Kerap disebut orang, terutama
oleh para ilmuan Islam dan khalayak yang dekat hati dan hidup mereka kepada
Allah SWT, bahawa kejayaan dan kecemerlangan mana-mana kelompok umat Islam
bergantung pada sejauh mana mereka berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Nabi saw.
Semakin jauh dia dengan ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi, maka pada prinsipnya semakin
dekatlah mereka dengan kesesatan dan kegagalan.
Rahsia kejayaan para sahabat dan
tabien diiktiraf sebagai generasi paling cemerlang di kalangan umat Islam adalah
kerana pegangan mereka yang kuat kepada ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi tanpa
mereka merubahnya, menambahnya atau menyelewengkannya daripada maksudnya yang
sebenar.
Justeru, formula terbaik bagi
umat Islam pada hari ini dalam berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk
keruntuhan moral dan akhlak serta dipandang hina dan lemah oleh musuh-musuh
Islam ialah kembali kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah.
Alhamdulillah kesedaran di kalangan umat Islam global
untuk kembali menghayati dan mengatur hidup bersandarkan dua sumber ajaran
tertinggi itu senantiasa bersemarak sejak sekian lama, bahkan semakin terserlah
mutakhir ini. Bagaimana pun, ia tidak terlepas daripada unsur-unsur yang mampu
memesongkan matlamat suci itu.
Di antara cabaran atau pemesongan paling bahaya ialah
wujudnya fitnah dan gerakan pemalsuan hadith, yakni mendakwa sesuatu rangkap
kata itu sebagai sabda Rasulullah saw, sedangkan sebenarnya ia bukan dari
Baginda saw. Kajian dibuat para ulama Islam dan para pengkaji hadith
menunjukkan banyak hadith palsu mula direka selepas berlakunya pergolakan pada
akhir zaman Khulafa ar-Rasyidin.
Walau pun para ulama sejak zaman itu telah bangkit
menentang fitnah itu, namun penyebaran hadith-hadith palsu terus juga berlaku,
sama ada angkara musuh-musuh Islam yang menyamar sebagai orang Islam, mahu pun oleh
orang-orang Islam yang jahil atau orang-orang yang mempunyai kepentingan
peribadi.
Sehingga kini hadith-hadith maudhu’ dan yang sebangsa dengannya
masih tersebar meluas di kalangan masyarakat Islam serata dunia. Bahkan,
rangkap-rangkap sebegini banyak dijadikan sandaran dalam urusan-urusan ibadat
dan pegangan hidup umat Islam, tidak terkecuali di negara kita sendiri.
Sedangkan menjadi satu kesalahan besar menyebar dan mengamalkan hadith-hadith maudhu’
dalam apa jua urusan hidup, bahkan kesesatan umat Islam berpunca dari sini.
Menyedari natijah buruk ini, maka Drs Abdul Ghani Azmi
bin Haji Idris menyusun buku Himpunan
Hadis Dha’if dan Maudhu’ . Ia menyenaraikan hadith-hadith yang disebut maudhu’
serta hadith-hadith matruk dan mungkar. Hadith-hadith ini dipilih dari
buku-buku yang ditulis oleh para muhaddithin dan pengkritik.
Buku Himpunan Hadis
Dha’if dan Maudhu’ didatangkan dalam dua jilid. Mengandungi masing-masing
1002 dan 1676 hadith yang disifatkan oleh penuli sebagai “haram digunakan untuk
semua tujuan dan haram diriwayatkan atau disebarkan tanpa menyebutkan
kecacatannya atau rutbahnya.”
Mudah-mudahan usaha ini dapat membantu membasmi
penggunaan hadith yang tidak dibolehkan dalam masyarakat kita, seterusnya
membantu umat Islam mengelakkan diri dari tersesat. - Editor
INFO:
Tajuk: Himpunan Hadis Dha’if dan Maudhu’
Penyusun: Drs Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris
Penerbit: Al-Hidayah Publishers, Jalan Ipoh Kecil, Kuala
Lumpur.
Tahun diterbitkan: Jilid I – 2006 (Cetakan keempat);
Jilid II – 2009 (Cetakan ketiga)
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan DIAN - Ihya' As-Sunnah, Edisi 5 (Mei 2012) di kolum RAK BUKU DIAN dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment