Oleh: Mohd Nasir Awang
Tersebut kisah di suatu zaman sebelum kelahiran Nabi
Muhammad saw, berlaku satu kejadian yang sekaligus membuktikan kaitan rapat
antara amal kebajikan dilakukan seseorang dengan curahan rahmat dari Allah SWT.
Amal yang dilakukan secara ikhlas semata-mata kerana Allah akhirnya menjadi
sandaran atau pertaruhan amat bermakna, terutama di saat seseorang amat
memerlukan pertolonganNya.
Diriwayatkan pada suatu hari tiga orang sahabat telah
menempuh perjalanan agak jauh. Dalam keadaan keletihan itu mereka terlihat
sebuah bukit, lalu menuju ke sana dengan tujuan mencari tempat berehat. Di situ
mereka menemui sebuah gua yang amat sesuai untuk mereka berteduh dari panas
terik mentari atau sebarang kemungkinan tiupan angin kencang. Lantas mereka memasukinya
seraya merebahkan diri dan beristiherat.
Belum pun begitu lama mereka berada di dalam gua itu,
tiba-tiba mereka dikejutkan oleh bunyi gegaran agak kuat dari luar. Dengan
tidak semena-mena sebongkah batu besar bergolekan dari atas bukit, lalu jatuh
betul-betul menutupi pintu gua tersebut. Suasana di dalam gua yang ketika itu
agak terang tiba-tiba bertukar gelap gelita, tanpa sekelumit cahaya.
Ketiga-tiga mereka menerpa ke arah pintu gua itu.
Masing-masing cuba menolak batu tersebut, kalau-kalau ia dapat dialihkan dari
pintu itu. Setelah berusaha keras dengan berbagai daya dan ikhtiar, bongkah
batu itu tidak juga dapat digerakkan walau pun sedikit.
Mereka akhirnya terduduk keletihan, seraya bertukar
pendapat mengenai apa yang boleh mereka lakukan untuk mencari jalan keluar. Berbagai
cadangan dilontarkan, sehinggalah akhirnya berkata salah seorang di antara
mereka: “Sesungguhnya tidak ada yang dapat menyelamatkan kita semua dari
bencana ini kecuali Allah SWT. Maka apa kata jika kita semua berdoa kepada
Allah Ta’ala dengan menyebutkan amal-amal soleh yang pernah kita lakukan.”
Pendapat itu dipersetujui oleh yang lain. Lalu lelaki
yang pertama pun berdoa: “Ya Allah, saya mempunyai ayah dan ibu yang sudah tua.
Menjadi kebiasaan saya saban hari mendahulukan memberi minuman susu kepada
keduanya sebelum saya memberikan minuman itu kepada keluarga dan hamba saya.”
“Pada suatu hari saya terlambat pulang dari mencari kayu di
hutan. Setiba di rumah saya dapati ayah dan ibu sudah tidur. Bagaimana pun, saya
tetap memerah susu sebagai persediaan minum keduanya, kalau-kalau mereka
terjaga. Namun, setelah selesai memerah susu, mereka tetap juga terlena. Maka
saya tidak sampai hati mengejutkan mereka, lalu membiarkan mereka terus tidur.’
“Disebabkan hal itu juga saya mengambil keputusan untuk tidak
memberi minum susu itu, sama ada kepada anak-anak isteri mahu pun hamba sebelum
saya memberi minum kepada ayah dan ibu terlebih dahulu. Maka saya terpaksa menunggu
hingga terbit fajar, barulah ayah dan ibu bangun dari tidur mereka. Lalu saya berikan
minuman susu kepada keduanya.”
“Padahal semalaman itu anak-anak saya menangis meminta
susu, sehingga mereka teresak-esak sambil mengelilingi kaki saya. Saya tetap
tidak memberikan mereka susu, kerana mahu mendahulukan ayah dan ibu.”
“Ya Allah, jika saya berbuat seperti itu kerana
mengharapkan redhaMu, maka geserkanlah batu yang menutupi gua ini.”
Dengan kudrat dan iradat Allah, maka batu itu bergeser sedikit.
Ketiga-tiga lelaki tadi bersorak keriangan dan mengucapkan tahniah kepada
lelaki yang berdoa itu kerana doanya diperkenankan Allah. Mereka lantas
mendapatkan batu tersebut dan cuba untuk memboloskan diri. Malangnya, geseran
tadi belum cukup luas untuk membolehkan mereka keluar dari gua itu.
Maka berdoa pula lelai kedua, dengan katanya: “Ya Allah,
sesungguhnya saya mempunyai saudara sepupu perempuan yang saya sangat cintai,
sebagaimana lazimnya orang lelaki mencintai orang perempuan. Disebabkan dorongan
keinginan itu tersangat kuat, saya sering mengajaknya melakukan zina, tetapi dia
selalu menolaknya.”
“Selang beberapa tahun kemudian, dia ditimpa kesulitan
hidup. Lalu dia datang mengadu hal kepada saya dan saya berikan kepadanya
seratus dua puluh dinar. Sebagai membalas kebaikan saya itu, dia sanggup
menyerahkan dirinya untuk diperlakukan apa saja oleh saya bila-bila masa saja yang
saya inginkan.”
“Saya faham apa dimaksudkannya, iaitu mengabilkira ajakan
demi ajakan saya sebelum itu untuk melakukan zina. Lalu saya hampir saja
menyempurnakan hasrat yang sekian lama bersarang di benak itu, sehinggalah ketika
saya berada di antara kedua kakinya, dia berkata: “Takutlah kamu kepada Allah
dan janganlah kau sobekkan selaput daraku kecuali dengan jalan yang benar.”
“Demi Allah, kata-kata itu amat menyedarkan saya,
sehinggakan saya terus membatalkan hasrat melakukan perbuatanterkutuk itu. Saya
terus meninggalkannya, padahal dia adalah seseorang yang sangat saya cintai.
Saya juga menghalalkan pemberian dinar kepadanya itu.”
“Ya Allah, sekiranya ketegasan saya meninggalkan
perbuatan yang sangat hampir menjadi kenyataan itu semata-mata kerana
mengharapkan redhaMu, maka geserkanlah batu yang menutupi gua ini.”
Dengan rahmat Allah Ta’ala, batu itu sekali lagi bergeserlah.
Ketiga-tiga mereka pun tersenyum kegembiraan dan mengucapkan tahniah kepada
lelaki kedua itu. Malanag lagi, apabila mereka cuba memboloskan diri di celah
batu tersebut, ruang yang terbuka itu masih juga belum cukup untuk mereka
keluar dari gua itu.
Bagaimana pun mereka bertambah yakin dengan sifat Allah
Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Mereka amat berharap dengan doa lelaki
ketiga antara mereka, jalan keluar akan terbuka untuk mereka.
Lalu lelaki ketiga pun berdoa: “Ya Allah, saya sebelum
ini pernah menggaji beberapa pekerja dan semuanya saya gaji dengan sempurna.
Tiba-tiba ada seorang pekerja saya yang meninggalkan saya tanpa sempat
mengambil gajinya lebih dulu. Saya asingkan gajinya itu. Pada mulanya saya
hanya menyimpannya, kemudian terfikir oleh saya untuk kembangkannya, yakni
melaburkannya dalam usaha ternakan.”
“Selang beberapa lama, pelaburan gajinya itu berkembang
menjadi banyak. Kemudian datang bekas pekerja saya itu dan menuntut gajinya
yang dia belum ambil itu.”
“Saya lantas berkata kepadanya: “Semua yang kamu lihat
itu, sama ada unta, lembu, kambing, mahu pun budak pengembala itu, kesemua
adalah gajimu.” Dia amat terkejut dan menyangka saya mempermain-mainkannya.
Lalu dia mengulangi permintaannya tadi.”
“Saya menjawab: “Saya tidak mempermainkan kamu.” Kemudian
saya menjelaskan kepadanya satu persatu, sehinggalah dia memahami bahawa wang
gaji ditinggalkannya telah saya kembangkan ke dalam bentuk usaha ternak yang
ada di hadapannya itu. Dia pun mengambil semuanya itu dan tidak meninggalkannya
sedikit pun.”
“Ya Allah, jika saya berbuat seperti itu kerana
mengharapkan redhaMu, maka geserkanlah batu yang menutupi pintu gua ini.”
Doa lelaki ketiga itu turut diperkenankan Allah Ta’ala.
Maka bergeser lagi batu itu. Kali ini ruangnya cukup luas untuk mereka
memboloskan diri. Sekali lagi ketiga-tiga sahabat itu saling bersalaman dan
berpelukan tanda saling mengucapkan tahniah serta mengangkat tangan menadah
syukur ke hadrat Allah. - Editor
(Dipadankan daripada kisah di dalam hadith riwayat
Bukhari dan Muslim, dari Abu Abdurrahman Abdullah bin Umar bin Khattab ra)
(Artikel ini disiarkan majalah DIAN, Edisi 6 (Jun 2012) di ruangan SECEBIS KISAH dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment