Assalamu’alaikum
warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah Subhanahu wa Taala yang hanya dengan kudrat dan
iradatNya jua dapat kami menyambung usaha menghidangkan ilmu-ilmu Islam kepada
masyarakat. Setelah memasuki Edisi 6 ini, kami alhamdulillah dapat melangkah
lebih gagah ke tengah khalayak pembaca.
Berdasarkan
reaksi dan maklumbalas pelbagai pihak, dapat kami rumuskan bahawa majalah Dian – Ihya’ As-Sunnah ini sudah menerjah
pasaran di seluruh negara. Jumlah pembaca yang melanggan terus dengan kami juga
semakin bertambah bulan ke bulan. Manakala komitmen tinggi para kolumnis
beserta sumbangan hasil tulisan daripada pembaca juga amat membanggakan.
Kami akui,
hakikat itu banyak membantu memudahkan kami menyambung usaha menyebarluas ilmu
ke tengah masyarakat. Sememangnya usaha menarik minat, apatah lagi mendidik dan
mengubah masyarakat, bukanlah suatu tugas yang mudah. Lebih-lebih lagi
sekiranya ia melibatkan sesuatu kebiasaan yang sudah menjadi tabiat.
Dalam hal ini,
hakikat jiwa manusia yang selalunya lebih serasi dengan sesuatu yang telah
biasa ditemui atau dilihat menjadi cabaran amat besar buat kami. Sebagai satu
bahan yang secara relatifnya baru dalam pasaran, kami terpaksa bersaing dengan
sebilangan majalah sealiran yang sudah lebih awal menjadi kebiasaan para
pembaca.
Apatah lagi uslub
atau gaya persembahan yang kami pilih ini agak berlainan dengan apa yang biasa
terdapat pada bahan-bahan bacaan lain. Kami maklumi betapa masyarakat pembaca
kini diulit dengan gaya pembacaan santai, ringkas dan ringan. Sedangkan apa yang kami sajikan adalah
sebaliknya.
Masyarakat telah dididik
sejak sekian lama untuk selesa dengan bahan-bahan berunsur motivasi diri atau
pembicaraan isu-isu semasa. Bahkan, ada yang terbuai dengan cerita-cerita
rekaan serta nas-nas bersandarkan sumber tidak jelas, walau pun pada
membicarakan hal-hal berkaitan agama. Justeru, ramai yang mengharapkan majalah
Dian juga tampil mengikut trend
popular tersebut.
Soalnya, sampi
bila kita mahu membiarkan masyarakat kekal terbiasa dengan bahan ringan,
ringkas, santai dan tidak serius, semata-mata kerana mahu meraikan pendekatan
populis? Apakah ilmu Islam perlu mengikut kehendak zaman atau zaman itu
sebenarnya yang wajar dicorakkan mengikut kehendak ilmu Islam?
Itulah (kalau
hendak dikatakan) dilema yang menjadi cabaran buat kami. Apa pun kami komited
mengubah persepsi serong terhadap keseriusan ilmu Islam ini. Namun, sekali lagi
kami terpaksa akui, usaha mengusik kebiasaan dalam masyarakat bukanlah suatu
tugas yang mudah!
Doakanlah
kekuatan dan kejayaan buat kami.
Al-Faqir ilallah,
Mohd Nasir Awang
(Artikel ini disiarkan majalah DIAN, Edisi 6 (Jun 2012) di ruangan EDITORIAL dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment