Friday, June 1, 2012

DIAN yang tak kunjung padam

Oleh: Mohd Nasir Awang

Dato’ Yusoff  Zaky Yacob (1925-1998) bukan lagi nama asing dalam dunia penerbitan tanahair. Allahyarham agak sinonim dengan majalah Dian, majalah Bahasa Melayu yang pertama diterbitkan dalam bentuk “diages”. Beliau turut dikaitkan dengan peranan besar memulihkan majalah Pengasuh, yang diterajuinya selama lebih 20 tahun sejak 1974.

Beliau dianggap contoh pemikir dan pengarang serba boleh, yang memiliki keazaman sangat tinggi untuk menyebarluas buah fikirnya kepada masyarakat. Bahkan, itulah dikatakan sebab utama mendorong beliau menubuhkan Pustaka Dian pada 1957. Kekecewaannya apabila hasil karyanya tidak diberikan layanan atau ruang di dalam media cetak sedia ada menyebabkan beliau mengambil keputusan menerbitkan majalah sendiri. Maka, pada 21 Jun 1961terbitlah edisi sulung majalah Dian, yang beliau sendiri selaku Ketua Pengarangnya.

Sebagai seorang yang berpengalaman menimba ilmu menerusi sistem pendidikan tradisional dan moden, Almarhum berpeluang menguasai pelbagai ilmu, sama ada yang terkandung di dalam kitab-kitab tua (kitab pondok) atau kitab-kitab Arab moden. Beliau juga mendalami ilmu-ilmu moden, terutama dalam bidang psikologi, pendidikan, dakwah dan politik.

Berlatarbelakangkan hakikat itu, tidak menghairankan apabila Almarhum muncul sebagai seorang pengarang, penulis, penterjemah, mufassir, wartawan, penerbit, usahawan percetakan dan pendakwah. Dedikasi dan sifat berdikarinya dalam menyebarkan ilmu dan dakwah Islam amat sukar digalang-ganti.

Buku ‘YUSOFF ZAKY YACOB – Dian yang Tak Kunjung Padam’ ini dianggap suatu rakaman penghargaan terhadap jasa bakti Almarhum. Ia bukan setakat memaparkan biografi yang menyentuh asal-usul dan latarbelakang keluarga beliau. Ia malah turut menyorot secara agak terperinci mengenai sumbangan bermakna beliau di bidang penulisan dan penerbitan.

Selain memimpin majalah Dian dan Pengasuh, Almarhum juga pernah memimpin majalah Santajiwa, Peristiwa dan Mingguan Kota Bharu. Sepanjang penglibatannya, beliau banyak menghasilkan penulisan buku dan rencana dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk psikologi, dakwah, ilmu tafsir, politik, fikah, hadith dan sejarah para nabi.

Beliau juga orang pertama menghasilkan terjemahan lengkap Tafsir fi Zilal al-Quran ke dalam bahasa Melayu. – Editor.

(Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 6 (Jun 2012) di ruangan RAK BUKU DIAN dengan tajuk sama)

INFO BUKU:
Judul: YUSOFF ZAKY YACOB – Dian yang Tak Kunjung Padam
Penulis: Asmadi Yakob & Mustaffa Abdullah
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Tahun: 2011 (Cetakan Pertama)

No comments:

Post a Comment