Oleh: Abdul Rahim Din
Ulama teruk dibantai oleh Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamed. Mereka dicop menyebabkan umat Islam mundur dan hanya mementingkan hidup selepas mati sahaja. Mereka tidak kenal realiti dan masalah sebenar ummah, hanya pandai berkhutbah dengan merujuk kitab-kitab lama. Sedangkan zaman cepat berubah.
Ulama sebagai individu boleh dikritik, malah wajar ditegur. Tetapi suatu serangan tersusun, apatah lagi datang dari pimpinan tertinggi negara, untuk melumpuhkan institusi ulama, wajib ditentang. Jika institusi ulama dapat dirobohkan dan penghormatan masyarakat terhadap mereka sudah hancur, maka ummah akan berkecai dan kesedaran Islam akan luntur.
Antara tokoh ulama yang telah masak dengan perlakuan Dr. Mahathir dalam isu-isu agama ialah Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Ustaz Ahmad Awang. Beliau mempunyai pengalaman luas berdepan, malah berdebat dengan Dr. Mahathir atas beberapa isu agama. Bagi beliau, Dr. Mahathir memang suka mengemukakan pendapat yang kontroversi terhadap ajaran Islam.
“Saya masih ingat PM mengatakan ucapan Assalamualaikum sama sahaja dengan Selamat Pagi. PM juga pernah sebut bahawa kerajaan hanya akan menerapkan nilai-nilai Islam yang baik sahaja. Seolah-olah menggambarkan ada nilai-nilai Islam yang tidak baik”, kata Ustaz Ahmad.
Dr. Mahathir juga dilihat banyak mencari dalih untuk tidak melaksanakan hukum dan peraturan Islam. “Saya juga pernah minta Dr. Mahathir mengenakan tindakan undang-undang terhadap pendakyah Kristian yang cuba meracuni pemikiran pelajar-pelajar Islam. Tapi Dr. Mahathir jelas tidak setuju dengan pendekatan itu. Dia hanya mahu kita lipatgandakan usaha dakwah. Itu memang kita usahakan, tapi sementara kita berkuasa gunakanlah semua saluran yang boleh kita manfaat demi kepentingan Islam,” sambung Ustaz Ahmad lagi.
Sikap suka berdalih Dr. Mahathir itu turut mendapat reaksi Ustaz Dato’ Ismail Kamus, salah seorang pendakwah terkemuka negara. Dr. Mahathir pernah berdalih kononnya hukum Islam dalam kes zina dan liwat tidak dapat dilaksanakan di negara ini kerana susah hendak mencari saksi-saksi seperti yang disyaratkan oleh Islam, iaitu empat orang saksi yang adil.
“Susah ini bergantung kepada kita sebenarnya. Kalau kita kata susah, susahlah ia. Kalau senang, senanglah ia. Matlamatnya kita sudah silap sebut. Sekarang ini apabila kita dapat tangkap seseorang itu mencuri, apakah niat kita? Apakah kita hendak tangkap, sumbat dalam penjara, atau kita nak adili dia?”, tegas Dato’ Ismail.
Bagi beliau, dengan berdalih begitu, Mahathir sebenarnya lebih mendedahkan kejahilannya mengenai matlamat melaksanakan sesuatu undang-undang. Kerana, apabila sesuatu penghakiman yang adil hendak dibuat, sudah tentu ia juga berhajat kepada saksi yang adil.
Dr. Mahathir, menurut Ustaz Ismail, tidak faham bahawa dalam kaedah hukum Islam, melepaskan orang yang bersalah adalah lebih baik daripada menghukum orang yang tidak bersalah. “Apa pula susahnya? Kalau ada saksi, jatuhlah hukum. Jika tidak ada saksi, nak buat macam mana? Akhiratlah dia akan dihukum”, tambah beliau lagi.
Lihat pula bagaimana Dr. Mahathir berdalih apabila menolak cadangan pelaksanaan Hukum Hudud oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Dikatakan pula undang-undang itu disediakan menerusi perjuangan sebuah parti politik, yang ternyata bukan sahaja menyebabkan ketidakadilan, malah membawa kezaliman.
“Dakwaan bahawa undang-undang ini akan dikuatkuasakan hanya di kalangan orang Islam sahaja dan tidak digunapakai untuk orang bukan Islam akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara berlaku”, ulas Dr. Mahathir.
Dolak-dalih seumpama itulah yang dijawab dengan tegas oleh Dato’ Mufti Selangor, Haji Ishak Baharom. “Murtad hukumnya kepada sesiapa sahaja yang mempertikaikan syariat Islam, misalnya hukum Hudud seperti yang hendak dilaksanakan oleh sebuah negeri. Walaupun hanya benci dalam hati kepada perkataan Hudud itu pun, hukumnya adalah sama sahaja,” kata beliau dengan penuh kesal.
Anehnya, teguran-teguran seumpama itu sedikit pun tidak menghalang Dr. Mahathir untuk terus berdalih. Bahkan, beliau tambah yakin terhadap pandangan dan ideanya sendiri, dan semakin berani mengemukakan logik akalnya dalam menentukan sesuatu hukum Islam itu boleh dilaksanakan ataupun tidak.
Mahathir pernah menyebut, bahawa peraturan Islam tidak boleh dilaksanakan jika wujud kekeliruan atau ketidakfahaman masyarakat, termasuk orang bukan Islam, tentang hukum Islam.
Ustaz Ismail turut mempertikaikan rasional Mahathir itu. Bagi beliau, sesuatu undang-undang yang hendak dilaksanakan tidak perlu menunggu setiap rakyat memahami atau membacanya terlebih dahulu.
Sebenarnya mengenai undang-undang ini, kitalah yang mencari undang-undang. Umpamanya undang-undang JPJ, ada siapa yang membaca kesemuanya? Berlambak orang ditangkap kerana pelbagai kesalahan di jalan raya, tetapi mengapa mereka diam apabila ditangkap? Undang-undang tanah, undang-undang jual beli, kita tidak membacanya, tetapi mengapa ia boleh terlaksana?”
Sikap double-standard Mahathir itu turut diulas oleh Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, seorang aktivis dakwah di Wilayah Persekutuan. Baginya, pihak pemerintah sendiri jelas tidak jujur dalam usaha memahamkan masyarakat terhadap Islam. Pemerintah hari ini tidak memberi kesempatan secukupnya kepada para ulama menerangkan isu-isu tersebut. Mereka seolah-olah takut kepada ulama yang bersifat terbuka, yang membawa rakyat supaya mengerti tentang pengertian dan tuntutan Islam sebenar.
“Apalah salahnya membicarakan bab hukum Islam. Terangkan kepada masyarakat tentang hukum Islam yang sebenarnya. Cari pakar-pakar yang boleh membincangkan hukum Islam dan bincangkannya secara terperinci”, tegas beliau.
Bagi beliau, sikap pemerintah amat jelas, seperti pepatah, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.
Kes Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menangkap tiga gadis Melayu yang menyertai pertandingan ratu cantik juga mendedahkan lagi sikap dolak-dalih Dr. Mahathir. Beliau dengan lantang mengkritik tindakan JAIS, kononnya membawa implikasi Islam sebagai agama yang tiada toleransi.
Bagi beliau, tindakan menangkap tiga gadis yang berpakaian tidak sopan itu terlalu keras dan tidak adil. Mahathir mendakwa, ia bukan sahaja memalukan peserta terbabit dan keluarga mereka, malah menakutkan penganut agama lain untuk mendekati Islam.
“JAIS dipersalahkan kerana dikatakan memalukan tiga peserta ratu cantik itu, tetapi mengapa pula tindakan peserta itu yang dengan sengaja mendedahkan aurat di khalayak ramai tidak dipertikai,” bidas Dato’ Ishak Baharom.
Pandangan Dato’ Ishak disokong pula oleh Ustaz Ahmad yang menyangkal dakwaan Mahathir bahawa tindakan JAIS itu terlalu keras dan melampau.
“Bahkan, peraturan atau enakmen yang dikuatkuasakan oleh JAIS sangat sederhana. Dakwaan terhadap peserta ratu cantik itu sendiri bukan kerana mendedahkan aurat, tetapi kerana berpakaian tidak sopan.”
Bagi beliau, Dr. Mahathir sebenarnya sengaja, “mencabar, bukan sahaja mencabar mufti dan ulama, tetapi juga mencabar dan mempersoalkan hukum Allah s.w.t”.
Segala pandangan, dalih dan sindiran Mahathir terhadap elit agama dan peraturan Islam itu sendiri sebenarnya menyerlahkan lagi sikap prejudis beliau terhadap Islam. Hal ini makin menambahkan lagi ketidak-layakan beliau terus memimpin sebuah negara bermajoritikan umat Islam.
“Dari segi kepimpinan Islam, orang itu mestilah Muslim, orang yang bertaqwa, berilmu dan mengetahui politik Islam dan politik semasa. Berilmu pula mencakupi ilmu agama, dan seorang pemimpin harus juga layak menjadi imam”, tegas Ustaz Ismail.
Dr. Mahathir jelas sekali tidak menepati kriteria tersebut. Lebih-lebih lagi dengan gaya hidupnya yang suka bermewah dan mengaut kekayaan. Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz, Pegawai Agama Istana Negara memberi komentar; “dalam Islam, kalau saya bersedia dilantik menjadi ketua, saya jangan fikir apabila saya menjadi ketua, saya mesti kaya, senang atau mewah. Dalam pemikiran mereka adalah material. Apabila mereka menjadi pemimpin, perkara utama yang difikirkan ialah material. Bagaimana aku hendak membesarkan rumah (mahligai), mencari kereta besar, menambahkan harta. Itulah yang direbut-rebutkan sekarang sehingga timbulnya perbalahan.”
Amat malang bagi umat Islam di negara ini, menurut Dato’ Abu Hassan, orang seperti inilah yang kita pilih menjadi pemimpin. Kita tidak mengira siapa pemimpin kita asalkan ia boleh diharap membantu dalam aspek material.
“Sekiranya mereka terpilih, kerosakan akan berlaku sehingga akar umbi. Golongan pemimpin seumpama ini cukup senang bila dipuja dan disanjung, walau pun kesan kepimpinan mereka begitu buruk sekali”, tambah Ustaz Abdul Ghani pula.
Bahkan, menurut beliau lagi, pemimpin yang tidak mentauhidkan Allah sekali pun masih tidak segan silu mengaku merekalah pemimpin paling baik. “Semua pihak mengaku pemimpin, meski pun tidak berakhlak dan gagal memenuhi tanggungjawab kepimpinan. Abu Lahab, Firaun dan Namrud pun mengaku, merekalah pemimpin yang paling baik untuk masyarakat mereka”.
Banyak lagi hujah para ulama di serata negara tentang kebobrokan kepimpinan Dr. Mahathir. Dimana, setiap ulama yang benar-benar beriman dan beramal dengan ilmu yang mereka miliki pasti menolak segala “fatwa” atau dolak-dalih Dr. Mahathir daripada melihat hukum dan peraturan Islam dilaksanakan di negara ini.
(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala diselenggarakan oleh Tarmizi Mohd Jam dengan tajuk "Talqin Buat Tuan Haji Mahathir" yang diterbitkan sekitar Jun 1999)
No comments:
Post a Comment