Sunday, April 1, 2012

Menyantuni kesilapan, mempertingkat persembahan


Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim. Segala pujian tertentu hanya buat Allah Azza wa Jalla, yang dengan kudrat dan iradatNya jua majalah kami berupaya memasuki Edisi ke-4. Walau pun sedari edisi pertama kami menerima lebih banyak reaksi dan maklumbalas positif daripada para penatap dan pengamat, berbanding yang negatif, ia bukan alasan untuk kami berpuas hati dan berpada dengan apa yang ada.

Kami tidak malu mengakui betapa majalah kami ini masih diselubungi berbagai kelemahan dan kekurangan, terutama dalam aspek persembahan dan pengedarannya. Bahkan, sebagai manusia kami sendiri tidak sunyi dari melakukan kesilapan, yang mungkin mencacatkan penampilan majalah ini.

Justeru, menjadi komitmen kami untuk bersikap terbuka menerima segala teguran dan mengakui andai kedapatan sebarang kesilapan. Mudah-mudahan dengan bersikap positif terhadap segala reaksi itu Allah Ta’ala akan lebih memudahkan kami menemui jalan menuju ke arah mencapai yang terbaik.

Di atas komitmen sama, kami akan terus mengorak langkah ke depan mempertingkatkan  mutu persembahan majalah ini. Antaranya dengan memperkenalkan lebih banyak ruangan, yang bukan sahaja bertujuan meringankan pembacaan anda, tetapi juga menyantuni citarasa sebilangan pembaca di luar sana.

Contohnya, kami telah memperkenalkan kolum ‘Suara Siswa’ pada edisi lepas, yang antara lainnya sebagai menyahut hasrat golongan terbabit yang memerlukan medan bersesuaian untuk mereka suarakan idealisme mereka.

Pada edisi ini pula, kami menampilkan kolum ‘Membelek Arkib’. Ia bukan sekadar bertujuan mengimbau nostalgia terhadap persembahan menarik majalah ini di beberapa dekad dahulu, malah membuka pengetahuan kita betapa sebilangan artikel dipaparkan ketika itu, terutama hasil tulisan pengarangnya, Almarhum Dato’ Yusoff Zaky Yaakub amat tinggi nilai ilmunya. Buah fikirannya amat tajam, bahkan terserlah betapa daya fikirnya jauh ke depan berbanding zamannya. Justeru, amat rugi andainya khazanah sebegitu bernilai dipendam begitu sahaja di rak buku kami.

Insya Allah bermula edisi akan datang kami bercadang memperkenalkan satu lagi kolum tambahan. Kami berhasrat membuka ruang lebih khusus untuk para pembaca budiman mengemukakan reaksi atau pandangan ringkas berhubung apa saja isu, lebih-lebih lagi berkaitan majalah kami ini.

Kami belum memutuskan nama kolumnya. Namun ia tidak lari daripada konsep ruangan forum atau surat pembaca yang biasa termuat di kebanyakan media cetak. Kami mempelawa para pembaca mengambil bahagian menjayakan ruangan ini. Untuk itu hantarkan luah fikir anda ke alamat e-mel: majalahdian@gmail.com untuk kami nilai dan seterusnya menyiarkan mana yang bersesuaian.

Mudah-mudahan penglibatan lebih luas daripada para pembaca akan menambahkan seri kepada organ penyebaran ilmu-ilmu Islam ini. Di atas kesudian anda itu, kami dahului dengan ucapan jazakumullahu khairan kathira. Wassalam.

Akhukum fil Islam,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 4, terbitan April 2012 di ruangan EDITORIAL dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment