sekolah agama, ulama, dan persepsinya terhadap makna kemajuan, maruah bangsa, kedudukan bahasa Melayu dan maksud pembangunan, sekiranya diteliti secara halus cukup menggerunkan. Mahathir telah merubah banyak tanggapan orang Melayu terhadap beberapa dimensi agama, adat resam dan sensitiviti bangsa turun-temurun.

Selalu Mahathir sebut, kalau orang Melayu tidak kuasai ekonomi, asyik bergantung dengan orang lain, sampai bila-bila mereka akan menjadi hamba orang. Untuk menguasai ekonomi, orang Melayu mesti progresif dan tidak boleh hanya dengan berdoa sahaja. Bila masa pula orang Melayu hanya tahu berdoa sahaja? Pemalas sangatkah orang Melayu?

Sebenarnya, fahaman yang cuba ditanam ialah agar persoalan ibadat termasuk berdoa jangan dititikberatkan sangat. Hal ini jelas, melalui ucapan penutup Mahathir di Perhimpunan Agung Umno 1996, beliau dengan nada bersahaja menyalahkan institusi pondok dan keghairahan ibu-bapa menghantar anak-anak ke sekolah agama.

Baginya, tenaga cerdik-pandai Melayu/Islam menjadi rugi apabila mereka memasuki aliran pendidikan agama, dan ini sekaligus membantut perkembangan orang Melayu. Golongan berpendidikan Islam, menurut Mahathir, tidak kenal realiti dan masalah sebenar ummah. Mereka hanya ingatkan mati dan membiarkan dunia dikuasai golongan bukan Islam.

Faham Islam progresif yang diterapkan oleh Mahathir tidak mensyaratkan umat Islam berjubah dan berkopiah, atau bertudung dan menutup aurat. Baginya, Islam hanya diterimapakai dalam aspek-aspek yang boleh memaju dan menguntungkan matlamat duniawi.  Penulis pojok, Awang Selamat adalah antara orang yang paling banyak mengulas mengenai pemikiran Islam progresif Mahathir ini.

Kelima: Penganjur Fikrah Maddiyyah
Rakyat yang prihatin kini cemas melihat bagaimana kerajaan BN pimpinan Mahathir sedang menyediakan suasana masyarakat yang menuju kepada pemujaan kebendaan (maddiyyah).  Sejak Mahathir melancarkan Wawasan 2020, yang bermatlamat menobatkan Malaysia sebagai negara industri maju pada tahun berkenaan, segala majlis anjuran kerajaan semakin difokuskan untuk menjadikan kejayaan bidang ekonomi sebagai matlamat negara.

Soal pembangunan insan dan keredhaan Allah tidak diambil kira. Tanpa disedari, kebendaan menjadi akidah baru yang dipuja. Pemimpin negara yang bergandingan dengan golongan elit korporat mempamerkan gaya hidup lavish dan bermewah-mewah. Mereka dipamerkan kepada rakyat sebagai golongan role model yang berjaya.

Kebenaran ditentukan oleh kebendaan dan logik akal. Kemuliaan seseorang insan ditentukan oleh harta yang dimilikinya. Itulah intipati faham maddiyyah yang dipopularkan oleh Mahathir. 

Keenam: Pembalun Ulama
Sikap jengkel Dr. Mahathir terhadap ulama tidak dapat diselindungkan lagi. Malah telah beberapa kali perkara ini ditunjukkan secara jelas sama ada melalui tindakan atau pun perkataan yang menyindir dan merendah-rendahkan martabat ulama.

Puncanya, Mahathir rasa orang Melayu tidak adil terhadapnya. Hanya kerana dia tidak tahu berbahasa Arab, tidak fasih menyebut beberapa potong ayat al-Quran, tidak mendapat pendidikan formal agama dari Timur Tengah, maka autoritinya dalam agama begitu mudah dipersoalkan. Cakapnya tentang agama sering diremeh dan diketawakan.

Bagi Mahathir, agama bukan hanya milik ulama. Mahathir mahu dia juga digelar ulama, kerana ulama mengikut fahaman beliau bukan hanya mereka yang alim dalam bidang agama, tetapi juga meliputi bidang-bidang yang lain. Dengan sinis Mahathir pernah menyatakan, ada persatuan yang bila kita menjadi ahlinya terus kita dianggap ulama (Persatuan Ulama Malaysia).

Rekod menunjukkan terlalu ramai tokoh ulama negara ini yang berbalah dengan Mahathir.  Antara mereka ialah Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Ismail Kamus, Dr. Haron Din, Ustaz Badrul Amin, Dato’ Ishak Baharom dan sudah tentunya Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz.  Mereka ini kerap menjadi bahan balunan Mahathir.

Ketujuh: Mujahid Agung Islam?
Tidak berapa jelas, apakah alasan sebenar Ketua Wanita Umno Kelantan waktu itu, Zaleha Husin menganugerahkan gelaran Mujahid Agung kepada Mahathir. Barangkali Zaleha ingat memberi gelaran kepada seorang ketua negara semudah seorang ibu memberi nama kepada anak yang baru dilahirkannya sendiri.

Barangkali juga, terdorong oleh gelaran yang diberikan itu, maka Mahathir sering mengemukakan tafsirannya yang tersendiri mengenai hukum-hakam Islam. Pernah suatu ketika beliau dilaporkan berkata Assalamualaikum dengan Selamat Pagi sama sahaja.

Beliau juga pernah menyebutkan bahawa Saidina Hamzah yang syahid di Uhud tidak dimandi dan dikafankan kerana di negara Arab payah nak dapat air. Di zaman Nabi, orang menyimpan janggut kerana tidak ada pisau cukur.

Dalam ucapan dasar di salah satu Perhimpunan Agung Umno, Mahathir pernah menyentuh soal aurat wanita. Baginya, tujuan menutup aurat perempuan ialah kerana di zaman Nabi, Arab jahiliyyah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita daripada kabilah-kabilah lain.

Barangkali, Zaleha kini puashati, Mahathir memang layak sungguh digelar Mujahid Agung?

Kelapan: Pemimpin pecah dan perintah (divide and rule)
Dalam buku kecil bertajuk 100 Isu Dalam Perjuangan Semangat 46 yang diterbitkan oleh parti berkenaan di hari-hari kemuncaknya, Mahathir disifatkan sebagai pemimpin yang mengamalkan taktik pecah-perintah dengan maksima. Antara projek melagakan pemimpin yang disubahati oleh Mahathir ialah perbalahan antara Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Musa Hitam, Anwar Ibrahim dengan Datuk Abdullah Badawi di Pulau Pinang, Datuk Mohamed Rahmat dengan Menteri Besar Johor, Datuk Rais Yatim dengan Datuk Isa Samad di Negeri Sembilan, Tun Abdul Rahman Yaakob dengan anak buahnya Datuk Patinggi Taib Mahmud di Sarawak.

Di kalangan Raja-Raja Melayu pun perpecahan berlaku, menurut 100 Isu, akibat peranan Mahathir. Kesatuan sekerja dan para peguam juga tidak terlepas dari amalan pecah-perintah. Apabila MTUC didapati tidak mahu jadi pak turut kepada falsafah pimpinan Mahathir seperti in-house union, diwujudkan MLO - Malaysia Labour Organisation yang mana para pemimpinnya bersikap pro-Mahathir.

Majlis Peguam yang semenjak tersingkirnya Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara pada bulan Ogos 1988 menampakkan sikap agresif terhadap Mahathir, disaingkan dengan Pertubuhan Peguam Muslim. Orang Umno dan sesiapa jua yang rapat dengan mereka tentu lebih maklum angkara pecah dan perintah Mahathir yang selebihnya itu.

Kesembilan: Witch-hunter Umno
Tidak berapa ramai pemimpin serata dunia ini yang mempunyai timbalan seramai Perdana Menteri kita ini. Dengan jumlah empat Timbalan Perdana Menteri yang bertukar ganti, menampakkan seolah-olah tidak ada seorang pun yang mampu kekal serasi dengan Mahathir hingga akhir.

Datuk Musa Hitam meletak jawatan secara mengejut pada bulan November 1986. Tun Abdul Ghafar Baba mengundurkan diri setelah diaibkan pada tahun 1993. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggantikan beliau dipecat secara hina pada bulan September 1998. Datuk Abdullah Badawi agaknya menunggu giliran pula.

Memanglah, mana-mana pemimpin politik pun sukar menerima kehadiran tokoh yang tidak sebulu. Tetapi apa yang dilakukan oleh Mahathir agak melampaui batas kebiasaan. 

Kemuncak amalan politik cantas dalam Umno pimpinan Mahathir ialah pada bulan Mei 1987 dengan pemecatan para Menteri dan Timbalan Menteri yang menentang beliau dalam pemilihan parti sebelum itu. Tidak kurang daripada lapan anggota kabinet terlibat dengan witch-hunting itu.

Berikutan itu, beribu-ribu rakyat dari kalangan kakitangan Jabatan Agama, penggawa, imam, pegawai masjid, guru Kemas, Pegawai Penerangan Khas dan pemaju masyarakat di Kelantan yang dilantik atas asas politik diberhentikan dari tugas masing-masing.

Sebilangan guru-guru ditukarkan, para peneroka Felda disingkirkan dari tanah rancangan.  Mereka semua adalah ahli Umno kem Ku Li yang dikira gagal berkompromi dengan kepimpinan Mahathir.

Amalan ini berterusan hingga kini. Mangsa-mangsa terbaru ialah sesiapa jua di kalangan pemimpin Umno yang bernada Re-for-ma-si atau gagal mengikis rasa simpati terhadap Anwar. Mahathir tidak akan memaafkan mereka.

Kesepuluh: Practical Dreamer
Tanpa hipokrit perlulah diakui bahawa Mahathir adalah seorang Practical Dreamer. Beliau mengimpikan sesuatu, beliau akan terus berusaha merealisasikannya dengan apa kos sekali pun. Barang hendak barang menjadi.

Namun, dalam merealisasikan sesuatu impiannya, Mahathir dilihat bersifat Machiavellian – matlamat menghalalkan cara. Apa pun yang terpaksa dilakukan tetap akan dilakukan, asal saja matlamatnya tercapai. Wewenangan membelanjakan duit rakyat, menambah bebanan hutang luar, kritikan kawan dan lawan seolah-olah tidak dipedulikan lagi. Dalam erti kata yang lain, seolah-olahnya Malaysia ini Mahathir yang punya.

Kesebelas: Condong ke arah sifat diktator
Antara tokoh Umno yang pernah membuat pengakuan tentang sifat Mahathir ini ialah Datuk Musa Hitam. Kali pertama ialah semasa berucap di majlis para wartawan di Hong Kong pada bulan Julai 1988. Kenyataan itu diulangi lagi semasa kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Johor Bahru pada bulan Ogos tahun yang sama.

Mahathir adalah satu-satunya pemimpin Malaysia yang menguasai ketiga-tiga bidang kerajaan iaitu Legislative (Parlimen), Executive (Kabinet), dan Judiciary (Kehakiman) melalui kuasa yang dihimpunkannya hasil pindaan undang-undang dan manipulasi bidang-bidang lain.

Kewujudan berbagai akta juga turut memberi kuasa tambahan kepada Perdana Menteri selaku ketua kabinet mengongkong kebebasan rakyat. Akta-akta yang dimaksudkan ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Hasutan, Akta Polis, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan lain-lain.

Kedua belas: Terminator
Kejayaan kerajaan pimpinan Mahathir menguburkan Parti Komunis Malaya (PKM) amat dikagumi kawan dan lawan. Apa pun taktik dan strategi yang digunakan, kebolehannya itu melayakkan beliau menerima gelaran Terminator.

Kemampuan Mahathir memanipulasi media massa dan meminda undang-undang menyebabkan kekebalan Raja-raja Melayu terhapus dengan mudah. Begitu juga dengan keberanian Mahathir berhadapan dengan kumpulan Al-Arqam, yang akhirnya menyebabkan para pemimpin utama jemaah Islam itu tersungkur di pintu Pusat Islam dan jemaah itu sendiri berkubur tanpa nesan (logo).

Sifat Terminator Mahathir tidak terhenti setakat itu. Di dalam partinya, Mahathir menjadi penentu kelangsungan karier politik mana-mana tokoh Umno. Sebilangan mereka yang, walau pun masih mampu aktif tetapi, tidak sehaluan dengan Mahathir sudah dianggap lenyap dari sebutan rakyat negara ini. Antara mereka ialah Datuk Shahrir Samad, Datuk Ajib Ahmad, Datin Paduka Rahmah Osman dan yang terbaru Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketiga belas: Bapa Mirzan
Setiap Perdana Menteri sebelum ini ada gelaran masing-masing. YTM Tunku Abdul Rahman digelar Bapa Malaysia atau Bapa Kemerdekaan, Tun Abdul Razak digelar Bapa Pembangunan, manakala Tun Hussein Onn disebut Bapa Perpaduan.

Belum ada sebarang gelaran bapa untuk Mahathir sebelum ini. Barangkali, atas sebab itu YB Ahli Parlimen Kubang Kerian, Haji Mohamad Sabu menggelarkan Mahathir sebagai Bapa Mirzan. Ia ada hubungkait yang rapat dengan apa yang didakwa sesetengah pihak sebagai keterlibatan Mahathir dalam mempengaruhi Petronas untuk membeli saham Konsortium Perkapalan Berhad (KPB) milik anaknya, Mirzan.

Sikap Mahathir yang terlalu membuka ruang untuk anak-anaknya mengumpul kekayaan melalui kemudahan kewangan dan peruntukan saham mendedahkan dirinya kepada fitnah.  Bahkan, Mahathir sendiri mempertahankan hak anak-anaknya untuk memperolehi apa yang mereka dapat.

Baginya, apa salah anak-anaknya menerima semua itu kerana mereka sememangnya berkelayakan seperti mana orang lain juga. Sedangkan ada antara anak-anaknya menggunakan alamat Seri Perdana (kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia) dalam membuat urusan perniagaan mereka. Apakah ada orang lain yang turut menggunakan alamat yang sama?

Selain Mirzan, anak-anak Mahathir yang lain seperti Marina, Mukhriz dan Mokhzani dikatakan hampir tidak menghadapi sebarang kepayahan untuk membina kejayaan dalam karier masing-masing. Payah juga Mahathir nak nafikan saham peribadi beliau atas kejayaan anak-anaknya itu.

Keempat belas: Godfather elit korporat
Ada dakwaan mengatakan di sebalik kejayaan beberapa tokoh korporat negara sekarang ini ialah pengensyuran dan pertolongan Mahathir. Semua orang tahu tentang hubungan akrab Mahathir dengan tauke-tauke korporat utama negara. Antara mereka ialah Halim Renong, Allahyarham Tan Sri Yahya Hicom, Tajuddin TNB, Tajuddin MAS, Salleh BSKL, Rashid Hussin dan lain-lain.

Senarai yang lebih panjang menampilkan pula nama-nama tauke Ananda Krishna, Eric Chia, Vincent Tan, Ting Pek Khing dan lain-lain. Agak sukar juga bagi Mahathir menangkis dakwaan bahawa beliau memang terlibat menjayakan elit korporat itu.

Kelima belas: Pencetus Kegawatan Ekonomi
Banyak analisa telah dibuat mengenai kegawatan ekonomi yang melanda negara kini oleh berbagai tokoh ekonomi dalam dan luar negara. Antara mereka meletakkan punca kegawatan yang berlaku ialah ketidakcekapan pentadbiran Mahathir menguruskan kewangan negara.

Tabiat suka berbelanja besar melalui projek mega dan mewah, amalan suka berhutang dan sifat suka menyalahkan institusi kewangan asing atas kepincangan ekonomi negara dikenalpasti menjadi punca-punca utama kegawatan kini. Siapa lagi yang paling bertanggungjawab atas kepincangan pentadbiran negara ini kalau tidak Mahathir?

Keenam belas: Penaung Budaya Hedonisme
Budaya hedonisme atau gemarkan hiburan dan kemewahan telah dikenalpasti sebagai salah satu baja kepada keruntuhan moral dan gejala sosial. Kajian Dr.Syed Azman Syed Ahmad (Universiti Malaya) dan Dr. Noraini Hashim (UIA) pada tahun 1996 lalu membuktikan bahawa hedonisme di kalangan remaja negara ini mempunyai hubungan rapat dengan penyalahgunaan  dadah, seks bebas, meminum arak, tidak menghiraukan ajaran agama dan lain-lain salah laku sosial.

Beberapa program anjuran kerajaan seperti Rakan Muda dan promosi pelancongan yang berlebihan didapati menjadi medan yang subur untuk pengembangan budaya ini. Program-program ini dibentuk sedemikian rupa agar para peserta terdedah kepada gaya hidup breakaway yang lepas bebas melangkaui apa jua batasan.

Kerajaan juga bertanggungjawab mempromosi konsert-konsert hiburan yang menonjolkan para artis dengan gaya hidup bebas masing-masing. Sebahagian mereka menjadi role model kepada para remaja. Kononnya gaya hidup mewah mereka itu sepatutnya menjadi ikutan rakyat negara ini.

Sebagai ketua negara, Mahathir kerap menjadi tetamu istimewa majlis-majlis hiburan dan program remaja itu. Beliau bukan sahaja tidak memperbetulkan mereka, malah memberi galakan agar lebih berkecimpung dalam apa yang mereka lakukan.

Ketujuh belas: Pengkhianat Perjuangan Melayu
Sudah tercatit sebagai sejarah bahawa pihak yang paling banyak melabelkan Mahathir sebagai pengkhianat perjuangan Melayu ialah para pemimpin bekas Parti Semangat 46. Apa yang mereka tidak kata kepada Mahathir mengenainya?

Mahathir dikatakan bertanggungjawab menghakis Hak Istimewa Orang-orang Melayu, terutama dalam bidang pendidikan, pemilikan tanah dan sebagainya. Mahathir juga dilihat sengaja menghakis Tanah Rizab Melayu di seluruh negara, atas nama pembangunan. 

Mahathir menjadi orang utama dalam mencabut kekebalan Raja-Raja Melayu yang dianggap simbol kekuatan bangsa Melayu. Mahathir dikira gagal mempertahankan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Paling penting bagi orang Umno (kerana merekalah yang paling sayangkan bangsa Melayu, kononnya) ialah langkah Umno di bawah Mahathir membuka keahlian parti itu kepada orang-orang bukan Melayu, termasuk rakyat berketurunan Siam, Portugis, dan lain-lain kaum Bumiputera di Sabah.

Kelapan belas: Pengkhianat Undang-undang    
Gelaran ini dianugerahkan kepada Mahathir oleh penulis politik Ainol Jamal pada tahun 1988 lalu, lewat bukunya dengan tajuk yang sama. Ia berlaku ekoran peristiwa pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abbas yang diikuti oleh penggantungan lima Hakim Mahkamah Agung.

Banyak pihak mempersoalkan prosedur tindakan ke atas para hakim berkenaan. Sebagai kesimpulan, banyak pula pihak meletakkan ia berpunca daripada political maneuver Mahathir di atas beberapa kepentingan tertentu.

Selepas peristiwa malang Julai 1988 itu, institusi kehakiman negara dilihat sudah tidak bebas lagi. Keputusan-keputusan beberapa kes penting dikatakan mengandungi unsur-unsur campurtangan politik.

Sehingga tersebar surat layang mempersoalkan kewibawaan institusi kehakiman negara dan mengaitkannya dengan peranan Mahathir dalam menentukan keputusan para hakim. Apakah Mahathir masih tidak layak menerima gelaran Pengkhianat Undang-undang?

Kesembilan belas: Jaguh Kelahi Antarabangsa
Kalau dalam setahun tidak ada apa-apa berita tentang pertelingkahan Mahathir dengan mana-mana pemimpin negara asing, kita terasa macam tidak berada di Malaysia pula. Mahu tidaknya, Bill Clinton dan Al Gore dari Amerika Syarikat, Cory Aquino dan Joe Estrada (Filipina), Kuan Yew dan Chok Tong (Singapura), Gareth Evans dan Paul Keating (Australia) semua mempunyai titik hitam dalam hidup mereka berhadapan dengan Mahathir.  Hal ini sudah tentunya menjadi pengetahuan umum rakyat negara masing-masing.

Tidak cukup dengan para pemimpin negara, tokoh-tokoh kewangan antarabangsa turut menjadi sparing partners Mahathir. Michael Camdessus dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan George Soros sebagai spekulator matawang, menjadi bahan balunan Mahathir, terutama dalam mempertanggungjawabkan kegawatan ekonomi yang melanda Malaysia.

Kadang-kadang terasa bimbang juga kita, kalau-kalau rakyat negara asing tersalah anggap kononnya rakyat Malaysia ini, termasuk kita semua, adalah kaki kelahi. Kalau itu berlaku, ia tentunya gara-gara perilaku Mahathir.

Kedua puluh: Terbilang Tapi Layak dibuang 
Kebanyakan gelaran-gelaran yang diberikan di atas barangkali hanyalah fitnah yang sengaja diwujudkan bertujuan discrediting Mahathir. Tentulah begitu anggapan orang-orang Umno tulen.

Bagaimana pula kalau dikatakan perilaku-perilaku yang disenaraikan itu pernah benar-benar menjadi kenyataan? Bahkan, sebahagiannya masih menjadi kenyataan.

Jika itulah hakikatnya, maka gelaran terakhir yang paling sesuai buat Dr. Mahathir ialah Perdana Menteri terbilang, tetapi sudah semakin layak untuk dibuang. Hanya rakyat yang berhak menentukan nasib Mahathir.

(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala Editor Tarmizi Mohd Jam bertajuk "Talqin Buat Tuan Haji Mahathir", pada Jun 1999.)

No comments:

Post a Comment