Seorang ‘gadis’ telah
mencetuskan suasana cemas di tengah-tengah sebuah bandar apabila orang ramai
mengesan kelibatnya dalam keadaan mencurigakan di atas bumbung sebuah bangunan
tiga tingkat. Berbekalkan siri kejadian serupa sebelum itu, khalayak yang
melihatnya segera merumuskan bahawa wanita itu berhasrat melakukan sesuatu yang
tidak baik.
Mereka lantas tidak bertangguh
menghubungi pihak-pihak bertanggungjawab, khususnya Jabatan Bomda dan Penyelemat
serta polis. Suspek disimpulkan cuba membunuh diri dengan terjun dari puncak
bangunan itu.
Suasana pagi yang hening dengan
kebiasaan urusan hidup bertukar menjadi kelam-kabut dan haru-biru. Bunyi siren
kenderaan kedua-dua jabatan tersebut yang bergegas ke lokasi kejadian secara
tidak langsung mengundang perhatian lebih ramai anggota masyarakat. Ia membuatkan
keadaan menjadi tambah dramatik.
Ringkas cerita, wanita itu dapat
dipujuk agar tidak meneruskan niatnya. Dia berjaya dibawa turun dengan selamat
dan tamatlah suasana mencemaskan itu. Namun, ulasan mengenai detik
menggemparkan itu mendedahkan masyarakat umum kepada suatu hakikat yang sangat
mendukacitakan.
‘Ikut hati mati...’
Wanita itu akhirnya mengakui dia
bukan lagi seorang ‘gadis’. Bukan sahaja HATInya
yang telah dicuri, bahkan kegadisannya juga telah diratah oleh seorang lelaki.
Malangnya, setelah meragut mahkota diri wanita itu, si lelaki durjana itu tidak
menepati janji untuk mengahwininya.
Maka hancurlah HATI insan tidak berdaya itu apabila
buah HATInya tidak sanggup
bertanggungjawab terhadap embrio dikandungnya. Lalu, dia memilih jalan singkat
untuk menamatkan kesedihannya. Wanita itu telah menurut kata HATInya yang mengarahkannya membunuh
diri.
Kes itu menepati kata
orang-orang tua, “ikut HATI mati,
ikut rasa binasa”. Maksudnya, apabila mengambil sesuatu tindakan mengikut
nafsu, padah akibatnya. Dalam kes ini, wanita itu bukan hanya sekali mengambil
tindakan mengikut HATI, tetapi sekurang-kurangnya dua kali.
Kita mungkin memfokuskan kepada
cubaannya untuk membunuh diri sahaja. Sebenarnya tindakannya menyerahkan
mahkota diri kepada lelaki secara terlarang sebelum itu juga suatu tindakan
ikut HATI yang mengakibatkan padah pada dirinya. Bahkan itulah yang jauh lebih
membinasakan dan menjadi punca kepada tindakan ikut HATI yang kedua itu.
Kenapa ada wanita sampai sanggup
menggadai kemuliaan diri kepada buah HATI? Jawabannya bukan lagi suatu yang
sukar ditelah. Seringkali dalam merasionalkan keterlanjuran mereka, pasangan
terbabit akan mengaitkannya dengan perasaan cinta yang amat mendalam antara mereka.
“Apa kan daya saya menolak
keadaan itu, bila HATI sudah berkenan, segalanya indah dan amat membahagiakan.”
Itulah antara hujah yang sering kita dengar daripada mereka yang terlibat
dengan kes-kes sedemikian, bukan? Ia sebenarnya hanya alasan melepas diri atau
cuba menenangkan perasaan sendiri agar tidak terlalu merasa bersalah dan hina
dengan keterlanjuran diri bertindak bodoh.
Kes dibawakan di atas bukan
semata-mata rekaan penulis. Ia kejadian yang benar-benar berlaku dan dilaporkan
media massa. Ia malah hanyalah satu daripada puluhan, atau mungkin ratusan kes
serupa yang terjadi di dalam masyarakat kita.
Ada pun sebilangan kes lagi,
walau pun premisnya sama iaitu bertitik-tolak daripada hakikat ‘bila HATI sudah
berkenan’, tetapi memaparkan jalan cerita berbeza. Kes-kes gadis dan wanita
kita ‘lari’ ke Pulau Lombok, Indonesia agak kerap dilaporkan. Hanya semata-mata
kerana sudah jatuh HATI kepada lelaki dari sana yang datang mencari rezeki di
negara ini, wanita-wanita kita ini akhirnya mencetuskan kekalutan yang tidak
sedikit di dalam dan luar negara.
Kes-kes anak ‘gadis’ belasan
tahun yang memilih cara hidup lepas bebas juga banyak dilaporkan. Sebilangan
mereka secara suka rela hidup bersama pasangan tanpa nikah. Malah, tidak
sedikit juga kes budak perempuan yang melarikan diri untuk mengikut suami
orang. Sekali lagi kedengaran ungkapan, “apakan daya, bila HATI sudah
berkenan...”.
Mengenal fungsi hati
HATI, pada
istilah biologinya bermaksud organ dalam badan yang berwarna perang
kemerah-merahan, terletak di dalam perut di bahagian sebelah kanan. Ia antara
lain berfungsi mengeluarkan hempedu, mengawal kandungan gula dalam darah,
menawarkan kesan keracunan nitrogen, menghasilkan urea dan menyimpan glikogen.
Itu makna hati dari
sudut sains, yang merupakan takrifan fizikalnya. Ada pun dari sudut pemahaman
lebih luas, HATI ialah sebagaimana digambarkan oleh Nabi Muhammad saw dalam salah
satu hadithnya yang masyhur. Baginda saw bukan sahaja menyifatkan HATI sebagai
seketul daging (mudh-ghah), tetapi
turut mengingatkan manusia tentang fungsi besar dimilikinya.
Disebutkannya
bahawa jika HATI itu baik, maka baiklah keseluruhan tubuh. Sebaliknya, jika ia
buruk, maka buruklah seluruh tubuh. Buruk di situ tidak merujuk kepada keadaan
fizikal tubuh badan manusia, tetapi dibangsakan kepada tutur-perbuatan yang
empunya tubuh.
Ertinya, terasing
daripada fungsi-fungsi biologikalnya, seketul daging itu juga sebenarnya adalah
pengawal atau raja kepada batang tubuh manusia. Kefahaman tentang hakikat ini
barangkali telah bersarang dan tersemai kukuh di minda orang-orang tua kita
dulu. Boleh jadi bertolak dari situ mereka banyak mengambil perkataan ‘HATI’
untuk dikaitkan dengan berbagai perkara, khususnya menyentuh perasaan dan
perlakuan manusia.
Pemahaman itu agak terserlah
menerusi kata orang-orang tua kita, “ikut HATI mati, ikut rasa binasa”. Maksudnya
telah disebutkan di atas. Orang yang bertindak ikut HATI dianggap orang
beremosi. Ini hanyalah satu daripada puluhan Pepatah Melayu yang menggunakan
perkataan ‘HATI’.
HATI juga
berperanan besar menentukan corak pertuturan seseorang. Kaitan HATI dan lidah
dirakamkan oleh orang-orang tua kita di dalam Pepatah Melayu, “HATI orang yang
bodoh itu dimulutnya, dan lidah orang yang pandai itu di belakang HATInya”.
Maknanya, orang yang bodoh bercakap tanpa berfikir, manakala orang pandai
berfikir sebelum bercakap.
Selain pepatah
dan perumpamaan, terdapat juga lebih 40 simpulan bahasa menggunakan perkataan ‘HATI’.
Umpamanya, hati batu (bengis dan degil), hati kering (cekal dan berani), hati
berdetus (curiga), hati kecil (niat sebenar), berasa hati (tersinggung), berat
hati (enggan, kurang senang, terpaksa), makan hati (kecewa dan sedih), bengkak
hati (marah), hancur hati (sangat sedih), buah hati (kekasih), hati berbunga
(timbul rasa kasih), sehati sejiwa (sepakat, serasi bersama), ada hati
(berkenan) dan kata hati (fikiran yang tidak diucapkan)
Jika diperhalusi,
kesemuanya ada kaitan dengan perasaan seseorang. Bahkan, perkataan ‘HATI’ itu
sendiri tersenarai sebagai satu simpulan bahasa yang membawa maksud ‘perasaan’.
Sebab itu apabila membicarakan soal hati, ia mudah menarik perhatian manusia.
Ungkapan-ungkapan
membabitkan HATI yang dipetik sebagai pembuka bicara akan menggamit pengamatan
orang. Ia memberikan gambaran yang mudah difahami mengenai sesuatu keadaan yang
hendak diperkatakan.
Umpamanya,
apabila disebut “bila HATI sudah retak...”, kita tahu ia selanjutnya akan
membicarakan soal kesedihan atau kekecewaan. Begitu juga, bagi menggambarkan
suatu pilihan atau pendirian yang sukar digugah, akan disebut “bila HATI sudah
berkenan...”.
Manakala dalam
menggambarkan akibat buruk sesuatu tindakan atau mengingatkan tentangnya, kita
sering dibawakan ungkapan masyhur tadi, iaitu “ikut hati mati...”. Soalnya,
apakah selama-lamanya sesuatu tindakan ikut HATI itu hanya akan membuahkan
padah kepada pelakunya?
Di sinilah
perlunya manusia, terutama umat Islam, untuk kembali menghayati secara lebih
mendalam erti sebenar sabda Junjungan Besar kita yang dipetik di atas. Bahawa
seketul daging itu, jika ia baik, maka baiklah seluruh tubuh. Begitulah
sebaliknya. Justeru, mengapa kita hanya cenderung mengakui bahawa asal sahaja
sesuatu tindakan itu mengikut HATI, ia memberikan natijah buruk?
Bahkan, kita
boleh membawakan banyak contoh bagaimana sesuatu tindakan yang berasaskan ‘bila
HATI sudah berkenan’ juga menghasilkan natijah positif dalam hidup seseorang.
Sepasang anak muda yang masih dalam pengajian, contohnya, memilih untuk
menamatkan zaman bujang mereka, sebelum menamatkan pengajian. Walau pun pada
awalnya tidak disenangi anggota keluarga dan tidak dipersetujui sebilangan
rakan-rakan, mereka akhirnya berkahwin juga.
Alhamdulillah
tidak sedikit pasangan sebegini yang kekal bahagia, bahkan memiliki banyak
advantage berbanding rakan-rakan lain yang kahwin lebih lewat daripada mereka.
Asal saja tindakan “bila HATI sudah berkenan” itu dipandu oleh HATI yang bersih
dan bertepatan dengan suruhan agama.
Ada pasangan
suami isteri yang mempunyai jarak perbezaan umur sangat jauh. Ada suami yang
lebih layak digelar datuk kepada si siteri. Ada juga kes di mana si siteri
sebaya dengan umur nenek si suami. Namun, “bila HATI sudha berkenan”, tiada
unsur-unsur kepentingan lain yang mampu membinasakan kebahagiaan rumahtangga
mereka.
Faktor utama di
sini ialah sejauh mana HATI itu telah dipupuk untuk memilih yang baik. Sebagaimana
fizikal tubuh badan manusia memerlukan makanan jasadiah, maka hati juga
memerlukan makanannya. Makanan hati kerap disebut sebagai santapan rohani,
santapan jiwa dan seumpamanya.
Sekiranya hati
telah diberikan sajian yang betul, ia akan berfungsi secara betul. Ia akan
menepati sabda Junjungan Besar saw tadi, bahawa jika baik hati itu, maka akan
baiklah seluruh tubuh tuan empunya badan.
Andai itu telah
dicapai, maka tidak akan ada kerisauan jika bertemu keadaan ‘bila HATI sudah
berkenan’. Kerana, bila HATI sudah baik, maka tatkala itu pepatah yang
mengatakan “ikut HATI mati...” tadi sudah tidak semestinya menghasilkan natijah
seperti yang dimaksudkan orang-orang tua kita dulu!
Sudah tiba
masanya untuk kita tukar konotasi pepatah itu agar diambil pengajarannya dari
perspektif positif!
(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding artikel disiarkan majalah bulan ERA Muslimah, Edisi Mei 2012 di ruangan "TOPIK" dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment