SIFAT tawadhu’ Saidina Abu Bakar as-Siddiq ra amat terserlah di sepanjang
kehidupannya. Dalam keluaran lepas penulis telah menyinggung sebahagian sifat
itu. Antaranya, sepertimana dipamerkan Abu Bakar tatkala diminta mengimami
solat oleh Baginda saw yang sedang gering.
Dalam dua kejadian dipetik itu, Abu Bakar yang hampir memulakan solat segera
menarik diri dari posisi imam tatkala melihat kelibat Baginda saw yang seakan
mahu menyertai kaum muslimin bersolat jamaah.
Sifat rendah diri Abu Bakar sekali lagi terpamer di saat genting mencari
pengganti Baginda saw. Walau pun menyedari isyarat jelas dari Nabi saw tentang
keutamaan dirinya mengatasi para sahabat lain dalam kepimpinan, Abu Bakar sendiri
bertindak sebaliknya. Beliau mendahului para sahabat yang lain mencadangkan
Umar atau Abu Ubaidah sebagai khalifah menggantikan Baginda saw.
Abdurrahman Asy-Syarqawi (2011) lewat Abu
Bakar Al-Siddiq - The Successor mencoretkan, “Dia (Abu Bakar) sudah
berusaha agar kepimpinan tidak jatuh ke tangannya dan memilih Umar al-Faruq
atau Abu Ubaidah. Namun, orang ramai malah bersepakat untuk membaiatnya. Dia
lantas menerima baiat tersebut.”
Bagaimana pun, jawatan dan amanah kepimpinan itu diterimanya dengan penuh
perasaan rendah diri. Sebab itu di antara kalimah terawal yang terpacul dari
mulutnya tatkala dibaiat oleh kaum muslimin ialah, “atas dasar apa kamu
membaiatku? Aku bukan orang terkuat dan paling bertaqwa antara kamu”.
(Asy-Syarqawi: 2011)
Demi Allah, ungkapan itu tidak lain daripada bukti sifat tawadhu’ Abu
Bakar. Dia tidak pernah meletakkan dirinya lebih baik atau lebih mulia
berbanding para sahabat lain. Keperibadian luhur itu menjadi prinsip diri
dipegangnya sepanjang menjalankan amanah kepimpinan kaum muslimin. Menghayati
bait-bait ucapan sulungnya selaku khalifah akan menemukan kita dengan sifat-sifat
terpuji itu.
Anas bin Malik ra meriwayatkan, “keesokan harinya setelah Abu Bakar dibaiat
di Saqifah, Abu Bakar berdiri di atas mimbar. Namun, Umar turut berdiri dan
memintas bicara sebelum sempat Abu Bakar berucap. Umar memuji Allah dan menyanjungNya
dengan apa yang patut bagiNya, kemudian berkata, “Wahai manusia! Semalam aku
telah mengucapkan kata-kata kepada kamu. Aku tidak menemukannya tercantum di
dalam kitab Allah, bukan pula merupakan wasiat dari Rasulullah saw kepadaku. Akan
tetapi aku hanya mengira bahawa Rasulullah saw akan mengatur urusan kita
(sampai akhir zaman). Namun ternyata Rasulullah telah wafat.”
“Sesungguhnya Allah telah meninggalkan kitabNya pada kamu, dengannya Allah
memberi hidayah kepada RasulNya. Jika kamu berpegang kepadanya, nescaya Allah
akan memberi hidayah kepada kamu sebagaimana Dia telah memberi hidayah kepada
RasulNya. Sesungguhnya Allah telah menyatukan urusan kamu di tangan orang yang
terbaik daripada kamu. Dia ialah sahabat Rasulullah saw, orang kedua dari dua
orang ketika keduanya berada di dalam gua (yakni ketika bersembunyi dari buruan
kaum Quraisy di Gua Thur sewaktu hijrah). Dialah orang yang paling layak
menjadi pemimpin kaum muslimin. Maka bangkitlah dan baiatlah dia!”
Diriwayatkan, Umar terus memanggil Abu Bakar tampil ke hadapan. Abu Bakar
berdiri agak perlahan. Namun, orang ramai dan Umar segera membantunya. Mereka
membawa Abu Bakar sampai ke mimbar, seraya semuanya berdiri dan membaiatnya.
Sepintas lalu mungkin kita menganggap kata-kata aluan berunsur pujian oleh
Saidina Umar itu sesuatu yang biasa. Apatah lagi dalam majlis “rasmi” seumpama
itu, yang merupakan majlis membaiat seorang khalifah kepada kaum muslimin,
ucapan menyanjung kelebihan dan kemuliaan peribadi yang dilantik adalah lumrah.
Namun, hal itu tidak semestinya disenangi Abu Bakar. Biar pun tidak
mempertikaikan keikhlasan Umar dalam menuturkan pujian dan sanjungan itu, Abu
Bakar mungkin tidak selesa menerima penghargaan yang terlalu tinggi itu.
Perasaan itu tidak sukar diselami, terutama jika diteliti bait-bait ucapannya yang
menyusul sejurus selepas itu.
Setelah memuji Allah dan
menyanjungNya dengan apa yang patut bagiNya, Abu Bakar berkata, “amma ba’du.
Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah dipilih sebagai pemimpin kamu, padahal
aku bukanlah orang terbaik di antara kamu.”
Nah! Bukankah itu suatu “jawaban” terhadap segala pujian dan sanjungan
dituturkan sahabat terbaiknya sejurus sebelum itu? Umar menyifatkannya sebagai
“orang paling layak”, Abu Bakar sebaliknya menganggap dirinya “bukanlah orang
terbaik”.
Penafian Abu Bakar itu bagaimana pun bukanlah sehingga beliau menolak
tanggungjawab diamanahkan kepadanya. Beliau melanjutkan ucapannya, “jika aku
berbuat baik maka dukunglah aku. Jika aku salah, maka luruskanlah aku. Benar
adalah amanat dan bohong adalah khianat.”
“Orang lemah di antara kamu adalah orang kuat di sisiku, sehingga aku
mengembalikan haknya kepadanya, insya Allah. Orang kuat di antara kamu adalah
orang lemah di sisiku, sehingga aku mengambil hak untuk yang lemah darinya,
insya Allah.”
“Tidaklah suatu kaum meninggalkan jihad di jalan Allah kecuali Allah
menimpakan kehinaan atas mereka. Tidaklah perbuatan keji yang tersebar pada
suatu kaum, kecuali Allah akan menebarkan bala ke atas mereka.”
“Taatilah aku selama aku mentaati Allah dan RasulNya. Jika aku mendurhakai
Allah dan RasulNya, maka tidak ada ketaatan untukku atas kamu.”
Ucapan ini dipetik kebanyakan penulisan yang dirujuk, dengan versi yang
sedikit berbeza antara mereka (lihat Al-Mishri: 2010; Awang: 2010 dan Asy-Syarqawi:
2011). Abdul Hadi Awang (2010), lewat Taktik
dan Strategi Berpolitik Gaya Khulafa Ar-Rasyidin malah menyifatkan khutbah
sulung tersebut sebagai ucapan dasar kepada kerajaan Abu Bakar. Ia bukan sahaja
menunjukkan ketokohan dan kematangan beliau, malah isi kandungannya melontarkan
dasar dan konsep penting kepada Negara Islam dipimpinnya, terutama yang
menyentuh keperibadian yang mesti dimiliki oleh seorang pemimpin ummah.
Ayuh kita
perincikan maksud lebih mendalam daripada bait-bait ucapan yang sangat masyhur
dan penting itu.
Pertama, “aku telah dipilih sebagai pemimpin, padahal
aku bukanlah orang terbaik di antara kamu”. Tidak syak lagi, kata-kata ini
sebagai penekanan terhadap sifat tawadhu’ Abu Bakar, sepertimana yang telah
diperkatakan sebelum ini. Bahawa segala sanjungan dan pujian, terutama
pelantikan sebagai orang nombor satu di kalangan kaum muslimin, tidak pernah
dianggapnya sebagai bukti beliau orang terbaik di kalangan mereka.
Sifat ini
semestinya wujud pada setiap pemimpin. Barulah mudah baginya menginsafi
kekurangan dan kelemahan diri, sekaligus mudah juga bagi para pengikutnya
berkongsi pendapat dan tindakan.
Kedua, “jika aku berbuat baik maka dukunglah aku”.
Semestinya seorang pemimpin ummah menjadi penegak kebaikan, lebih-lebih lagi
yang bertepatan dengan hukum dan ajaran Islam. Manakala tanggungjawab kaum
muslimin ialah memberikan sepenuh bantuan dan sokongan terhadap pemimpin yang
menepati peranan sedemikian. Ertinya, sama ada pemimpin atau pengikut,
kedua-duanya mesti mendukung kebaikan. Perlu wujud baiah dan taat.
Ketiga, “jika aku salah, maka luruskanlah aku”.
Sekali lagi Abu Bakar mengandaikan kemungkinan akan melakukan kesalahan dalam
urustadbir pemerintahannya. Penegasan ini sebenarnya tidak boleh dianggap
sebagai mengakui kelemahan diri. Sebaliknya ia melanjutkan lagi pameran sifat
tawadhu’ beliau, sekaligus melambangkan keterbukaannya menerima teguran dan
pembetulan daripada kaum muslimin.
Ini satu lagi
sifat terpuji yang sepatutnya dimiliki setiap pemimpin ummah. Bahawa kesediaan
untuk diperbetulkan orang bawah merupakan lambang jiwa besar dimiliki pemimpin
terbabit. Ia juga memberi ruang lebih selesa kepada pengikut untuk sama-sama
mengambil bahagian di dalam memastikan urustadbir pemerintahan berjalan
sepertimana dikehendaki agama.
Keterbukaaan
inilah yang menjadi prinsip asas hisbah (ombudsment),
di mana rakyat menjadi pemantau kepada perjalanan pemerintahan.
Keempat, “benar adalah amanat dan bohong adalah
khianat”. Dua sifat berlawanan ini adalah penentu baik atau buruknya
perjalanan hidup seseorang, terutama khalayak yang memegang kuasa. Pemimpin
mestilah dari kalangan orang berkata benar tidak berbohong atau menipu rakyat.
Justeru, mereka perlu membebaskan diri daripada perbuatan berbohong dna
mengkhianati amanah kepimpinan yang mereka pikul.
Kelima, “orang lemah di antara kamu adalah orang
kuat di sisiku, sehingga aku mengembalikan haknya kepadanya, insya Allah”. Inilah
adalah prinsip keadilan yang menjadi pegangan pemimpin. Bahawa mereka ibarat
“hamba” kepada rakyat yang lemah. Pemimpin adalah pembela mereka, sehinggalah
hak golongan lemah dikembalikan.
Keenam, “orang kuat di antara kamu adalah orang
lemah di sisiku, sehingga aku mengambil hak untuk yang lemah darinya, insya
Allah”. Ini juga sebahagian prinsip keadilan yang mesti ditegakkan
pemerintahan Islam. Bahawa orang kuat akan hanya dianggap benar-benar kuat
setelah dia memberikan hak untuk yang lemah. Dan tugas memastikan hal itu
berlaku ialah salah satu tanggungjawab pemimpin juga.
Gabungan dua
penegasan ini membentuk prinsip keadilan yang merupakan antara teras utama pemerintahan
Islam. Hak dan keadilan adalah milik semua warga, tanpa mengira lapisan
masyarakat atau batasan keturunan.
Ketujuh, “tidaklah suatu kaum
meninggalkan jihad di jalan Allah kecuali Allah menimpakan kehinaan atas
mereka”. Tidak syak lagi jihad adalah teras kejayaan umat Islam.
Meninggalkan jihad bererti mendedahkan ummah kepada fitnah dan kehinaan oleh
kaum bukan Islam.
Kelapan, “tidaklah perbuatan keji
yang tersebar pada suatu kaum, kecuali Allah akan menebarkan bala ke atas
mereka”. Justeru, antara tugas pemerintah ialah memastikan masyarakat
berada dalam keadaan terbaik, aman dan bebas daripada sebarang kemurkaan Allah.
Antaranya dengan memastikan tidak merebaknya perbuatan keji, sama ada dinamakan
maksiat, kemungkaran mahu pun kejahatan. Tugas penting pemerintah ialah
membanteras kejahatan dalam apa jua bentuk dan aspek kehidupan.
Kesembilan, “taatilah aku selama aku
mentaati Allah dan RasulNya. Jika aku mendurhakai Allah dan RasulNya, maka
tidak ada ketaatan untukku atas kamu”. Ertinya ketaatan kepada mana-mana
pemimpin adalah bersyarat, iaitu selagimana pemimpin berkenaan mentaati Allah
dna RasulNya.
Teras utama pemerintahan Islam ialah ketaatan kepada Allah dan RasulNya.
Sebarang perkara dilaksanakan pemerintah yang tidak menepati apa yang disuruh
atau dilarang Allah dan RasulNya adalah dikira maksiat dan mungkar. Dalam
keadaan itu, rakyat tidak lagi perlu mentaati pemerintah.
Penegasan ini dilihat sealiran, bahkan semaksud dengan peringatan Baginda
saw yang mengingatkan umat Islam bahawa tiada ketaatan kepada makhluk dalam
perkara maksiat terhadap al-Khaliq.
Hal ini wajar difahami dengan baik, terutama dalam konteks sebuah negara
dipimpin orang Islam, tetapi gagal mendaulatkan hukum dan peraturan sepertimana
dikehendaki Allah Taala. Biar pun ada khalayak berpendapat wajib mentaati
pemimpin sedemikian, penegasan Abu Bakar ini sebenarnya menjelaskan kedudukan sebenar,
bahawa tiada ketaatan kepada makhluk dalam hal yang tidak menepati ruang
lingkup mentaati Allah dan RasulNya.
Demikianlah
pembutiran dasar-dasar penting dilontarkan Saidina Abu Bakar di dalam ucapan
sulung beliau. Mengambilkira ruangan terbatas ini, penulis hanya menyebutnya
secara sepintas lalu dalam huraian paling ringkas. Sudah tentu munaqasyah
ucapan dasar tersebut boleh diperpanjang dan diperincikan. Perbincangan
mengenainya memungkinkan terhasil sebuah buku khusus mengenai ucapan amat
penting dan masyhur itu. – Mohd Nasir
Awang
Rujukan:
-
Syaikh Mahmud
al-Mishri, 2010. Sahabat-Sahabat
Rasulullah saw. Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta.
-
Abdul Hadi Awang,
2010. Taktik & Strategi Berpolitik
Gaya Khulafa ar-Rasyidin. PTS Islamika Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
-
Abdurrahman
Asy-Syarqawi, 2011. Abu Bakar Al-Siddiq
The Successor, Yamani Angle Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
-
Dr. Khalid Muhammad
Khalid, 2006. Sejarah 133 Wira Terbilang
di Zaman Rasulullah saw. Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur.
(Artikel ini disiarkan majalah DIAN, Edisi 6 (Jun 2012) di ruangan KENALI SAHABAT RASULULLAH dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment