Oleh: Mat Zain Mat Isa
Mungkin ada pihak yang menganggap hasrat PAS Kawasan Besut menawan kesemua kerusi di kawasan berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti agak ambitious. Namun, seperti yang kerap disebut orang, tidak ada yang mustahil di dalam politik.
Ertinya, biar pun sepintas lalu cita-cita PAS menyapu bersih kelima-lima kerusi di daerah kubu kuat Umno itu mungkin bunyinya terlalu optimistik, ia tidak pula wajar ditolak mentah-mentah atau dianggap sebagai angan-angan semata.
Sebab itu barangkali hampir kesemua pemimpin yang berucap pada majlis Pelancaran Operasi Tawan Besut (OTB 4+1), 27 Julai lalu mengulangi harapan sama. Biar pun dalam ungkapan berbeza, mereka meluahkan satu cita-cita bersama, iaitu Besut mesti dimenangi PAS sekiranya mahu mengambilalih pemerintahan negeri Terengganu menerusi PRU-13 akan datang.
“Kita amat berharap PAS Besut akan mengulangi catatan sejarah 1999 (Pilihan Raya Umum ke-10), di mana kita sapu bersih kelima-lima kerusi di kawasan ini,” ujar Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Beliau yang berucap mewakili PAS negeri malah mengiringi hasratnya itu dengan gambaran amat optimistik mengenai perkembangan politik terkini. Katanya, kebanjiran orang ramai di setiap program anjuran PAS di serata negeri mutakhir ini seakan mengisyaratkan bahawa gelombang kebangkitan rakyat menolak Umno/Barisan Nasional (BN) sudah semakin terzahir.
Menurutnya, siri kezaliman dan tindakan rakus parti pemerintah itu terhadap perjuangan rakyat memburukkan lagi imej dan reputasi Umno/BN. Parti itu kini semakin tenggelam di timbusi kecaman, kutukan dan penolakan pelbagai pihak apabila ia mempamerkan sikap yang semakin tidak adil dan tidak demokratik dalam mendepani tuntutan rakyat.
“Apa yang dilakukan kerajaan Umno/BN terhadap para pendukung (Himpunan) Bersih (2.0) baru-baru amat biadab dan tidak demokratik. Ia juga membuatkan kita merasa malu kepada dunia. Dunia mentertawakan Malaysia sekarang. Mana ada negara di dunia ini tangkap rakyatnya sendiri hanya kerana pakai baju warna kuning?”, soal Haji Mohamad Sabu penuh sinis.
Dalam ucapan ringkasnya melancarkan OTB (4+1) petang itu, Timbalan Presiden PAS itu menyebut betapa media-media antarabangsa baru-baru ini banyak memapar dan mempersoalkan beberapa tindakan keji dan tidak berperikemanusiaan kerajaan BN, khususnya anggota polis terhadap para peserta himpunan tersebut, 9 Julai lalu.
Namun, beliau tidak mengheret perbincangan jauh daripada tema utama majlis petang itu. Mohamad sebaliknya melontarkan persoalan kepada hadirin, sejauh manakah berbagai peristiwa yang berlaku di serata negara dan berbagai salah laku oleh pemimpin negara yang dilaporkan media menjadi perhatian masyarakat setempat.
“Orang Besut tahu tak cerita-cerita ni ? (Saya rasa) tak tahu kot? Orang kita tak ambil kisah (cerita penyelewengan dan salahlaku pemimpin negara). Sebab itu Umno mampu bertahan, dia mendapat sokongan masih kuat terutama di kawasan-kawasan luar bandar macam Besut ni!,” terjahnya.
Memang ada benarnya apa yang dikatakan Mohamad itu. Besut terkategori sebagai kawasan luar bandar dan penduduknya juga masih ramai yang buta maklumat. Atau majoriti mereka terlalu ‘beriman’ dengan akhbar arus perdana dan media elektronik, sehingga melihat apa juga dilakukan Umno/BN sebagai betul dan membawa kebaikan.
Sebab itu apabila PAS Besut dengan begitu optimis mengutarakan hasrat menyapu bersih kesemua kerusi di kawasan itu, ia tidak dilihat suatu cita-cita yang mudah. Logiknya, berbekalkan kekalahan di kelima-lima kerusi, adalah agak tidak munasabah bagi PAS mengimpikan keadaan sebaliknya dalam masa terdekat.
Apatah lagi jika dinilai secara terperinci pada keputusan pilihan raya lalu. Kelima-lima calon PAS, di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun), tewas dengan majoriti undi agak besar. Kekalahan terkecil ialah di Dun Hulu Besut, dengan majoriti 2,453 undi, diikuti Dun Kuala Besut (2,631 undi).
Di dua lagi Dun, iaitu Jertih dan Kota Putera, calon-calon PAS kecundang dengan majoriti lebih besar, iaitu masing-masing 3,046 dan 3,332 undi. Manakala di kerusi Parlimen, majoriti kekalahan calon PAS ialah 10,590 undi.
Angka-angka tersebut meletakkan kesemua kerusi di Besut di kedudukan teratas dalam senarai kekalahan terburuk PAS di seluruh Terengganu. Justeru, apakah sandaran para pemimpin dan pendukung parti itu di daerah paling utara itu untuk sekali lagi merealisasikan impian menjadikan Besut sebagai “pintu tawan Terengganu” dalam pilihan raya nanti?
Sekali lagi rakan-rakan di sana berpegang kepada keyakinan bahawa tidak ada yang mustahil dalam politik. Jika dikatakan kedudukan tanpa sebarang kerusi tidak memungkinkan kemenangan memihak PAS, suasana sama sebenarnya telah dihadapi parti itu sebelum PRU 1999 lalu. Namun, semua tahu ia berjaya mencipta kejutan besar apabila menang di kesemua kerusi di kawasan itu.
Suatu hakikat politik yang sukar ditolak juga, setakat ini dalam kedua-dua kejayaan PAS menawan Terengganu (1959 dan 1999), ia turut dibantu kemenangan sapu bersih kesemua kerusi di Besut.
Justeru, tidak ada salahnya meletakkan sasaran dan harapan di tahap agak tinggi. Mudah-mudahan hasrat menggunung ini mendorong usaha berlipatganda mencapainya.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1662, 1 Ogos 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment