Sunday, April 1, 2012

Al-Fudhail bin Iyadh – teguh mengikuti Sunnah, mencela pelaku bidaah

Oleh: MOHD NASIR AWANG

“KOSONGKAN hatimu untuk sedih dan takut sampai keduanya dapat bersarang. Apabila sedih dan takut bersarang di hatimu, maka keduanya akan membentengimu dari melakukan maksiat dan menjauhkan dirimu dari api neraka.”

Kata-kata itu adalah antara ratusan nasihat dan peringatan daripada Al-Fudhail bin Iyadh, seorang tabie tabien. Beliau mendapat jolokan “abid al-Haramain” (ahli ibadat di dua Tanah Haram, yakni Mekah dan Madinah) lantaran sangat kuat ibadatnya kepada Allah SWT.

Al-Fudhail hidup sezaman dengan Imam Malik, Sufyan bin Uyainah dan Abdullah bin al-Mubarak, dari generasi mulia, iaitu kelompok tabie tabien besar. Beliau berguru kepada berpuluh ulama lain, antara yang tersohor ialah Sulaiman bin Mihran Al-A’masy, Yahya bin Said al-Ansari, Laits bin Abi Sulaim, Muhammad bin Ishaq, Sufyan ath-Thauri, Ubaidillah bin Umar, Sulaiman at-Taimi, Jaafar bin Muhammad As-Sadiq dan lain-lain.

Manakala antara sebilangan muridnya yang kemudiannya muncul sebagai guru tersohor adalah Sufyan bin Uyainah yang juga rakannya, Ibnul Mubarak (meninggal lebih dahulu daripadanya), Yahya bin Said al-Qaththan, Ibnu Mahdi, Ishaq bin Mansur As-Sauli, Ibnu Wahab Asy-Syafie, Yahya bin Said At-Tamimi, Musaddad dan lain-lain.

Nama penuhnya ialah Abu Ali Al-Fudhail bin Iyadh bin Mas’ud bin Bisyr at-Tamimi al-Yarbuie. Beliau dilahirkan di Samarqand dan membesar di Kota Abyurd yang terletak di antara daerah Sarkhas dan Nasa. Dia belajar dan menghafal hadith di Kufah, sebelum menyambung pengajian di Mekah.

Wara’ dan berilmu tinggi
Beberapa ulama seperti Ibnu Saad, Sufyan bin Uyainah, Ibnu Hibban, Al-Ajali dan Adz-Dzahabi dalam periwayatan berasingan saling menyifatkan al-Fudhail sebagai seorang yang disepakati kethiqahan dan kehebatan peribadinya. Beliau dikenali sangat rajin mengerjakan ibadat, pandai dalam fiqh, paling wara’, selain banyak menghafal hadith Nabi saw.

Ibnul Mubarak diriwayatkan pernah berkata, bahawa sesungguhnya Al-Fudhail merupakan bukti kebenaran kekuasaan Allah SWT apabila terserlah hikmah melalui perkataan-perkataannya. Dia disifatkan termasuk di kalangan manusia yang dikurniakan manfaat atas amal-amalnya.

Al-Fudhail sangat fasih dalam menyampaikan ilmunya. Dia juga amat menitikberatkan tahap pemahaman para peserta pengajiannya, lalu sentiasa berusaha memberikan penjelasan terbaik tatkala diajukan tuntut faham.

Perkara ini pernah diterangkan oleh Adz-Dzahabi dengan katanya, “kami telah melihat sosoknya (Al-Fudhail) yang selalu wara’ ketika berada di meja makan, ketika berpakaian dan berinteraksi sesama rakan-rakan. Ketika memberikan ceramah agama dalam pengajian, beliau bagaikan memukau perhatian setiap orang yang mengikutinya. Kadangkala di antara peserta pengajiannya ingin mendapatkan penjelasan lebih terperinci. Lalu Al-Fudhail akan menghentikan penyampaiannya seketika bagi menyantuni dan memperjelaskan permasalahan-permasalahan yang ditimbulkan itu.”

Katanya lagi, “apabila para hadirin menerima apa yang disampaikannya, maka dia akan melanjutkan ceramahnya dengan memperelokkan setiap perkataannya sehingga para hadirin merasa benar-benar puashati dan memperolehi pengajaran daripada kefasihan tuturbicaranya.”

Kewibawaannya dalam memastikan ilmu yang disampaikannya bersandarkan sumber yang sahih menyebabkan para hadirin lebih yakin untuk menerima segala pembicaraannya. Ishak bin Ibrahim Ath-Thabari berkata, “hadith riwayat Al-Fudhail adalah sahih, perkataannya benar dan dia sangat menghormati dan menjaga hadith, sehingga ketika menyampaikan hadith, maka dia terlihat sangat berwibawa. Apabila aku meminta kepadanya suatu hadith, maka jiwanya akan merasa terbeban sekali untuk memberikannya.”

“Dia sebaliknya berkata, “seandainya kamu meminta kepadaku beberapa dinar, maka itu akan lebih mudah bagiku untuk memberikannya daripada kamu meminta kepadaku hadith.” Kemudian aku jawab, “barangkali kamu memberikan kepadaku hadith-hadith yang berisi faedah-faedah yang tidak aku miliki, maka itu lebih membuatku senang daripada kamu memberikan aku beberapa dinar.”

Al-Fudhail lalu berkata kepada Ishak, “sesungguhnya kamu telah terkena fitnah. Ketahuilah, aku bersumpah demi Allah, seandainya kamu mempraktikkan hadith-hadith yang telah kamu dengar dan perolehi, maka itu sudah cukup membuatmu sibuk dari meminta hadith yang belum kamu dengar.”

Cintakan ibadat
Sebagai salah satu bukti kecintaannya yang tinggi terhadap amal ibadat, al-Fudhail diberitakan pernah berkata kepada Ishak bin Ibrahim, “jika kamu tidak mampu menunaikan qiyamullail dan berpuasa di siang hari, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya yang menghalang dan membelenggu kamu (dari melakukan amalan tersebut) ialah dosa dan kesalahan yang telah kamu perbuat.”

Sebab itu Al-Fudhail sendiri sering menunaikan qiyamullail, termasuk secara duduk, selepas penat melakukannya secara berdiri. Kisah kesungguhan beliau memaksa dirinya menekuni ibadat malam banyak dicatatkan. Antaranya, beliau diriwayatkan akan membentangkan tikar untuk menunaikan solat di awal malam buat beberapa jam, sehingga rasa mengantuk menguasai dirinya.

Lalu dalam keadaan itu, beliau akan merebahkan badan di atas tikar itu untuk tidur sebentar. Tidak lama kemudian, Al-Fudhail akan bangun kembali untuk menunaikan solat lagi, sehinggalah rasa mengantuknya datang lagi.

Apabila ia sudah tidak tertahan, beliau pun berbaring lagi untuk tidur sebentar. Selepas itu Al-Fudhail bangun kembali untuk menunaikan solat dan begitulah seterusnya sampai datang waktu Subuh. Itulah tabiat ibadat yang menjadi kebiasaannya di setiap malam.

Sentiasa takut dan sedih
Walau pun sudah dikenali sebagai seorang ahli ibadat yang sangat tekun, Al-Fudhail juga diketahui sangat takut amalnya tidak diterima di sisi Allah Ta’ala. Lantaran kebimbangan itu menyebabkan beliau lebih banyak bersedih, terutama tatkala berdepan dengan ayat-ayat al-Quran.

Ishak bin Ibrahim ath-Thabari berkata, “aku belum pernah melihat seseorang yang lebih takut terhadap dirinya dan tidak berharap terhadap sesuatu pada manusia selain Al-Fudhail. Ketika membaca al-Quran, maka dia akan membacanya dengan lambat, syahdu, menyentuh hati, lantang dan jelas seolah-olah sedang berbicara kepada seseorang. Ketika membaca ayat-ayat yang menyebutkan syurga, maka dia akan membacanya berulang-ulang sambil memohon kepadaNya untuk mendapatkannya.”

Menceritakan perihal serupa, Ibrahim bin Al-Asy’ats pula berkata, “apabila Al-Fudhail menyebut nama Allah, sama ada disebutkan kepadanya nama Allah atau mendengar ayat-ayat al-Quran, maka akan terlihat dengan jelas dari wajahnya rasa takut dan sedih. Air matanya kelihatan berlinangan sehingga menimbulkan rasa terharu sesiapa juga yang orang-orang yang melihatnya. Dia selalu bersedih dan selalu menggunakan fikirannya.”

Di ketika yang lain Ibrahim turut menceritakan, “ketika kami sedang mengiringi jenazah ke kubur bersama Al-Fudhail, dia selalu memberikan nasihat dan peringatan kepada kami sambil menangis seolah sedang mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakannya untuk pergi menuju alam akhirat.”

“Setelah sampai di tanah perkuburan, dia pun duduk seolah-olah duduk di antara orang-orang yang telah meninggal. Dia duduk bersedih dan menangis sehinggalah sekalian pengiring jenazah berdiri untuk pulang. Tatkala berdiri itulah, dia seolah-olah manusia yang baru kembali dari kampung akhirat, lantas mengkhabarkan kepada kami perkara-perkara berkaitan alam akhirat.”

Ibrahim berkata lagi, bahawa beliau pernah mendengar Al-Fudhail melontarkan kebimbangannya, “apakah yang dapat memberikanmu rasa aman apabila kelak amalmu di hadapan Allah tidak ada nilainya? Sedangkan pada waktu itu semua pintu amal untuk mendapatkan ampunanNya telah tertutup. Justeru, bagaimana kamu dapat menjalani hidup di dunia ini dengan hilai tawa? Dapatkah kamu bayangkan keadaanmu di akhirat kelak jika semua amal yang kamu kerjakan di dunia ini ditolak?”

Kebimbangan dan ketakutan sedemikian membuatkan kehidupan al-Fudhail seakan sinonim dengan kesedihan. Abdullah al-Mubarak diriwayatkan pernah menyebut, “jika aku melihat al-Fudhail, maka akan segera muncul rasa sedih dalam diriku. Kesedihan yang aku rasakan itu adalah lain daripada yang lain, sehingga tiba-tiba aku menjadi benci pada diriku sendiri. Jika sudah demikian, maka aku pun tidak kuasa lagi membendung isak tangisku sendiri.”

Setelah ketiadaannya, Ibnul Murabak berkata pula, “apabila Al-Fudhail meninggal, maka bererti hilanglah kesedihan.”

Benci Ahli Bidaah
Sudah menjadi kelaziman di kalangan ulama salaf bahawa kecintaan mereka kepada amal ibadat yang bertepatan dengan Sunnah Nabi saw membuatkan mereka amat membenci perbuatan-perbuatan bidaah.

Lantaran itu Al-Fudhail pernah berkata, “barangsiapa mencintai ahli bidaah, maka Allah SWT akan melebur amalnya sehingga amal tersebut menjadi sia-sia. Bukan setakat itu saja, Allah juga akan mengeluarkan cahaya Islam dari dalam hatinya.”

Di ketika lain, dia menzahirkan pendiriannya yang lebih keras dengan berkata, “apabila kamu sedang berjalan lalu kamu melihat orang ahli bidaah sedang berjalan pada jalan yang sama dengan jalanmu, maka ambillah jalan yang lain.”

Katanya lagi, “amal orang yang melakukan bidaah tidak akan diterima Allah, dan barangsiapa membantu ahli bidaah, maka sesungguhnya ia telah membantu untuk merobohkan Islam.”

Bahkan, beliau memberi jaminan keselamatan di sisi agama bagi mereka yang meninggalkan bidaah. Katanya, “tidak ada yang perlu dikhuatirkan apabila pada diri seseorang telah terkumpul tiga keadaan, iaitu dia bukan ahli bidaah, tidak mengumpat dan mencela ulama salaf, dan tidak bersekutu dengan penguasa.”

Meninggal dunia
Menurut Mujahid bin Musa, Al-Fudhail meninggal pada 186 Hijriyah. Manakala sebilangan ulama lain sepeti Abu Ubaid, Ali bin Al-Madini, Yahya bin Ma’in, Ibnu Numair dan Imam Al-Bukhari, pula berpendapat Al-Fudhail meninggal pada tahun 187 Hijriyah di Mekah. Sebahagian ulama lain menambah fakta bahawa dia meninggal pada awal Muharram, pada usia melebihi 80 tahun. – Mohd Nasir Awang

(Rujukan: Syaikh Ahmad Farid, 2006. 60 Biografi Ulama Salaf. Pustaka Al-Kautsar, Jakarta Timur.)

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 4, terbitan April 2012 di ruangan ULAMA PEWARIS NABI dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment