Heraclius ialah Raja Empayar Rom Timur yang memerintah antara tahun 610-630M. Suatu ketika beliau mengirim surat kepada Abu Sufyan bin Harb, salah seorang pemimpin Quraisy Mekah yang terkenal. Heraclius menyuruhnya datang ke Syam bersama kafilah saudagar Quraisy.
Di antara perkara utama yang mendorongnya berbuat
demikian ialah kerana ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Nabi Muhammad saw.
Ketika itu orang-orang kafir Quraisy sedang dalam perjanjian damai dengan umat
Islam dan Baginda saw, yakni menerusi Perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai pada
tahun 6 Hijrah.
Abu Sufyan beserta rombongannya lalu datang menghadap
Heraclius di Ilia (nama lama bagi Baitulmaqdis atau Jerusalem). Mereka terus
masuk ke dalam majlisnya, yang telah pun dihadiri oleh para pembesar Rom.
Heraclius memanggil jurubahasanya, kemudian bertanya
kepada rombongan Quraisy: Siapa di antara kamu yang paling dekat hubungan kekeluargaannya
dengan lelaki yang mengaku dirinya nabi itu?
Yang beliau maksudkan ialah Nabi Muhammad saw.
Abu Sufyan lalu menjawab: Saya! Saya keluarga terdekat
dengannya.
Heraclius lalu mengarahkan jurubahasanya menyuruh Abu
Sufyan tampil lebih dekat kepadanya. Manakala ahli rombongan lain diminta duduk
di belakang Abu Sufyan.
Kemudian Heraclius berkata kepada jurubahasanya: Katakan
kepada mereka bahawa saya akan bertanya kepada orang ini (Abu Sufyan). Jika dia
berdusta, suruhlah mereka mengatakan bahawa dia dusta.
Ketika itu terlintas di fikiran Abu Sufyan, “demi Allah,
jika tidak kerana aku takut akan mendapat malu kerana aku dikatakan berdusta
oleh para pengikutku sendiri, nescaya aku sangat ingin berdusta.”
Pertanyaan Heraclius yang pertama ialah mengenai keturunan
Nabi saw. Abu Sufyan menjelaskan bahawa Baginda saw dari keturunan bangsawan Mekah.
Kemudian berlakulah soal-jawab yang panjang antara dua pemimpin itu, yang
keseluruhannya bersangkut-paut keperibadian Rasulullah saw.
Heraclius: Pernahkah sesiapa di kalangan kamu sebelum ini
menyeru manusia dengan apa yang diserukan olehnya?
Abu Sufyan: Tidak pernah.
Heraclius: Apakah ada di antara nenek-moyangnya yang
menjadi raja?
Abu Sufyan: Tidak ada!
Heraclius: Apakah para pengikutnya dari kalangan orang-orang
mulia atau orang-orang biasa?
Abu Sufyan: Mereka hanya terdiri dari orang-orang biasa.
Heraclius: Apakah pengikutnya semakin bertambah atau
berkurang?
Abu Sufyan: Bahkan semakin bertambah.
Heraclius: Apakah ada di antara mereka yang meninggalkan
agama, kerana benci kepada agama yang dipeluknya itu?
Abu Sufyan: Tidak!
Heraclius: Apakah sebelum dia menyeru dengan ucapan yang
diucapkannya sekarang kamu pernah menaruh curiga kepadanya bahawa dia akan berdusta?
Abu Sufyan: Tidak!
Heraclius: Pernahkah dia melanggar janji?
Abu Sufyan: Tidak, dan sekarang kami sedang dalam
perjanjian damai dengan dia. Kami tidak tahu apa yang akan diperbuatnya dengan
perjanjian itu.
Heraclius: Pernahkah kamu berperang dengannya?
Abu Sufyan: Pernah.
Heraclius: Bagaimana kesudahannya peperangan itu?
Abu Sufyan: Ada ketika kami kalah dan ada juga ketika
kami menang.
Kemudian Heraclius bertanya pula tentang apa yang diserukan
Nabi saw kepada kaumnya. Abu Sufyan menjelaskan bahawa Baginda saw menyuruh mereka
menyembah Allah semata-mata dan jangan mempersekutukanNya dengan sesuatu yang
lain. Baginda meminta mereka meninggalkan apa yang diajarkan nenek-moyang
mereka (penyembahan berhala). Sebaliknya mereka disuruh mengerjakan solat,
berlaku jujur, sopan dan mempereratkan persaudaraan.
Mendengarkan penjelasan itu Heraclius lantas meminta jurubahasanya
menyampaikan pandangan balasnya kepada Abu Sufyan, satu-persatu mengenai
jawaban-jawaban diberikan pemimpin Quraisy itu tadi.
Katanya, “saya tanyakan kepadamu tentang keturunannya
(Muhammad), kamu jawab dia dari keturunan bangsawan. Begitulah Rasul-Rasul Allah
yang terdahulu, mereka diutus dari kalangan bangsawan kaum masing-masing.”
“Saya tanyakan, adakah sesiapa di antara kamu yang pernah
menyeru manusia sebagaimana diserukannya sekarang? Jawabmu, tidak. Sekiranya ada
seseorang yang pernah menyerukannya sebelum dia, nescaya aku akan menganggap dia
(Muhammad) sekadar meniru-niru apa yang pernah diucapkan seseorang sebelumnya
itu.”
“Saya tanyakan, apakah ada di antara nenek-moyangnya yang
pernah menjadi raja? Kamu menjawab, tidak ada. Sekiranya ada di antara nenek-moyangnya
yang menjadi raja, nescaya aku berkata dia hendak menuntut kembali takhta milik
nenek-moyangnya.”
“Saya tanyakan, adakah kamu menaruh curiga kemungkinan dia
berdusta, sebelum dia memulakan seruan dibuatnya sekarang? Jawabmu, tidak! Saya
yakin, dia tidak akan berdusta terhadap manusia apalagi kepada Allah.”
“Saya tanyakan, apakah para pengikutnya dari kalangan orang-orang
mulia atau orang-orang biasa? Kamu menjawab, orang-orang biasa. Memang, golongan
sebegitu jugalah yang menjadi pengikut para rasul sebelum ini.”
“Saya tanyakan, apakah pengikutnya makin bertambah atau semakin
kurang? Jawabmu, mereka semakin bertambah. Begitulah keadaan iman yang semakin
bertambah hingga sempurna.”
“Saya tanyakan, apakah apa di antara mereka yang meninggalkan
Islam kerana benci kepada agama yang mereka anuti itu? Jawabmu, tidak.
Begitulah keadaan iman apabila ia telah menyerap ke dalam darah-daging sampai
ke jantung hati.”
“Saya tanyakan, adakah dia pernah melanggar janji? Kamu
jawab, tidak. Begitulah sifat sekalian para rasul terdahulu, mereka tidak mengkhianati
janji.”
“Saya tanyakan, apakah yang diserukannya kepada kamu
sekalian? Jawabmu, ia menyuruh kamu menyembah Allah semata-mata dan melarang
mempersekutukanNya. Di larangnya pula kamu menyembah sembahan nenek-moyangmu, sebaliknya
disuruhnya mendirikan solat, berlaku jujur dan sopan.”
“Andaikata benar semua yang kamu sebutkan itu, nescaya
dia (Muhammad) akan memerintah sampai ke tempat aku berpijak di kedua telapak
kakiku ini. Sesungguhnya aku telah tahu dia akan lahir, tetapi aku tidak menyangka
bahawa dia akan lahir di antara kamu sekalian. Sekiranya aku yakin akan dapat
bertemu dengannya, walau pun dengan susah payah aku akan berusaha menemuinya.
Kalau aku telah berada berdekatannya, aku akan cuci kedua telapak kakinya.”
Kemudian Heraclius meminta surat Rasulullah saw yang sebelum
itu telah dihantarkan kepadanya, lalu membacanya. Isi surat itu berbunyi:
Dengan nama
Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dari Muhammad, Hamba Allah dan RasulNya.
Kepada Heraclius, Kaisar Rumawi. Kesejahteraan kiranya untuk orang yang
mengikut petunjuk.
Kemudian, sesungguhnya
saya mengajak anda memenuhi panggilan Islam. Islamlah, pasti anda selamat! Dan
Allah akan memberi pahala kepada anda dua kali ganda. Tetapi jika anda enggan,
nescaya anda akan memikul dosa seluruh rakyat.
Hai Ahli Kitab!
Marilah kita bersatu dalam satu kalimah (pegangan) yang sama antara kita, iaitu
supaya kita tidak menyembah kecuali hanya kepada Allah, dan jangan mempersekutukanNya
dengan sesuatu apa pun. Dan janganlah sebahagian kita menjadikan sebahagian
yang lain sebagai Tuhan selain daripada Allah. Apabila anda enggan menuruti ajaran
ini, akuilah bahawa kami ini Muslim!
Seusai Heraclius membaca surat itu dan menyampaikan
ucapannya, balai penghadapan itu bertukar menjadi riuh-rendah. Para pembesar
dan hadirin bagaikan tidak dapat mengawal diri lantaran merasa terancam oleh
mesej kenabian Baginda saw.
Lantas rombongan Quraisy Mekah itu pun diminta keluar.
Tatkala berada di luar, Abu Sufyan berkata kepada anggota rombongannya,
“sungguh telah menjadi masalah besar urusan ‘Anak Abu Kabsyah’, sehinggakan
raja bangsa kulit kuning itu pun takut kepadanya. Aku yakin, Muhammad pasti
menang.”
Lantaran menyaksikan hal itu juga Allah memasukkan Islam
ke dalam hati Abu Sufyan.
‘Anak Abu Kabsyah’ ialah nama ejekan yang dipanggilkan
orang kafir Mekah kepada Nabi Muhammad, kerana di waktu kecilnya Baginda
dipelihara oleh Halimah as-Saadiah, yang suaminya bernama Abu Kabsyah.
Demikianlah secebis kisah yang dipadankan daripada cerita
asal dari riwayat Ibnu Abbas ra sepertimana diceritakan kepadanya oleh Abu
Sufyan bin Harb.
Dalam riwayat sama, Heraclius kemudian dicatatkan mengirim
surat kepada seorang sahabatnya di Rom (yang ilmunya setaraf dengan Heraclius),
menceritakan tentang kelahiran Nabi Muhammad saw. Dalam surat balas diterimanya,
sahabatnya itu menyetujui pendapat Heraclius bahawa Muhammad telah lahir dan memperakui
beliau seorang Nabi.
Bagaikan amat terganggu dengan perkembangan itu Heraclius
kemudian menjemput para pembesar Rom ke tempatnya di Hims. Setelah semuanya hadir
dalam majlisnya, Heraclius memerintahkan supaya mengunci setiap pintu.
Kemudian dia berkata, “wahai bangsa Rom! Mahukah anda
semua beroleh kemenangan dan kemajuan yang gilang-gemilang, sedangkan kerajaan
tetap utuh di tangan kita? Kalau mahu, akuilah Muhammad itu sebagai Nabi!”
Mendengarkan ucapan itu, suasana bertukar menjadi
hiruk-pikuk. Diriwayatkan hadirin bertempiaran lari bagaikan keldau liar, sedangkan
semua pintu telah terkunci.
Melihatkan keadaan itu, Heraclius menjadi putus harapan
yang mereka akan beriman kepada Nabi Muhammad saw. Lalu diperintahkannya supaya
mereka kembali bertenang seraya berkata, “sesungguhnya saya mengucapkan
perkataan saya tadi hanyalah sekadar menguji keteguhan hati anda semua. Kini
saya telah melihat keteguhan itu.”
Ucapan itu membuatkan hadirin kembali menghormati
Heraclius. Mereka lantas sujud di hadapannya. Demikianlah akhir kisah
Heraclius. – Mohd Nasir Awang
(Rujukan: Sahih Bukhari,
Jilid I, hadith no. 5)
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 4, terbitan April 2012 di ruangan SECEBIS KISAH dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment