Sunday, April 1, 2012

Abu Bakar as-Siddiq - gadai keselamatan diri demi Rasulullah

BANYAK episod sepanjang kebersamaan Saidina Abu Bakar as-Siddiq dengan Rasulullah saw yang menggambarkan betapa hebatnya pengorbanan sahabat yang paling akrab dengan Baginda saw ini. Kisah bagaimana beliau mempertaruhkan keseluruhan hartanya untuk Islam telah dipaparkan dalam edisi sebelum ini. Bagaimana beliau pernah membelanjakan segala yang ada untuk membebaskan sejumlah hamba yang diseksa tuan-tuan mereka lantaran menerima Islam adalah antara contoh.

Dalam riwayat yang masyhur oleh Saidina Umar al-Khattab ra, Abu Bakar juga telah mengisytiharkan tidak ada apa lagi yang tinggal di sisinya untuk dimanfaatkan keluarganya, kecuali Allah Ta’ala dan RasulNya saw. Episod itu menyebabkan Umar ‘mengaku kalah’ dalam cubaannya mengatasi Abu Bakar dalam menyahut seruan dan permintaan Rasulullah saw.

Tidak cukup dengan wang dan segala harta dimilikinya, agenda pengorbanan Abu Bakar turut disempurnakan menerusi nyawa dan batang tubuhnya. Abu Bakar kerap mengenepikan aspek keselamatan diri sendiri demi meninggikan agama Islam, terutama memastikan keselamatan diri Rasulullah saw di saat-saat kritikal.

Kesungguhannya mempertahankan Baginda saw, walau pun dalam keadaan mengetahui betapa kaum musyrikin amat membenci dan berhasrat memudharatkan Baginda, adalah suatu yang amat berisiko. Namun, Abu Bakar tidak pernah menghiraukan sebarang kemungkinan ditimpa kecelakaan atau caci-nista oleh kaum Quraisy, asalkan diri Rasulullah saw tidak diapa-apakan.

Di era dakwah Islam masih secara sembunyi, sahabat pertama yang memberanikan diri membuat seruan secara terbuka mengajak masyarakat Mekah kepada ajaran Rasulullah saw ialah Abu Bakar juga. Walau pun berkali-kali diingatkan Baginda saw agar tidak berbuat demikian kerana dikhuatiri akan menjadi mangsa belasahan dan serangan kaum Quraisy, hal itu semacam tidak menghalang Abu Bakar meneruskan hasratnya.

Diceritakan bagaimana beliau suatu hari mengambi keputusan membawa sebilangan sahabat yang telah memeluk Islam ke Baitullah. Rasulullah saw diriwayatkan ikut serta, tetapi hanya duduk di penjuru Kaabah. Manakala Abu Bakar berdiri memberikan ucapan kepada orangramai, menyeru mereka kepada Allah dan RasulNya.

Keberaniannya itu telah mencabar keegoan kaum musyrikin. Ucapannya yang terus terang mengajak kepada Islam mengundang kemarahan mereka. Abu Bakar dan para sahabat lain lalu dibelasah, sehingga ada yang luka-luka dan tercedera.

Abu Bakar sendiri jatuh pengsan lantaran dipukul teruk. Mujur juga berita kejadian itu segera sampai ke pengetahuan Bani Tamim, kabilah asal keturunan Abu Bakar. Mereka pun bergegas menyelamatkan beliau dan membawanya pulang. Bahkan, di antara anggota Bani Tamim itu sempat memberi amaran kepada kumpulan musyrikin yang bertanggungjawab mencederakan beliau agar bersedia menghadapi pembalasan mereka sekiranya kecederaan Abu Bakar itu meragut nyawanya.

Namun, seperkara amat menarik ialah reaksi spontan Abu Bakar sendiri tatkala sedar dari pengsannya. Apa agaknya kata-kata pertama beliau? Ya, tidak lain yang terlintas di fikirannya melainkan orang paling disayanginya, Rasulullah saw.

“Bagaimana keadaan Rasulullah?”, itulah soalan pertama ditanyakan Abu Bakar.

Kemudian setelah berlalu beberapa masa, dakwah Rasulullah saw di Mekah semakin pesat. Perkembangan itu membukitkan rasa berang para pembesar Quraisy. Mereka lalu semakin berani melakukan ancaman dan penyeksaan terhadap kaum muslimin, terutama khalayak yang berasal daripada kalangan hamba dan orang-orang berstatus bawahan.

Baginda saw lantas memerintahkan umat Islam berhijrah ke Madinah. Sebelum itu sudah ada gerombolan umat Islam berhijrah ke Habsyah. Sahabat utama yang masih tinggal di Mekah bersama Baginda hanyalah Abu Bakar dan Ali ra. Berkali-kali Abu Bakar meminta izin Baginda untuk turut berhijrah, menyertai para sahabat dan umat Islam lain. Namun, Baginda saw tidak membenarkannya berbuat demikian.

Kedukaannya akibat halangan itu bagaimana pun segera terubat apabila Rasulullah saw membayangkan akan menjadikannya sebagai teman hijrah nanti. Abu Bakar malah segera membuat perancangan terbaik demi menjamin keselataman Baginda saw sepanjang episod hijrah itu.

Antaranya, beliau menyiapkan dua ekor unta yang sihat dan kuat. Setiap hari diberinya makan rumput terbaik agar unta itu lebih tahan lasak. Tiada lain di fikirannya dalam menekuni perbuatan itu melainkan bagi memastikan binatang yang bakal dikenderai orang paling dikasihinya saw itu berada dalam keadaan paling baik. Hal itu berlarutan sampai empat bulan.

Selepas Jibril menyampaikan perintah Allah agar Rasulullah saw berhijrah, berita itu disampaikan Baginda kepada Abu Bakar. Beliau sangat gembira, terutama apabila Rasulullah saw turut memilihnya sebagai teman.

Aisyah ra menggambarkan kegembiraan Abu Bakar dalam katanya, “sebelum itu aku tidak pernah melihat ayahku (Abu Bakar) menangis seperti hari itu. Dia menangis bahagia kerana Rasulullah saw mengizinkan dia untuk menemani Baginda.”

Perancangan Abu Bakar dalam memastikan perjalanan terbaik buat Baginda saw tidak setakat menyediakan kenderaannya. Beliau juga meninggalkan sejumlah harta kepada anaknya, Asma’ yang antara lain untuk menyiapkan bekalan makanan buat Rasulullah saw.

Asma’ meriwayatkan pesanan ayahnya, “dengan wang dirham ini, belilah roti dan daging kerana Rasulullah saw suka makan daging.”

Di sepanjang perjalanan mendebarkan itu, Abu Bakar memainkan peranan amat signifikan memastikan keselamatan diri Rasulullah saw. Kekhuatirannya terhadap sebarang kemungkinan buruk menimpa Baginda saw amat menguasai dirinya.

Abul Qasim al-Baghawi rahimahullah meriwayatkan dari Ibnu Abi Mulaikah bahawa ketika menuju ke tempat persembunyian, Abu Bakar sesekali berjalan di depan Nabi saw dan sesekali di belakang Baginda, sehingga Nabi saw bertanya kepadanya perihal yang demikian itu. Abu Bakar lantas menjawab, “apabila aku berada di belakangmu, aku khuatir musuh datang dari depanmu. Ketika aku di depanmu, aku khuatir musuh datang dari belakangmu.”

Safi-ur Rahman al-Mubarakpuri mengisahkan episod itu dalam kitabnya ar-Rohiqul Makhtum dengan katanya, “di situ kasut Baginda terkoyak dan menurut setengah riwayat Baginda berjalan terjengket-jengket dengan tujuan agar laluannya tidak meninggalkan sebarang kesan. Abu Bakar ra mendukung Baginda mendaki gunung menuju ke sebuah gua bernama Gua Thur.”

Beberapa periwayatan kisah ini sependapat bahawa setiba di pintu gua tersebut, Abu Bakar meminta Baginda saw duduk di luar dan beliau sendiri masuk terlebih dahulu untuk memastikan segalanya selamat untuk Rasulullah.

Syaikh Mahmud  Al-Mishri lewat Sahabat-Sahabat Rasulullah saw (2010) mencoretkan, “ketika keduanya tiba di pintu gua, Abu Bakar berkata kepada Nabi saw, ‘jangan masuk, biarkan aku masuk terlebih dulu. Jika ada sesuatu, ia akan menimpaku bukan menimpamu’.”

Dikatakan Abu Bakar memeriksa segenap sudut gua, membersihkannya dan menutup lubang-lubang yang ada, termasuk menggunakan cebisan kainnya yang dikoyak.

Nabi saw dipersilakan masuk hanya setelah segalanya dipastikan selamat. Namun, diriwayatkan masih terdapat sebuah lubang yang tidak sempat ditutup menggunakan koyakan kainnya. Lalu Abu Bakar menutupnya menggunakan kakinya. Sedangkan Baginda saw terlena di pangkuannya sejurus memasuki gua tersebut lantaran terlalu letih akibat perjalanan yang jauh itu.

Tatkala itulah kaki Abu Bakar yang menutup lubang itu disengat. Ada riwayat yang mengatakan ia serangga berbisa, ada pula yang menyebut ia ular. Namun, di atas rasa terlalu kasih kepada Rasulullah saw sehingga tidak sanggup mengganggu tidur Baginda yang lena itu, Abu Bakar dikatakan cuba menahan kesakitan akibat gigitan itu.

Ditakdirkan Allah Ta’ala dalam menahan bisa itulah air matanya menitis lalu terjatuh ke pipin Baginda saw. Baginda terjaga dan bertanyakan sebab, lalu diberitahukan Abu Bakar mengenai sengatan berbisa itu.

Banyak riwayat menyebut bahawa Baginda saw meludah ke kaki Abu Bakar. Ada juga yang menyebut Baginda menyapu air ludahnya. Namun, kesemua riwayat sepakat bahawa bisa sengatan itu terus hilang sejurus terkena air ludah Rasulullah saw itu.

Ketelitian Abu Bakar menyusunatur strategi perjalanan hijrah itu turut terserlah menerusi penglibatan beberapa individu lain. Selain anak perempuannya, Asma’, yang ditugaskan membawa bekalan makanan, turut terlibat membekalkan maklumat di malam hari kepada Abu Bakar dan Baginda saw di tempat persembunyian itu ialah Abdullah, anak lelaki Abu Bakar.

Manakala Amir bin Fuhairah pula disuruh menyusul ke gua bersama sekawan kambing peliharaannya. Selain membekalkan susu untuk diminum, jejak kambing-kambing itu juga dapat melenyapkan kesan tapak kaki Abdullah, sama ada ketika menuju ke gua atau meninggalkan tempat persembunyian itu untuk kembali ke kota Mekah.

Perancangan teliti sebegini dibuatnya semata-mata demi memastikan jejak mereka tidak dikesan para pemimpin Quraisy, sekaligus menjamin perjalanan yang selamat buat Baginda saw.

Setelah selamat sampai dan mendirikan pemerintahan Islam di Madinah, peranan Abu Bakar sebagai ‘perisai peribadi’ Baginda saw tidak terhenti. Keberanian beliau melindungi batang tubuh Rasulullah saw paling menyerlah di setiap kali berlaku peperangan.

Abu Bakar dikatakan tidak pernah ketinggalan menyertai setiap peperangan bersama Rasulullah saw. Dalam setiap kesempatan itu, beliau jugalah yang mendampingi Baginda saw dan memastikan tiada sebarang ancaman dapat menghampiri Nabi saw.

Saidina Ali bin Abi Talib ra menceritakan perihal Perang Badar dengan katanya, “orang yang paling berani adalah Abu Bakar... Pada Perang Badar kami membuat markas komando untuk Rasulullah saw. Kami berkata, ‘siapa mahu mengawal Rasulullah saw bagi memastikan tidak ada seorang pun dari kaum musyrikin yang mencelakai Baginda?’ Demi Allah, tiada seorang pun yang tampil selain Abu Bakar dengan pedang terhunus di depan Rasulullah saw, tidak ada yang menghampiri mereka melainkan dia menghadapinya.”

Begitulah peranan dimainkan Abu Bakar pada hampir setiap peperangan. Dalam kekalutan Perang Uhud, terutama tatkala berlaku serang balas oleh tentera musyrikin ekoran kealpaan tentera muslimin, Abu Bakar teguh di sisi Rasulullah saw melindungi Baginda.

Pada Perang Hunain, ketika kaum muslimin (yang pada awalnya berbangga dengan jumlah mereka yang berganda besar berbanding musuh) lari bertempiaran diserang hendap musuh, orang yang tetap teguh d sisi Nabi saw ialah Abu Bakar ra.

Demikianlah sebahagian lagi sifat terpuji dan teladan mulia dipamerkan Abu Bakar as-Siddiq. Bahawa cinta dan pengorbanannya terhadap Rasulullah saw amat sempurna, sehingga sanggup mengorbankan bukan sahaja hartanya, tetapi segala yang dimilikinya, termasuk dirinya sendiri.

Tidak hairanlah dalam sejarah perdampingan beliau dengan Rasulullah saw, kerap tercatat beliau mengulangsebut ikrar setianya, “aku korbankan ayah dan ibuku demi dirimu”. Abu Bakar telah benar-benar membuktikan secara praktikal apa yang diikrarkannya itu.

Bicara lanjut mengenai insan yang telah meraih penghormatan paling agung dengan mendampingi Rasulullah saw dalam saat-saat eksklusif ini akan disambung pada siri akan datang, insya Allah. – Mohd Nasir Awang

Rujukan:
-          Syaikh Mahmud al-Mishri, 2010. Sahabat-Sahabat Rasulullah saw. Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta.
-          Abdurrahman Asy-Syarqawi, 2011. Abu Bakar Al-Siddiq The Successor, Yamani Angle Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
-          Safi-ur Rahman al-Mubarakpuri, 2011, Cahaya Abadi (Terjemahan ar-Rohiqul Makhtum), Al-Hidayah House of Publishers Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
-          Dr. Khalid Muhammad Khalid, 2006. Sejarah 133 Wira Terbilang di Zaman Rasulullah saw. Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur.

((Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 4, terbitan April 2012 di ruangan KENALI SAHABAT RASULULLAH dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment