Saturday, May 15, 1999

Umno Gadai Maruah Melayu?

Oleh: Nasir Awang

DALAM satu ceramah umum di Padang Pak Mat, Pasir Putih lebih setahun yang lalu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Zulkifli Mamat dengan nada penuh yakin meletakkan jangka hayat bagi survival parti Umno. Beliau memberi tempoh paling lama pun hanya sepuluh tahun sahaja lagi bagi Umno untuk terus berkuasa, sebelum parti itu “dikuburkan”. Alasannya, perjuangan Umno sudah tidak relevan lagi dengan masa kini, apatah lagi untuk dekad akan datang.

Sama ada hujah Zulkifli itu disandari pengkajian dan analisis yang konkrit, beliau sendiri lebih mengetahuinya. Yang nyata, batang tubuh Umno kini sememangnya nampak keletihan dan menunggu masa untuk rebah menyembah bumi. Perjuangannya jauh menyimpang dari landasan asal.

Umno kelihatan muflis dari segi idea perubahan dan pembangunan ummah. Dalam kamus Umno sudah tidak ada rangka kerja yang sesuai untuk dijadikan model pembangunan. Kamus terkini Umno dipenuhi istilah kronisme, nepotisme, rasuah, politik wang, penyelewengan, salah laku, keruntuhan akhlak dan gejala sosial. Malah hampir semua istilah pemusnah nilai kemanusiaan terkumpul di dalamnya.

Umno nyata gagal dalam rangka kerja pembangunan kemanusiaannya. Apa yang ada hanyalah retorik usang pembangunan kebendaan. Sedangkan, dalam dunia kini soal kemajuan kebendaan tidak boleh dijadikan umpan politik. Rakyat sudah sedar bahawa menyediakan pembangunan kebendaan adalah tugas pemerintah. Mana-mana parti yang memerintah pun, pasti menyediakan kemudahan infrastruktur kepada rakyatnya.

Rakyat sudah tahu China yang diperintah komunis turut mengadakan jalan raya. Kenderaan di sana tidak berjalan di atas tanah selut. Kapal terbangnya tidak mendarat dalam semak walau pun bukan Umno yang memerintah China.

Thailand yang diperintah bangsa Siam beragama Buddha, pun ada tali air, ada jambatan dan balairaya, ada sekolah.

Bahkan, dalam negara kita, Kelantan yang sudah lapan tahun tidak diperintah oleh BN/Umno, turut mengadakan pembangunan; ada projek tali air Kemasin-Semarak, ada pelabuhan Tok Bali, Bandar Baru Kuala Krai, Jambatan Tok Guru, Jambatan Haji Omar. 

Bandar Kota Bharu tetap mengalami proses pembangunan setaraf dan serancak bandar-bandar lain yang diperintah Umno. Ada macam-macam pembangunan walau pun Kelantan miskin dan kerajaan pusat pula sekat bantuan. Ertinya bukan Umno/BN sahaja yang mampu membawa pembangunan kebendaan.     

Dengan kesedaran rakyat, modal utama Umno meraih simpati dan undi rakyat semasa pilihan raya sudah tidak setebal dulu lagi. Retorik pembangunan kebendaan tidak relevan lagi dengan keperluan semasa rakyat negara ini.

Umno sering mendabik dada, kononnya ia memperjuangkan agama, bangsa dan negara.  Lagu Setia yang sering dikumandangkan melalui media elektronik milik kerajaan saban hari jelas menyimpulkan bahawa perjuangan kerajaan Malaysia (yang kebetulan kini diterajui Umno) ialah untuk agama, bangsa dan negara. Namun setelah hampir 45 tahun Umno menjadi kerajaan, semakin jelas kegagalan parti itu. Malah semakin banyak bukti bahawa perjuangan Umno jauh menyimpang.

UMNO DAN ISLAM
Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad pernah mendakwa Umno Parti Islam ketiga terbesar di dunia. Malaysia pula dianggap Negara Islam contoh oleh negara-negara umat Islam lain.

Sebenarnya Umno tidak boleh berbangga sangat dengan kerja-kerja yang disifatkan Islam.  Umno tidak boleh rasa ia sudah Islam apabila membina masjid, kerana kerajaan China komunis pun membenarkan masjid dibina, juga membayar gaji imam-imam.

Begitu juga soal universiti Islam dan bank Islam, di Filipina yang menganut Kristian pun ada universiti Islam (Islamic University of Mindanao) dan juga bank Islam (Philipines Amanah Bank).

Kalau Umno mahu berbangga kerana kerajaan Malaysia membayar gaji mufti dan kadhi, kerajaan Siam yang Buddha itu pun ada membayar gaji mufti dan kadhi. Kerajaan Malaysia anjuran musabaqah al-Quran, kerajaan India yang Hindu itu pun hantar wakil juga untuk musabaqah.

Ertinya, mana-mana kerajaan pun terpaksa meraikan tuntutan dan keperluan rakyatnya. Itu bukan bermakna kerajaan berkenaan mahukan Islam.

Tambahan pula fakta-fakta yang menonjol yang diketahui umum dari segi perundangan (perlembagaan negara gubalan sekular Barat), sikap dan pandangan pemimpin Umno terhadap hukum Islam (terang-terang menolak perlaksanaan hukum syariah di Kelantan) dan sistem hidup Islam keseluruhannya (termasuk mencabul kemuliaan hari Jumaat sebagai cuti mingguan) membuktikan Umno bukan Parti Islam dan tidak pernah meletakkan kerja-kerja memartabatkan agama sebagai agenda perjuangannya.

Umno Jatuhkan Martabat Ulamak
Sikap jengkel para pemimpin Umno terhadap ulamak tidak dapat diselindung sama ada melalui tindakan atau perkataan yang menyindir atau merendah-rendahkan martabat ulamak.

Bagi sesetengah pemimpin Umno, agama bukan hanya milik ulamak. Mereka mahu mereka juga digelar ulamak. Bagi mereka, ulamak bukan hanya seseorang yang alim dalam bidang agama, tetapi juga meliputi bidang-bidang yang lain.

Akhirnya, mereka tidak boleh menerima hakikat bahawa mereka perlu tunduk kepada nasihat dan fatwa ulamak yang bagi mereka tidak kenal realiti dan masalah sebenar ummah. Ulamak hanya pandai berkhutbah dengan merujuk kitab-kitab lama sedangkan zaman cepat berubah.  Banyak perkembangan yang berlaku tidak diterangkan dalam kitab-kitab lama.

Mengapa para pemimpin Umno harus tunduk kepada orang yang, bagi mereka, gagal memahami tuntutan zaman yang serba canggih ini, yang hanya ingatkan mati dan membiarkan dunia ini dikuasai golongan bukan Islam. Walhal, bagi mereka, rakyat dapat kemudahan beribadah dalam keadaan aman dan selesa kerana usaha para pemimpin Umno untuk menstabilkan negara dan memperteguhkan ekonomi.

Kecenderungan sebilangan pemimpin utama Umno untuk membuat fatwa dan tafsiran sendiri yang kerap bertentangan dengan ajaran Islam amat menyiat perasaan umat Islam. Bahkan, mereka pergi lebih jauh dengan menghina beberapa aspek ajaran Islam itu sendiri. Antaranya yang masyhur ialah:
-          Assalamualaikum dengan selamat pagi sama sahaja.
-          Saidina Hamzah (yang syahid di Uhud) tidak dimandi dan dikafankan kerana di negara Arab payah nak dapat air, bukan kerana syahid.
-          Di zaman Nabi, orang menyimpan janggut kerana tak ada pisau cukur gillette.
-          Tujuan menutup aurat (perempuan) ialah kerana di zaman Nabi, Arab jahiliyyah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita daripada kabilah-kabilah lain.

Malangnya, para pemimpin Umno, khususnya yang berpendidikan agama, tidak seorang pun menyanggah keceluparan pemimpin mereka ini. Tidak mustahil sampai ketikanya, Umno akan mengemukakan beberapa pelan tindakan bagi  mengurangkan, hingga ke peringkat minimum, pengaruh ulamak terhadap orang Melayu setelah berjaya memburuk-burukkan ulamak tanpa mendapat sebarang halangan daripada ahli-ahli Umno.

Umno Menutup Suara Islam
Jika ada yang berpendapat masih ada ruang untuk menyuarakan Islam dari dalam Umno, orang itu sebenarnya menipu diri sendiri atau “tertinggal keretapi”. Memang benar dalam Umno pun ada ulamak. Tetapi ulamak yang diperintah, yang menjadi pak turut kepada pemimpin sekular. Bercakap hanya dalam ruang lingkup yang dipersetujui oleh pemimpin tertinggi parti, walau pun terpaksa menyembunyikan kebenaran. Kalau ada di antara mereka yang agak berani bercakap benar mengenai Islam, tokoh agama itu tidak akan kekal lama dalam hierarki Umno.

Sejarah membuktikan, Pengerusi Biro Agama Umno, Tuan Haji Ahmad Fuad, seorang ulamak yang menentang penubuhan Loteri Kebajikan Masyarakat, terpelanting keluar dari Umno sehingga memaksa beliau menubuhkan PAS bagi meneruskan perjuangannya.

Haji Nakhaie Ahmad yang pernah menyanggah pandangan Dr. Mahathir dalam kes Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan tiga perempuan Melayu berpakaian tidak senonoh di khalayak ramai beberapa tahun lalu, sampai sekarang gagal mencari tapak dalam Umno.

Anwar Ibrahim yang dianggap sebagai tunjang suara Islam di dalam Umno mutakhir ini, dan sering pula berkhutbah dan menjadi imam, dihalau keluar dari Umno dengan taktik yang sangat jijik dan penuh keaiban. Seolah-olahnya, Umno lebih rela kehilangan pemimpin utamanya dan sebilangan ahli-ahlinya, asalkan parti itu tidak dikaitkan dengan imej Islam.

Tidak cukup sekadar tokoh agama di dalam Umno, mereka yang di luar juga turut di kekang. Tengoklah apa yang berlaku kepada bekas Mufti Selangor yang mempertahankan tindakan JAIS menahan tiga peserta ratu cantik.

Bahkan para ahli panel Forum Perdana Ehwal Islam juga turut ditapis agar bercakap hanya dalam ruang lingkup yang diluluskan oleh pemimpin Umno. Mereka yang agak lantang seperti Dr. Haron Din (yang mengecam ibadat sembahyang dilakonkan), Ustaz Ismail Kamus (yang menyebutkan sesiapa mempertikaikan hukum hudud adalah murtad) dan Dr. Hassan Ali, sudah lama lenyap dari kaca tv.

Tegasnya, Umno berusaha sedaya mungkin agar bukan sahaja partinya, malah kerajaannya dan tv miliknya tidak menyuarakan Islam sebenar.

Umno Biarkan Umat Islam Murtad
Tidak ada penghinaan yang lebih dahsyat dan menyayat perasaan daripada gejala kemurtadan yang berleluasa dan dijamin oleh undang-undang. Sebagaimana yang didedahkan oleh bekas Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno, Saifuddin Nasution Ismail (Berita Harian, 22 Mac 1998) bahawa kegiatan memurtadkan umat Islam, terutamanya perempuan, dilakukan secara terancang oleh kumpulan tertentu melalui saluran mahkamah dengan menggunakan peruntukan undang-undang di bawah perkara kebebasan beragama.

Maka berlakulah rentetan peristiwa bagaimana gadis Islam ditukar agama mereka secara sah di sisi undang-undang. Antara kes masyhur yang melibatkan gadis Islam dimurtadkan ialah kes-kes Suzie Teoh dan Jessica Zurich (1988); Norbaizura Abdullah (1990); Hartina Kamaruddin dan Nor Aishah Bokhari (1997).

Apabila PAS melalui Ahli Parlimen Marang, Haji Abdul Hadi Awang, mengemukakan usul di Parlimen agar dibahaskan perkara berkaitan dengan murtad, Parlimen yang dikuasai Umno dan kerabatnya menolak mentah-mentah usul berkenaan atas alasan ia “tidak perlu disegerakan”.

Cubaan kedua PAS ialah mengemukakan lima Rang Undang-undang Murtad untuk diluluskan oleh Parlimen. Malangnya rang undang-undang tersebut tidak boleh dikemukakan untuk dibahaskan. Mengikut peraturan Parlimen, sesuatu rang undang-undang yang hendak dibahaskan hendaklah dibawa oleh seorang menteri. Apa yang nyata, tidak seorang pun menteri yang beragama Islam dalam Umno/BN tampil ke hadapan mengemukakan rang undang-undang berkenaan untuk dibahaskan.

Sikap tidak sensitif para pemimpin Umno dengan gejala kemurtadan umat Islam memang mudah difahami. Walau pun kes-kes besar kemurtadan berlaku di akhir 80-an dan 90-an, namun gejala ini sebenarnya sudah berlaku secara meluas sejak lama sebelum itu. Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 1980, misalnya, boleh dijadikan bukti sahih bahawa wujud orang-orang Melayu yang menganut agama selain Islam.

Banci itu mendedahkan, daripada 6.1 juta penduduk Melayu di Semenanjung Malaysia ketika itu, seramai 4,766 orang Melayu menganut Kristian, 522 menganut Hindu, 746 menganut Buddha dan 456 menganut agama tradisi orang Cina seperti Confucianisma dan Taoisma.

Para pemimpin Umno yang menerajui kerajaan sudah tentu tahu hakikat ini sejak dulu. Malangnya, sehingga kini mereka gagal berbuat apa-apa bagi membendung gejala murtad ini daripada berterusan. Sebaliknya, undang-undang yang memberi ruang umat Islam dimurtadkan secara sah itu terus dijunjung oleh mereka. Malah, mereka tidak malu menolak usaha mewujudkan undang-undang anti-murtad, kononnya ia “tidak perlu disegerakan”.

UMNO DAN BANGSA MELAYU
Pada prinsipnya, Umno adalah parti yang memperjuangkan kebangsaan Melayu. Betapa taksubnya Umno kepada istilah Melayu, sehingga ia merasakan hanya Umno sahaja satu-satunya parti orang Melayu yang benar-benar memperjuangkan martabat bangsa Melayu di negara ini. Sebab itu, pemimpin-pemimpin Umno sering mendakwa, kononnya jika Umno (BN) kalah dalam pilihan raya, kuasa politik orang Melayu akan terhakis.

Slogan Hidup Melayu sering mewarnai rapat-rapat Umno, sama ada secara tertutup atau terbuka. N.J. Funston menulis di dalam bukunya, Malay Politics in Malaysia: A Study of PAS and Umno:

Boleh dikatakan Umno mempunyai satu ideologi yang jelas mengenai satu isu sahaja, iaitu mengenai semangat kebangsaan Melayu. Walau pun pada praktiknya ia memberikan orang-orang bukan Melayu peluang yang banyak, ia sentiasa berpegang kepada satu konsep sempit bangsa Melayu dan sebenarnya lebih perkauman daripada apa yang dilihat.”

Tepat sebagaimana yang disimpulkan oleh Funston, Umno sememangnya “memberikan orang-orang bukan Melayu peluang yang banyak”.  Malah, terlalu banyak, terutama kepada kerabat-kerabat mereka di dalam BN. Beberapa pemerhatian di bawah boleh dijadikan ukuran sejauh mana komitmen Umno terhadap perjuangan Melayunya.

A. Umno Gagal Pertahan Ketuanan Politik Melayu
Antara agenda utama perjuangan Umno ialah mempertahankan ketuanan politik Melayu. Manakala ketuanan politik dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia dinilai pada jumlah kerusi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang dimenangi tokoh-tokoh politik sesuatu kaum.

Dalam konteks perjuangan Umno, parti itu boleh dianggap berjaya andainya kedua-dua peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri didominasi oleh ahli-ahli politik dari kalangan Melayu.

Sejarah menunjukkan perjuangan Umno mempertahankan ketuanan politik Melayu telah gagal. Kuasa pegangan politik Melayu, sama ada di peringkat Persekutuan mahu pun negeri-negeri semakin berkurangan. Beberapa pemerhatian di bawah boleh dijadikan bukti kegagalan Umno:

Pertama: Ahli Dewan Rakyat Melayu
Ditinjau penguasaan kerusi Dewan Rakyat sejak Pilihan Raya Umum 1959 menampakkan Umno amat tidak bermaya mempertahankan penguasaan orang Melayu dalam Parlimen. Itu pun diambil kira semua Ahli Parlimen berbangsa Melayu, tidak kira sama ada daripada Umno atau bukan Umno, termasuk MP daripada PAS, DAP dan lain-lain. Perangkaan berdasarkan Melayu/Bukan Melayu dan peratus penguasaan Melayu dalam Dewan Rakyat adalah seperti berikut:

Kemerosotan ini wujud bukan kerana kerusi itu terlepas daripada BN kepada pembangkang. Ia wujud apabila Umno tidak berupaya menolak tekanan parti bukan Melayu/Islam lain dalam BN terhadap pengagihan kerusi. Hasilnya, Umno menyerahkan kerusi yang asalnya ditandingi oleh calon Melayu kepada parti kerabat BN bukan Melayu.

Contohnya, dalam Pilihan Raya Umum 1990 sahaja, sebanyak 37 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri majoriti pengundi Melayu diserahkan oleh Umno kepada parti kerabatnya untuk ditandingi oleh calon-calon bukan Melayu (juga bukan Islam). Jumlah itu termasuklah 13 kerusi Parlimen dan 24 kerusi DUN, dan tidak termasuk kerusi-kerusi seumpama itu yang sudah pun ditandingi calon bukan Melayu dari BN sebelum itu.

Di antara kerusi-kerusi Parlimen majoriti Melayu yang diserahkan kepada MCA dan MIC dalam Pilihan Raya Umum 1990 ialah Padang Serai (55.2% Melayu), Alor Setar (54.8%), Lipis (53.2%), Pontian (52.2%), Kapar (60.0%), Ampang Jaya (68.5%), Selandar (50.8%), dan Teluk Kemang (51.3%).

Kedua: Singapura
Dengan bersetuju menyertai Malaysia pada 16 September 1963, Singapura mendapat kemerdekaan daripada Inggeris. Ia juga memperolehi pelbagai keuntungan dari segi ekonomi. Setelah semua keistimewaan itu diperolehi oleh Singapura, Presiden Umno, Tunku Abdul Rahman Putra mengisytiharkan perpisahan Singapura daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965 atas pertimbangan politik semasa. Seolah-olah Umno memberi pulau itu secara percuma kepada bangsa Cina.

Sejak itu Singapura diperintah oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew, dan tidak henti-henti menimbulkan masalah politik kepada Malaysia. Antaranya, beberapa pergeseran yang pada hakikatnya menyentap maruah bangsa Melayu sebagai tuan politik negara ini. Contoh ketara ialah ketidakupayaan Umno menangani isu-isu Pulau Batu Putih,  CIQ Tanjung Pagar dan pencerobohan ruang udara Johor oleh tentera udara republik berkenaan.

Ketiga: Pulau Pinang
Dalam Pilihan Raya Umum pada 10 Mei 1969, Umno (Perikatan) ditolak mentah-mentah oleh rakyat Pulau Pinang. Parti itu hanya menang di empat kerusi, manakala Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GRM) menguasai DUN Pulau Pinang dengan memenangi 16 daripada 24 kerusi. Baki empat kerusi lagi dimenangi oleh DAP (3) dan Parti Rakyat (1).

Sekalipun Gerakan berjaya dipujuk menyertai BN dan menghadapi Pilihan Raya Umum 1974 atas nama BN, kuasa memerintah negeri Pulau Pinang kekal di tangan Gerakan hingga kini. Umno gagal berbuat apa-apa untuk mengembalikan ketuanan politik Melayu di negeri itu.

Walau pun pada Pilihan Raya Umum 1990 lalu, Umno menang 12 daripada 33 kerusi berbanding Gerakan hanya 7 kerusi, manakala baki 14 lagi oleh DAP, tetapi Ketua Menteri Pulau Pinang tetap daripada Gerakan. Umno disifatkan “dayus” di Pulau Pinang.

Keempat: Sabah
Semenjak menyertai Malaysia pada 16 September 1963, Sabah diperintah oleh parti-parti kerabat Perikatan iaitu Usno dan Berjaya. Kedua-dua parti tersebut dipimpin oleh orang Melayu.

Apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) yang merupakan serpihan Berjaya, pimpinan Joseph Pairin Kitingan berjaya menguasai DUN Sabah melalui Pilihan Raya Umum Negeri pada 5-6 Mei 1986, bermulalah era bukan Melayu menerajui kerajaan negeri Sabah. Walau pun BN berjaya merampas kembali Sabah daripada PBS dalam Pilihan Raya Umum Negeri 1994, Umno yang menerajui BN terpaksa membayar harga yang mahal untuk jawatan Ketua Menteri Sabah - sistem giliran terpaksa diperkenalkan.

Ia secara langsung membuka peluang yang mudah untuk parti minoriti bukan Melayu menguasai majoriti tempoh pemerintahan BN di Sabah secara nisbah 1:2, iaitu satu penggal (dua tahun) untuk Melayu dan dua penggal untuk Cina dan Bumiputera Bukan Islam. 

Kelima: Kementerian Penting
Kementerian Kesihatan, Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos dan Kementerian Kerjaraya adalah antara kementerian penting yang sudah sekian lama dimiliki oleh menteri-menteri dari kalangan bukan Melayu. Kini, penguasaan ahli politik bukan Melayu menular pula ke dalam kementerian-kementerian lebih penting seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Dalam Negeri. Kedua-dua kementerian tersebut sudah memiliki timbalan menteri dari kalangan bukan Melayu.

B. Umno Gadai Tanah Rizab Melayu?
Suatu ketika, keluasan Tanah Rizab Melayu (TRM) di negara ini mencapai 3 juta hektar. Kini tanah tersebut hanya tinggal 1.7 juta hektar. Dalam satu laporan pada Jun 1998, Setiausaha Parlimen Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi memberitahu, di Selangor, sebanyak 8,299.9 hektar TRM hilang statusnya untuk memberi laluan kepada projek pembangunan. Dari jumlah tersebut, hanya 2,833.48 hektar atau 34 peratus diganti semula oleh kerajaan negeri. Bakinya tidak diganti, atau mungkin terus lesap.

Walau pun banyak TRM diambil untuk tujuan kebaikan umum, tetapi ada juga kes di mana TRM dirampas atas sebab yang tidak dapat diterima, termasuk untuk tujuan mencari keuntungan peribadi, dengan menggunakan peruntukan Akta Tanah Negara. Berikut adalah beberapa kes yang menonjol:

  • Pada tahun 1990, seramai 80 penduduk Pantai Chenang, Langkawi, diambil tanah mereka oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah untuk projek pelancongan Pelangi Beach Resort.

  • Pada tahun 1994, Kerajaan Negeri Sembilan mengambil 930 hektar tanah milik 666 penduduk Kampung Mambau, Mukin Rasah untuk pembangunan Seremban II.

  • Pada tahun 1993, Kerajaan Negeri Kedah mengambil tanah petani di Kerpan, melibatkan 167 lot di kawasan 1,000 ekar untuk projek ternakan udang harimau.

  • Di Georgetown, Pulau Pinang, TRM hanya tinggal 0.07 peratus pada tahun 1996, walau pun kawasan itu dahulu banyak tanah wakaf dan tanah milik sekolah agama.

  • Di Bayan Lepas dahulu ada 500 keluarga Melayu, tetapi sekarang sudah hilang lenyap. Kawasan TRM ini bertukar menjadi tapak industri dan perumahan.

  • Di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Melaka, Kuantan dan Johor Bharu, TRM sudah tidak sampai 10 peratus. Ini semua adalah ekoran kebebasan yang diperuntukkan dalam Akta Pengambilan Tanah 1960.

C. Umno Hakis Hak-Hak Istimewa Melayu? 
Penghakisan TRM yang berlaku ini juga tidak memeranjatkan, kerana Umno seolah-olah “merestui” Hak-hak Istimewa Orang Melayu, termasuk TRM, dihapuskan. Itulah apa yang dapat difahami dari apa yang berlaku di satu Perhimpunan Agung Umno beberapa tahun yang lalu.

Presiden Umno, Dr. Mahathir menghina kewujudan TRM dan Hak-hak Istimewa Orang Melayu dan ucapan beliau diberi tepukan gemuruh oleh perwakilan Umno. Mahathir, antara lain menyebut, konsep rizab Melayu menjadikan orang-orang Melayu sama taraf dengan Red Indians (penduduk peribumi) di Amerika Syarikat, yang terpaksa hidup atas belas ihsan Indian Reserves.

Keterlanjuran Umno mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu juga suatu yang sangat terserlah. Sedangkan kedudukan institusi raja dalam masyarakat Melayu adalah lambang keagungan bangsa sejak zaman berzaman. Melalui Pindaan Perlembagaan Negara 1983 dan Kod Etika Raja-Raja 1992 Umno secara sengaja meletakkan Raja-Raja Melayu tidak lebih daripada sekadar “simbol” dalam pemerintahan negara. Mereka tidak mempunyai apa-apa kuasa, malah terpaksa tunduk kepada nasihat Perdana Menteri atau Menteri Besar masing-masing dalam hal-hal berkaitan pemerintahan.

Perjuangan Umno untuk mendaulatkan bahasa Melayu, satu lagi hak istimewa orang Melayu sebagai peribumi Malaysia, juga sebenarnya “cakap tak serupa bikin”.  Stesen-stesen tv dan radio semakin galak menggunakan bahasa selain Melayu sebagai medium komunikasi.

Universiti dan kolej swasta dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Malah beberapa pemimpin Umno sendiri lebih senang berbahasa Inggeris, termasuk ketika memberi kenyataan kepada media massa tempatan.

Perlakuan-perlakuan tidak bertanggungjawab Umno terhadap bangsa Melayu yang menjadi teras perjuangannya itu menyebabkan semakin ramai orang Melayu yang hilang kepercayaan terhadap parti itu. Perjuangan Umno tidak relevan lagi dengan pembelaan bangsanya sendiri.

UMNO DAN NEGARA
Sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara, Umno sering dilihat menjuarai kempen-kempen patriotik. Melalui kempen “Cintai Malaysia” misalnya, rakyat disuakan dengan pelbagai ucapan, lagu dan propaganda betapa pentingnya menanamkan semangat cintakan tanahair sendiri. Begitu juga dengan slogan “Negara Kita, Tanggungjawab Kita” sempena Hari Kemerdekaan yang lalu.

Tidak ada sesiapa dari kalangan rakyat Malaysia yang wajar membantah kempen seumpama itu. Itulah semangat yang mesti dipegang oleh setiap rakyat yang merdeka, apatah lagi Umno yang mendakwa juara jatidiri negara. Halacara politik dan ekonomi negara mestilah ditentukan sendiri oleh anak bangsa Malaysia.

Persoalannya, selepas lebih 40 tahun negara mencapai kemerdekaan, apakah Umno (sebagai teraju kerajaan) berjaya mewujudkan jatidiri negara, dalam politik atau ekonominya? Adakah halacara politik dan ekonomi Malaysia ditentukan oleh anak negerinya sendiri sekarang ini?

Umno Relakan Campurtangan Asing?
Betapa Umno, sejak dahulu lagi, ada saham terhadap campur tangan asing dalam pemerintahan negara diungkapkan dengan baik oleh Subky Latif lewat tulisannya, “Hubaya, hubaya dikuasai orang asing”, Harakah, 25 Disember 1998. Berikut dipetik sebahagiannya:

“Sejak rakyat (Malaysia) menuntut kemerdekaan, British telah menentukan bahawa kemerdekaan tidak boleh dituntut oleh orang Melayu sahaja. Semua kaum mesti diajak berkuasa sama, baru kemerdekaan diperolehi. Ketika hendak mencapai kemerdekaan, negara tidak dapat menentukan Perlembagaan sendiri. Maka Lord Reid diajak sama untuk merangka Perlembagaan.

“Bukan sekadar Lord Reid, habis hakim-hakim dari India dan lain-lain negara diminta duduk dalam Suruhanjaya Reid bagi menentukan Perlembagaan negara. Hingga hari ini (Perlembagaan itu) tidak boleh dipinda lagi.

“Di zaman Dr. Mahathir (menjadi Perdana Menteri) dalam masa 17 tahun ini, Malaysia tidak sunyi dari ditentukan oleh kuasa asing. Untuk memecat Tun Salleh Abbas (sebagai Ketua Hakim Negara) dan beberapa orang hakim lagi, Dr. Mahathir tidak sekadar menggunakan orang dalam negeri. Dia memungut hakim dari Singapura, hakim dari Sri Langka dan entah dari mana lagi untuk bersama-sama memasukkan hakim-hakim kita ke dalam bakul sampah mahkamah.”

Subky juga turut mengemukakan beberapa contoh lagi yang jelas membuktikan bahawa campur tangan kuasa asing dalam pemerintahan negara sudah wujud sejak Umno mula memerintah negara. Antara yang terbaru ialah syarat agar Malaysia membenarkan kehadiran pasukan kriket Israel ke negara ini sekiranya Malaysia mahu menjadi tuan rumah kejohanan itu. Malaysia akur kepada syarat tersebut.

Umno Mudahkan Orang Asing Beli Bumi Malaysia?
Bermula 22 April 1998, akibat dari kemelesetan ekonomi, kerajaan Malaysia pimpinan Umno melakukan satu lagi kesilapan besar dalam aspek kedaulatan negara. Berasaskan tujuan yang jelas bagi menyekat kerugian tokoh-tokoh korporat di sektor binaan, kerajaan membenarkan orang asing membeli semua hartanah yang berharga RM250,000 ke atas.

Kerajaan menghapuskan levi kepada warga asing dalam pemilikan hartanah tersebut. Ini meliputi semua jenis unit termasuk rumah kediaman, rumah kedai, ruang perniagaan dan ruang pejabat. Syaratnya amat minima, iaitu pembiayaannya mestilah bank asing.

Apabila syarat ini dipenuhi, kelulusan akan diberi secara automatik. Arahan dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC), Ali Abu Hassan (sekarang Gabenor Bank Negara). Menurutnya, langkah ini mengambil kira cadangan dari Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hasil desakan pihak korporat yang berkaitan dengan sektor hartanah.

Melalui Kempen Pemilikan Rumah yang dilancarkan kerajaan antara 12 Disember 1998 hingga 12 Januari 1999, kemudahan dan kelonggaran lain pula disediakan untuk memudahkan warga asing memiliki hartanah. Warga asing yang berada di luar negara akan menerima financial margin sehingga 50 peratus dari bank-bank di Malaysia, manakala bagi mereka yang bekerja di negara ini menerima kemudahan pinjaman sama sebagaimana rakyat Malaysia (iaitu sehingga 90%). Sedangkan sebelum ini, setiap warga asing yang mahu memiliki hartanah di negara ini disyaratkan memperolehi pinjaman bank-bank luar negara.

Rakyat bimbang langkah kerajaan pimpinan Umno ini, sama ada disedari atau tidak, memudahkan warga asing membeli bumi Malaysia seinci demi seinci bertopengkan kempen yang kononnya bertujuan memudahkan rakyat sendiri memiliki rumah sendiri.

Kedua-dua bentuk campur tangan politik dan penglibatan ekonomi orang asing di negara ini secara diundang itu adalah bukti sejauh mana kesungguhan Umno mewujudkan jatidiri negara. Nyata sekali, rakyat ada sebab untuk mempersoalkan keikhlasan dan kesungguhan Umno membela kedaulatan negara ini.

KESIMPULAN
Ringkasnya, Umno ternyata gagal dalam perjuangannya untuk kedaulatan agama, bangsa dan negara. Perjuangan Umno kini nyata sudah tidak relevan lagi dengan keadaan masyarakat. Ia tidak berjaya mempertahankan teras perjuangannya sendiri itu, sebagaimana yang diamanahkan oleh rakyat.

Dahan atau batang yang hilang teras, sifatnya berongga. Barang berongga amat rapuh dan tidak akan dapat bertahan lama.

Maka, sudah sampai masa rakyat mencadangkan agar Umno dibubarkan. Rakyat perlu beralih kepada pemimpin baru dan jangan terus bergayut pada dahan Umno yang rapuh.

(Artikel ini disiarkan majalah Detik, edisi 15 Mei 1999 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment