“APABILA kita melihat seseorang melakukan sesuatu yang
negatif, kita berdoalah supaya Allah SWT membantu orang-orang seperti ini
(kembali kepada kebaikan), dan insya Allah doa-doakan juga supaya saya akan
terus istiqomah dengan jalan ini, supaya saya akan terus bersemangat dalam
meninggikan kebaikan dan doalah supaya (penghijrahan) saya ini kekal ke hujung
nyawa.”
Demikian segugus bicara yang terlontar daripada pembesar
suara Masjid Jamek Pengadang Baru, Kuala Terengganu, menjelang tengahari, 28
Februari lalu. Pengucapnya bukan seorang ilmuan Islam tersohor yang mahir
berkuliah, bukan ustazah yang petah meluahkan motivasi dan bukan juga seorang
pemidato handal yang gemar beretorik.
Luahan penuh keikhlasan itu sebaliknya datang dari
seorang pencinta Islam yang mengaku sedang giat berusaha memperbetulkan
perjalanan hidupnya menepati apa yang dikehendaki agama suci ini. Keseriusannya
dalam mencapai hasrat itu jelas tergambar dalam setiap butir bicaranya.
Beliau adalah Puan Catriona Bahrin Ross, personaliti yang
tidak asing lagi dalam dunia seni lakonan tanahair. Menyebut nama itu sahaja
pun sudah ramai yang tergambarkan seorang wanita kacukan berwajah manis
berkulit putih, yang suatu ketika dulu kerap mengisi babak-babak menarik dalam
filem atau drama di kaca tv. Kini keayuannya tambah menyerlah apabila tampil
berhijab.
Tutur bicara penuh pengharapan di atas itu adalah reaksi
beliau terhadap satu soalan hadirin di majlis forum hari itu yang melontarkan
kebimbangan beliau akan kembali kepada gaya hidup sebelum ini setelah ‘berhijrah’
buat seketika. Pengaju soalan itu mengambil contoh kes-kes sedemikian yang
telah berlaku terhadap beberapa artis sebelum ini.
Biar pun amat berharap kes sebegitu tidak menimpa
dirinya, Puan Catriona tidak pula menzahirkan sikap terlalu yakin ia tidak akan
berlaku. Sebaliknya, beliau yang lebih selesa dipanggil “Cat” memilih untuk
menyandarkan harapan positif kepada Allah SWT, di samping berusaha dan berdoa
agar Dia mengekalkannya di atas jalan yang lurus ini.
Dalam sesi bual bicara eksklusif dengan majalah Dian
selepas majlis itu, Cat sekali lagi mengulas pengharapannya. Katanya, “saya
mengharapkan pembaca (majalah Dian) dan peminat (saya) tidak bias... tidak bias
kepada seseorang (artis) yang berhijrah dan jangan salahertikan (mentafsirkan)
penghijrahan itu mengikut perasaan masing-masing”.
Menurutnya, berbagai telahan didengarinya ekoran
penghijrahannya. Ada yang mengatakan perubahan penampilannya kini kerana mahu
“masuk politik”, ada juga yang mengaitkannya dengan sebab perkahwinannya. Malah,
tidak kurang juga yang menuduhnya “nak bagi lagi glamour”, lalu dibuatnya “suatu
benda yang sangat baru ini (berhijab)”.
Semua cakap-cakap sumbang itu bagaimana pun tidak
mematahkan semangatnya untuk terus istiqomah di atas jalan dipilihnya kini.
Apatah lagi sepanjang terlibat dalam dunia seni sebelum ini pun, beliau yakin
tidak melakukan sesuatu yang bukan-bukan.
Pegang pesan
ibu
Mungkin penampilannya ketika itu tidak menepati kehendak
hukum agama, tetapi perjalanan hidupnya tidak pula terlalu jauh tersasar dari
adat budaya bangsa. Beliau yang sangat mengagumi ibunya sempat mengimbau
kembali pesanan orang paling disayanginya itu tatkala beliau mula-mula berjinak
dengan dunia lakonan dulu.
Masih segar dalam ingatannya bagaimana ibunya, Puan Siti
Zawiah Abdul Rahman memberikan syarat sangat ketat untuknya memasuki dunia
hiburan. Dalam loghat Kelantan, Cat mengulangi kata-kata ibunya, “kalu lah ada sekali tubik dalam suratkobar,
ada apa-apa kontroversi dengan budak jatae, ada apa-apa hal buat malu ke
keluarga, jangan kelik kampung. Nih! (sambil mengangkat jari).. dia tunjuk
kepada saya... Nih! Bukan anak aku...”
Disebabkan selalu berpegang kepada pesanan itulah, kata
Cat, sepanjang penglibatannya dalam dunia hiburan, alhamdulillah beliau tidak dilanda
sebarang gossip yang buruk.
Cat dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan, pada 2 September
1980 sebagai Catriona Noorhayati Ross binti Bahrin Ross. Ibunya adalah anak
watan ibu negeri Serambi Mekah itu, manakala ayahnya berasal dari Scotland.
Mereka ditakdirkan bertemu ketika Siti Zawiah melanjutkan pengajian dalam
bidang perubatan di United Kingdom.
Cerita keupayaan ibunya menarik minat Brian Ross (nama
asal bapanya) yang tidak pernah kenal Islam untuk masuk Islam, seterusnya
membimbing beliau menghayati ajaran agama, adalah suatu yang amat dikagumi Cat.
Hingga kini beliau menganggap apa yang dicapai ibunya itu bukan suatu yang
mudah dan wajar diberikan pujian.
“Ibu ni orang yang strick
tentang agama. Masa tu lah dia jumpa somebody
yang tidak Islam dan boleh (buat dia) jadi muallaf. Jadi daripada dulu lagi
pun, daripada kecik lagi saya rasa ibu ni memang somebody strong, sebab dia wanita tapi dia membimbing seorang lelaki
dalam agama kan? Lelaki yang tidak pernah kenal Islam masa tu...”
“So, daripada
kecik lagi saya memang tahu (kisah itu) dan respect
pada ibu ni, sebab saya rasa kerja dakwah ibu berlaku daripada usia dia yang
awal itu, sebab dia kahwin dulu umur 23”, cerita Cat, membanggai peranan
ibunya.
Di bawah asuhdidik dan belaian kasih insan mulia lagi
berprinsip itulah Cat dibesarkan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah
Rendah Kebangsaan Zainab I, Kota Bharu. Kemudian berpindah ke Sekolah Sri Inai
Junior, sebuah sekolah swasta di Kuala Lumpur, kerana mengikuti tuntutan kerja
ayahnya sebagai jurutera.
Selepas itu mereka kembali ke Kota Bharu. Cat menyambung
pelajaran di Sekolah Menengah Naim Lil Banat, sebelum mengakhiri pengajian
menengahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra.
“Lepas (sekolah menengah) tu saya belajar di Universiti
Putra (Malaysia), dalam bidang mass comm,
komunikasi massa. Saya masuk universiti tahun 98, sampai tahun 2002”, Cat
memperincikan perjalanan akademiknya.
Menceburi
dunia seni
Seusai pengajiannya, beliau terus tertarik mencuba nasib
di dunia penyiaran. Kebetulan ketika itu sebuah syarikat penyiaran terkenal,
Astro sedang mencari calon pengacara untuk satu rancangan terbitannya, Wayang Kita. Iklannya disiarkan di kaca
tv.
“Saya tengok iklan tu dekat tv, lepas tu saya kata
mungkin boleh cuba lah. Jadi saya hantar gambar dengan profil. Lepas tu Astro
panggil... alhamdulillah dapat jadi pengacara tu. Kontrak untuk satu tahun,”
Cat mengimbau detik amat bermakna baginya itu.
Pengalaman pertama yang memperkenalkannya kepada dunia
seni itu membuka peluang untuknya pergi lebih jauh. Walau pun beliau menolak
tawaran menyambung kontrak mengacara program tersebut setahun kemudian,
penampilannya sepanjang mengendalikan program Astro itu rupa-rupanya telah
menambat perhatian seorang direktor tersohor, Rashid Sibir.
“Lepas (tamat kontrak pengacara) tu saya kata saya nak cuba
buat benda lain la pulak. Niat sebenarnya saya nak cari office work lah, hak nine to
five... tapi lepas tu saya dapat panggilan telefon daripada seorang
direktor ni, dia kata dia nak try lah
ajak saya berlakon dalam projek dia. Jadi saya kata boleh juga, pasal saya pun
baru habis (kontrak) pengacara,” sambung Cat lagi.
Percubaan pertamanya di pentas lakonan pada 2003 itu
benar-benar mendorongnya pergi lebih jauh. Sebaik tamat projek dengan Rashid
Sibir, katanya, beliau menerima panggilan daripada seorang direktor lain pula.
“Masa tu (drama pertama) saya dapat watak pembantu, saya
rasa mungkin orang tak perasan sangat kot... drama hak dengan dia tu drama
berepisod bertajuk “Salina”. Tapi
selepas saya buat dua projek dengan dia, saya dapat peluang untuk buat satu
drama berepisod di mana saya adalah pelakon utama. Hak tu mungkin orang ingat,
drama “Sephia”.
“Saya pegang watak utama, jadi hak ni memang orang ingat
lah, sebab saya ingat lagi saya keluar ke mana-mana, semua orang akan panggil,
“Sephia! Sephia! Sephia!”, cerita Cat diiringi tawa manja.
Sejak itu beliau semakin mendapat tawaran berlakon.
Daripada drama beliau beralih pula ke dunia perfileman. Lakonan pertamanya
ialah menerusi filem “Mistik”,
bersama dengan Rita Rudaini, Lisdawati dan lain-lain. Kemudian, filem “Cermin”, bersama dengan Natasya Hutson,
diikuti filem “Kabil Kushri, Kabil Igam”,
bersama dengan Yusri KRU, Erra Fazira, Ziana Zain dan lain-lain.
Ditimpa
kemalangan
Di kemuncak hidupnya sebagai pelakon itulah Cat ditimpa
kecelakaan jalanraya. Namun, takdir Allah Ta’ala ke atasnya pada 2007 itu
sebenarnya membawa bersama satu titik pusing amat bermakna dalam hidupnya.
Peristiwa itulah kemudiannya mendorong perubahan, seterusnya penghijrahan
beliau.
“Asal-asal boleh jadi rasa macam nak cari sesuatu selepas
accident tu sebabnya doktor kata saya
mungkin tak boleh berjalan balik, kemudian dia kata mungkin susah untuk
mengandung. Tapi dalam masa 9 bulan (selepas kemalangan), saya boleh berjalan
balik dengan sempurna, lepas tu (tahun 2009) saya berkahwin dan kemudian saya
mengandung.”
“Jadi bila saya boleh jalan balik dan boleh mengandung,
saya rasa itu (tanda) Allah tengah berkomunikasi dengan saya, sebab saya tahu
Allah ni dia bagi benda-benda ke kita ni, untuk dia komunikasi dengan kita lah,
dia nak royak gapa-gapa. Kalau dia
beri musibah, untuk saya muhasabah (diri). Kalau diberi anugerah tu, untuk saya
syukuri lah,” jelas Cat, yang ketika ditemubual sedang mengandungkan anak
keduanya pada usia lebih empat bulan.
Daripada detik itulah beliau mula mencari sesuatu untuk
lebih mengenali Allah SWT. Walau pun masih lagi dalam “keadaan sama”, Cat mula
berminat ke majlis-majlis ilmu.
“Tapi saya gi
dalam keadaan secret-secret lah, saya
malu lah masa tu nak royak ko member
nak gi masjid, nak gi surau ko, whatever, dak?”, cerita Cat sambil
ketawa kecil.
Ditakdirkan Allah Ta’ala dalam pencariannya itu beliau
singgah di satu masjid di sekitar Ampang, dekat ibu negara. Cat menganggap episod
petang itu semata-mata ketentuan Allah buatnya, sehingga beliau “tiba-tiba saja
rasa nak berhenti”. Di situlah beliau mendengar cerita oleh seorang ustaz yang
sedang memberikan kuliah Maghrib, yang mula membuatnya rasa perlu lebih dekat dengan
agama.
“Cerita tu buat saya sebak... cerita pertama yang saya dengar
itu (ialah) janji manusia di alam roh. Di mana Allah tanya kita, “alastu birabbikum”, kan? Bukankah Aku Tuhan
kamu? Lepas tu kita semua jawab, “qaalu:
Bala, syahidna”. Benar ya Allah, kami bersaksi Engkau Tuhan kami. Lepas tu
Allah redha, baru lah Allah hantar (roh kita) ke alam rahim dan alam dunia,
kan?”
“Jadi cerita tu buat saya sebak, sebab saya tak tahu pun
sebelum tu saya ni pernah bersumpah dengan Allah. Bagi saya dulu, kita lahir
sebab Allah kata kita akan lahir, dan kemudian kita di dunia sebagai khalifah.
Setakat itu saja yang saya faham,” Cat mengimbau perasaannya ketika itu.
Cerita itu benar-benar mengusik perasaannya. Beliau
lantas semakin serius mendekatkan diri kepada agama, termasuk mendaftar menyertai
satu kursus motivasi diri berbayar. Di situ beliau diperdengarkan pula dengan
cerita Rasulullah saw yang sedang nazak. Dalam keadaan sangat kritikal itu,
Baginda saw masih sempat mengungkapkan rasa kasihnya kepada umatnya.
“Dia sebut, “ummati,
ummati!” Jadi masa tu saya rasa sebak sangat, sebab saya cuba untuk nak
faham macamana seorang manusia yang perginya 1400 tahun dulu, boleh rasa kasih
sayang yang sangat dalam kepada umatnya, sedangkan dia tak pernah jumpa dengan
kita, dia tak kenal pun kita, saya tak kenal dia.”
“So, itu antara
turning point lah... masa tu, saya
tiba-tiba rasa macam nak sangat kenal Rasulullah, sebab saya rasa dia ni baik
sangat, tinggi sangat kasih-sayang dia ni. Saya rasa dia ni sempurna sangat.
Sebelum ni kita dengar (kisah Rasulullah), tapi kita tak faham dan kita tak dalami,
tapi hari tu saya tiba-tiba rasa macam saya kenal sangat dia,” cerita Cat lagi,
dalam nada serius.
Cerita-cerita sebegitu benar-benar memberi kesan kepada
‘kekosongan’ jiwanya, seterusnya menjadi pemangkin kepadanya untuk berhijrah.
Akhirnya, pada tanggal 16 Julai 2010, beliau nekad memulakan penampilan baru
dengan mengenakan hijab. Alhamdulillah, keputusannya itu diterima dengan senang
hati oleh suami, Encik Shaharuddin Mokhtaruddin.
Namun, tidak semua pihak dapat menerima perubahan dirinya
itu. Kata Cat, ada juga sebilangan rakan artis yang sebelum itu agak rapat
dengannya tiba-tiba “tak berapa nak saing”
dengannya.
Pun begitu, Cat tetap bersyukur kerana diberikan Allah
Ta’ala beberapa kawan yang sealiran dan sama-sama mendukung penghijrahan ini.
Antara yang paling rapat dengannya kini ialah Sham Kamikaze, Wardina Safiyyah
dan Irma Hasmie.
Beliau turut menyebutkan nama beberapa artis lain, yang
diakuinya turut sama dilanda gelombang hijrah. Mereka ini malah memilih untuk
menyertai kumpulan usrah tersendiri yang, selain untuk menambah ilmu agama,
juga berperanan mengikat mereka dengan komitmen terhadap perubahan yang telah
mereka ambil.
“Saya rasa orang yang berhijrah ni, kalau masuk usrah and stick with the team, insya Allah tak
ada lah ‘hantunya’,” ujar Cat, seraya menangkis sebarang kemungkinan
terpengaruh oleh individu-individu yang cuba mengheret rakan artis yang telah
berhijrah itu kembali ke kehidupan sebelumnya.
Seperkara menarik, ibu kepada Sephia Rania Ross-Iddin
berusia 2 tahun ini, bertegas bahawa beliau tidak pernah bersara daripada dunia
lakonan. Beliau sebaliknya percaya dan berpegang kepada apa yang diajar oleh
naqib usrahnya bahawa dakwah Islam boleh dibuat dalam berbagai cara, termasuk
menerusi hiburan. Asal saja jelas matlamatnya dan tidak melanggar hukum agama.
“Saya pegang pada (prinsip) itu, dan saya juga diajar
oleh Ustaz Fawwaz Fadzil Noor (naqib usrah), dia kata Wali Songo kita dulu ada seorang
mengembangkan Islam di Tanah Jawa melalui hiburan, wayang kulit. Dia tidak
memaparkan babak-babak, watak-watak Tuhan Hindu... Hanuman, Ganesha dan
sebagainya, tapi dia cerita pasal Rasul, pasal Nabi, pasal Tuhan, pasal Islam.
Jadi saya pegang, kalau Sunan Kalijaga buat lagu
tu, insya Allah kalau saya buat (lakonan) tu saya harap tidak salah,” ujar Cat.
Beliau sangat yakin memang ada ruang untuk berdakwah
melalui seni. Sebagai buktinya, beliau menyebutkan pernah melaksanakan dua
projek dengan Puan Hajah Sheila Rusli, direktor yang disifatkannya sudah
berhijrah dan suka kepada cerita yang ada mesej keislaman dan ketuhanan.
Cerita terakhir Cat dengannya ialah drama bertajuk “Kasih Aliya”, yang ditayangkan di bulan
Ramadhan lalu. Cat tampil dengan imej bertudung dan berpakaian sopan. Bahkan,
drama itu sendiri memaparkan mesej keislaman yang jelas.
“Saya rasa benda (drama keislaman) tu memang boleh
membantu (dakwah), sebab dalam masa sebulan setengah cerita “Kasih Aliya” ditayangkan, emel saya
penuh setiap hari. Ada masa saya tak boleh nak balas, dan saya baca komen tu,
kat facebook ada gambar
masing-masing, jadi saya tengok this girl
tidak menutup aurat tapi kata teringin nak jadi gitu juga sebab tengok saya.
Kemudian yang menutup aurat, dia kata, dia harap saya akan terus maju dengan
imej saya ini. So, saya rasa benda tu
memang beri kesan sebenarnya dekat penonton,” ujar Cat optimis.
Berbekalkan keyakinan itulah, jika ditentukan Allah
rezekinya masih di dunia lakonan, beliau bertekad untuk menumpukan kerjaya
lakonannya kepada watak-watak seperti itu. Tambah membuatkannya merasa puas dan
bangga dengan pegangan hidupnya kini ialah keyakinan hatinya bahawa jalan dipilihnya
ini sangat menyenangkan orang yang paling banyak memberikan inspirasi untuknya
berubah.
“Ibuku, Siti Zawiah Abdul Rahman, dia lah orang yang doakan
saya daripada saya kecil sampai sekarang. Dan, I think sekarang ni she’s the
proudest person. Macam dia tahu saya ke sini ke sana untuk forum, dia
tiba-tiba sms kat saya, “masya Allah, anak ibu ni...” Begitulah,” ujar Cat
dengan wajah ceria, seraya mengakhiri temubual kami.
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 4, terbitan April 2012 di ruangan KEMBARA IMAN dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment