DAYANGKU Intan bukanlah nama
asing, terutama buat para penggiat atau peminat dunia seni suara tanahair. Nama
itu sering menghiasi media, terutama di era 80-an dan 90-an dulu.
Ketika itu, suaranya yang lemak
mendayu sering berkumandang lewat media elektronik. Lagu-lagunya bukan setakat
diulangputar untuk hiburan, tetapi turut menduduki carta lagu-lagu pujaan
mingguan. Kemerduan lagunya turut menjadi siulan jutaan peminat. Pendekata,
namanya senantiasa menjadi sebutan ramai.
Namun, tidak seramai itu yang
tahu jalan berliku penuh pancaroba dalam hidup insan seni ini. Di sebalik senyumnya
yang sentiasa manis di depan khalayak dan alunan suaranya yang mendayu kala menghiburkan
masyarakat, wujud siri dugaan amat perit yang hanya diketahui mereka sekeluarga.
“Memang orang tak tahu, orang
tengok zahirnya kami senang, gembira dan hidup mewah. Kita pun tak cerita kat orang
(pelbagai dugaan hidup),” akui Dayangku Intan, dalam sessi temubual eksklusif
dengan majalah Dian – Ihya’ As-Sunnah baru-baru ini.
Beliau mengakui beberapa dugaan
besar yang datang silih-berganti amat menekan kehidupannya. Namun, di sebalik
segala pengalaman pahit itu rupa-rupanya tersirat hikmah tersendiri yang
akhirnya membuahkan kebaikan dalam hidupnya.
Kesemua ujian itu membuatkannya
berfikir, seolah-olah Allah Ta’ala menghantar isyarat kepadanya untuk berubah
dalam hidup. Berfikir mengenainya membawa Dayangku Intan menginsafi kekurangan
diri, termasuk kelemahan iman, seterusnya mendorongnya lebih mendekatkan diri
kepada Tuhan dan ajaran-ajaran agama.
Usia awal
Wanita berjiwa kental ini dilahirkan pada 29 April 1966
sebagai Dayangku Intan bte Tengku Abdul Hamid. Berbeza dengan tanggapan awal
sebilangan orang yang menyangka beliau berasal dari Sarawak atau Brunei
(berdasarkan namanya), Dayangku Intan adalah anak jati Kampung Pandan, Kuala
Lumpur.
Beliau merupakan anak ketiga daripada empat beradik,
kesemuanya perempuan, seibu-sebapa. Ada pun adik-beradiknya yang berlainan ibu
agak ramai, memandangkan bapanya mempunyai ‘empayar’ keluarga yang agak luas. Malah,
dia mengakui ada antara adik-beradiknya yang hingga kini belum sempat
dikenalinya.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Jenis
Kebangsaan (Cina) Sun Jin, di Kuala Lumpur, sebelum menyambungnya di Sekolah
Menengah Confucian, Pudu.
Minat
menyanyi
Minatnya dalam bidang seni suara juga sememangnya
berputik sejak kecil. Menurutnya, beliau telah mula menyanyi seawal usia lapan
tahun. Beliau bersama kakaknya kerap diundang membuat persembahan di majlis
kenduri kahwin di rumah jiran-jiran.
“Masa tu (usia) lapan tahun, program Jamal Kerdil
(Allahyarham Pakcik Jamal) masih ada di RTM. Saya pergi tu.. program tu. Lagu
kegemaran ku (liriknya)... “rasa cinta pasti ada...”, “duhai kanda rayuan hati...”.
Lagu tu pun saya suka nyanyi, siap dengan pakaian. Saya tak boleh tengok plug tu, terus rasa nak pegang mikrofon,”
ulas Kak Intan, separuh ketawa.
Bermula dari situ, dia mula mendapat banyak jemputan. Sesiapa
yang pernah dengar dia menyanyi di kenduri kahwin, akan menjemputnya menyanyi
di kenduri mereka pula. Daripada hanya sekitar Kampung Pandan, beliau dijemput
sampai ke Kedah.
“Waktu tu satu persembahan saya dibayar RM2.00. Kugiran
bersama kakak saya, mengiringi saya menyanyi. Bila pergi outstation ke Jitra, Kedah, dapatlah RM20. Tu kira dahsyat la tu,
kira macam kita pergi England la sekarang ni... overseas,” sambung Kak Intan lagi.
Baginya, keghairahan menyanyi itulah juga menyebabkan
beliau tidak minat menyambung pelajaran ke peringkat tinggi. Beliau menghabiskan
pelajaran hanya di peringkat persijilan di Kolej Damansara Utama, dalam jurusan
Undang-Undang Perniagaan.
Didorong minat itu juga, seawal usia 14 tahun, Kak Intan
sudah bergelar penyanyi kelab malam. Bayaran diterimanya juga agak lumayan. Namun,
lebih besar lagi ialah apabila pendedahan di situ membawanya ke pentas lebih
bermakna buat kerjayanya selepas itu.
Semakin
popular
“Jadi itulah.... sampai saya menjadi popular, saya
dipanggil pulak bekerja dengan Hotel Merlin. Dipanggil sain kontrak dengan
Merlin (secara berkumpulan). Masa tu saya dah berumur 16 atau15 tahun..”,
katanya.
Kak Intan kerap keluar, terutama ke Johor Bahru dan
Pahang. Bagi mengelakkan kejadian buruk kerana selalu pergi oustation, beliau dikahwinkan dengan
seorang pemuzik dalam kumpulannya. Perkahwinan itu bagaimana pun sempat
bertahan hanya dua tahun. Hasil perkahwinan itu Kak Intan mendapat anak
sulungnya, Wanku Mohd Syaifuldean.
Beliau kemudiannya “dipinang” oleh syarikat rakaman.
Komposer S. Atan dengan Omar Taib mempelawanya menjadi penyanyi solo. Kak Intan
bagaimana pun memilih untuk kekal dengan kumpulannya, The Sweet Honesty.
“Start buat
album, selepas balik dari Johor. S. Atan dan Omar Taib panggil saya, masa tu
tengah mengandung anak yang sulung. Panggil audition.
Lepas pantang terus buat album pertama “Secebis Kenangan” bersama OMRI Records.
Saya artis wanita pertama,” ceritanya.
Kemudian, menyusul pula album keduanya berjudul “Semakin
Rindu Semakin Sayang”. Tidak lama selepas itulah beliau berkahwin kali kedua
dengan Encik Rosman Yahil, seorang deejay.
Mereka kemudiannya dikurniakan tiga cahayamata, iaitu Wanku Mohd Rusydean,
Wanku Intan Syarafana dan Wanku Ruknudean.
Dari situ juga kerjayanya sebagai penyanyi terus mendaki
populariti. Kak Intan dikatakan sempat menghasilkan 14 album dengan yang
terakhir bersama syarikat rakaman Polygram pada 1995. Ia diikuti beberapa album
kompilasi kemudiannya. Namun, di sebalik segala kejayaan itu tersirat suatu
kekosongan pada jiwanya.
Tak kenal
Tuhan
“Apa yang saya lalui daripada kecil, susah, senang,
kahwin, masa tu dari segi agama saya kosong. Saya memang tak tahu al-Quran,
hadith, tidak dibesarkan begitu. Tapi cuma mak saya kata, “jangan buat orang
macam tu, berdosa”, “jangan macam tu, Tuhan marah”. Itu je yang tahu. Tapi
Tuhan tu (sekadar) Tuhan lah, tak tahu lah Tuhan tu yang jadikan kita, cuma
Tuhan. Tuhan marah, (tergambar) macam cikgu (marah). (Pemahaman sebegitu) sampai
saya berumur belasan tahun,” Kak Intan berterus-terang mengakui kelemahan
dirinya dulu.
Sehinggalah ditakdirkan Allah Ta’ala berlaku beberapa
dugaan besar dalam hidupnya, yang disifatkannya sebagai titik-titik penting
merubah halatuju, seterusnya mendorong dia dan keluar “berhijrah” dari
kehidupan lalu.
Dugaan
bermula
“Saya rasa Allah pilih, bila saya dah kena macam-macam
dugaan (bermula dengan) saya hilang adik saya. Dia meninggal umur 29 tahun,
masa tu waktu saya tengah senang. Adik saya sakit di (Hospital) Tawakal. Masa
tu duit tak ada masalah, (saya) artis tengah popular. Sekali Tuhan duga, kalau
susah lain tu boleh cari duit. Sakit ni, tak boleh. Nyawa ni Tuhan kata, “itu
hak Aku”. Bila terkena tu, saya kata, “Ya Allah, adik, saya sayang so much, suami dia sayang, Dia nak ambil
(nyawanya), Dia ambil jugak,” ujar Kak Intan, dalam nada sebak.
Terbukti dari tuturkatanya, Kak Intan memang amat
menyayangi Allahyarham. Kehilangan adiknya itu amat mengesankan. Malah, dari
situ beliau mula melihat kebesaran dan kekuasaan Allah. Cuma, ia belum cukup
kuat untuk merubah kehidupannya.
Kemudian datang pula dugaan kedua. Anak perempuannya
(anak ketiga) lahir tanpa hempedu. Maka daripada kecil sampai sekarang terpaksa
berulang alik ke hospital. Di sebalik kepayahan yang amat mencabar itu juga
rupa-rupanya tersimpan mesej amat bermakna dari Allah SWT buat Kak Intan.
“Apabila anak saya keluar-masuk hospital, sehingga dia
pernah few seconds tak ada nyawa,
seorang (satu-satunya anak) perempuan ni, satu family semua sayang lah, “semangga-mangganya”, kata orang. Saya
menyembah, ketika dia orang bawa dia ke emergency
room, masa tu saya menyembah kat lantai. Saya kata, “Ya Allah, kalau nak
duga saya pun, dugalah saya saja, jangan lah ambik anak saya tu”. Saya cakap, “saya
mengaku saya memang berdosa, saya tak mengenali Allah”.
“Saya menyembah, saya minta. Masa tu juga dia (anak) keluar
suara, menangis,“Huaaa!!!...” Yang lain berlari-lari, “Syara dah sedar!” Saya
masih juga kat situ (lantai). Masa tu hati saya memang, tak tahu nak cakap
macamana, satu sentapan!”, cerita Kak Intan mengenai detik-detik hatinya
“terketuk” oleh kebesaran Allah.
Namun, sekali lagi dugaan besar itu juga tidak cukup kuat
untuk betul-betul memalingkannya dari gaya hidup dilaluinya ketika itu. Ibarat
katanya sendiri, “situ lah sikit demi sikit (ingatkan Allah), tapi macam chipsmore, kejap ingat, kejap tak ingat.
Kejap insaf, kejap tidak”, akuinya.
“Anak sakit, business
jatuh, konsert tak dibayar, macam-macam dalam kehidupan. Dari tahun ke tahun begitu.
Allah memang mengajar betul-betul, yang saya rasa nikmatnya, yang sekarang baru
saya betul-betul faham. Hutang tak (boleh) bayar, company kena tutup daripada kita membiakkan lagi hutang...,”
sambungnya lagi.
“Bersambung-sambung.. lepas anak saya dah jadi elok, tentang
business apa semua, jadi dalam
perjalanan dekatkan diri kepada Allah tu, saya sakit. Mak saya sakit dulu. Bila
anak saya dah sihat, sambung mak saya. Saya pulak lepas tu sakit, sampaikan joint saya bengkak, jantung bengkak,
saya dimasukkan ke hospital. Dia orang (doktor) suspek masa tu saya mungkin menghidapi
barah,” Kak Intan memperincikan ujian hidupnya.
Bertamu ke
Rumah Allah
Kebetulan sejurus sebelum
menerima dugaan itu, beliau telah menyatakan hasrat
bertamu ke Rumah Allah. Dorongan utama ialah untuk memanjatkan kesyukuran
kerana Dia menyelamatkan anaknya dari tahap kritikal. Namun, apabila berdepan kemungkinan mendapat kanser, doktor
menasihatkannya supaya menangguhkan pemergian ke Tanah Suci.
Beliau kemudiannya pergi mendapatkan rawatan di Australia.
Dia dikenalpasti menghidap rheumatoid
arthritis. Tapi waktu itu beliau
sudah nekad, walau pun terpaksa berkerusi roda, dia tetap akan pergi
mengerjakan umrah.
Alhamdulillah, sesampai di
Tanah Suci, tanpa disedari beliau boleh berjalan seperti biasa dan tidak perlu
berkerusi roda lagi. Seterusnya boleh menyempurnakan ibadah umrah tanpa masalah.
Malah, di situ juga beliau ditakdirkan Allah bertemu seseorang yang akhirnya
melorongkan jalan kepadanya mendalami ilmu agama secara lebih serius.
“Carilah Ustaz
Abdullah Yasin”
“Sihat, seronok. Rasanya banyak-banyak tempat holiday, that’s (Mekah) the best place for
holiday. Sampai sana kenal pulak Kak Liza (Norliza, kakitangan syarikat
umrah), sayang sangat saya kat dia. Dialah yang bawa (tunjuk jalan) saya jumpa
Ustaz Abdullah Yasin,” Kak Intan meneruskan ceritanya.
Ustaz Abdullah Yasin adalah seorang sarjana Islam yang giat menaburkan ilmunya, terutama di Lembah
Kelang. Beliau juga pengelola kolum ‘Bimbingan Solat’ dalam majalah Dian.
Menurutnya, yang masih ingat kata-kata Kak Liza, pesanan
kakak itu agar dia berhati-hati dengan agama amat memberi kesan kepada hatinya.
Daripada situ beliau belajar sedikit demi sedikit. Paling dipegangnya ialah
suatu kesedaran baru bahawa perkara yang tidak boleh dibuat rupa-rupanya lebih banyak
daripada yang boleh di buat.
“Dia (Kak Liza) pesan, carilah buku hadith Muslim,
Bukhari, ikut hadith yang sahih. Dia pun bekalkan beberapa buku. Dia pesan
lagi, balik (ke Malaysia) cari Kak Nun. Dia kata Kak Nun akan bawa jumpa satu ustaz,
dia kata, Ustaz Abdullah Yasin. Jadi bila balik, dalam keadaan kebesaran Allah (sudah
masuk ke dalam hati), bila melangkah balik ke rumah, jumpa suami, tak sabar dah
(untuk memulakan perubahan hidup).”
“(Kemudian) jumpa Kak Nun dan Kak Nah, pergi rumah Kak
Nah, ada kuliah pasal hadith dan al-Quran tafsir. Dari situlah saya ikut Ustaz Abdullah
Yasin, dan saya sukalah Abdullah Yasin, satu ustaz yang lembut, pandai mengambil
hati muslimah, ibu-ibu. Dia lemah-lembut, memang memberi (banyak) pengajaran,
(terutama) mengenai solat yang betul,” ujarnya lagi.
Dari situlah, katanya, beliau belajar al-Quran dan hadith
secara serius, selain turut mengikuti kelas pengajian agama dengan Ustaz Mohd Asri
Zainul Abidin secara tetap.
(Artikel ini disiarkan majalah DIAN, Edisi 6 (Jun 2012) di ruangan KEMBARA IMAN dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment